script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Jumlah Mangsa Banjir Yang Ditempatkan Di PPS Di Pahang Dan Negeri Sembilan Meningkat Malam Ini

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua negeri yang dilanda bencana itu, meningkat setakat 8.30 malam ini.

Di PAHANG, mangsa banjir di daerah Bentong bertambah kepada 121 orang daripada 33 keluarga, berbanding 111 orang daripada 31 keluarga pada sebelah petang.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia, Bentong, iaitu terdiri daripada 78 individu dewasa, 38 kanak-kanak dan lima bayi.

Di NEGERI SEMBILAN, mangsa banjir di Jelebu meningkat 110 orang daripada 27 keluarga, berbanding 51 mangsa daripada 11 keluarga pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Lt (PA) Mohd Najib Abdul Karim berkata hingga kini sebuah PPS dibuka iaitu di Dewan D'Sury, Jelebu bagi menempatkan mangsa dari Klawang dan Chennah yang terjejas.

Beliau berkata mereka terdiri daripada sembilan warga emas, 62 dewasa, 35 kanak-kanak serta empat bayi dari Ladang Jelebu, Taman Pekan Baru, Taman Bandar Tinggi dan Kampung Sepri, Chennah.

"Keadaan cuaca sekarang adalah baik dan hujan telah berhenti, bagaimanapun anggota kita masih memantau paras air di kawasan sungai berdekatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi menyelamatkan mangsa banjir melibatkan 17 anggota Angkatan Pertahanan Awam, bomba (10), polis (13), JKM (lima) dan Regimen Askar Melayu Diraja (lapan). #AstroAwani

Share:

Kes Bunuh Norshamira, Kerajaan Pahang Sedia Tawar Bantuan Dan Khidmat Kaunseling Untuk Keluarga

KUANTAN: Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia memberi bantuan dan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa bunuh, Allahyarhamah Norshamira Zainal.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, pihak JKM telah menyediakan dua kaunselor bagi memulihkan emosi suami dan keluarga mangsa.

“Hari ini kita datang melahirkan rasa simpati dan juga memberi sokongan moral kepada keluarga Allahyarhamah Norshamira. Pihak JKM juga ada hantar sokongan psikologi daripada kaunselor yang sudah bermula pada hari kedua.

“Kaunselor di Rompin telah membuat intervensi pada hari kedua di Keratong yang melibatkan keluarga mangsa, dan suami serta keluarga di Kuantan,” katanya ketika ditemui selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kerajaan negeri Pahang kepada suami Allahyarhamah, Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31, di Taman PSJ Sungai Karang Darat dekat sini, semalam.

Sementara itu, Mohammad Afiq Akhmal berkata, bantuan psikologi oleh pihak JKM amat membantu dirinya dan keluarga untuk lebih tenang dalam menerima pemergian Allahyarhamah.

“Setakat ini Alhamdulillah memang tak ada masalah yang besar sangat, saya boleh hadapi dan agak tenang sedikit selepas pemergian arwah,” katanya.

Dalam kejadian 13 Februari lalu, Allahyarhamah Norshamira, 37, ditemui mati dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur dekat sini selepas keluar rumah bagi menjalankan perniagaan penghantaran tunai (COD) makanan. #KOSMO!

Share:

Masalah Kesihatan: Bekas Pemain Kebangsaan Dan Pahang, Azizul Kamaluddin Terima Kunjungan PBNP, SPFC

KUANTAN: Masalah kesihatan bekas pemain kebangsaan dan Pahang, Azizul Kamaluddin mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan Kelab Bolasepak Sri Pahang FC (SPFC), hari ini.

SPFC menerusi hantaran Facebook rasmi kelab itu memaklumkan wakil PBNP dan SPFC meluangkan masa menziarahi dan bertanya khabar keadaan Azizul, di sini.

"SPFC dan PBNP turut menyampaikan sedikit sumbangan dan mendoakan kesembuhan segera buat legenda bola sepak Tok Gajah ini," kata SPFC menerusi hantaran itu.

Penyampaian sumbangan itu diserahkan Naib Presiden PBNP, Datuk Khairul Abd Rahman. Hadir sama, Setiausaha Agung PBNP, Norlia Norlia Abd Manaf.

Sabtu lalu, Azizul yang menyarung jersi Pahang dari tahun 1992 hingga 2006 dipercayai mengalami serangan jantung.

Bagaimanapun, dia yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini dibenarkan pulang.

Berdasarkan rekod, Azizul pernah membantu skuad Tok Gajah menjulang Piala Liga Perdana Satu pada 1999 serta muncul penjaring terbanyak liga pada tahun 2000.

Bekas pemain berusia 52 tahun itu turut menjulang Piala Liga Super pada tahun 2024. #BeritaHarian

Share:

Wan Razali: Penjenamaan Semula Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Apa Manfaat Kepada Rakyat?

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diminta menjelaskan mengenai cadangan bagi mempertingkatkan lagi syarat permohonan Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).

Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, langkah tersebut bakal memberi kemudahan kepada rakyat khususnya individu kurang berkemampuan seperti warga emas, orang kelainan upaya dan sebagainya.

“Minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan adakah pihak kementerian bercadang untuk menambah baik syarat permohonan bagi projek PPRS supaya memberi manfaat golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

 Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato Rubiah Wang menjelaskan, PPRS dijenamakan semula dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang telah diluluskan melalui keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2024.

Selain itu kata beliau, ia turut meliputi kenaikan kadar bantuan daripada RM66,000 kepada RM79,000 bagi PPRS bina baru di Semenanjung dan RM79,000 kepada RM85,000 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Kriteria kelayakan PPRS masih dikekalkan kepada dua isi rumah miskin dan miskin tegar dengan memberi keutamaan kepada warga emas, OKU, ibu tunggal dan bapa tunggal ada tanggungan ramai,” katanya. #Harakahdaily

Share:

Serik Bolos Dua Penalti: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad Tidak Mahu Anak Buahnya Ulangi Kesilapan

KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak mahu anak buahnya mengulangi kesilapan selepas `menghadiahkan' dua penalti ketika seri 2-2 berdepan Sabah FC pada aksi Liga Super, Ahad lalu.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, kesilapan itu mampu dielakkan jika pemain mengekalkan fokus dan tidak melakukan sebarang kesilapan terutama di dalam kotak penalti kerana ia merugikan pasukan.

"Seperti saya katakan sebelum ini, Sri Pahang mampu memenangi perlawanan itu tetapi disebabkan kita melakukan kesilapan dengan dua penalti, kita sekadar mengutip satu mata di tempat lawan.

"Oleh itu saya harap selepas ini kesilapan itu tidak akan berlaku lagi selepas ini dan fokus utama adalah untuk mengukuh pertahanan," katanya.

Pada masa sama, Fandi berkata, dua pertahanan iaitu Aleksandar Cvetkovic dan Syazwan Andik akan kembali dalam pasukan.

"Syazwan yang berdepan masalah kecederaan diharap segera sembuh dan Cvetkovic yang dibenarkan pulang ke Eropah minggu lalu bagi urusan keluarga akan kembali dalam pasukan," katanya.

Selepas 18 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ke-11 liga dengan mengutip 17 mata. Selepas ini, skuad Tok Gajah akan menerima kunjungan Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, 27 Februari ini. #HarianMetro

Share:

MHO Gesa Pihak Polis Siasat Skim Tempahan Emas Dan Pelaburan Babit Koperasi Terkenal Di Pahang

KUANTAN: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sebuah koperasi yang disyaki menjalankan skim tempahan emas dan pelaburan tidak wujud.

Ia didakwa menyebabkan seramai 127 menjadi mangsa mengalami kerugian lebih RM5.5 juta, kata Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada ahli koperasi terbabit sekitar Kuantan yang mendakwa mereka tertipu selepas koperasi gagal membayar dividen seperti yang dijanjikan.

Lebih mengejutkan koperasi itu antara yang terbaik di Pahang malah pernah menerima anugerah sebelum ini sehingga menyebabkan masyarakat  percaya kepadanya.

“Setakat ini, seramai 127 mangsa buat aduan kepada MHO tapi kami percaya angka ini kecil dan ramai lagi telah menjadi mangsa skim emas dan pelaburan tidak wujud ini.

“Mangsa difahamkan telah membayar sejumlah wang untuk menjadi ahli koperasi dengan janji menerima dividen setinggi 18 peratus setahun. Selain itu, koperasi juga menawarkan skim tempahan emas 916 dengan jaminan keuntungan satu hingga tiga peratus sebulan.

“Namun apabila tiba masa untuk pembayaran dividen dan keuntungan, pihak koperasi serta syarikat berkaitan gagal melunaskan bayaran dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah untuk sekian lama,” katanya.

Hari ini beliau bersama ratusan mangsa membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini.

“Kami berharap pihak polis dapat membuka siasatan penuh terhadap kes ini agar keadilan dapat ditegakkan dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan, tegasnya. #MalaysiaGazette

Share:

Koperasi 'Mungkir': Pelabur Hantar Surat Ke IPD Kuantan Minta Polis Siasat, Bukannya Serah Kepada SKM

KUANTAN:  "Saya akan perjuangkan perkara ini kerana wang itu mempunyai nilai sentimental... itu adalah wang peninggalan arwah suami untuk saya dan anak-anak," luah seorang mangsa pelaburan sebuah koperasi yang beroperasi di sini.

Siti Khalijah Said, 65, berkata demikian ketika ditemui media selepas dia bersama kira-kira 50 mangsa koperasi terbabit menghantar surat kepada pihak polis untuk meminta pihak berkuasa menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Surat itu dihantar kepada pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang, hari ini.

Mereka turut mendapatkan bantuan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bagi membawa kes itu kepada perhatian pihak polis.

Seorang lagi mangsa, Mohamad Hazrul Mohammad Rapi, 37, mendakwa dia mengalami kerugian sebanyak RM368,000 selepas melabur dalam skim ditawarkan koperasi terbabit sejak 2019.

"Saya dah buat laporan berkaitan koperasi itu pada 2021 namun setakat hari ini, belum ada apa-apa perkembangan.

"Ini adalah usaha lanjutan kami dalam usaha mendapatkan kembali hak supaya segala wang dilaburkan dalam koperasi itu dapat kami peroleh semula," katanya yang berasal dari sini.

Bagi Hanina Talha, 67, pula dia memberitahu isu membabitkan pelaburan dibuat dalam koperasi berkenaan sepatutnya sudah selesai Jan lalu.

Katanya dia melabur dengan membayar modal syer berjumlah RM40,000 sejak 2021 tetapi memaklumkan kepada pihak koperasi untuk menarik diri sebagai ahli selepas tidak menerima bayaran dividen seperti dijanjikan.

"Mereka memberi bermacam alasan sehingga saya membuat keputusan untuk membawa kes ini ke tribunal tuntutan pengguna.

"Pihak tribunal pun dah buat keputusan yang memihak kepada saya dan mengarahkan koperasi berkenaan membayar balik modal syer saya, namun sehingga hari ini saya belum menerima sebarang bayaran," jelasnya.

Sementara itu Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim, memaklumkan tujuan utama mereka berkumpul dan menghantar surat ke IPD Kuantan adalah supaya pihak polis mengambil alih siasat kes berkenaan.

Katanya, laporan polis dibuat sebelum ini diputuskan sebagai RLA (Rujuk Lain Agensi) dan ia menimbulkan rasa kurang puas hati mangsa.

"Macam hari ini, MHO mewakili 127 pengadu (mangsa) memohon jasa baik pihak polis menyiasat kes ini dan tidak menyerahkan kepada agensi lain seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Walaupun koperasi terbabit dikatakan pernah menerima pengiktirafan di negeri ini, namun apa yang terjadi kepada mangsa akan memberi impak kepada koperasi lain.

"Kami minta kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana wujud unsur penipuan dalam urusan antara ahli koperasi dan pihak koperasi itu sendiri," ujarnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, yang dihubungi media mengesahkan menerima surat daripada pihak berkenaan dan akan meneliti kandungannya sebelum memutuskan tindakan lanjut. #Malaysiakini

Share:

NGO Gesa Kerajaan Siasat Dalang Seludup e-Waste Ke Malaysia, Jumlah Sitaan Lebih RM1.7 bilion

SHAH ALAM: Pihak berkuasa digesa supaya menyiasat kegiatan menyeludup sisa terjadual atau sampah elektronik (e-waste) ke negara ini termasuk mendakwa dalangnya di mahkamah, susulan serbuan besar-besaran ke atas kilang haram memproses sisa elektronik itu di Selangor, Perak, Pahang, Johor dan Kelantan hujung minggu lalu membabitkan sitaan lebih RM1.7 bilion.

Pengerusi Pertubuhan Generasi Peduli Sampah Malaysia, Norelan Ismail berkata, mencari dalang yang bertanggungjawab ke atas jenayah tersebut adalah sesuatu yang wajib dan wajar untuk dilakukan.

“Semua tahu perkara itu membahayakan komuniti kita, itu belum masuk lagi penyakit yang boleh wujud disebabkan jenayah e-waste ini.

“Berkenaan dalangnya, memang seorang yang terlalu tamakkan duit, mungkin juga rakyat Malaysia, dan kalau ia perbuatan orang luar serta tidak ada ‘kerjasama’ daripada dalam, macam mana mereka boleh masuk?

“Pendapat saya mesti ada orang dalam yang tidak sayangkan negara sendiri, senang cerita pengkhianat negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berjaya membongkar kegiatan memproses sisa terjadual secara haram dengan nilai rampasan lebih RM1.3 bilion dalam serbuan ke atas sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Rimba Panjang, Sungai Siput, pada Sabtu.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan jam 9.30 pagi itu, pihaknya turut menahan 27 individu, termasuk seorang pemilik tempatan dan seorang saintis dari China.

Pada Ahad, media melaporkan terdapat juga kes sindiket pemprosesan e-waste yang beroperasi secara haram di Kuantan serta Pekan ditumpaskan dalam Op Hazard.

Hasil serbuan serentak di dua premis iaitu di Ladang Kelapa Sawit Simpai, Pekan dan kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan, pelbagai barangan termasuk mesin bernilai RM401 juta dirampas.

Norelan turut berpendapat, jenayah tersebut mungkin juga mempunyai unsur rasuah yang menyebabkan ia dapat beroperasi.

Tambahnya, sisa toksik yang dihasilkan daripada e-waste tersebut bukan sahaja merosakkan kesihatan tetapi juga mencemarkan sumber makanan, sungai dan sektor pertanian.

“Bayangkanlah berapa banyak toksik yang sudah dilepaskan ke dalam air tanpa merawatnya,” ujarnya.

Menurut Norelan, beliau berharap kerajaan dapat menguatkan lagi sistem penguatkuasaan agar jenayah seperti itu tidak berulang dan masyarakat dapat hidup dalam keadaan alam sekitar yang bersih.

“Saya harap penguatkuasaan itu akan lebih tegas dan wajar...serta menghukum mereka yang benar-benar salah, kalau boleh korek sampai lubang cacing kemudian bawa ke muka pengadilan,” ujarnya. #SinarHarian

Share:

Dua Kilang Haram Sindiket Proses e-Waste Dari China Dibongkar Di Pahang, Rampasan Cecah RM410 Juta

KUANTAN: Sindiket pemprosesan sisa elektronik (e-waste) dan sisa berjadual yang beroperasi secara haram di dua kilang masing-masing di daerah ini dan di Pekan tumpas dalam Op Hazard kelmarin.

Hasil serbuan serentak di dua premis iaitu di Ladang Kelapa Sawit Simpai di Pekan dan kawasan perindustrian Gebeng, di sini, pelbagai barangan termasuk mesin bernilai RM410 juta dirampas.

Serbuan Op Hazard itu membabitkan Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Batalion 7 PGA, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuantan dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).

Briged Tenggara PGA memaklumkan pihaknya menemukan puluhan guni mengandungi pelbagai e-waste dan sisa berjadual seperti 'black powder' (tembaga/nikel), lebih 670 tan perak yang belum dan sudah diproses.

Turut ditemukan campuran barangan terjadual, pelbagai mesin dan jentera memproses bahan pelupusan ditemui dalam kilang yang beroperasi tanpa dokumen sah daripada JAS itu.

"E-Waste dan sisa berjadual ini dipercayai dibawa masuk dari China untuk diproses dan dijual semula ke pasaran luar negara.

"Anggaran nilai rampasan mencecah RM410 juta dan kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Kanun Tanah Negara Akta 828," katanya menerusi hantaran Facebook Briged Tenggara PGA Rasmi.

Hasil serbuan itu, seorang lelaki tempatan serta dua lelaki warga China dan Bangladesh yang menjadi penjaga premis ditahan untuk membantu siasatan.

Semua barang rampasan diserahkan kepada JAS Kuantan dan UPNP untuk tindakan selanjutnya. #BeritaHarian

Share:

Pahang Tetapkan 20 Rakaat Solat Tarawih Dengan Tiga Rakaat Witir Dua Salam di Seluruh Masjid Dan Surau

KUANTAN: Pahang menetapkan solat tarawih 20 rakaat dengan tiga rakaat witir dua salam di seluruh masjid dan surau pada Ramadan ini.

Jabatan Mufti Negeri Pahang memaklumkan penetapan itu selepas diperkenankan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kesempurnaan solat tarawih adalah afdal didirikan 20 rakaat sebagaimana dijelaskan oleh Imam Syafie.

"Bagaimanapun, pihak masjid dan surau boleh memilih untuk memendekkan solat tarawih kepada lapan rakaat pada malam sambutan nuzul al-Quran," katanya menerusi laman sesawang jabatan itu.

Jabatan itu turut memaklumkan bahawa menunaikan solat tarawih secara berjemaah adalah lebih afdal.

"Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam bahawa melakukan solat-solat sunat di malam Ramadan mempunyai fadilat yang sangat besar," menurut jabatan itu. 

Jabatan itu turut memaklumkan bahawa menunaikan solat tarawih secara berjemaah adalah lebih afdal.

"Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam bahawa melakukan solat-solat sunat di malam Ramadan mempunyai fadilat yang sangat besar," menurut jabatan itu. #HarianMetro

Share:

Peruntukkan RM9 Juta Program Tunas Makmur: 90,000 Pelajar Di Pahang Terima Kit Peralatan Sekolah

BENTONG: Keprihatinan kerajaan negeri terhadap pelajar di Pahang diteruskan menerusi pelaksanaan Program Tunas Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) dengan peruntukan RM9 juta pada tahun ini.

Bagi program tersebut, kesemua murid Tahun 1 di Pahang menerima kit peralatan persekolahan bernilai RM100 seorang manakala pelajar Tahun Dua sehingga Tingkatan 5 diberikan kepada bagi kategori miskin tegar.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insiatif tersebut memberi manfaat kepada 90,000 pelajar seluruh Pahang untuk sesi persekolahan tahun ini menerusi pemberian kit keperluan peralatan persekolahan bernilai RM100 seorang.

Menurutnya, objektif utama program tersebut adalah untuk membantu mengurangkan beban ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan peralatan persekolahan kepada anak-anak mereka.

"Program ini diadakan di seluruh negeri Pahang secara serentak hari ini (Isnin) dan sumbangan akan diserahkan oleh Exco atau ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan ADUN Lantikan atau penyelaras DUN atau wakil mereka.

"Saya percaya bantuan ini memberi sedikit kelegaan kepada ibubapa. Kalau mereka ada dua orang anak kembar sudah RM200 kena belanja, jadi bantuan ini dapat ringankan beban,"katanya.

Beliau ditemui selepas menyantuni murid sempena Program Tunas Makmur Set Bantuan Kembali Ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Janda Baik di sini pada Isnin.

Set bagi sekolah menengah turut menyediakan set geometri dan kalkulator saintifik bagi keperluan mereka.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga tidak meminggirkan mereka yang tidak mendapat bantuan tersebut menerusi pemberian Kad Diskaun Tunas Makmur.

"Bagi mereka yang tidak mendapat set bantuan ini, kerajaan negeri akan memberikan kad diskaun yang memberikan potongan sehingga 30 peratus untuk berbelanja di MBS Bookstore di seluruh negeri Pahang.

"Kad ini juga diberikan kepada semua pelajar IPT, guru, pensyarah bagi membolehkan mereka membeli peralatan pembelajaran," tambahnya. #SinarHarian

Share:

Kerajaan Pahang Menyeru Agar Semua Pihak Berkepentingan Mendekati Orang Asli, Tingkatkan Kerjasama

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang menyeru agar lebih banyak pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan dan swasta, turun menjejaki perkampungan orang asli untuk meningkatkan kerjasama dan memastikan komuniti itu berada di laluan yang tepat untuk pembangunan.

Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, usaha itu bagi memantapkan mutu pendidikan serta mengenal pasti potensi besar dalam kalangan orang asli, yang boleh dimanfaatkan melalui pembangunan industri dan produk pelancongan.

"Kita dapat lihat keadaan semasa dengan turun sendiri ke lapangan selain meningkatkan mutu pendidikan tetapi kita juga dapat melihat suasana dan potensi luas di perkampungan orang asli ini.

"Kita akan membangunkan seperti di Sungai Mas yang mempunyai potensi cukup besar dan produk pelancongan. Sudah pasti ini akan memberi pulangan yang baik bukan sahaja kepada negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tunas Makmur 2025 berupa barang persekolahan kepada 67 murid orang asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Mas, Sungai Lembing, di sini.

Dalam pada itu beliau juga bersetuju menyumbangkan sebanyak RM30,000 untuk naik taraf kemudahan di sekolah terbabit.

Selepas majlis penyerahan bantuan kemudian beliau turut menziarahi tiga buah rumah bagi meninjau persiapan anak-anak ke sekolah pada esok.

Menurut Guru Besar SK Sungai Mas Wan Aizaidi Wan Zakaria, sumbangan tersebut akan digunakan untuk tambah baik kemudahan sedia ada bagi meningkatkan peratus kehadiran murid ke sekolah.

"Sebelum ini sumbangan pembesar suara diterima dari Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM10,000, jadi dengan pembinaan dan penambahbaikan pembesar suara ini kita dapat meningkatkan lagi peratus kehadiran murid orang asli ke sekolah," katanya. #BeritaRTM

Share:

Kes Bunuh Peniaga Wanita: Polis Tahan Seorang Pekerja Pajak Gadai Di Kuala Terennganu, Bantu Siasatan

KUANTAN: Polis menahan seorang pekerja kedai pajak gadai di Kuala Terengganu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang peniaga wanita yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di Kuantan, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis di tempat kerjanya di sebuah kedai pajak gadai pada 10.30 pagi semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki telah mengunjungi kedai pajak gadai berkenaan dan menggadaikan gelang emas dipercayai milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM30,000.

“Berdasarkan siasatan awal, polis dapati hanya gelang emas milik mangsa sahaja yang digadai. Pekerja pajak gadai itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Perintah reman dikeluarkan pagi tadi oleh Mahkamah Majistret Kuantan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mohd Zahari seterusnya mengesahkan pembunuhan peniaga wanita itu adalah bermotifkan samun.

Semalam polis telah menahan seorang lelaki di kawasan perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada 5.30 pagi dan merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian selain dokumen bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 53 tahun itu direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan kes bunuh Norshamira Zainal, 37, yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di Kuantan Khamis lepas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.#Malaysiakini

Share:

Suspek Kes Bunuh Norshamira Zainal Sempat Gadai Gelang Emas Bernilai RM30,000 Di Kuala Terengganu

KUANTAN: Polis mengesahkan suspek kes bunuh peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, telah menggadaikan gelang emas milik mangsa di sebuah pajak gadai di Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati motif utama pembunuhan adalah samun dan suspek mengambil barang kemas sebelum melarikan diri.

Menurut Wan Mohd Zahari, beliau juga tidak menolak kemungkinan gelang yang digadai bernilai sekitar RM30,000.

"Kita turut merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen bagi membantu siasatan.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar barang kemas yang telah digadai," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurut beliau, proses merakam keterangan daripada suspek dan beberapa saksi utama bermula pada Ahad.

“Semalam (Sabtu), suspek baru direman dan hari ini kita akan memulakan proses siasatan lanjut.

"Selepas semua prosedur selesai, kenyataan terperinci mengenai kes ini akan diumumkan,” katanya.

Suspek berusia 53 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.30 pagi pada Sabtu.

Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 21 Februari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, mayat Norshamira ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada 13 Februari lalu dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Mangsa yang menguruskan urus niaga hantaran tunai (COD) makanan dikatakan keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang juga suspek kes pembunuhan kejam tersebut.

Suami mangsa, Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, tidak menyangka suspek yang peramah dan kelihatan baik sanggup membunuh isterinya.#SinarHarian

Share:

Pahang Berpotensi Besar Untuk Menjadi Lokasi Tumpuan Peminat Sukan Ekstrem Bertaraf Antarabangsa

KUANTAN: Pahang berpotensi besar untuk menjadi lokasi tumpuan peminat sukan ekstrem bertaraf antarabangsa termasuk cabaran terjunan BASE (Building, Antenna, Span and Earth) sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai destinasi utama pelancongan bercirikan pengembaraan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man berkata Pahang menawarkan lokasi yang strategik dan mempunyai kemudahan lengkap untuk aktiviti seumpama itu.

Mengambil contoh penganjuran Kuantan 188 BASE Jump Extreme Challenge 2025, beliau berkata acara sukan ekstrem yang julung kali diadakan di negeri itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat sukan terjunan tersebut dari luar negara dan melihat potensi itu, ia dijangka akan menjadi acara tahunan.

"Acara ini berjaya menghimpunkan seramai 36 penerjun BASE elit dari 13 negara termasuk Malaysia, Finland, Indonesia, Filipina, Rusia, Sweden, Perancis serta penerjun BASE terkenal Justine Beitler dari Las Vegas, Amerika Syarikat.

"Saya difahamkan, ramai yang ingin menyertai acara ini tetapi terpaksa dihadkan kerana hendak memastikan tahap keselamatan peserta. Walaupun jumlah peserta 36 penerjun, tetapi impaknya di seluruh dunia kerana mereka ini akan mempromosi dan menaikkan Kuantan di arena antarabangsa," katanya pada sidang media Acara Kuantan 188 BASE Jump Extreme Challenge 2025 di sini hari ini.

Leong berkata acara tersebut yang berlangsung selama lima hari bermula 13 Feb lepas mendapat tumpuan dunia kerana diadakan di menara kedua tertinggi Malaysia, Menara Kuantan 188 yang mencecah 104 meter.

"Saya difahamkan, sebelum ini ada juga beberapa negeri lain yang turut menawarkan acara ekstrem ini. Cuma menarik di Pahang, ia lebih mencabar apabila penerjun ini dapat melakukan sukan ekstrem di menara kedua tertinggi di Malaysia.

"Dengan ketinggian itu, peserta akan rasa lebih mencabar, puas selain menawarkan pemandangan panorama menakjubkan kerana adanya Sungai Kuantan, Laut China Selatan, hutan paya bakau dan nelayan keluar masuk," katanya.

Beliau berkata acara ekstrem tersebut juga diyakini akan menjadi pembuka tirai tarikan kedatangan pelancong ke negeri ini selain pelbagai program menarik lain yang akan ditawarkan Pahang bagi menjayakan Kempen Melawat Malaysia 2026.

"Ikut kalender acara pelancongan Tourism Pahang, tahun lepas kita ada lebih 40 acara berkaitan antarabangsa dan peringkat negara. Untuk tahun ini, kita juga menyasarkan untuk mengadakan lebih banyak acara.

"Kalau boleh, kita mahukan ada acara yang signifikan di setiap daerah di negeri Pahang. Jadi untuk Kuantan, sebenarnya sebelum ini kita sudah ada beberapa acara tetapi dengan adanya acara BASE Jump, boleh menambahkan lagi pengisian untuk acara pelancongan di Kuantan," katanya. #AstroAwani

Share:

Suspek Kes Bunuh Peniaga Makanan, Norshamira Direman Tujuh Hari Bermula Sabtu Hingga 21 Februari Ini

KUANTAN: Suspek kes bunuh peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, yang mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan, berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini Khamis lalu direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 21 Februari depan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.

Suspek berusia 53 ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang memakai kemeja-T dan berkain pelekat diiringi polis keluar dari lokap kira-kira jam 2.30 petang selepas perintah reman dikeluarkan.

Sebelum itu, polis berjaya menahan penganggur itu jam 5.30 pagi di sebuah rumah, di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam kenyataan sebelum ini berkata, tangkapan ke atas lelaki itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang dan Terengganu.

Menurutnya, susulan penahanan suspek, polis menemui dan merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan. #SinarHarian

Share:

Suspek Kes Peniaga Wanita Disamun Dan Dibunuh Ketika Hantar Pesanan Sudah Ditahan Oleh Pihak Polis

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki berusia 53 tahun hari ini, dipercayai suspek kes bunuh wanita yang ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan di sebuah rumah, kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira jam 5.30 pagi.

Katanya, turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.

"Pihak polis akan membuat permohonan tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek berkenaan, polis berjaya menyelesaikan kes bunuh terbabit.

"Pihak polis berterima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang peniaga wanita, Norshamira Zainal, 37 ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, semalam.

Susulan itu, sepasukan polis bersama pakar patologi forensik dari HTAA menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan mendapati ada unsur jenayah pada tubuh peniaga makanan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek bukan berasal dari negeri ini (Pahang) tetapi menetap di daerah ini. Tiada sebarang hubungan antara suspek dan mangsa.

"Mangsa menjalankan perniagaan makanan secara dalam talian, manakala suspek memesan makanan daripada mangsa," katanya semalam.

Yahaya berkata, punca kematian belum dikenal pasti kerana sedang menunggu proses bedah siasat terhadap mangsa di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Beliau berkata, mangsa sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Kes itu turut mendapat perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menziarahi keluarga mangsa bunuh di HTAA.

Baginda turut diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam kunjungan itu, baginda sempat menitipkan titah nasihat dan kata-kata semangat buat suami mangsa, Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31.

Pada masa sama, baginda bertitah, hukuman setimpal dikenakan terhadap suspek terbabit jika disabitkan atas kesalahan membunuh.

"Kejam dan tidak berperikemanusiaan," titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, semalam. #BeritaHarian

Share:

PAS Nak Teraju Pahang…? Shahaniza Seru Seluruh Rakyat Di Negeri Ini Tidak Termakan Pujuk Rayu

MARAN: Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menyeru seluruh rakyat di Negeri Pahang untuk tidak termakan pujuk rayu PAS yang kini giat melancarkan slogan #PasTerajuPahang bagi memenangi hati para pengundi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan dan diketuai oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah melakukan usaha terbaik untuk rakyat di samping prestasi memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

“Memang sebenarnya kalau kita tengok Pas ini mereka begitu bersungguh-sungguh nak menawan Pahang. Mereka telah pun melancarkan gerak kerja yang sangat agresif dengan slogan #PASTerajuPahang. Ini tidak boleh dipandang mudah oleh kita semua.

“Tetapi saya nak menekankan kepada rakyat di Negeri Pahang khususnya, jangan termakan dengan pujukan dan cerita daripada mereka. Kerajaan negeri yang ada pada hari ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dah buat yang terbaik untuk rakyat.

“Prestasinya bukan sekadar omongan kosong dan telah terbukti. Tiga tahun berturut-turut pendapatan kerajaan negeri bertambah, kemudiannya dikembalikan semula kepada rakyat. Rakyat menikmati pelbagai bantuan, kemudahan yang diberikan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Tegasnya, prestasi negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) dilihat amat berbeza jika dibandingkan dengan Negeri Pahang yang begitu cemerlang.

“Jadi, buat apa kita nak bertukar kepada kerajaan yang belum tentu lagi prestasinya. Kalau kita nak bandingkan dengan kerajaan PN hari ini yang ada di Terengganu, Kelantan, Kedah… prestasinya jauh, kurang daripada Kerajaan Negeri Pahang.

“Kita boleh bandingkan bagaimana Kerajaan Negeri Pahang di bawah Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan ini, begitu cemerlang prestasinya dibandingkan dengan kerajaan negeri di bawah PN,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menghargai segala strategi yang telah dicadangkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika Program Turun Padang (TURPA) UMNO Bahagian Maran pada Rabu.

“Saya nak ucap terima kasih kepada Datuk Seri Azalina kerana dengan pantasnya selepas diarahkan oleh War Room untuk turun ke Maran sebagai ahli jawatankuasa War Room yang bukan setakat memantau, malah membimbing Parlimen Maran ini untuk kita kembali menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Saya sangat menghargai tips ataupun strategi yang telah dicadangkan kepada kami, jentera akar umbi UMNO Bahagian Maran untuk sepanjang tempoh 25 bulan sebelum kita menghadapi PRU yang akan datang. Jadi, panduan-panduan yang telah diberikan itu saya kira banyak yang bersesuaian untuk kita guna pakai di Maran ni.

“Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan memanggil kepimpinan pusat daerah mengundi (PDM) untuk menggariskan strategi-strategi yang kita boleh pakai mengikut kesesuaian. Pada saya, cadangan-cadangan tersebut memang sangat baik dan Insya-Allah akan memberi impak baik kepada kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh jentera untuk bergandingan bagi memastikan Parlimen Maran pulang ke pangkuan UMNO/BN pada PRU akan datang.

“Pesanan saya, kita semua mempunyai harapan yang tinggi untuk menang semula. Begitu juga harapan pucuk pimpinan. Dengan turunnya Datuk Seri Azalina sendiri membuktikan bahawa pucuk pimpinan menaruh harapan yang tinggi untuk kita merampas kembali kerusi Parlimen Maran dan juga di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada di Maran ini. Jadi, kita jangan menghampakan harapan tersebut.

“Bukan setakat hampa harapan, tapi jika akhirnya kita tidak berjaya untuk merampasnya kembali kerusi ini dan mempertahankan kerajaan Pahang, saya fikir itu adalah satu perkara yang tidak boleh berlaku. Seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, failure is not an option to us,” katanya lagi. #UMNOnline

Share:

Gerakan Teraju Pahang: Rosni Zahari Dawak PAS Pernah Belot Dan Tidak Mampu Membantu Rakyat

KUALA LUMPUR: Rakyat di Negeri Pahang perlu ingat bahawa PAS pernah belot pada satu ketika dahulu dan telah terbukti tidak mampu untuk membantu masyarakat, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran turut menegaskan bahawa pelbagai inisiatif untuk rakyat telah dilakukan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sepanjang mentadbir.

PAS ini memang itulah azam dan tekadnya untuk menawan Negeri Pahang. Tapi tak semudah itulah sebab mereka ini hanya pandai bercakap. Terutamanya yang jadi wakil rakyat… tidak ada apa yang mereka boleh bantu rakyat dalam satu penggal ini.

“Masa kita dalam Muafakat Nasional (MN) dulu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy bantu mereka dengan memberikan peruntukan yang sama dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN). Tetapi, ternyata mereka telah belot.

“Ini kerana terdapat bungkusan kotak makanan yang disumbangkan oleh Datuk Seri Wan Rosdy, mereka (PAS) ambil kemudian tukarkannya, letak dalam beg warna hijau mereka. Kononnya nak mengatakan bahawa bungkusan makanan tersebut adalah daripada mereka kepada rakyat. Saya rasa itu adalah satu perbuatan yang tidak baik,” katanya.

Ujarnya, beliau yakin bahawa rakyat di Negeri Pahang tahu menilai dengan segala kemakmuran yang telah dikembalikan kepada mereka, hasil daripada pendapatan negeri.

“Mereka (PAS) suka uar-uarkan perkara yang kecil. Kadang-kadang mereka hantar ikan sekilo, sayur seikat pun nak buat publisiti besar-besaran. Saya rasa rakyat Negeri Pahang ini cerdik dan tahu menilai. Tidak semudah itulah mereka untuk tawan Negeri Pahang.

“Walaubagaimanapun, kita tidak akan berada dalam ‘comfort zone’. Kita akan terus bekerja mendekati masyarakat dan para pengundi. Insya-Allah, saya rasa pengundi-pengundi ini tahu untuk berterima kasih,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Wanita UMNO Negeri Pahang sedang giat menjalankan gerak kerja mendekati para pengundi dengan program bacaan Yasin dan taqarrub.

“Alhamdulillah, kami Wanita UMNO bahagian di Pahang ini sangat bertuah kerana mempunyai Menteri Besar yang sangat prihatin dan memahami. Kami telah menyusun beberapa program antaranya kita turun ke pusat-pusat daerah mengundi (PDM) untuk melaksanakan program Yasin dan taqarrub.

“Kita menggunakan program taqarrub ini untuk menjelaskan isu-isu semasa dan memberi penerangan mengenai isu semasa kepada para pengundi sangat dahagakan maklumat-maklumat, terutamanya berkenaan dengan kes 1MDB, SRC serta pertuduhan ke atas Presiden. Saya menggunakan peluang ini untuk menerangkan dengan sejelas-jelasnya kepada para pengundi.

“Alhamdulillah, di setiap bahagian kita diarahkan untuk mengadakan 30 program Yasin dan taqarrub. Insya-Allah, pada bulan puasa kelak, kita adakan program Ihya Ramadhan. Saya rasa pendekatan ini adalah yang sangat berkesan kerana ketika kita mengadakan program ini ramai golongan sasar yang hadir,” katanya lagi.

Menurutnya, Wanita UMNO amat berbesar hati untuk terus melaksanakan program mendekati para pengundi seperti ini dan Rosni turut berharap ia mampu membina kembali keyakinan rakyat kepada UMNO/BN.

“Ini dilakukan dengan harapan apabila saya menyampaikan penerangan ini, mereka dapat maklumat dan akan sampaikan kepada masyarakat di bawah. Pastilah kita mengharapkan keyakinan itu kembali kepada UMNO/BN terutamanya dengan usaha yang telah dibuat oleh Menteri Besar. Pelbagai inisiatif telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk rakyat.

“Menteri Besar juga telah menggunakan jentera-jentera parti terdiri daripada Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri untuk menyampaikan sumbangan kepada yang memerlukan.

“…ada sumbangan ‘Pride Kid’ dan juga Bantuan Prihatin Pahang untuk kita sampaikan kepada rakyat. Untuk mereka yang tidak dapat hadir ke majlis sumbangan tersebut, kita pergi cari mereka di rumah pula. Alhamdulillah, saya nampak para jentera parti, memang berbesar hati dan seronok apabila dapat mendekati para pengundi di bawah,” katanya lagi. #UMNOnline

Share:

Kenyataan MP Raub Seharusnya Ditolak, Tiada Keperluan Wujud Menteri Khusus Masyarakat Bukan Islam

KUANTAN: Tiada keperluan bagi kerajaan untuk mewujudkan jawatan menteri atau kementerian khusus berkaitan masyarakat bukan Islam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan dibuat Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui di Dewan Rakyat berkaitan isu itu seharusnya ditolak sepenuhnya kerana boleh mencetuskan polemik dan mendatangkan kemarahan masyarakat Melayu Islam terhadap kerajaan.

Menurutnya, setiap kenyataan dan pandangan melibatkan perubahan kepada dasar dan polisi sedia ada perlu mengambil kira peruntukan dalam perlembagaan dan berupaya menjamin kestabilan serta keharmonian yang telah dipupuk pengasas negara ini sejak sekian lama.

"UMNO menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebajikan semua rakyat Malaysia.

"Begitu juga masyarakat bukan Islam, mereka bebas mengamalkan agama dan budaya mereka tanpa halangan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, prinsip itu telah lama menjadi asas keharmonian dan kesejahteraan negara.

"Tradisi kabinet Malaysia yang dianggotai ahli pelbagai kaum sudah menjamin segala masalah rakyat disuarakan oleh wakil masing masing," ujarnya. #SinarHarian

Share:

Anwar: Cadangan Lantik Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam, Kenyataan MP Raub Hanya Suara Peribadi

PUCHONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenyataan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang mencadangkan kerajaan melantik seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan disifatkan sebagai suara peribadi.

Jelas Anwar, kenyataan itu tidak dipersetujui oleh kerajaan mahupun jemaah menteri.

“Kenyataan Ahli Parlimen Raub itu suara peribadi tidak dipersetujui oleh mana-mana dalam kerajaan apa lagi dalam jemaah menteri,” tegasnya.

Tambah Anwar, penubuhan Jawatankuasa Keharmornian Antara Penganut Agama (Harmoni) dibawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Aaron Ago Dagang sudah memadai.

“Soal pelantikan itu budi bicara Perdana Menteri, itu tidak termasuk dalam perkiraan.

“Ada Menteri Hal Ehwal Agama, ada Menteri Perpaduan, ada Jawatankuasa Harmoni mewakili semua kaum semua agama. Saluran itu memadai,”katanya lagi.

Semalam Chow ketika Sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan agar portfolio Menteri berkenaan dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Jelasnya, beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai Exco hal ehwal bukan Islam dan menyarankan kerajaan Persekutuan mencontohi langkah itu. #BuletinTV3

Share:

Hal Ehwal Agama: Fahmi Fadzil Dakwa Cadangan MP DAP Tidak Jadi Agenda Utama Di Mesyuarat Kabinet

PUTRAJAYA: Isu mengenai cadangan seorang Ahli Parlimen DAP untuk memecahkan portfolio hal ehwal agama dipecahkan kepada Islam dan bukan Islam tidak menjadi agenda perbincangan utama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, malah ketua-ketua DAP sendiri menyatakan dengan jelas bahawa ia adalah pandangan peribadi beliau dan bukan pendirian parti.

"Perkara ini ada dibincangkan dan ia tidak pernah berbangkit, malah ketua parti beliau (DAP) sendiri mengatakan itu bukan pendirian parti, tetapi sebagai seorang ahli Parlimen," katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menambah, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang mempunyai mekanisme Jawatankuasa Harmoni yang mengumpulkan wakil daripada pelbagai agama di Malaysia untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan perpaduan.

"Jadi saya rasa cadangan beliau tidak berbangkit dan tidak ada keperluan," ujarnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Langkah itu, ujarnya, penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Cadangan itu kemudiannya mengundang kritikan pelbagai pihak merentas parti yang senada menolak perkara tersebut.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cadangan itu tidak dipersetujui oleh kerajaan. #AstroAwani

Share:

Sultan Pahang Mahu Suspek Kes Bunuh Wanita Berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur Diberkas Segera

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu suspek kes wanita yang ditemukan mati di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di Kuantan semalam diberkas segera.

Baginda turut mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku selain menyifatkan kejadian yang menimpa mangsa sebagai kejam dan tidak berperikemanusian.

"Baginda mahu suspek segera diberkas dan hukuman setimpal dikenakan jika disabitkan atas kesalahan membunuh," menurut hantaran Facebook Kesultanan Pahang.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni keluarga peniaga makanan itu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Keberangkatan baginda di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HTAA diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah kelihatan sebak mendengar dan melihat kesedihan keluarga wanita itu serta turut menenangkan Zainal Rahim, 65, dan Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31, masing-masing bapa serta suami kepada mangsa. 

Dalam kunjungan itu, baginda juga menitipkan titah nasihat dan kata-kata semangat buat Mohammad Afiq.

Zainal ketika ditemui pemberita berkata dia tidak menyangka sama sekali kejadian seperti itu akan berlaku membabitkan ahli keluarga sendiri dan terkesan dengan pemergian anak keduanya Norshamira, 37.

"Kali terakhir saya jumpa anak pada 28 Jan lepas di Melaka semasa melawat saudara kami. Norshamira seorang yang peramah dan selalu telefon saya dan isteri untuk bertanya khabar.

"Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini semalam oleh suami anak, memang tak sangka dia pergi dalam keadaan macam ini. Saya harap pelaku jenayah terhadap anak segera ditangkap polis," katanya.

Sementara itu, Mohammad Afiq Akhmal berkata beliau telah keluar mencari isterinya selepas menyedari mangsa masih tidak pulang ke rumah pada 5 pagi semalam.

"Pada Rabu isteri ada maklum nak balik rumah sekitar 10.30 malam, tetapi dia tidak pulang sampai pagi menyebabkan saya keluar mencarinya bersama rakan-rakan sebelum jumpa kereta kami di Tanjung Lumpur selepas tergerak hati hendak ke situ kerana pernah hantar pesanan di kawasan berkenaan.

"Dalam kereta memang tiada orang, isteri kemudian ditemukan oleh seorang rakan dan bapa saya telah memaklumkan penemuan itu kepada polis," katanya sambil memaklumkan Norshamira menjalankan perniagaan sambal ikan bilis sejak setahun lepas dan akan melakukan penghantaran empat kali seminggu.

Jenazah ibu kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Perantau Damai Keratong 8, Rompin sejurus selesai bedah siasat hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan mayat seorang peniaga makanan wanita tempatan berusia 37 tahun ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di Kuantan dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa. #Malaysiakini

Share:

Waktu Bekerja Penjawat Awam Di Negeri Pahang Berakhir Jam 12.30 Tengah Hari Pada Jumaat Sepanjang Bulan Ramadan


KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menetapkan waktu bekerja penjawat awam di negeri ini berakhir pada 12.30 tengah hari pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan

Baginda bertitah, Kerajaan Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 5 Februari lalu bersetuju dan meluluskan cadangan itu.

"Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini adalah untuk memberi peluang kepada penjawat awam untuk memanfaatkan lebih masa bersama keluarga di bulan Ramadan di samping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari," titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.

Al-Sultan bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Pahang Kali Ke-68 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi.

Turut berangkat Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail .

Pada majlis itu, baginda bertitah, masyarakat Islam mengambil peluang untuk mendekatkan diri kepada al-Quran serta memperbanyakkan tilawah, tadabbur dan mengamalkan ajarannya di dalam kehidupan.

Titah baginda, Ramadan yang bakal tiba turut menjadi waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah dan mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.

"Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan al-Quran dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz.

"Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya.

"Ilmu al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril," titah baginda. #HarianMetro

Share:

Polis Sedang Mengesan Seorang Lelaki Berhubung Kes Kematian Peniaga Wanita Berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur


KUANTAN: Polis sedang mengesan seorang lelaki berusia 37 tahun berhubung kes kematian seorang peniaga wanita yang ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kes ini masih dalam siasatan termasuk mengenal pasti motif kejadian. Setakat ini identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dilakukan.

"Suspek bukan berasal dari negeri ini (Pahang) tetapi menetap di daerah ini. Tiada sebarang hubungan antara suspek dan mangsa.

"Mangsa menjalankan perniagaan makanan secara dalam talian manakala suspek memesan makanan daripada mangsa," katanya ditemui media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Pengarah Cawangan Khas Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.

Yahaya berkata, punca kematian belum dikenal pasti kerana sedang menunggu proses bedah siasat terhadap mangsa di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini hari ini.

Katanya, selepas proses bedah siasat selesai, punca kematian akan diketahui.

"Tetapi memang ada kesan kecederaan pada mayat mangsa tetapi kita tunggu laporan bedah siasat. Kita juga dapati barang kemas milik mangsa hilang," katanya.

Yahaya mengesahkan mangsa sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Berdasarkan laporan, mayat seorang peniaga wanita ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada jam 12.45 tengah hari.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan polis bersama pakar patologi forensik dari HTAA menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan mendapati ada unsur jenayah pada tubuh peniaga makanan berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah wanita tempatan berusia 37 tahun yang tinggal di daerah ini dan juga seorang peniaga makanan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata Wan Mohd Zahari. #HarianMetro

Share:

Kerajaan Pahang Tiada Masa Melayan 'Spekulasi', Dakwaan PRU Mengejut Itu Memang Kerja Pembangkang !

KUANTAN: Dakwaan pembangkang mengenai kemungkinan berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) dalam tahun ini sekadar persepsi untuk mengelirukan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan tidak terpengaruh dengan spekulasi tersebut sebaliknya terus fokus kepada tugas mentadbir negeri serta membela rakyat.

"Itu kerja dia (pembangkang), suka buat persepsi supaya orang kelam-kabut dan tak boleh fokus pada kerja.

"Mana yang termakan persepsi, itulah yang akan terpengaruh. Tapi kami terus buat kerja, fokus untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvensyen Sekretariat Muafakat Felda Pahang Tahun 2025 di Auditorium RTM Pahang, di sini pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, pembangkang hanya mencari isu untuk dimainkan tanpa asas kukuh, malah sering mengubah kenyataan mengikut keadaan semasa.

"Dia (pembangkang) tiada modal, tiba-tiba teringat hendak cakap pilihan raya esok lusa, dia cakaplah.

"Lepas itu, esok cakap benda lain pula. Itu kerja dia, dan bukan sesuatu yang pelik," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak akan membuang masa melayan spekulasi politik yang tidak membawa manfaat.

“Keutamaan kami adalah memastikan pembangunan berjalan lancar dan rakyat mendapat manfaat. Kami tidak akan terganggu dengan politik persepsi yang cuba dimainkan,” tegasnya.

Mengulas mengenai perubahan sokongan pengundi Felda pada PRU lalu, Wan Rosdy mengakui terdapat beberapa kawasan yang gagal dipertahankan.

Menurutnya, persepsi negatif yang ditanam oleh pembangkang memberi kesan terhadap keputusan pengundi.

Namun, beliau berharap masyarakat peneroka dapat kembali memberi kepercayaan kepada Felda kerana kerajaan negeri dan agensi berkaitan telah merancang pelbagai inisiatif untuk mereka.

“Kita harap mereka memberi sokongan semula. Mungkin ketika itu mereka tersilap, maklumlah persepsi itu bermacam-macam yang dimainkan oleh pihak tertentu,” katanya.

Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang mempersiapkan jentera mereka bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut hujung tahun ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata bahawa arahan untuk mempersiapkan jentera parti itu telah dikeluarkan oleh Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam majlis pertemuan dan dialog dengan Badan Pimpinan Negeri (BPN) parti itu, Jumaat lalu. #SinarHarian

Share:

Mayat Seorang Wanita Peniaga Makanan Ditemui Mati Di Tepi Sungai Berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur

KUANTAN: Seorang wanita yang juga peniaga makanan ditemui meninggal dunia di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada Khamis.

Mayat mangsa berusia 37 tahun ditemui seorang lelaki sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, hasil siasatan pada tubuh mangsa mendapati punca kematian wanita itu disyaki wujud unsur jenayah.

Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa yang tinggal di daerah ini menjalankan perniagaan makanan.

Wan Mohd Zahari berkata, pihak polis memohon kerjasama masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian hingga boleh menganggu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta berhubung dengan balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya. #SinarHarian

Share:

Menteri Besar Pahang Luangkan Masa Beramah Mesra Bersama Kakitangan KEMAS Pahang Di KKTM Kuantan


KUANTAN: Menteri Besar Pahang Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail beramah mesra bersama kakitangan KEMAS Pahang yang berlangsung di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) hari ini.

Program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan, malah menjadi medan untuk kakitangan KEMAS Pahang berkongsi cerita dan pengalaman. #UMNOnline

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.