PERTH - Biro Keselamatan Kenderaan Australia (ATSB) yakin bahawa objek tidak dikenal pasti yang hanyut ke darat di Augusta, pantai barat daya Australia Barat, bukan daripada MH370 yang hilang.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) pada Khamis berkata, ATSB, selepas meneliti gambar-gambar bahan itu secara terperinci, berpuas hati bahawa ia bukan petunjuk yang boleh dikaitkan dengan pencarian pesawat malang itu.
JACC yang mengendalikan operasi mencari itu berkata demikian dalam kenyataan di sini.
Jurucakap ATSB, Martin Dolan, dalam temu bual dengan CNN pada Rabu berkata bahan itu merupakan kepingan logam dengan cantuman rivet.
"Memang cukup menarik bagi kami untuk meneliti gambar-gambar itu...tapi keterujaan itu berkurangan, semakin lama kami melihatnya," katanya.
ATSB turut memberikan gambar-gambar itu kepada pasukan penyiasatan Malaysia, menurut JACC dalam kenyataan pada Rabu. #sumber
KUANTAN - Selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengadakan program kempennya di Hotel MS Garden bari-baru ini, semalam tiba giliran kumpulan penyokong Azmin Ali pula berbuat demikian di Hotel Shahzan Inn dekat sini. Seramai hampir 100 orang penyokong Azmin Ali termasuk yang datang dari Selangor telah bersama dalam program itu malam tadi.
Walau pun ramai yang kecewa kerana calon Timbalan Presiden Keadilan itu tidak hadir namun program tetap berjalan seperti biasa dengan menampilkan beberapa orang pemimpin menyampaikan ucapan masing-masing. Majlis dipengerusikan oleh Razali Alias, memwakili PKR Pahang.
Antara yang berucap ialah Zuraida Kamaruddin (calon Ketua Wanita), serta beberapa orang calon Naib Presiden yang terdiri daripada Zakaria Abd Hamid, Khalid Jaafar, Yaakop Safari, Yahya Shaari, Hee Loy Sian, Azmizan Zamanhuri, M.Manimaran, Shuhaimi Shafiei dan Lee Chin Cheh (bekas ADUN Kajang). Turut hadir ialah beberapa orang calon team "Gagasan KeadilanRaya" dari kalangan yang bertanding Exco Wanita dan AMK termasuk Juwairiya Zulkifly.
Bezanya program Tan Sri Khalid dengan Azmin Ali ialah, cara hujjah yang dikeluarkan oleh pemimpin yang berkenaan. Ramai dikalangan pemimpin yang berucap malam tadi lebih banyak menyentuh peribadi Tan Sri Khalid dan calon Timbalan Presiden parti yang lain. Malah, ada kenyataan yang dikeluarkan cukup mengejutkan hadirin sebenarnya. Apapun, masing-masing ada cara dan kaedah untuk berkempen bagi memastikan kumpulan mereka menang bergaya pada pemilihan yang akan bermula 26 April ini.
Kelihatan beberapa orang pemimpin dan Ketua Cabang Keadilan Pahang yang hadir termasuk dari cabang Maran, Kuala Krau, Jerantut, Pekan, Rompin, Paya Besar dan lain-lain lagi. Program berakhir sekitar jam 11.30 malam tadi. - PDO
MARAN - Satu demontrasi aman susulan kejatuhan harga getah telah diadakan di Felda Kampung New Zealand dekat sini baru-baru ini. Demontrasi melibatkan beberapa orang peneroka felda terbabit yang kecewa dengan tindakan kerajaan tidak cakna isu ini. Mereka membawa berbagai sepanduk yang tertera perkataan "Harga Getah Jatuh Lagi RM1.80/kg Saja...Mana Tanggungjawab Kerajaan?", "Harga Getah Turun Lagi, Kami Derita Dan Sengsara, Di Mana Pemimpin UMNO BN", dan berbagai lagi. Himpunan berakhir secara aman tanpa kejadian yang tidak diingini. - PDO
KOTA KINABALU: Seorang peguam berusia 28 tahun meninggal dunia akibat sesak nafas ketika cuba menyelamatkan beberapa ekor anak anjing yang terperangkap di dalam sebuah lubang dekat rumahnya di Kg Pisang Babah di Penampang.
Jay Ferrer Jeffrey Linjungan ditemui oleh seorang ahli keluarganya di dalam sebuah lubang sedalam satu meter.
Dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth kira-kira pukul 1 petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Supritendan Ratan Kumar Singh berkata, Jay cuba mengeluarkan beberapa ekor anak anjing dari sebuah lubang sebelum terperangkap dan mengalami sesak nafas.
Menurutnya, Jap berjaya mengeluarkan dua ekor anak anjing dari lubang tersebut sebelum berdepan masalah ketika menyelamatkan anak anjing ketiga.
"Kami tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat, ia adalah satu peristiwa malang," kata Ratan.
Mayat mendiang Jay yang bekerja di sebuah firma guaman di Kota Kinabalu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mohingkidon, Kampung Nambazan di Penampang selepas selesai upacara sembahyang di Gereja St Michael pada Jumaat. #sumber

KUALA LUMPUR - Orang ramai dilarang menyertai Himpunan Membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dijadual bermula di KLCC dan berakhir di Dataran Merdeka pada 1 Mei ini kerana program itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Zainuddin Ahmad berkata, program itu tidak mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa selepas pihak penganjur perhimpunan gagal mengemukakan surat kebenaran daripada pihak pengurusan KLCC dan Dataran Merdeka untuk menggunakan lokasi berkenaan.
Katanya beliau telah mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa penganjur, S Arutchelvan, yang juga setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan pembantunya pada 16 April lepas bagi tujuan mendapatkan maklumat bagi membolehkan polis membuat persiapan awal.
"Arutchelvan telah memberitahu bahawa mereka semua akan berkumpul di KLCC pada tengah hari dan kemudian akan berarak ke Dataran Merdeka.
"Saya menasihatkan mereka supaya mematuhi Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran pihak pengurusan lokasi perhimpunan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Zainuddin berkata, dua hari selepas pertemuan itu, pihak penganjur telah menghantar notis pemberitahuan mengenai perhimpunan kepada pihak polis tanpa surat kebenaran daripada pihak pengurusan KLCC dan Dataran Merdeka.
Beliau berkata pada 21 April lepas, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli.
"Mereka memaklumkan akan mengadakan perhimpunan yang sama tetapi disebabkan masih tidak mempunyai kebenaran daripada pengurusan di kedua lokasi itu maka saya menasihatkan mereka supaya memilih lokasi alternatif di Stadium Merdeka," katanya.
"Saya mengesyorkan supaya mereka memohon kepada Perbadanan Stadium Malaysia untuk mendapatkan kebenaran namun sehingga ke hari ini mereka juga tidak memberikan sebarang jawapan," katanya.
Justeru, Zainuddin berkata oleh kerana pihak penganjur gagal mematuhi akta tersebut dan sekiranya diteruskan maka ia menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Perhimpunan tersebut sempena Hari Pekerja itu dirancang oleh satu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik. - Bernama

ALOR SETAR: Kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tetapi banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri berkata banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud ini dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.
"Terdapat perbezaan yang cukup ketara antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kekangan dan kesulitan yang pelbagai.
"Sebab itulah kita memerlukan ulama dalam kalangan mujtahid untuk memperhalusi dan melakukan ijtihad baharu dalam menentukan pelaksanaan hukum hudud supaya keadilan yang menjadi matlamat mampu ditegakkan," katanya ketika merasmikan majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di sini, Khamis.
Katanya kerajaan menyokong niat baik pihak mana sekalipun untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah Islam yang sejati.
Najib berkata sebelum melaksanakan hudud, pastikan masyarakat Islam bersedia untuk melaksanakannya baik dari segi pemahaman, penghayatan, mental mahupun pemikiran.
"Begitu juga dengan masyarakat bukan Islam, perlu diberi kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang hukum-hakam Islam supaya tidak wujud pandangan yang salah terhadap ajaran Islam yang suci ini," katanya.
Perdana menteri berkata kerajaan istiqomah memartabatkan syiar dan syariat Islam dan mengamalkan pendekatan wasatiyyah yang bercirikan keadilan, kecemerlangan dan keseimbangan.
"Kerajaan juga komited melaksanakan Maqasid Syariah dalam sistem pentadbiran negara (menjaga dan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta).
"Sebagai ajaran agama samawi, syariat dan akidah bergandingan menjadi teras dalam Islam. Dalam syariat, inilah intipati teras daripada Allah SWT untuk membimbing manusia dalam mengharungi kehidupan bersosial, berpolitik dan menjalankan misi khalifah di atas muka bumi. Ini termasuklah hukum hudud yang kembali hangat diperbincangkan," katanya. #sumber
SEREMBAN: Polis menahan pemilik dua anjing yang menyerang tiga mangsa di Lenggeng pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Abdullah Roning berkata, individu tersebut ditahan dibawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkenaan haiwan hingga mendatangkan kecederaan.
Jika didapati bersalah, pemilik terbabit boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000.
"Kami telah menahan pemilik anjin tersebut untuk membantu siasatan dalam insiden tersebut," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan pemilik anjing tersebut ditahan pada Rabu apabila dia datang ke balai polis untuk membuat laporan berhubung insiden itu. #sumber

PUTRJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor ditetapkan pada 25 Mei, manakala hari penamaan calon pula akan diadakan pada 12 Mei ini.
Tempoh berkempen adalah selama 12 hari.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu juga menetapkan bahawa hari pengundian awal ialah pada 21 Mei ini.
Perkara itu diumumkan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gelugor di Bangunan SPR di sini, Khamis.
Kerusi Parlimen Bukit Gelugor kosong selepas penyandangnya, Karpal Singh, 74, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di KM306.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar pada 1.10 pagi, pada 17 April lalu.
Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam.
Seramai 82,431 pemilih akan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi yang terdiri daripada 82,255 orang pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir luar negara.
Menurut Abdul Aziz, anggaran kos perbelanjaan bagi PRK Bukit Gelugor adalah sebanyak RM1.9 juta.
"Sebanyak 21 buah pusat mengundi akan dibuka iaitu 17 buah bagi pengundian biasa dan empat bagi pengundian awal.
"Dewan Sri Pinang akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi," katanya.
PRK Bukit Gelugor adalah yang keempat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei tahun lalu.
Tiga PRK sebelum ini ialah di DUN Kuala Besut di Terengganu yang diadakan pada 24 Julai tahun lalu diikuti DUN Sungai Limau, Kedah pada 4 November lalu.
Terbaharu, kira-kira sebulan yang lalu negara turut menyaksikan PRK ketiga diadakan di DUN Kajang, Selangor pada 23 Mac. #sumber
PETALING JAYA: Sebuah pesawat Firefly berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas terpaksa berpatah balik hanya 15 minit selepas berlepas.
Pesawat FY1002/MH9948 dipercayai menuju Kota Baru mengalami masalah teknikal.
Kesemua penumpang dipindahkan ke pesawat lain untuk meneruskan perjalanan ke destinasi sama. #sumber
KUANTAN: Buat pertama kali semua 42 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang melawat dan meninjau operasi kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation Ltd (Lynas) di Gebeng, dekat sini.
Rombongan yang diketuai Menteri Besar Pahang yang juga Adun Pelangai, Datuk Seri Adnan Yaakob itu menaiki dua buah bas dengan sebuah dipandu sendiri oleh Adnan, sebaik sesi persidangan Dewan Undangan Negeri petang semalam berakhir.
Kesemua mereka termasuk 12 Adun pembangkang, meluangkan masa kira-kira tiga jam di kilang yang mula beroperasi pada November 2012 itu.
Mereka mendengar taklimat operasi kilang yang disampaikan oleh Penasihat Keselamatan Radiologi Lynas Prof Dr Ismail Bahari serta beberapa pakar di kilang berkenaan.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Adnan berkata lawatan itu bertujuan mempertingkat pengetahuan Adun Pahang tentang operasi kilang tersebut.
"Ia sangat berfaedah kepada semua Adun untuk mengetahui sedikit sebanyak tentang nadir bumi dan apa yang berlaku di sini.
"Adun juga ajukan banyak soalan sepanjang lawatan kepada pakar-pakar di sini, dan daripada jawapan itu kita dapat semua maklumat tentang operasi kilang Lynas," katanya di sini, Khamis.
Adnan berkata beliau berpuas hati dengan keseluruhan operasi Lynas yang mengutamakan kualiti produk serta keselamatan.
"Apa saja kontroversi tentang Lynas yang ditimbulkan di akhbar atau media sosial selama ini sangat kontra apa yang kita saksikan hari ini," katanya yang menyifatkan nadir bumi sebagai satu bahan yang akan menguntungkan negara pada masa hadapan, seperti petroleum yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara. #sumber
KUANTAN - Ramai pengguna jalanraya yang melalui jalanraya keliru dengan kewujudan satu lagi lampu isyarat di persimpangan Bukit Rangin-Permatang Bandak dekat sini. Mereka hairan apakah motif lampu isyarat itu wujud, sedangkan ia jelas tidak selaras dengan "Transport Planning" sebenarnya. Malah, difahamkan simpang lampu isyarat yang dibina begitu dekat dengan lampu isyarat sedia ada dari jalan pintasan Kuantan-Kemaman ke Permatang Badak itu sendiri sebenarnya.
Menurut seorang pengguna, dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan pembinaan lampu isyarat itu. "Jika benar mahu bina lampu isyarat...kenapa tak dibuat di simpang Masjid Lama Permatang Badak iaitu kawasan simpang empat yang cukup berbahaya kepada pengguna. Jaraknya tak terlalu jauh dengan lokasi sekarang. Kat situ lebih penting dan relevan daripada lokasi sekarang yang jaraknya begitu dekat dengan simpang lampu isyarat sedia ada", kata seorang pengguna yang setiap hari menggunakan laluan tersebut untuk berulang alik ke tempat kerjanya.
Beliau turut menegaskan, kewujudan lampu isyarat itu bukan menyelesaikan masalah tetapi menambahkan lagi kekalutan. "Jalan makin sesak sebab jarak terlalu dekat.... Bayangkan, lampu isyarat sedia ada masih lampu merah dan lampu isyarat baru ini lampu hijau?. Maka, makin haru biru jadinya", katanya.
"Saya tidak menolak kemungkinan pembinaan lampu isyarat itu atas desakan dan arahan pihak atasan kerana di kawasan terbabit ada perumahan yang didiami oleh golongan VVIP. Mereka nak cepat dan tak mahu tunggu lama di simpang akibat kesesakan. Maka, mereka mohon diwujudkan lampu isyarat. Pihak berkuasa pula terpaksa akur sebab itu permohonan dari golongan VVIP. Sedangkan di simpang Masjid Lama, walau pun ada simpang empat.. Ia hanya didiami oleh rakyat biasa saja. Sebab tu permohonan dan masalah mereka tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa", kata beliau lagi.
Difahamkan, simpang lampu isyarat baru itu juga terletak berhampiran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Paya Besar, sendiri sebenarnya. Namun, tiada sebarang kenyataan yang dibuat oleh wakil rakyat terbabit setakat ini atas pembinaan lampu isyarat itu. Pemantauan dan laporan lanjut menyusul. - PDO
KUANTAN: "Jika saya dipilih sebagai Timbalan Presiden Keadilan yang baru, saya pasti tiada lagi calon payung terjun seperti yang berlaku pada PRU13 lalu.. kita mahu suara akar umbi memilih pimpinan untuk diangkat sebagai calon pada PRU akan datang", demikian kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada Majlis Tautan Kasih di Hotel MS Garden dekat sini malam tadi. Khalid turut menyatakan beliau berkempen secara profesional dan tidak akan mengutuk mana-mana calon lain seperti yang dilakukan oleh pihak berkenaan.
"Ahli PKR boleh menilai apa yang telah saya lakukan di Selangor", kata Khalid. Beliau menolak tuduhan kononnya dia kedekut dan tidak membantu PKR secara keseluruhannya dengan kedudukan MB Selangor yang disandang beliau sejak enam tahun lalu.
"Saya diamanahkan jaga duit rakyat.. duit ibu tunggal.. duit anak yatim.. tidak cium bau syurga jika saya gunakan duit rakyat untuk tujuan lain.. sebab iti saya berhati-hati", katanya lagi.
"Sebab itu saya tawarkan bertanding jawatan ini (Timbalan Presiden), kerana sudah tiba masanya saya membantu mantapkan parti secara keseluruhannya, selepas berjaya di Selangor", kata beliau sambil mendapat tepukan gemuruh dari kalangan penyokongnya yang hadir.
Lebih 200 orang penyokong PKR yang dari Pahang dan Terengganu hadir pada program malam tadi. Khalid akan bersaing dengan Azmin Ali, Saifuddin Nasution dan seorang calon lain bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR kali ini. Khalid turut menolak fitnah yang dilemparkan kononnya dia dibayar oleh UMNO BN dalam isu memeterai perjanjian air Selangor baru-baru ini.
"Kerajaan Pusat terpaksa bayar harga lebih untuk MOU itu, kenapa pula nak bayar saya.. ini kerja gila... kalau mereka untung tak apalah.. Sekarang meraka tanggung kerugian dek perjanjian itu.. kenapa mahu bayar saya pula", kata Khalid.
Beliau turut mengulas isu pemecatan pegawai kontrak oleh PKNS dan menyatakan deklarasi MRT (Menuju Reformasi Tulen) pada majlis itu malam tadi. Turut hadir ialah calon Ketua Wanita Pusat, YB Rodziah Ismail, Mustafa Kamil Ayub (Calon Naib Presiden), Yahya Shaari (Calon Naib Presiden) dan ramai lagi.
Ucapan Khalid menyentuh hari hadirin di dalam dewan bila beliau menceritakan apa yang dilakukan untuk membela rakyat di negeri Selangor sejak menjadi Menteri Besar enam tahun lalu. Perkara itu turut disokong oleh Mustafa Kamil dan Rodziah Ismail. Turut menyampaikan ucapan ialah Dato'Fauzi Abdul Rahman (Pengerusi MPN Pahang). Razali Alias (Ketua Penerangan PKR Pahang), Saravanan (PKR Bera) dan Aidil (PKR Kuantan).
Program berakhir sekitar jam 11.30 malam dengan sidang media dan kemudiannya Khalid mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa orang pemimpin peringkat cabang-cabang sebelum bertolak balik ke Shah Alam.
Turut hadir pada majlis itu ialah dua orang blogger iaiatu Blogger Cucumatkilau (www.cucumatkilau.blogspot.com) dan Blogger Hanisya Abdul Hamid (www.omakkau.blogspot.com). PDO
LOS ANGELES: Seorang remaja bernasib baik apabila terselamat daripada kesejukan melampau dan kesukaran untuk bernafas selepas menyelinap masuk ke bahagian tayar pesawat yang dalam perjalanan dari California ke Hawaii.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengenal pasti suspek sebagai seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang memanjat pagar di lapangan terbang San Jose.
Dia kemudiannya menyelinap masuk ke bahagian tayar pesawat Hawaiian Airlines yang berlepas ke Maui, menurut jurucakap FBI, Tom Simon.
Remaja terbabit dipercayai lari dari rumah, mampu menahan kesejukan melampau dan kekurangan oksigen selama lima jam setengah pada ketinggian 38,000 kaki merentasi Lautan Pasifik.
"Dia dipantau keluar dari pesawat di Maui, FBI menemu bual suspek sebelum menyerahkannya ke rumah perlindungan," kata Simon.
Katanya, remaja terbabit tidak akan dikenakan sebarang dakwaan jenayah di Hawaii.
Namun, 'sekiranya California memutuskan untuk mengenakan tuduhan jenayah terhadapnya, ia bergantung kepada mereka," katanya.
Rakaman video keselamatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mineta di San Jose menunjukkan remaja terbabit memanjat pagar sebelum menyelinap masuk ke bahagian tayar pesawat tanpa dapat dikesan. #sumber
JOHOR BAHRU: Polis merakamkan keterangan berhubung dakwaan seorang pengadil ditumbuk semasa perlawanan antara Johor Darul Takzim II (JDT II) dan UiTM di Pasir Gudang di sini, Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, beberapa saksi termasuk pengurus pasukan JDT II, On Jabbar, disoal siasat.
"Kita mendapat beberapa saksi dari negeri-negeri lain dan kita bekerjasama dengan polis di sana untuk merakamkan keterangan mereka," katanya kepada para pemberita di sini, Selasa.
Beliau berkata, insiden itu disiasat kerana menyebabkan kecederaan.
"Satu laporan polis dibuat oleh (didakwa) mangsa dan kita akan menyiasat perkara itu," katanya.
Dilaporkan On didakwa menumbuk pengadil Sukri Abdul Rahman selepas perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2.
Insiden itu berlaku ketika On sedang berjalan, sehingga menyebabkan hidung pengadil itu berdarah.
Beliau kemudiannya dibawa keluar anggota polis yang bertugas di stadium. #sumber
KOTA KINABALU: Seorang murid lelaki tahun empat cedera apabila pipi kanannya ditembusi sebatang besi sedalam lima inci ketika sedang bermain di luar pekarangan sebuah sekolah di sini.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang menunggu bas di kawasan parkir selepas tamat waktu persekolahan, terpijak besi penghadang longkang sepanjang semeter yang tercabut mengakibatkan murid berkenaan mengimbangi badan dan terjatuh.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K. Ramin berkata pihaknya menerima laporan pada 12.51 tengah hari dan lapan anggota Balai Bomba Kota Kinabalu dikerah ke tempat kejadian.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Nordin Fauzi berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.
Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip pula berkata Jabatan Pendidikan Negeri akan mengarahkan pihak pengurusan semua sekolah memeriksa dan memperbaiki kawasan yang boleh membahayakan pelajar.
"Pihak sekolah diminta oleh Pengarah Pendidikan Negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya tentang aspek keselamatan pelajar sepanjang masa," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.
J
ame turut melawat mangsa di hospital, yang kini dalam keadaan stabil dan menemui ibu bapa murid berkenaan. – Bernama
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung akhir bulan ini.
Berikutan itu, kerusi Presiden parti berkenaan akan kekal disandang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menang tanpa bertanding.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Johari Abdul pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.
Johari berkata, ketua pembangkang menyerahkan surat bagi memaklumkan keputusan beliau menarik diri pada 19 April lalu.
Beliau bagaimanapun berkata, Anwar tidak menyatakan punca beliau menarik diri pada pemilihan kali ini. #sumber

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengantung 27 permit bas ekspres syarikat Transnasional bagi laluan Timur-Sektor Utara berkuat kuasa Rabu ini ekoran kes kemalangan membabitkan bas syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata keputusan itu dibuat hasil pengauditan yang mendapati syarikat berkenaan tidak memantau had kelajuan selain mendapati Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) tidak berfungsi.
Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat lain yang terbabit dalam kemalangan di Temerloh dan Pekan, Pahang jika terdapat pelanggaran syarat pelesenan serta pekeliling berkaitan.
"Setiap bas persiaran dan bas ekspres wajib dilengkapi GPS sejak 2010, dan perkara ini telah termaktub dalam syarat pelesenan. Maka setiap pengendali harus memastikan GPS sentiasa berfungsi dan dipantau sepenuhnya.
"Pekeliling mengenai Pelaksanaan Kod Amalan Industri SPAD-Keselamatan (ICOP) untuk pengendali bas yang dikeluarkan pada tahun lepas mempertanggungjawabkan pengendali untuk memastikan segala aspek pengurusan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara betul dan berkala," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata Pekeliling SPAD ICOP-Keselamatan juga menitikberatkan aspek pematuhan had kelajuan dan ia merupakan satu daripada agenda keselamatan yang paling kritikal serta perlu dipantau oleh pengendali setiap masa.
Sehubungan itu, Mohd Nur Ismal berkata SPAD tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pengendali bas bagi setiap kejadian pelanggaran had laju yang dikesan.
Beliau berkata semua pengendali bas ekspres perlu memberi penekanan serius dalam aspek pengurusan pemandu, penyelengaraan serta mematuhi setiap piawaian yang ditetapkan dalam SPAD ICOP-Keselamatan bagi memastikan keselamatan penumpang.
"SPAD juga sedang mengkaji kesesuaian penggunaan kotak hitam dalam kenderaan perdagangan," katanya. #sumber

PETALING JAYA: Pendirian pakatan pembangkang mengenai hudud kekal apabila DAP sekali lagi menegaskan mereka menolak pelaksanaan undang-undang Islam itu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pendirian Pakatan Rakyat mengenai perkara itu tidak pernah berubah dan isu berkenaan tidak seharusnya dibangkitkan.
"Di bawah Pakatan Rakyat mesti ada konsensus daripada kesemua tiga parti politik apabila melibatkan persoalan dasar.
"Memandangkan DAP tidak menyokong pelaksanaan hudud, isu mengenai Pakatan Rakyat sokong hudud adalah tidak berbangkit," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Tambah Lim, persetujuan bersama Pakatan Rakyat sejak awal termasuk menerusi manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak mengandungi persetujuan mengenai hudud atau pembentukan negara Islam.
Bagaimanapun menurut Lim, semua parti sekutu Pakatan Rakyat bebas memperjuangkan dasar dan matlamat masing-masing menerusi amalan demokrasi.
Kerajaan PAS Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini. #sumber
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kedudukan dan pelantikan seseorang menteri besar berada dalam bidang kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam hubungan ini, Mohamad berkata beliau menerima apa sahaja keputusan perdana menteri berhubung kedudukannya.
"Sebagai seorang yang bekerja (berkhidmat), bertukar porfolio ini adalah sesuatu yang biasa....lumrah alam. Lumrah dalam kita bekerja. Kita menjalankan tugas di mana apabila kita dikehendaki bertukar atau pun disuruh untuk bersara, kita menerima dengan dada yang lapang....usah menangis-nangis," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar harian semalam berhubung ura-ura dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi.
"Jadi, kalau perdana menteri rasakan sudah sampai masanya Menteri Besar A dan Menteri Besar B, perlu diganti, maka itu terpulang kepada beliau," kata Mohamad. #sumber