script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Mufti Pulau Pinang: Semua Pihak Harus Sokong Titah Sultan Pahang, Tak Guna Masjid Sebagai Medan Politik

GEORGETOWN: Semua pihak harus menyokong titah Sultan Pahang,Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, yang mengingatkan supaya masjid tidak digunakan sebagai medan untuk berpolitik serta mengkafirkan mereka yang tidak menyokong parti tertentu.

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata ini kerana masjid merupakan tempat beribadat, serta untuk umat Islam memupuk perpaduan dan tidak wajar dijadikan sebagai gelanggang politik semata-mata, demi mendapatkan sokongan jemaah terhadap parti tertentu.

“Jika ini dibenarkan, maka ia akan memecah-belahkan masyarakat Islam di samping mencemarkan kesucian masjid. Nak berpolitik buatlah di luar masjid, jangan gunakan rumah Allah untuk tujuan politik kepartian,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Wan Salim berkata tiada siapa boleh mengkafirkan mana-mana individu yang tidak menyokong parti tertentu kerana parti politik itu ciptaan manusia berdasarkan ijtihad yang boleh jadi betul atau salah.

Beliau berkata, perkara itu disokong hadis yang melarang mengkafirkan seseorang yang bersolat menghadap ke arah kiblat (Kaabah) dan makan haiwan disembelih dengan menyebut nama Allah.

“Kecuali, jika seseorang melakukan perbuatan yang jelas menunjukkan kekufurannya seperti menyembah berhala, memaki Allah atau Rasul-Nya atau memijak al-Quran tetapi, jika seseorang tidak menyokong parti tertentu maka kita tidak boleh nengkafirkannya,” katanya.

Sultan Abdullah dalam satu rakaman video sebelum ini menitahkan masjid di Pahang supaya mengharamkan “penyakit-penyakit lama”, antaranya solat dua imam dan kafir-mengkafir serta menjaga kesucian masjid dengan tidak menjadikan rumah ibadat itu sebagai medan berpolitik. #sumber

Share:

Amanah Pahang Persoal Tindakan Mokhtar Senik Cadang Tukar Nama Malaysia Jadi Tanah Melayu

KUANTAN: Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang mempersoalkan niat sebenar pemimpin PAS, Mokhtar Senik mencadangkan nama Malaysia ditukar kepada Tanah Melayu.

Pengerusinya, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata tindakan pemimpin PAS itu yang sengaja  cuba untuk memecahkan perpaduan bangsa dan negara ini melelaui sentimen Tanah Melayu amatlah tidak wajar sebenarnya.

"Kedudukan Melayu dan orang Melayu sangat kukuh di dalam Perlembagaan Malaysia. Ia tidak pernah tergugat.

"Semenanjung Malaysia pernah dikenali sebagai Tanah Melayu, mula disatukan di bawah Komanwel pada tahun 1946, sebelum menjadi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

"Kemudiannya pada tahun 1963, Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia.

"Jadi, sepatutnya isu Tanah Melayu ini tidak perlu dimainkan kerana erti Malaysia adalah gabungan kukuh antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak," jelasnya. #sumber

Share:

PH Pahang Sanggah Cadangan Mokhtar Senik, Tak Perlu Tukar Nama Malaysia Menjadi Tanah Melayu

KUANTAN: Tindakan seorang pemimpin PAS mencadangkan nama Malaysia ditukar kepada Tanah Melayu disifatkan sebagai kurang cermat dan tidak memahami sejarah.

Setiausaha DAP Pahang Lee Chin Chen berkata ia akan menimbulkan rasa terasing dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.

Lee turut mengingatkan bahawa pembentukan Malaysia berdasarkan persefahaman dibina antara pelbagai kaum dan agama.

"Negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk antaranya Cina, Melayu dan India. Adalah penting untuk menghormati dan mengakui kepelbagaian etnik, budaya, dan identiti yang membentuk Malaysia.

"Mengubah nama negara kepada Tanah Melayu bukan sahaja akan menimbulkan kebimbangan dan rasa terasing dalam kalangan komuniti bukan Melayu, yang juga sebahagian besar penduduk Malaysia," katanya ketika dihubungi.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut dan Timbalan Speaker DUN Pahang berkata kemerdekaan negara dicapai menerusi kerjasama dan perpaduan kaum.

"Harus juga diingatkan bahawa negara kita mencapai kemerdekaan melalui perpaduan antara tiga kaum terbesar ini (Melayu, Cina dan India).

"Maka perpaduan ini haruslah sentiasa dipertahankan dan bukannya dengan menukarkan nama negara semata-mata untuk menunjukkan negara ini hak orang Melayu," katanya lagi.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik membangkitkan perkara itu dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam hantaran itu, Mokhtar berkata "nama Malaysia ini elok ditukar balik kepada nama Tanah Melayu dengan tidak menafikan bangsa-bangsa lain".

Ketika dihubungi, Mokhtar memaklumkan hantaran itu tidak berniat untuk menafikan sumbangan mana-mana pihak dalam pembentukan Malaysia.

"Status (hantaran) itu untuk mengingatkan kita semua balik kepada dasar Perlembagaan yang dimaktubkan sebelum ini.. ia berkenaan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan Islam yang dianuti majoriti orang Melayu sebagai agama Persekutuan," katanya.

"Persoalan nama itu tidak penting, tetapi yang pentingnya adalah untuk mengingatkan orang Melayu dan bangsa lain yang ada di negara ini bahawa Tanah Melayu ini adalah tanah orang Melayu, maka hak istimewa tadi jangan cuba digugat, jangan cuba dicabut," katanya lagi. #sumber

Share:

Sultan Pahang Titah Agar Semua Pihak Menjaga Kesucian Masjid, Tak Benar Solat Dua Imam

MARAN:  Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah bertitah semua pihak di negeri itu supaya menjaga kesucian masjid dan tidak wajar menjadikan ia sebagai pentas politik.

"Kita nak Pahang ini negeri yang aman, sentosa dan berharmoni... bila masa berpolitik lima tahun sekali.

"Awak nak berpolitik, politiklah tapi masjid kita kena jaga kesucian,” titah baginda pada Taklimat Pembangunan Daerah Maran di Pejabat Daerah dan Tanah Maran, baru-baru ini.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah memberi amaran terhadap semua masjid di negeri itu supaya tidak melaksanakan solat dua imam.

"Penyakit-penyakit lama harus diharamkan antaranya seperti sembahyang dua imam, kafir mengkafir.

"Saya bagi amaran di sini, mana-mana masjid yang membenarkan ini terpaksa ambil tanggungjawab.

"Penghulu, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) akan bertanggungjawab. Saya pun akan bertanggungjawab,” titah baginda.

Sementara itu bagi suri rumah Liza Ariff, 54, yang menetap di Kampung Padang Jaya, Jaya Gading berkata, dengan titah Al-Sultan Abdullah itu, penduduk di kampung berkenaan berharap dapat menjalani ibadah dengan sempurna tanpa drama politik yang boleh merosakkan fungsi institusi masjid.

"Contohnya, wanita di kampung ini sepanjang Ramadan sibuk dengan program tadarus al-Quran dan kami boleh melakukannya dengan tenang dan aman tanpa adanya hasad dengki atau unsur politik,” katanya.

Usahawan logam Muhamad Arif Mazli, 21, berharap titah Sultan Pahang itu diambil perhatian oleh pihak berkenaan kerana dia sudah letih dengan sikap mereka yang menjadikan masjid sebagai pentas politik.

"Sebagai orang muda, kami tidak mahu agama Islam dipengaruhi oleh fahaman politik kepartian yang boleh mengakibatkan perpecahan.

"Titah baginda yang memberi amaran supaya tidak berlakunya dua iman ini wajar kerana tidak mahu situasi lama ini berakar umbi di sini,” katanya yang menetap di Kuantan.

Seorang suri rumah dari Kuantan, Zahara Mat Nawi, 45, berkata, perihal politik tidak seharusnya dibawa ke masjid kerana ia boleh mengeruhkan lagi suasana serta ikatan persaudaraan sesama Islam. #sumber

Share:

Imam, Bilal Dan Tok Siak Di Pahang Bakal Terima Sumbangan Aidilfitri Daripada Kerajaan Negeri

KUANTAN: Sebanyak RM788,000 diperuntuk bagi golongan pengimarah masjid seperti imam, bilal, tok siak di Pahang sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sumbangan tersebut telah diluluskan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu.

“Golongan imam,bilal dan siak masjid di negeri Pahang bakal menerima sumbangan Aidilfitri sebagai tanda ingatan dan pengahargaan oleh kerajaan negeri melibatkan 1,203 imam, 1,075 bilal dan 1,065 tok siak.

“Selain itu program induk Ihya Ramadhan kerajaan negeri telah mendapat perkenan Tuanku Sultan Pahang untuk bersama,” katanya.

Menurut Syed Ibrahim, program berkenaan merupakan tanda kebersamaan baginda bersama  kerajaan negeri dalam mengimarahkan Ramadan dan menyantuni rakyat dan melibatkan 12 buah masjid yang menjadi lokasi.

Beliau  berharap agar pemerkasaan agama Islam, dakwah dan pendidikan Islam terus menjadi agenda penting untuk rakyat di negeri Pahang. #sumber

Share:

MB Pahang Nafi Kenyataan Nik Nazmi Ada Pengeluaran Nadir Bumi Oksida Secara Haram Di Lipis

KUANTAN:  Kerajaan Negeri Pahang menafikan sekeras-kerasnya berlaku pengeluaran bahan nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis seperti yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tegas Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, kenyataan Nik Nazmi itu kurang tepat kerana tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi di daerah Lipis.

Katanya lagi, kenyataan yang dinyatakan semalam telah menjejaskan nama baik Negeri Pahang, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri Pahang sejak 5 tahun lalu begitu tegas melaksanakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti pencerobohan tanah secara haram.

“Kerajaan Negeri Pahang menafikan sekeras-kerasnya berlaku pengeluaran bahan nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis seperti yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How, di Parlimen, semalam.

“Saya ingin nyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah kurang tepat, di mana tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi di daerah Lipis meskipun terdapat cubaan untuk melakukan aktiviti melombong bahan tersebut,”katanya menerusi kenyataan Facebooknya, pada Rabu.

Tambah Wan Rosdy lagi, hasil maklumat dan initipan yang dilakukan oleh Pasukan Elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 20 Mac 2023 (Isnin) telah mengesan dan menjumpai satu lokasi yang cuba dijadikan kawasan lombong nadir bumi berdasarkan peralatan yang ditemui,

Jelasnya, susulan penemuan ini, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Pahang telah menjalankan pemeriksaan tapak di lokasi itu pada 23 Mac 2023 (Khamis) dan hasil siasatan mendapati bahawa penemuan alatan dan barang-barang makmal yang digunakan menunjukkan kawasan tersebut adalah untuk melombong nadir bumi.

“Bagaimanapun, tiada aktiviti pengeluaran dikesan dan semua peralatan tersebut telah dirampas pihak berkuasa.

“Malah, lanjutan daripada kes ini, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Penguatkuasa Perhutanan Zon Pahang Barat telah melakukan pemantauan berkala bermula 3 Mei 2023 hingga 15 Februari 2024 di kawasan Pahang Barat dan mendapati tiada sebarang aktiviti perlombongan nadir bumi berlaku.

“Oleh yang demikian, saya berharap fakta ini dapat diperbetulkan kerana kenyataan yang dinyatakan semalam telah menjejaskan nama baik Negeri Pahang, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri Pahang sejak 5 tahun lalu begitu tegas melaksanakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti pencerobohan tanah secara haram termasuk aktiviti perlombongan daripada berleluasa,” ujar Wan Rosdy lagi.

Menurut Wan Rosdy, sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang pada 9 Oktober 2019, sebanyak 137 kes pencerobohan tanah Kerajaan Negeri telah berjaya diselesaikan dengan 129 kes telah dikenakan kompaun dan 8 kes lagi telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

Kerajaan Negeri juga akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi aktiviti penerokaan tanah secara haram yang berlaku di Negeri Pahang pada masa akan datang. #sumber

Share:

Polis Tembak Mati Tiga Penjenayah Warga Asing 'Geng Centro' Di Kilometer 17 Jalan Pekan-Kuantan

KUANTAN: Tiga penjenayah warga asing digelar Geng Centro yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun dan pecah kedai emas ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Kilometer 17 Jalan Pekan-Kuantan di sini pada tengah malam Isnin.

Suspek berusia 34 hingga 44 tahun itu terdiri daripada dua warga Vietnam dan seorang warga Bangladesh.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas kereta jenis Proton Waja dinaiki suspek menemui dan merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama tujuh butir peluru.

Menurutnya, turut ditemui beberapa peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah termasuk dua bilah parang dan dua set nombor pendaftaran kenderaan.

"Geng Centro dianggotai tiga warga asing ini dikenal pasti terlibat dalam beberapa kes samun dan pecah kedai emas yang dilaporkan berlaku di Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang sejak Jun tahun lalu.

"Modus operandi digunakan kumpulan penjenayah ini ialah menyerang dan menyamun mangsa menggunakan kekerasan selain menjadikan hari cuti untuk memecah masuk kedai emas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Yahaya berkata, jumlah keseluruhan kerugian mencecah lebih RM4 juta.

"Susulan kes tersebut, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Pahang yang menjalankan operasi bersama berjaya mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, Pekan kira-kira jam 11.30 malam pada Isnin.

"Menyedari kehadiran pihak polis, suspek terus memecut kenderaan untuk melarikan diri melalui Jalan Pekan-Kuantan," katanya.

Jelasnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki suspek menghimpit dan melanggar belakang kenderaan polis sebelum berhenti.

"Semasa anggota (polis) turun untuk melakukan pemeriksaan, suspek melepaskan beberapa das tembakan.

"Anggota polis terlibat bertindak melakukan tembakan balas untuk mempertahankan diri dan mengenai suspek yang berada dalam kereta tersebut," ujarnya.

Tambah Yahaya, sebelum kejadian, suspek dipercayai merancang untuk melakukan jenayah di kawasan Pekan.

"Siasatan awal mendapati, salah seorang suspek (warga Bangladesh) menetap di negara ini berdasarkan kereta yang digunakan didaftarkan atas namanya sendiri.

"Dua suspek warga Vietnam didapati telah keluar masuk ke negara ini beberapa kali dipercayai untuk melakukan jenayah," katanya.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada geng tersebut terlibat dengan kumpulan jenayah lain.

"Dengan tumpasnya kumpulan penjenayah Geng Centro ini, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dan pecah kedai emas termasuk tiga kes di Perak dan masing-masing satu kes di Selangor, Pahang serta Negeri Sembilan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," ujarnya. #sumber

Share:

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang Hantar Pulang Seramai 150 Orang PATI Ke Negara Asal Indonesia

BERA: Seramai 150 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima orang kanak-kanak warganegara Indonesia dihantar pulang ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang pada Sabtu.

Pengarahnya, Muhammad Hatta Kassim berkata, mereka dihantar pulang melalui perkhidmatan feri MV Marina JB dari Berjaya Waterfront Ferry Terminal Stulang Laut, Johor ke Tanjung Pinang, Indonesia.

“Kesemua PATI terdiri daripada 100 orang lelaki dan 45 orang wanita termasuk empat kanak- kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan dihantar pulang menggunakan feri.

“Mereka adalah tahanan dari Depot Imigresen Kemayan, Bera yang telah selesai menjalani hukuman setelah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Tambah Muhammad Hatta, tiket pulang ke sana disediakan oleh Konsulat Jeneral Republik Indonesia Johor Bharu (KJRI) JB, katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, program pemindahan PATI yang dikendalikan oleh Depot Imigresen Kemayan ini merupakan sebahagian dari aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh JIM Negeri Pahang. #sumber

Share:

Sri Pahang Sahkan Rafael Silva Tidak Lagi Bersama Pasukan Itu Pada Liga Malaysia Musim Baharu

KUANTAN: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengesahkan penyerang import dari Brazil, Rafael Silva tidak lagi bersama Sri Pahang FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pengumuman menerusi Facebook rasmi Sri Pahang FC itu hari ini, menyatakan ia berdasarkan persetujuan bersama antara Rafael dan SPFC.

"Terima kasih Rafael Silva. Sri Pahang FC dan Rafael Silva telah mencapai persetujuan untuk penamatan kontrak secara bersama.

"Kelab merakamkan penghargaan di atas komitmen dan sumbangan penyerang dari Brazil ini sepanjang menyarung jersi Sri Pahang," menerusi hantaran itu.

Rafael menyertai Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua musim lalu, namun prestasi tidak menentu menyebabkan khidmat pemain berusia 33 tahun itu ditamatkan.

Berikutan pengumuman itu, setakat ini skuad itu memiliki lima import iaitu Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina), Kuvondik Ruziev (Uzbekistan), Manuel Hidalgo (Argentina) dan Mykola Ahapov (Ukraine).

Difahamkan, kelab berusaha mendapatkan seorang pemain pertahanan import yang dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat. #sumber

Share:

Bulan Ramadan, Waktu Bekerja Penjawat Awam Pahang Sehingga 12.30 Tengah Hari Setiap Jumaat

KUANTAN: Waktu bekerja penjawat awam negeri Pahang pada setiap Jumaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini ditetapkan sehingga 12.30 tengah hari, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata penetapan waktu bekerja itu adalah selaras dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Penetapan ini turut melibatkan semua jabatan negeri, Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Wan Rosdy menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah atas keprihatinan dan kecaknaan terhadap kesejahteraan rakyat baginda.

"Patik pacal-pacal Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga akan terus beriltizam untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan juga Pahang demi kemakmuran bersama," katanya. #sumber

Share:

Pemain Sri Pahang FC, Sergio Aguero Gembira Dengan Komitmen Rakan Sepasukan Hadapi Musim Baharu

KUANTAN: Pemain Sri Pahang FC (SPFC), Sergio Aguero gembira dengan komitmen yang diberikan rakan sepasukan terutama pemain baharu sepanjang sesi latihan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pemain naturalisasi itu berkata semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan pantas dalam usaha membentuk skuad Tok Gajah yang mantap pada musim baharu itu.

"Semua orang (pemain) gembira berada di Pahang termasuk pemain baharu. Ketika ini kami sedang berlatih dengan kerja keras dan ia normal sebagai persediaan awal pasukan.

"Saya lihat kualiti pasukan juga meningkat kerana kita perlukan pasukan yang terbaik untuk berada sekurang-kurangnya berada di kedudukan ketiga Liga Super.

"Pada masa sama, kami mengharapkan untuk bermain pada tahap terbaik seperti yang dipersembahkan musim lalu," kata pemain kelahiran Argentina itu.

Pada masa sama, Aguero mengakui sokongan padu daripada peminat setia skuad Tok Gajah begitu ditagih bagi memberikan semangat kepada semua pemain.

"Kehadiran penyokong amat penting kerana mereka memberikan sokongan musim ini dan diharapkan ia diteruskan dengan lebih hebat musim baharu ini," katanya.

Baru-baru ini, SPFC menerusi satu kenyataan mengumumkan Aguero kekal bersama skuad itu bagi tempoh dua musim akan datang.

Menerusi hantaran di Facebook, pemain tengah itu menandatangani lanjutan kontrak selama dua musim untuk terus bersama pasukan itu.

"Komitmen, dedikasi dan kepimpinan Aguero diyakini akan terus menjadi aset berharga buat kelab. Tahniah Aguero. Terus sukses bersama Sri Pahang FC," menerusi hantaran itu. #sumber

Share:

Wan Rosdy: Pahang Sedia Teliti Dan Kaji Keperluan Bina Kilang Nadir Bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE)

MARAN: Pahang bersedia meneliti dan mengkaji keperluan membina kilang pemprosesan nadir bumi oksida di negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mengakui perkara itu mempunyai prospek positif, beliau turut mengesahkan Pahang antara 10 negeri yang mempunyai unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE), namun berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan.

"Kita akan kaji dan teliti perkara ini (kilang). (Mengenai nadir bumi), kita sahkan ia ada tetapi banyak mana tidak boleh disahkan dan urusan ini harus dikaji serta diteliti kerana membabitkan kawasan hutan simpan dan sebagainya," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Skim Tanah Rakyat (STR) FELDA Pahang di Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 14 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar bahawa Malaysia perlu segera membina kilang pemprosesan nadir bumi oksida yang dilihat keutamaan kritikal negara berdasarkan permintaan tinggi bahan mineral itu di seluruh dunia.

Buat masa ini, Malaysia belum memiliki kilang memproses nadir buminya sendiri dan Lynas Corporation Ltd (Lynas), yang mengendalikan kilang pemprosesan nadir bumi terbesar serta termoden di dunia di Gebeng, Kuantan adalah syarikat dari Australia.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang komited membantu menyelesaikan masalah generasi kedua dan ketiga FELDA untuk memiliki kediaman sendiri dengan kemudahan infrastruktur mencukupi menerusi STR.

"Saya berharap pelaksanaan STR ini memberi kesejahteraan kepada generasi baharu FELDA yang sekian lama menginginkan kediaman sendiri yang selesa dan kemudahan infrastruktur mencukupi bagi menjalani kehidupan bersama keluarga.

"Kerajaan negeri juga akan sentiasa memantau perkembangan projek ini bagi memastikan ia berjalan lancar, berjaya dan tidak mahu ia menjadi projek gajah putih dan terbengkalai," katanya.

Pada 20 September tahun lalu, Kerajaan Pahang mengisytiharkan 18 kawasan dalam wilayah FELDA sebagai STR untuk generasi baharu FELDA.

Beliau berkata, 18 kawasan itu membabitkan 10 lokasi dalam Wilayah Mempaga di Bentong dan masing-masing empat dalam Wilayah Jengka serta Wilayah Kuantan. #sumber

Share:

Seramai 120 Orang Pelacur, GRO Ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Di Premis Hiburan Sekitar Kuantan

KUANTAN: Seramai 151 individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Khas di 17 premis hiburan di sekitar daerah ini pada Jumaat malam.

Mereka yang ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti pelaburan dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di dalam negara ini dalam operasi pada jam 11 malam itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, daripada jumlah itu, 120 wanita dipercayai pelacur dan gadis pelayan pelanggan (GRO) turut ditahan.

"Mereka ini ialah 103 wanita warga Thailand, dua warga Laos dan 11 lagi wanita warga Vietnam manakala dua wanita masing-masing dari Indonesia dan Indonesia. Selain itu, lima lelaki warga Myanmar, seorang warga Indonesia, 11 warga Bangladesh dan tiga lelaki warga China ditahan. Mereka ini berusia antara 19 hingga 49 tahun.

"Kita turut menahan 11 lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis yang berumur 25 hingga 46 tahun. Penahanan mereka dibuat bagi bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat JIM Pahang di Indera Mahkota pada Sabtu.

Serbuan itu, melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Pahang, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), JIM Perlis, JIM Perak dan JIM Negeri Sembilan.

Jafri Embok memaklumkan hasil semakan awal mendapati 94 individu memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah.

Ujarnya, sementara selebihnya tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.

Beliau menambah, pihaknya turut merampas kondom, dokumen premis, rekod perniagaan, kunci premis dan peralatan seks. #sumber

Share:

Wan Rosdy Dakwa Penceroboh Tanah Haram Di Cameron Highlands Yang 'Gangster', Bukan Beliau

KUANTAN: “Tidak mengapa biarlah netizen menilai, dia seorang je cakap, orang lain tak cakap pun. Saya tak gengster,” kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, para netizen berhak menilai dan mengukur keperibadian beliau jika ketegasannya terhadap penceroboh tanah haram terutama di Cameron Highlands yang telah diambil tidakan.

Katanya, kelantangan beliau bersuara berkaitan isu tersebut sehingga dilabelkan sebagai gangster tidak menjadi kudis.

“Jika tidak dihentikan (pencerobohan tanah haram) ia akan berleluasa dan intergriti kerajaan akan terjejas. Sebelum tindakan diambil, kita mengikut peraturan tertentu iaitu memberikan notis,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan tular seorang bekas Ahli Parlimen yang menyatakan beliau gengster selepas mengambil tindakan terhadap pekebun sayur di Cameron Highlands baru-baru ini.

Wan Rosdy berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan kepada sesiapa sahaja yang menceroboh tanah kerajaan dan melakukan sebarang aktiviti perkebunan secara haram. #sumber

Share:

Pahang Laksana 20 Rakaat Solat Sunat Tarawih Seluruh Masjid, Surau Pada Ramadan Tahun Ini

KUANTAN: Pahang akan melaksanakan 20 rakaat solat sunat tarawih di seluruh masjid dan surau pada Ramadan tahun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali berkata, solat sunat itu dilaksanakan di 700 masjid dan hampir 2,000 surau di negeri ini.

"Kesempurnaan solat tarawih adalah afdhal didirikan 20 rakaat sebagaimana dijelaskan oleh Imam Syafie iaitu ‘bahawa saya amat suka jika didirikan 20 rakaat solat tarawih’," katanya pada Rabu.

Zulkifle memberitahu, walaupun ia diselaraskan dengan jumlah tersebut, namun makmum boleh membuat pilihan mengikut kemampuan mereka masing-masing.

"Jadi, mereka boleh mendirikannya solat sunat tarawih lapan atau 20 rakaat," katanya.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 30 masjid di daerah dan sebuah masjid negeri dibuka selama 24 jam.

Ujarnya, ini bagi memberi ruang kepada para jemaah untuk beribadat selain menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh selepas tarawih.#sumber

Share:

Elak Kesesakan Lalu Lintas Di LPT, Kerajaan Belum Berhasrat Memansuhkan Tol Gombak Dan Karak

RAUB: Kementerian Kerja Raya (KKR) belum berhasrat memansuhkan bayaran di dua Plaza Tol melibatkan Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) 1 bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemansuhan tol di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak itu akan membebankan kerajaan dalam mendapatkan dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

“Saya harap semua pengguna jalan raya faham sekiranya tol ini dimansuhkan akan membebankan kerajaan untuk dapatkan sumber kewangan. Ini kerana kita perlu pastikan standard jalan yang sepatutnya dibuat dan tidak kurang pentingnya untuk kita pastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Andai kata kita kurang dana nanti risau kita tidak dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan sempurna dan baik,” katanya selepas Perasmian Pembukaan Sebahagian Seksyen 5A Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub ByPass sepanjang 6.4 kilometer yang turut disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dekat sini hari ini.

Isnin lalu ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) menggesa kerajaan memansuhkan sekurang-kurangnya dua tol masing-masing di Gombak dan Karak sebagai usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pengguna LPT.

Menurutnya, langkah itu penting dalam mengambil kira kewujudan empat tol yang terpaksa dilalui pengguna LPT menuju Pantai Timur iaitu Gombak, Bentong dan Karak serta di laluan keluar menyebabkan kesesakan yang melampau.

Dalam pada itu, Alexander berkata, KKR sentiasa mencari jalan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang meningkat. #sumber

Share:

Manuel Hidalgo Kembali Ke Sri Pahang FC Bagi Musim 2024/2025

KUANTAN: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas perkenan meminjamkan Manuel Hidalgo kepada Sri Pahang FC bagi musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata dengan kemasukan pemain import kelahiran Argentina itu diyakini memperkasakan skuad Tok Gajah.

"Bagi pihak kelab, SPFC menjunjung kasih kepada Tuanku yang juga pemilik JDT memperkenankan Hidalgo dipinjamkan semusim bersama Sri Pahang.

"Kehadiran Hidalgo yang sebelum ini pernah menyarung jersi Sri Pahang diharap membantu memperkasakan skuad ini terutama membantu jentera serangan.

"Justeru, SPFC mengharapkan Hidalgo bersama pemain Sri Pahang dapat membentuk persefahaman yang mantap untuk meletakkan skuad ini beroleh kejayaan," katanya.

Pada 28 Februari lalu, Kelab Bolasepak JDT mengumumkan Hidalgo menandatangani kontrak bersama Harimau Selatan.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu akan dipinjamkan kepada Sri Pahang untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024/2025 yang bakal membuka tirai pada Mei depan.

Berdasarkan rekod, Hidalgo pernah menyarung jersi skuad Tok Gajah pada 2021 dan 2022 sebelum berhijrah ke Kedah Darul Aman (KDA) FC musim lalu.

Pada masa sama, musim baharu ini Sri Pahang dilihat begitu serius membentuk skuad yang lebih padu apabila menampilkan tujuh pemain baharu dan berpengalaman.

Tujuh pemain itu ialah seorang import iaitu Mykola Ahapov dari Ukraine manakala enam pemain tempatan berpengalaman ialah Adam Nor Azlin, Sean Selvaraj, Asnan Ahmad, Hasnul Zaim dan penjaga gol, Azfar Arif dan T Saravanan. #sumber

Share:

Polis Tahan 701 Individu Atas Pelbagai KIesalahan Berkaitan Dadah Dalam 'Ops Hawk' Dan 'Ops Tapis' Di Pahang

KUANTAN: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan 701 individu termasuk 22 wanita atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Ops Hawk dan Ops Tapis yang dilaksanakan di negeri itu bermula 26 Feb hingga Rabu lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun.

Beliau berkata dalam operasi selama 10 hari membabitkan 19 pegawai, 128 anggota dan 10 polis bantuan itu, sebanyak 502 serbuan dengan 933 pemeriksaan telah dilakukan.

"Pihak JSJN telah membuat serbuan ke atas 28 kawasan hotspot atau sarang penagihan dadah di Felda di seluruh daerah.

"Daripada 701 ditahan, sebanyak 69 orang ditahan di bawah kategori kesalahan bekalan/pengedaran, 155 kesalahan memiliki dan 477 bagi kesalahan urin.

"Lapan lelaki ditangkap atas kesalahan 'wanted person' (dikehendaki) bagi kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Yahaya berkata sebanyak 40 tangkapan berpotensi dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut Yahaya, pelbagai jenis dadah telah dirampas terdiri daripada 130.05 gram (g) heroin, syabu (224.71g), ganja (40.91g), pil yaba (75.79g), pil eramin 5 (26.45g), air ketum (47.65 liter), daun ketum (7.2 kilogram) dan cecair kodein (0.20 liter) dengan nilai keseluruhan lebih RM61,000.

Melalui operasi itu juga, JSJN Pahang turut menyita dua motosikal dan wang tunai bernilai lebih RM5,000. #sumber

Share:

Kerajaan Negeri Pahang Halalkan Aktiviti Melombong Bahan Mineral Kepada Pemilik Tanah Persendirian

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menghalalkan aktiviti melombong bahan mineral kepada pemilik tanah persendirian yang ingin mengusahakannya di kawasan tanah mereka melalui skim pelombong kecil (SPK).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan memperkenalkan SPK, kerajaan negeri akan dapat menyekat aktiviti melombong bahan mineral yang dilakukan secara haram.

Kata beliau, pemilik tanah persendirian berhak melakukan kerja melombong tetapi perlu mengikut peraturan ditetapkan dengan mengemukakan permohonan.

"Kerajaan negeri tidak menghalang pemilik tanah untuk mendapatkan hasil tetapi perlu mengemukakan permohonan sebelum mengeluarkan bahan mineral terbabit.

"Setakat ini, kerajaan negeri meluluskan 56 lesen SPK sejak 2022 hingga kini dan sudah memperoleh pendapatan berjumlah RM2.5 juta.

Sebelum ini, ada rakyat yang menganggap bahawa sekiranya mereka ada tanah dan ada bahan mineral di bawah tanah, itu hak mereka. Sedangkan dalam enakmen tanah kerajaan negeri mengatakan bahawa apa jua hasil di bawah tanah adalah milik kerajaan," katanya ditemui, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian selepas melancarkan Akademi Mineral Malaysia Pahang dan program 'PRISMM 2024: Pahang Revitalizing Initiative For Sustainable Management Of Mineral Industry 2024'.

Bagi pemilik tanah yang ingin menyertai SPK, beliau berkata, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian dan Pahang Mining Corporation.

"Kerajaan negeri akan memberi lesen kepada pengusaha yang mempunyai tanah milik persendirian untuk membenarkan mereka melakukan aktiviti melombong secara sah tetapi pada masa yang sama dikawal oleh kerajaan negeri.

"Malah melalui skim ini juga, bukan sahaja kerajaan negeri yang mendapat hasil tetapi pengusaha juga turut mendapat keuntungan hasil perlombongan yang diusahakan atau situasi menang-menang.

"Tetapi sekiranya ada mana-mana pihak yang melombong secara haram, kita akan tangkap dan dakwa di mahkamah," katanya. #sumber

Share:

Seramai 176 Orang Asli Di Pahang Dan Kelantan Mohon Jadi Polis

KUANTAN: Seramai 176 Orang Asli dari negeri ini dan Kelantan terpilih mengikuti pemilihan sebagai konstabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) Orang Asli dan Senoi Praaq di Kompleks PDRM Alor Akar di sini.

Pemilihan selama empat hari bermula kelmarin membabit peserta lelaki berusia antara 18 hingga 28 tahun yang melalui tiga sesi iaitu ujian fizikal, peperiksaan berkomputer (SPiER) dan temu duga lisan.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi berkata, penyertaan pemilihan anggota polis kali ini begitu menggalakkan dan ia adalah antara jumlah teramai dicatat oleh jabatan itu.

Beliau berkata, kerjasama pegawai JAKOA daerah yang menyediakan borang permohonan seterusnya menyerahkan kepada remaja di setiap kampung Orang Asli menjadi faktor utama penyertaan yang begitu ramai pemilihan tahun ini.

Katanya, JAKOA juga turut menyediakan bas bagi membawa dan menghantar pulang setiap peserta, kemudahan tempat tinggal serta makanan turut disediakan bagi keselesaan peserta.

Selepas dua hari ujian fizikal dan SPiER dilakukan lebih 100 peserta yang layak untuk sesi seterusnya ujian lisan esok, mereka yang lulus akan mengikuti latihan pusat selama enam bulan.

"Pemilihan yang ditawarkan ini adalah untuk konstabel polis lelaki serta Senoi Praaq," katanya yang berharap lebih ramai remaja terpilih menganggotai pasukan PDRM.

Johari berkata, turut mengikuti pemilihan kali ini ialah 37 remaja Orang Asli dari Kelantan, mereka datang bersama pegawai JAKOA Kelantan menggunakan bas.

Bagi, Aizam Fadley Mihd Sukri, 25 dari Kampung Bongkok, Bera berkata, dia begitu berminat dan bercita-cita menjadi anggota polis.

"Ketika di sekolah menengah saya menganggotai pasukan Kadet Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM), bermula dari situ minat menjadi anggota polis suatu hari nanti begitu menebal hingga ke hari ini.

"Saya berharap percubaan kali keempat ini berhasil terutama selepas lulus dengan cemerlang ujian fizikal dan SPiER semalam," kata anak pertama daripada tiga beradik itu.

Beliau yang kini bertugas di stesen minyak begitu mengharapkan kejayaan pada temuduga kali ini, sebagai hadiah pada isteri dan anak lelaki berusia dua bulan lapan bulan. #sumber

Share:

Kadar Zakat Fitrah Pahang Bagi Ramadan Tahun Ini Minimum RM7

PEKAN:  Kadar minimum zakat fitrah di Pahang bagi Ramadan tahun ini kekal RM7 seorang. Bagaimanapun, buat pertama kalinya umat Islam yang berkemampuan di negeri ini diwajibkan menunaikan zakat fitrah mengikut jenis dan harga beras digunakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, individu yang menggunakan beras wangi atau setara, kadar zakat fitrahnya RM14 manakala RM21 bagi individu yang menggunakan beras Basmathi atau seumpamanya.

Menurutnya, resit zakat fitrah tahun ini dikeluarkan mengikut kadar bayaran yang ditetapkan.

"Seramai 918 amil telah ditauliahkan bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah tahun ini dan umat Islam di Pahang dinasihatkan membayar zakat fitrah mereka melalui amil yang bertauliah.

"Selain itu, kemudahan pembayaran secara dalam talian melalui pautan ezakat.muip.gov.my dan kod QR Bank Muamalat juga turut disediakan," katanya pada sidang akhbar sempena pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2024 di Pejabat MUIP, di sini pada Jumaat.

Ahmad Hairi berkata, mana-mana pihak yang mengutip zakat fitrah tanpa tauliah atau kebenaran MUIP merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, katanya, sempena Ramadan ini, MUIP akan mengagihkan bantuan lebih RM20.2 juta kepada 38,965 penerima.

"Daripada jumlah itu, RM5.2 juta akan diagihkan untuk bantuan menyambut Ramadan kepada 11,550 ketua isi rumah (KIR) dalam kalangan asnaf, fakir miskin penerima zakat bulanan..

"Lebih RM4.2 juta disediakan untuk sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan kepada 686 masjid dan surau kebenaran Jumaat di negeri ini.

Sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan berjumlah RM292,500 akan diagihkan kepada 149 maahad tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar," jelasnya.

Beliau berkata, sempena Syawal pula, pihak majlis turut mengagihkan bantuan tahunan hari raya Aidilfitri lebih RM8.8 juta kepada 17,799 KIR asnaf fakir miskin daripada penerima bantuan bulanan dan yang disenaraikan amil.

"Golongan saudara baharu juga akan menerima bantuan itu melalui peruntukkan lebih RM1.5 juta melibatkan 8,781 KIR," katanya lagi. #sumber

Share:

Tengku Mahkota Pahang Ingatkan Pemimpin, Jangan Main Isu Politik Yang Memecahbelahkan Rakyat

KUALA LIPIS: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan pemimpin di negeri itu supaya mengelak daripada memainkan isu politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Baginda bertitah, parti politik hanyalah ‘halaman’ kepada amalan demokrasi kepada pentadbiran negara dan negeri, justeru parti politik tidak seharusnya dibiarkan menjadi pemecah perpaduan rakyat.

"Jangan disebabkan politik, rakyat saya berpecah-belah dan bertelagah.Tidak ada apa-apa yang lebih menggembirakan saya daripada melihat rakyat yang dikasihi hidup dalam suasana sejahtera, aman dan bersatu padu," titah baginda di Dataran Santuari Kampung Tanjung Gahai di sini selepas menamatkan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 yang berlangsung empat hari bermula Ahad lepas.

Turut mengiringi baginda Tengku Panglima Raja Brigedier Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Hassanal bertitah, selain melindungi rakyat Pahang, baginda juga perlu menyatupadukan rakyat dalam semangat kekeluargaan dan sayang menyayangi.

"Program ini (Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang), menjadi asas kepada tali silaturahim antara saya dengan rakyat, di samping menjadi satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya.

"Saya gembira melihat senyuman dan ketawa rakyat saya," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah, ekspedisi itu turut disifatkan platform terbaik kepada baginda untuk menyantuni rakyat.

Baginda menzahirkan rasa berbesar hati dapat bertemu puluhan ribu rakyat tidak mengira umur, latar belakang dan kaum termasuk orang asli negeri itu.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan rakyat supaya menjaga kawasan hutan yang menjadi punca kepada aliran sungai.

Tengku Mahkota Pahang turut menitahkan kerajaan negeri mengenal pasti hutan yang menjadi punca aliran sungai sekali gus mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan tadahan air.

"Jangan benarkan sebarang projek pembalakan, pembangunan mahupun ladang-ladang dibuat di kawasan ini," titah baginda.

Ekspedisi sejauh 400 kilometer menggunakan bot atau perahu kajang yang suatu ketika dahulu menjadi alat pengangkutan awam utama penduduk yang menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan itu, bermula di Pekan dan berakhir di Tanjung Gahai. #sumber

Share:

Lebih 50,000 Orang Menyertai RXZ Fighter Gathering Kuantan 2024

   

KUANTAN:  Lebih 50,000 orang menyertai RXZ Fighter Gathering Kuantan 2024 yang julung kali diadakan.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kehadiran pengunjung sekali gus merancakkan ekonomi dan sektor pelancongan di negeri ini.

“Acara permotoran RXZ ini adalah platform kerajaan Pahang untuk meraikan minat dan kegemaran anak muda.

”Jadi, bukan sahaja penunggang motosikal, tetapi peniaga di sekeliling pun majoriti anak muda dapat merancakkan ekonomi di sini.

“Malah, aktiviti pelancongan juga dirancakkan apabila, hotel, rumah inap desa dan pengusaha restoran juga mendapat manfaat daripada program ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Fadzli, pihaknya tidak menolak cadangan untuk melaksanakan program ini pada tahun hadapan memandangkan sambutan baik yang diterima.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu berkata, penganjuran RXZ Fighter Gathering Kuantan 2024 adalah bagi mendidik peminat dan penunggang motosikal menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan mematuhi peraturan.

“Pandu cermat, hormat pengguna jalan raya lain, sebab itu dalam promosi, kita sentiasa utarakan soal disiplin di atas jalan raya ini.

”Melihat sambutan mungkin dilaksanakan lagi dan kita akan menilai beberapa perkara dan mungkin tiada masalah untuk kita buat di daerah lain,” jelas Fadzli.

Selain itu acara yang bermula pada Jumaat dan berakhir Sabtu pertandingan airbrush, pertandingan dyno fighter, sesi taklimat keselamatan dan cabutan bertuah. #sumber

Share:

Seorang Lagi Penunggang Motosikal Dalam Perjalanan Ke RXZ Fighter Gathering Maut Nahas Di LPT1

MARAN: Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan menghadiri program RXZ Fighter Gathering di Kuantan, maut dalam kemalangan di Kilometer (KM)156.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, mangsa Mohammad Sharfie Sukri, 21, maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dipandu lelaki berusia 47 tahun.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, mangsa dalam perjalanan dari Petaling Jaya, Selangor menghala ke Kuantan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal itu yang berada di lorong kiri bergesel dengan lori.

"Akibatnya mangsa tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil temubual, semasa kejadian mangsa bersama sepuluh rakan yang turut menunggang motosikal berkonvoi dari Petaling Jaya untuk menghadiri program RXZ Fighter Gathering.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohamad Zamri berkata, ini kemalangan kedua membabitkan penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke program RXZ Fighter Gathering.

"Semalam seorang peniaga pasar malam maut selepas terbabas di Kilometer 166.6 Lebuhraya LPT," katanya. #sumber

Share:

Kerajaan Pahang Teruskan Agenda Dakwah, Luaskan Pengajian Ilmu Al-Quran Dan Turath Islam Di Maghribi

KUANTAN: Kerajaan Pahang meneruskan agenda dakwah dan pendidikan Islam menerusi perluasan hubungan dengan negara Timur Tengah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selepas Jordan delegasi kerajaan negeri melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Waqaf dan Hal Ehwal Islam Maghribi, Profesor Dr. Ahmad At-Taufiq di Magribi hari ini bagi berkongsi kepakaran, khusus dalam kajian literasi Al-Quran dan ilmu Turath Islam.

“Ini bertujuan mengeratkan hubungan baik yang sedia terjalin antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Maghribi yang telah bertaut sejak penghujung tahun 80-an, khususnya melalui tajaan Yayasan Pahang dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab,” katanya.

Menurut Wan Rosdy, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah berkaitan jumlah kuota khas untuk pelajar Pahang melanjutkan pengajian ke negara tersebut.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga berhasrat mendapatkan pakar dalam bidang ilmu Turath Islam melalui kerjasama perkongsian pintar dengan universiti di Maghribi yang akan ditempatkan di Maahad Tahfiz milik Yayasan Pahang.

”Selain itu kami berbincang tentang penubuhan pusat persediaan untuk menyambung pelajaran ke Maghribi di Pahang.

”Di samping itu, bersempena dengan penganjuran Persidangan Antarabangsa Mengenai Pendidikan Kontemporari dalam Dunia Islam pada bulan Mei 2024 nanti,” katanya.

Wan Rosdy kini mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Pahang mengadakan lawatan kerja ke negara Jordan dan Maghribi yang bermula 25 Februari sehingga esok. #sumber

Share:

Ekspedisi Mudik Sungai Pahang, Tengku Hassanal Lakar Sejarah Keluarga DiRaja Pahang

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat mengharungi cabaran ekspedisi buat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengetuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang bermula Ahad.

Penglibatan Tengku Hassanal dalam Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang sejauh 400 kilometer (km) itu sekali gus melakar sejarah bagi Keluarga Diraja di Pahang akan kegemilangan Sungai Pahang sebagai pengangkutan utama sejak zaman dahulu.

Baginda berdua bertitah agar Tengku Hassanal menitikberatkan aspek keselamatan dengan sentiasa berwaspada sepanjang ekspedisi tersebut termasuk menjaga kesihatan dengan baik.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menitahkan supaya anakandanya sentiasa mendampingi dan menyantuni rakyat jelata.

"Bertanya khabar dan melihat sendiri bagaimana rakyat jelata menjalani kehidupan seharian. Mana yang boleh dibantu, harus diberi keutamaan.

"Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang ini sebenarnya mengimbau kembali sejarah paduka nenda, Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azzam Shah yang memudik Sungai Pahang untuk ke Perak bagi meminang Tengku Ampuan Besar, Raja Fatimah Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah ketika itu," titah baginda berdua dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ekspedisi selama empat hari itu bermula di Pekan dan berakhir di Tanjung Gahai, Lipis menggunakan bot atau perahu kajang yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pengangkutan awam penduduk menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan.

Baginda berdua mendoakan ekspedisi ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan sekali gus dapat membuka ruang kepada Tengku Hassanal untuk menghayati keindahan alam.

Selain itu, dapat mengimbau sejarah dan warisan kegemilangan sungai Pahang serta menyantuni rakyat jelata di sepanjang Sungai Pahang.

Baginda berdua bertitah, Sultan Abu Bakar di zaman pemerintahannya sememangnya terkenal sebagai seorang sultan yang berjiwa rakyat.

Titah baginda berdua lagi, salah satu aktiviti tahunan baginda semasa hayatnya ialah menyusuri Sungai Pahang dan Sungai Tembeling untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakyat jelata di seluruh negeri Pahang.

"Gambaran mengenai kembara itu ada dikisahkan oleh seorang penulis Inggeris bernama Peter Moss. Beliau dan Duta Besar Pakistan ke Malaya telah dijemput untuk turut serta dalam rombongan kembara Sultan Abu Bakar melawat ke pelosok kampung di sepanjang Sungai Pahang dengan menaiki perahu panjang pada Mei 1960.

"Buku bertajuk 'Distant Archipelagos: Memories of Malaya' dalam bab 'A Regal Progress' menceritakan pengalaman menyusuri Sungai Pahang bermula di Kuala Lipis iaitu pertemuan Sungai Lipis dan Sungai Jelai sehingga ke Kuala Tahan. Rombongan Sultan Abu Bakar disambut penuh meriah oleh penduduk kampung yang berada di sepanjang sungai," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertitah, di setiap kampung yang dilawati, Sultan Abu Bakar memeriksa dan bertanya keadaan sekolah serta klinik kesihatan, selain pertemuan bersama ketua kampung, imam dan pegawai-pegawai kerajaan.

Ini disusuli dengan jamuan kenduri secara besar-besaran dan pertunjukan acara serta tarian Mak Inang dan joget di atas pentas yang dibina khusus untuk menyambut rombongan diraja.

Antara kampung yang dilawati ialah Kampung Bantal dan Kampung Pagi selain beberapa perkampungan pesisir sungai lain di kawasan Taman Negara Kuala Tahan dan Kuala Tembeling.

Begitu juga dengan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah yang memerintah Pahang bagi tempoh 33 tahun iaitu dari 16 Ogos 1881 hingga 9 Mei 1914.

Baginda menjelajah seluruh negeri Pahang menerusi Sungai Pahang dan menaiki gajah.

Bagi peserta Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 yang membabitkan enam daerah iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis dinasihatkan mengutamakan aspek keselamatan dengan memastikan semua kelengkapan termasuk bot berada dalam keadaan baik.

Pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang mesti dalam keadaan siap siaga dan bersedia berdepan dalam apa juga cabaran dalam menjayakan ekspedisi ini.#sumber

Share:

Pemain Skuad Bawah 23 Tahun Negara T Saravanan Akan Sertai Sri Pahang FC Musim Ini Hingga 2026

KUANTAN: Pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara T Saravanan akan menyarung jersi Sri Pahang FC musim ini.

Menerusi hantaran Facebook rasmi Sri Pahang FC hari ini, pemain berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak selama dua musim hingga 2026 bersama skuad Tok Gajah.

"Selamat datang Saravanan ke Darul Makmur. Pemain sayap lincah yang semakin mencipta nama, T Saravanan kini milik Sri Pahang.

"Pemain berusia 23 tahun ini menandatangani kontrak selama dua musim bersama Tok Gajah," menurut hantaran itu.

Sebelum ini, Saravanan yang beraksi dengan Kuala Lumpur City, dikhabarkan akan berpindah ke pasukan utara Semenanjung tetapi akhirnya memilih Sri Pahang.

Susulan pengumuman itu, Saravanan antara tujuh pemain baharu yang diumumkan Sri Pahang bagi mengharungi Liga Super yang bermula Mei depan.

Enam pemain lagi adalah Mykola Ahapov dari Ukraine, Adam Nor Azlin, Sean Selvaraj, Asnan Ahmad, Hasnul Zaim dan penjaga gol, Azfar Arif. #sumber

Share:

Beri Bantuan Sama Rata Kepada Anak-Anak Pahang, Bukti MB Tak 'Pilih Kasih' Soal Peruntukan Rakyat

KUANTAN: Berita berkenaan seramai 200 anak-anak Pahang yang melanjutkan pelajaran di Jordan mendapat AS$100 seorang oleh kerajaan negeri, jelas sekali membuktikan bahawa kepimpinan Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail amat cakna dan prihatin soal pendidikan.

Malah difahamkan  kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang turut menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada Badan Kebajikan Mahasiswa Pahang Jordan.

Mengulas mengenai perkara itu, Akrivis Masyarakat Mohd Shukri Mohd Ramli, 52, ketika dihubungi berkata apa yang dilakukan ini jelas sekali membuktikan kerajaan Pahang salurkan bantuan kepada rakyat tanpa membezakan fahaman politik kepartian ibubapa mereka sebenarnya.

"Saya rasa, daripada 200 orang anak-anak Pahang yang belajar di Jordan itu sebahagian besarnya pastilah penyokong pembangkang terutamanya daripada parti PAS.  Saya rasa ketika agihan bantuan dibuat, tidak pula MB (Tok Wan) mengarahkan bantuan hanya diberikan kepada anak-anak penyokong kerajaan sahaja.

"Maknanya bantuan itu sampai kepada rakyat tanpa ada sikap pilih kasih dan double standard seperti yang didakwa pemimpin pembangkang selama ini. Mereka kata tidak dapat dan dinafikan peruntukan, walhal kerajaan bagi terus kepada rakyat termasuk juga anak-anak mereka", dakwa Shukri hari ini,

Justeru, beliau menggesa pemimpin pembangkang agar menghentikan tohmahan dan tuduhan liar bahawa mereka dinafikan hak peruntukan bermakna rakyat dikawasan DUN mereka juga tidak dapat.

"Amalan biasa bagi sesebuah kerajaan yang kekuatan politiknya sama dengan pembangkang (17-17 DUN) untuk mengkaji bab-bab peruntukan ini sedalam-dalammnya. Ia adalah demi kelangsungan politik sesebuah parti itu sebenarnya.

"Bukan sahaja mahasiswa dan pelajar-pelajar sekolah menikmati bantuan Kerajaan Pahang, malahan Tok Imam, Bilal dan Siak juga turut mendapat elaun dan bonus tanpa membezakan fahaman politik kepartian masing-masing, walau pun kerajaan tahu majoriti mereka tidak menyokong kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

"Apa yang penting, peruntukan itu ada disalurkan terus melalui penyelaras DUN untuk diagihkan kepada rakyat di kawasan masing-masing. Bukanlah terus ke poket wakil rakyat yang tidak sealiran dengan aspirasi kerajaan. Berbeza di negeri-negeri yang kerajaannya mempunyai kerusi majoriti, memang tiada masalah sebab kedudukan selesa. Tapi di Pahang situasinya jauh berbeza, kena fahamlah tu kan," tambah Shukri lagi.

Beliau mengulas isu ini ketika Menteri Besar (Wan Rosdy) bersama delegasi Kerajaan Negeri Pahang mengadakan lawatan kerja ke negara Jordan dan Maghribi yang bermula 25 Februari hingga 3 Mac ini. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.