..............................
Titah Adendum: UMNO Pahang Kecam Tindakan Biadap MP DAP Puchong Yang Secara Terbuka Raikan Keputuan Mahkamah Najib
Polis Menahan 12 Lelaki Orang Asli Kerana Menceroboh Ladang Sawit Milik Sebuah Syarikat Di Kampung Taman Rompin
Wan Rosdy: Isu Kelewatan Agihan Makanan Di PPS Sangat Subjektif, Tidak Menggambarkan Keadaan Sebenar Di Lapangan
KUANTAN: Dakwaan berhubung kelewatan agihan makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang tular di media sosial tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui terdapat sedikit kelewatan di beberapa lokasi penempatan, namun ia berlaku dalam tempoh yang munasabah dan tidak menjejaskan kebajikan mangsa.
“Itu satu perkara (kelewatan makanan) yang sangat subjektif... Kadang-kadang jam 1.30 petang sudah dikatakan lambat.
“Saya tidak menafikan ada sedikit kelewatan tetapi dalam keadaan hujan dan proses pemindahan yang kelam-kabut, perkara itu tidak dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Jaya Gading, di sini pada Khamis.
Terdahulu, tular satu hantaran memaparkan rayuan bantuan makanan bagi mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SMK Mat Kilau,di sini.
Hantaran tersebut menarik perhatian ramai kerana menyatakan bahawa sehingga waktu itu, mereka masih belum menerima sebarang bantuan sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen mengenai kebajikan mangsa di sana.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy menegaskan bahawa semua mangsa menerima makanan seperti biasa.
“Saya tidak dengar cerita ada yang tunggu sehingga jam 7 malam baru dapat makan.
“Kalau ada kelewatan pun, mungkin satu jam atau satu setengah jam sahaja tetapi yang pastinya makanan sudah sampai,” jelasnya.
Wan Rosdy turut menegaskan bahawa kerajaan negeri telah membuat persediaan awal melalui beberapa mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bagi memastikan kebajikan mangsa terjaga.
Beliau memaklumkan, hasil tinjauan dan maklum balas secara langsung daripada mangsa mendapati tiada aduan serius berkaitan makanan.
“Saya tanya sendiri mangsa, ‘dah makan?’ Mereka kata dah makan. Tak ada yang kata tidak makan atau tidak menerima makanan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Wan Rosdy meminta orang ramai supaya tidak menularkan maklumat yang boleh menimbulkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan keluarga mangsa.
“Dalam keadaan begini, sepatutnya kita beri sokongan moral, galakan dan kerjasama, bukannya menularkan perkara yang tidak mendatangkan faedah serta boleh mewujudkan keadaan tidak harmoni,” katanya.
Setakat ini, hampir 9,000 mangsa daripada lebih 3,000 keluarga telah ditempatkan di PPS di lima daerah iaitu Jerantut, Kuantan, Pekan, Rompin dan Maran. #SinarHarian
Situasi Banjir Di Pahang Kini Semakin Buruk, Hampir 12,000 Orang Mangsa Dipindahkan Ke PPS Setakat Jam 8.30 Malam Tadi
KUANTAN: Situasi banjir di Pahang semakin buruk dengan hampir 12,000 dipindahkan setakat 8.30 malam ini - menyumbang hampir 90 peratus daripada mangsa banjir semasa di seluruh negara.
Kuantan merupakan kawasan paling teruk terjejas, dengan lebih 9,700 orang dipindahkan ke pusat perlindungan banjir.
Awal hari ini, seorang warden penjara ditemui mati di Kuantan di sebuah rumah yang ditenggelami air.
Di seluruh negara, lebih 13,400 orang kini terjejas akibat banjir setakat laporan ini disiarkan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dalam satu catatan media sosial, melahirkan kebimbangan terhadap situasi banjir dan berdoa agar keadaan bertambah baik.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa kabinet akan membincangkan cadangan untuk meningkatkan pembayaran bantuan bencana kepada keluarga, yang kini berjumlah RM1,000 setiap isi rumah.
Dia menambah bahawa pembayaran juga akan dipercepatkan, dengan keluarga dijangka menerima bantuan sebelum mereka meninggalkan pusat pemindahan banjir dan bukannya tiga hari selepas seperti sebelumnya. #Malaysiakini
Warden Penjara Ditemui Maut Tertiarap Di Ruang Tamu Rumahnya Yang Dinaiki Air Di Taman Sri Inderapura Kuantan Hari Ini
KUANTAN: Kehilangan seorang warden penjara yang keluar daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk melihat keadaan rumahnya awal pagi tadi terjawab apabila mangsa ditemui mati di rumahnya di Taman Sri Inderapura di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Hariri Kamarudin,26, ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam air di ruang tamu rumahnya oleh bapanya yang datang mencari mangsa yang tidak pulang selepas keluar daripada PPS Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa keluar daripada PPS seorang diri pada pukul 1 pagi untuk melihat keadaan rumahnya yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira 0.3 meter.
“Pada pukul 10 pagi ayah mangsa mendapati mangsa belum pulang ke PPS dan juga gagal dihubungi.
“Ayah mangsa pulang ke rumah dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam air kawasan ruang tamu rumah,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, ayah mangsa dengan dibantu orang awam telah mengangkat mayat mangsa ke dalam kenderaan sebelum dibawa ke PPS.
Katanya, pihak polis yang tiba di PPS mendapati mangsa terbaring di tempat duduk belakang kenderaan jenis Mitsubishi Triton.
Ujarnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat. #KOSMO!
Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang Terus Meningkat Kepada 10,740 Orang Berbanding 2,027 Mangsa Yang Direkodkan Semalam
KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 10,740 orang berbanding 2,027 orang yang direkodkan semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata kesemua mangsa daripada 3,566 keluarga melibatkan lima daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran dan Jerantut.
“Kuantan terus merekodkan jumlah tertinggi seramai 8,613 mangsa diikuti Maran sebanyak 879 keluarga, Pekan (787 keluarga) dan Rompin sebanyak 432 keluarga.
“Jerantut yang menjadi daerah terbaharu banjir kali ini merekodkan seramai 29 mangsa daripada lapan keluarga,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya kesemua mangsa ditempatkan di 78 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah terbabit.
Dalam pada itu katanya, pada masa ini hanya dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kuantan di Kuantan dan Sungai Pahang di Jerantut.
Tambahnya, dua batang sungai berada di paras amaran iaitu Sungai Dong di Raub dan Sungai Pahang di Maran. #KOSMO!
MB Pahang Luangkan Masa Tinjau Keadaan Mangsa Banjir Di PPS Dewan Serbaguna Jaya Gading, Nasihat Sentiasa Waspada
KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Jaya Gading, di sini, bagi meninjau keadaan semasa serta memastikan kebajikan penduduk yang terjejas akibat banjir sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, setakat ini urusan penyelarasan dan penyampaian bantuan kepada mangsa banjir berjalan dengan lancar hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi keselamatan, sukarelawan serta pihak-pihak berkaitan.
“Alhamdulillah, segala bantuan dapat disampaikan dengan baik dan teratur. Kerjasama semua pihak amat membanggakan dan memberi kelegaan kepada mangsa yang terlibat,” katanya melalui hantaran di laman Facebooknya berkaitan lawatan berkenaan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy menasihatkan seluruh penduduk di negeri Pahang supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta peka terhadap perkembangan semasa, khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengelakkan berada di kawasan berisiko serta segera berpindah ke PPS yang disediakan sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memantau situasi banjir dari semasa ke semasa dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Sama-sama kita berdoa agar keadaan banjir ini kembali pulih dan segala urusan semua pihak yang terlibat dipermudahkan,” katanya lagi. #UMNOnline
Zahid Hamidi: Kerajaan Pertimbang Untuk Tambah Bantuan Wang Ihsan (BWI) Mangsa Manjir, Melebihi Jumlah RM1,000 Sekarang
KUANTAN: Jumlah bantuan wang ihsan (BWI) bagi mangsa banjir sebanyak RM1,000 yang disediakan kerajaan ketika ini, mungkin akan ditambah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan mengenai perkara itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet akan datang.
"Saya akan bawa cadangan ini ke mesyuarat Kabinet... dalam mesyuarat Kabinet akan datang, bersaksikan Menteri Pendidikan, saya akan sendiri akan bawa cadangan," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar.
Terdapat 1,464 mangsa banjir ditempatkan di PPS berkenaan yang dibuka sejak Isnin.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid memaklumkan, semua mangsa banjir akan menerima BWI sebelum mereka pulang ke kediaman masing-masing.
Katanya, pendekatan itu diambil kerajaan selepas mendapati kebanyakan mangsa banjir memerlukan wang segera untuk kerja membersihkan rumah dan membeli barang keperluan lain.
"Sebelum ini kita agihkan BWI selepas mereka balik dari PPS, sekarang kita serahkan ketika mangsa masih di PPS.
"Kita tahu ada antaranya memerlukan bantuan kewangan, jadi kerajaan merasakan perlu untuk segerakan," jelasnya.
Ditanya mengenai kemungkinan mangsa banjir berulang boleh menerima BWI, Ahmad Zahid memberitahu, setiap mangsa banjir boleh menerima BWI jika terbabit dengan bencana banjir selepas tiga bulan menerima BWI kali pertama.
"Ini diuruskan oleh NADMA dan mereka boleh dapat BWI jika terkena banjir lagi, tapi dalam jarak masa tiga bulan," katanya.
Sehingga kini, katanya, seramai kira-kira 47,000 daripada mangsa banjir gelombang pertama sudah menerima BWI mereka. #Malaysiakini
Anggota Khidmat Malaysia (KM) Maran Bersama ADUN Luit Terus Komited Bantu Mangsa Banjir Menerusi Operasi Cuci Rumah
MARAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Luit, Dato’ Mohd Sofian Abdul Jalil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota Khidmat Malaysia (KM) Maran atas komitmen dan kesungguhan membantu mangsa banjir menerusi operasi mencuci rumah yang terjejas di Taman Maran Jaya, di sini hari ini.
Beliau berkata, usaha sukarela yang digerakkan oleh KM amat bermakna dalam meringankan beban penduduk yang terkesan akibat banjir, khususnya dalam fasa pembersihan pascabanjir yang memerlukan tenaga dan sokongan berterusan.
Menurutnya, anggota KM telah melaksanakan kerja-kerja mengepam air ke dalam tangki bagi tujuan operasi mencuci rumah mangsa banjir yang terjejas akibat kejadian banjir baru-baru ini.
“Beberapa buah rumah di kawasan berkenaan memerlukan kerja pembersihan menyeluruh selepas air banjir surut, dan kehadiran pasukan sukarelawan amat membantu mempercepatkan proses pemulihan.
“Keadaan cuaca cerah dan suasana kembali tenang turut memudahkan operasi bantuan ini dilaksanakan dengan lebih lancar,” ujarnya dalam hantaran melalui laman sosialnya, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Sofian berkata, KM Maran akan terus komited membantu mangsa banjir sehingga kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya, selaras dengan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat yang terkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Pahang, Datuk Yahya Othman yang menyantuni mangsa banjir di Maran, sekali gus mencerminkan kerjasama pelbagai pihak dalam membantu rakyat menghadapi musibah.#Harakahdaily
Operasi Pengurusan Banjir Di Pahang Berjalan Lancar Dan Juga Terkawal Walaupun Merekodkan Peningkatan Jumlah Mangsa
KUANTAN: Operasi pengurusan banjir di Pahang setakat ini berjalan lancar dan terkawal walaupun merekodkan peningkatan jumlah mangsa, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata pihak berkaitan setakat ini telah melaksanakan operasi dan pengagihan bantuan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan baik dan teratur bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga.
“Saya nampak semuanya terkawal namun dari segi penyediaan makanan saya tak nafikan mungkin ada sedikit kelewatan kerana faktor hujan dan kalau berlaku pun mungkin dalam satu jam, itu adalah perkara yang tidak dapat dielakkan, yang pasti makanan ada dan sampai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Jaya Gading di sini hari ini, yang menempatkan 148 penduduk daripada 58 keluarga.
Sementara itu, Wan Rosdy menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan informasi tidak sahih yang boleh meresahkan keluarga mangsa yang berada di luar kawasan banjir.
“Kita sepatutnya memberikan kata-kata semangat bukan menularkan perkara yang tidak mendatangkan faedah dan mungkin mewujudkan keadaan yang tidak harmoni,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk supaya tidak pulang ke rumah tanpa kebenaran pihak berkuasa demi keselamatan masing-masing.
“Trend (banjir) ketika ini saya dapati menaik tetapi dengan kadar yang agak perlahan kita doakan supaya hujan cepat berhenti dan keadaan banjir segera pulih,” katanya.
Menurut Infobencana JKM, 10,478 mangsa daripada 3,477 keluarga ditempatkan di 77 PPS di Kuantan, Maran, Rompin, Pekan dan Jerantut setakat 2 petang ini. #BERNAMA
Seramai 2,603 Orang Mangsa Daripada 8,104 Keluarga Berada Di 68 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Di Pahang Setakat Pagi Ini
Penduduk Terjejas Banjir Di Seluruh Pahang Terus Meningkat Malam Tadi, Terkini Melebihi 7,000 Orang Susulan Hujan Berterusan
KUANTAN: Penduduk terjejas banjir di Pahang terus meningkat malam tadi susulan hujan berterusan yang melanda negeri itu.
Setakat pukul 11 malam 7, 677 penduduk dipindahkan ke 64 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negeri.
Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu meningkat berbanding 5,900 orang pada pukul 8 malam tadi.
Kuantan mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan 6,249 penduduk daripada 2,018 keluarga dengan kesemua mereka ditempatkan di 39 PPS.
Tiga lagi daerah terjejas ialah Maran dengan 12 PPS dibuka, Pekan (tujuh PPS) dan Rompin (enam PPS).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya bagi daerah Kuantan, Pekan dan Rompin hingga esok.
MetMalaysia turut menjangkakan hujan berterusan tahap buruk akan melanda daerah Jerantut, Maran dan Bera. #BeritaRTM
Sultan Pahang, Tengku Ampuan Berkenan Sumbang Makanan Kepada Mangsa Banjir Di Dua Pusat Pemindahan Sementara Di Kuantan
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyumbang makanan kepada mangsa banjir di sini hari ini.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan kurniaan itu disampaikan oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya kepada mangsa banjir.
“Sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang terlibat pada hari pertama pengagihan makanan dengan kerjasama Pasukan Bantuan Bencana Majlis Kesultanan Pahang membabitkan PPS Taman Sri Mahkota dan Wisma Belia, Indera Mahkota,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, mangsa banjir Nur Izzati Abdul Halim, 37, dari Perumahan Makmur Jaya di sini menghargai keprihatinan baginda berdua dan beliau sama sekali tidak menyangka menu dari dapur istana merupakan rezeki makan malam mereka hari ini.
“Alhamdulillah, menjunjung kasih Tuanku, rezeki kami di sini. Saya juga amat bersyukur kerana makanan di PPS ini tidak pernah putus, tak sempat lapar makanan dah sampai," kata ibu kepada tiga anak itu. #Bernama
Pengarah APM Pahang: Operasi Menyelamat Dilaksanakan Tanpa Henti, Jumlah Penduduk Terjejas Meningkat Di Seluruh Negeri
KUANTAN: Operasi menyelamat mangsa banjir dilaksanakan tanpa henti susulan peningkatan jumlah penduduk terjejas di Pahang akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.
Pasukan penyelamat terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan sepenuhnya bagi memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Pengarah APM Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata operasi memindahkan penduduk sudah memasuki hari ketiga bermula Isnin di Kuantan, yang dilaksanakan sehingga kini dalam keadaan hujan berterusan.
"Setiap pasukan terdiri daripada enam hingga lapan anggota yang bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau lori dengan tumpuan diberikan di kawasan terjejas teruk antaranya Seri Damai dan Bunut Rendang di sini.
"Penugasan anggota ada yang sudah menjangkau 12 hingga 16 jam namun mereka akan diganti dengan pasukan lain untuk berehat sebelum kembali bertugas.
"Kami bertugas round the clock (sepanjang masa) dan motivasi anggota masih berada dalam tahap yang baik ketika ini," katanya ketika dihubungi Bernama.
Che Adam berkata antara cabaran dihadapi pasukannya ialah paras air meningkat dengan ketara di sebahagian kawasan daerah ini disebabkan hujan lebat, namun operasi tetap dijalankan tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Beliau berkata pihaknya bersedia mendapatkan anggota dari daerah yang tidak terjejas banjir sekiranya diperlukan bagi memperkukuh operasi di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan jalan dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas, khususnya di kawasan rendah serta berhampiran sungai dan parit besar.
Beliau berkata penutupan jalan dibuat bagi mengelakkan risiko kemalangan, kerosakan kenderaan dan ancaman keselamatan nyawa.
"Perlu juga mengelakkan aktiviti berhampiran arus deras, longkang, parit dan sungai, dan sentiasa memantau makluman rasmi daripada pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan.
Ashari berkata pihaknya memberi jaminan bahawa pemantauan dan penugasan anggota akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran operasi bantuan bencana.
Setakat 4 petang ini, aplikasi Infobencana JKM merekodkan 3,796 mangsa banjir daripada 1,206 keluarga berada di 48 PPS di Kuantan, Maran, Rompin dan Pekan berbanding 2,860 mangsa daripada 889 keluarga ditempatkan di 29 PPS di Kuantan, Maran dan Rompin tengah hari tadi. #HarianMetro
InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Hujan Lebat Berterusan Di Pahang Akibatkan Negeri Ini Kembali Dilanda Banjir
KUANTAN: Hujan lebat berterusan di Pahang mengakibatkan negeri itu kembali dilanda banjir. Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 7 pagi, seramai 2,026 penduduk terjejas daripada 625 keluarga kini berlindung di 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah.
Sebanyak 1,952 orang daripada 606 keluarga ditempatkan di 13 PPS di Kuantan, manakala 74 penduduk daripada 19 keluarga berlindung di dua PPS di Maran.
PPS Sekolah Kebangsaan Mat Kilau di Kuantan mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 307 orang daripada 97 keluarga.
Situasi banjir dijangka berlanjutan susulan amaran hujan di Pahang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hingga Khamis ini.
Tahap buruk membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala tahap waspada melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran serta Bera. #BeritaRTM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pahang, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pahang Perhebat Usaha Cegah Rasuah
KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa di negeri ini.
Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, hubungan kerjasama yang sedia terjalin itu diharapkan dapat diperkasakan melalui pelbagai bentuk kerjasama strategik pada masa hadapan, khususnya dalam usaha pencegahan awal rasuah dan salah guna kuasa.
"Kunjungan ini menjadi platform penting bagi mempererat hubungan dua hala, khususnya dalam aspek pencegahan rasuah, pengukuhan tadbir urus yang baik serta perkongsian maklumat berkaitan penguatkuasaan undang-undang," katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah JKDM Pahang, Asri Seman, di pejabat Pengarah Kastam Pahang di sini, hari ini.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai cabaran semasa yang membabitkan integriti perkhidmatan awam serta menegaskan kepentingan kerjasama berterusan antara agensi penguat kuasa bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Sementara itu, Asri menyambut baik kunjungan berkenaan serta menegaskan komitmen JKDM Pahang untuk terus bekerjasama rapat dengan SPRM sebagai rakan strategik dalam memerangi rasuah dan memperkukuh integriti perkhidmatan awam di negeri ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Pahang, Mohd Zamani Zainol dan Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia JKDM Pahang, Mohd Khairul Azmi Hasan. Kunjungan ini diakhiri dengan sesi bergambar sebagai simbol hubungan erat dan komitmen bersama kedua-dua agensi dalam memperkukuh integriti serta tadbir urus di peringkat Negeri Pahang. #HarianMetro
Banjir Pahang: Sebanyak 15 Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Telah Dibuka Di Kuantan, Banyak Jalan Dinaiki Air Dan Telah Ditutup
KUANTAN: Kejadian banjir telah berlaku di beberapa kawasan sekitar daerah ini berikutan hujan berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan menjejaskan keselamatan penduduk setempat.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, sehingga kini sebanyak 15 Pusat Pemindahan banjir (PPS) telah dibuka bagi menempatkan seramai 1,817 orang mangsa banjir yang terjejas.
“PDRM bersama agensi keselamatan dan penyelamat sentiasa bekerjasama dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan ketenteraman awam dipelihara.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak menggunakan jalan-jalan yang dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas khususnya di kawasan rendah serta berhampiran sungai dan parit besar.
“Penutupan jalan dibuat bagi mengelakkan risiko kemalangan, kerosakan kenderaan serta ancaman keselamatan nyawa,” katanya.
PDRM akan terus melaksanakan kawalan lalu lintas, rondaan keselamatan serta bantuan pemindahan di kawasan terjejas.
Antara jalan yang dikenalpasti terjejas adalah seperti berikut :
1) Kilometer (KM) 30 Jalan Kuantan – Maran, hadapan Kilang Sawmill Seng Peng – Boleh dilalui kenderaan berat sahaja.
2) KM 36 Jalan Kuantan – Maran, hadapan Bukit Gambang Resort – Tidak boleh dilalui semua kenderaan.
3) Jalan Air Hitam – Kedalaman air anggaran 2 kaki dan jarak lebih kurang 200 meter. Tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan
4) Jalan Kampung Pasir Kemudi – Laluan/kawasan yang di limpahi air sepanjang 1.8 KM, Anggaran paras air : 1.2 m. Status laluan di tutup kepada semua kenderaan.
5) Jalan Kampung Bukit Bangkong (Perkampungan Orang Asli) – Laluan/kawasan yang di limpahi air sepanjang 1.5 KM, Anggaran paras air : 0.90 m. Status laluan di tutup kepada semua kenderaan.
6) Jalan Kuantan – Pekan (Tidak boleh dilalui semua kenderaan)
7) KM 16 Jalan Sungai Lembing – Kuantan (Berhampiran Kilang Papan Bukit Kuin) Laluan/kawasan yang di limpahi air sepanjang 100 M, Anggaran paras air: 0.5 m (arus laju).Status laluan di tutup kepada kenderaan ringan.
8) Jalan Hadapan UNIPSAS – Jalan arah Pekan-Kuantan dinaiki air dan ditutup ke dua-dua arah dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan
Susulan itu, PDRM menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah segera ke PPS apabila diarahkan serta tidak meredah banjir atau cuba melalui jalan yang dinaiki air.
Orang ramai dinasihatkan juga supaya mengelak aktiviti berhampiran arus deras, longkang, parit dan sungai dan sentiasa memantau makluman rasmi daripada pihak berkuasa.
Orang ramai boleh menghubungi Balai Polis berhampiran atau talian kecemasan 999 sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan bantuan.
IPD Kuantan memberi jaminan bahawa pemantauan dan penugasan anggota akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran operasi bantuan bencana. #MalaysiaGazette
Semua Urusan Mesyuarat DUN Pahang Dilaksanakan Mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Yang Berkuat Kuasa
KUANTAN: Semua urusan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat yang berkuat kuasa, kata Yang Dipertua DUN Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Beliau berkata setiap tindakan berlandaskan prinsip tadbir urus yang teratur, telus dan berperlembagaan.
Mohd Sharkar berkata demikian bagi menjelaskan dua perkara yang dibangkitkan melalui satu rakaman video tular di TikTok pada 12 Dis lepas, menyentuh isu berkaitan urusan tadbir DUN Pahang, khususnya usul dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan pelaksanaan embargo terhadap dokumen persidangan.
"Saya mengambil maklum bahawa Ahli Dewan Negeri Pahang kawasan Cheka (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) telah membangkitkan isu ketiadaan dokumen perincian usul bagi tujuan penelitian dan perbahasan.
"Untuk penjelasan, amalan tidak mengedarkan dokumen perincian usul kepada Ahli Dewan telah lama dipraktikkan, dan selaras dengan amalan di beberapa DUN lain seperti Johor, Sarawak, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka," katanya menerusi kenyataan media malam tadi.
Berhubung dakwaan sesuatu usul tidak dimasukkan atau tidak diagendakan dalam AUM, Mohd Sharkar berkata perkara itu tidak benar.
Beliau berkata dua usul yang dirujuk itu, iaitu Usul Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang di bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957, dan Usul Siling Peruntukan Negeri bagi Projek Rancangan Negeri Pahang 2026-2030 (RNP 2026-2030) telah dimasukkan secara rasmi dalam AUM bagi Mesyuarat Ke-3, Penggal Ke-4 DUN Pahang Ke-15 dan disenaraikan pada hari keenam persidangan, iaitu hari Jumaat, 12 Dis 2025.
Menjelaskan isu pelaksanaan embargo terhadap dokumen persidangan, beliau berkata tindakan berkenaan selaras dan mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat DUN Pahang.
"Secara amnya, semua Kertas Mesyuarat, RUU dan Risalah Mesyuarat diembargo sehingga hari dokumen itu dibentangkan. Dalam kes ini, dokumen berkaitan telah diembargo hingga 12 Dis 2025, selaras dengan tarikh pembentangan yang dinyatakan dalam AUM," katanya.
Beliau berkata tujuan embargo untuk mengelakkan sebarang maklumat digunakan atau dipetik sebelum pembentangan rasmi, serta memastikan tertib persidangan dipelihara.
"Oleh itu, penetapan status embargo sehingga hari terakhir persidangan bukanlah suatu amalan luar biasa, sebaliknya merupakan amalan lazim yang turut dipraktikkan oleh beberapa DUN lain seperti Johor, Sarawak, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pihak DUN Pahang sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk meneliti serta mempertimbangkan perkara yang dibangkitkan oleh mana-mana Ahli Dewan atau pihak berkepentingan, sekiranya perlu, demi penambahbaikan berterusan dan pengukuhan institusi Dewan Negeri. #AstroAwani
Penuntut UnIPSAS Dan KPTM Terjejas Banjir Terpaksa Dipindahkan Akibat Hujan Berterusan Selama Beberapa Hari Di Kuantan
KUANTAN: Pelajar di dua pusat pengajian di sini, terpaksa dipindahkan selepas kawasan terbabit dilanda banjir akibat hujan berterusan selama beberapa hari di Pahang.
Pendaftar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) Mohd Faizul Abdul Hadi Nor berkata, sebanyak 135 pelajar yang menetap di asrama telah dipindahkan ke masjid universiti.
“Semua mangsa telah diuruskan dengan baik mengikut pelan pengurusan bencana UnIPSAS dan pihak kami sedang mengurus serta menyediakan semua keperluan mereka yang terjejas,” katanya di sini hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan Mejar (PA) Zahidi Zainudin ketika dihubungi Bernama berkata operasi menyelamat pelajar dilaksanakan kira-kira 1 tengah hari hingga 5 petang.
Beliau berkata kesemua pelajar terlibat telah dipindahkan menggunakan bot amfibia jenis Sealegs dengan bantuan empat penyelamat diketuai Sarjan (PA) Amrad Isnin.
Sementara itu, media melaporkan lebih 100 pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di sini dipindahkan selepas kawasan kolej itu dinaiki air.
Proses pemindahan pelajar dilaporkan dilaksanakan secara berperingkat ke Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan dengan kawalan rapi bermula 8.30 pagi tadi. #MalaysiaGazette
MP Kuantan, ADUN Tanjung Lumpur Turun Padang Membantu Penduduk Taman Guru Terperangkap Akibat Banjir Yang Kian Buruk
KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Dato’ Rosli Abdul Jabar turun padang membantu penduduk Taman Guru yang terperangkap akibat banjir yang semakin buruk, hari ini.
Dalam usaha menyelamatkan penduduk, Wan Razali turut memindahkan seorang mangsa yang mengalami strok menggunakan kenderaan pacuan empat roda berikutan paras air terus meningkat dengan pantas.
“Air makin naik, kami bantu Ustaz sekeluarga berpindah segera,” katanya berkongsi menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.
Menurut beliau, Petugas Jabatan Amal Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia turut menghulurkan bantuan khususnya dalam memindahkan pesakit, warga emas serta kaum ibu.
Selain operasi pemindahan, Wan Razali bersama Rosli turut menyantuni mangsa banjir di Dewan Komuniti Taman Guru dengan mengagihkan roti sebagai alas perut kepada mangsa yang ditempatkan di pusat berkenaan.
Difahamkan, Dewan Komuniti Taman Guru dijadikan lokasi pemindahan susulan kapasiti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di KAFA Taman Guru yang telah penuh.
Untuk rekod, jumlah mangsa banjir di beberapa daerah di Pahang terus meningkat apabila seramai 3,471 orang daripada 1,092 keluarga kini ditempatkan di 30 PPS melibatkan lapan mukim setakat laporan terkini.
Di daerah Kuantan, sebanyak 14 PPS dibuka bagi menempatkan 2,684 mangsa daripada 841 keluarga melibatkan tiga mukim yang terjejas.
Di Pekan pula, seramai 178 mangsa daripada 49 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS melibatkan satu mukim.
Bagi daerah Rompin, enam PPS dibuka dengan menempatkan 239 mangsa daripada 76 keluarga melibatkan tiga mukim, manakala di Maran, sembilan PPS menempatkan 370 mangsa daripada 126 keluarga melibatkan satu mukim.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata amaran hujan berterusan (Bahaya) hingga esok, 18 Disember akan berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin.
“Amaran hujan berterusan (Buruk) pula berkuat kuasa di Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Jerantut, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) hingga esok.
“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di beberapa kawasan termasuk Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh); Selangor; Kuala Lumpur; Putrajaya; Negeri Sembilan dan Melaka.
“Turut terkesan ialah Johor iaitu daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru,” demikian kenyataan agensi itu hari ini. #Harakahdaily
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Maklumkan Hujan Lebat Dijangka Berlaku Berterusan Di Pahang Sehingga Hari Jumaat
PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 19 Disember ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Semenanjung serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh tersebut.
“Sehubungan itu, Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) telah dikemas kini bagi Pahang timur, manakala Amaran Hujan Berterusan (Buruk) bagi selatan Terengganu, tengah Pahang dan timur Johor.
“Selain itu, Amaran Hujan Berterusan (Waspada) telah dikemas kini bagi negeri Kelantan, utara Terengganu, pedalaman Pahang, barat Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka berkuat kuasa sehingga esok,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu katanya, amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora berkuat kuasa sehingga esok bagi Laut China Selatan termasuk perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.
“Analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan bahawa penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak bermula pada 21 hingga 24 Disember 2025.
“Keadaan ini akan menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut,” katanya.
Katanya, 0rang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. #Kosmo!
Tenaga Nasional Berhad (TNB) Menutup Bekalan Elektrik Sekitar Daerah Kuantan, Susulan Hujan Yang Berterusan Dan Banjir
KUANTAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik sekitar daerah ini, susulan hujan berterusan dan banjir.
TNB menerusi hantaran di Facebook, berkata pencawang elektrik yang terjejas berikutan penutupan bekalan itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Damai, Seri Damai Sejahtera 1 dan 2, Lorong Seri Damai Jaya 9, Jalan Seri Damai Jaya 1/13 dan Mat Kilau.
"Penutupan bekalan elektrik ini demi keselamatan pengguna setempat," katanya.
Pihak TNB turut menasihatkan pengguna tidak menghidupkan peralatan elektrik, sekiranya palam atau soket alir keluar berada dalam keadaan basah atau dilitupi kekotoran.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 2,860 mangsa banjir daripada 889 keluarga ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuantan, Maran dan Rompin. #BeritaHarian
Wan Rosdy: Kerajaan Negeri Pahang Telah Menyelesaikan 98 Peratus Urusan Pemilikan Tanah Peneroka Felda Di Negeri Ini
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang telah menyelesaikan 98 peratus urusan pemilikan tanah peneroka di negeri ini, hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam menangani isu berlarutan sejak puluhan tahun lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pencapaian itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan hak kira-kira 43,000 peneroka di negeri ini dilindungi dan diselesaikan mengikut peraturan.
“Dengan pemberian suratan hak milik hari ini, kita telah mencapai 98 peratus penyelesaian pemilikan tanah peneroka. Sebahagian daripada mereka terpaksa menunggu sehingga 42 tahun sebelum menerima suratan hak milik, namun kelewatan itu bukan disengajakan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik Peneroka Felda Lepar Utara 1, 2 dan 4 serta Skim Tanah Rakyat di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata antara faktor kelewatan itu adalah disebabkan ia melibatkan prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi.
Beliau berkata baki dua peratus lagi urusan pemilikan tanah akan terus diusahakan untuk diselesaikan, namun kebanyakannya melibatkan isu teknikal terutama berkaitan perwarisan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy menasihatkan peneroka yang menerima suratan hak milik supaya menjaga tanah berkenaan dengan baik dan terus mengekalkan atau meningkatkan hasil sedia ada. #Bernama
JSJ Pahang Telah Buka Sebanyak 2,969 Kertas Siasatan Komersil Berbanding 2,083 Pada Tempoh Yang Sama Tahun 2024
KUANTAN: Sebanyak 2,969 kertas siasatan komersil telah dibuka berbanding 2,083 pada tempoh yang sama bagi tahun 2024 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, angka itu menunjukkan peningkatan yang ketara sebanyak 42.5%.
“Tahun ini, sebanyak 1,951 tangkapan telah berjaya dilaksanakan dan meningkat 21.6% berbanding 1,605 tangkapan pada tahun sebelumnya.
“Jumlah perrtuduhan juga didapati bertambah kepada 1,068 atau 14.7% lebih tinggi berbanding 931 pertuduhan pada tahun 2024,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.
Manakala kerugian pula meningkat sebanyak 3% iaitu dari RM87.9 juta pada 2024 kepada RM90.5 juta pada tahun ini.
Bagi kes National Scam Response Centre (NSRC), JSJK Pahang berjaya menyita barang berjumlah RM318,605.14.
Selain itu, sebanyak RM188,025.55 telah dipulangkan kepada mangsa dan ia kadar pemulangan yang tinggi iaitu sebanyak 59%. #MalaysiaGazette
Situasi Terkini Banjir Di Pahang, Seramai 875 Penduduk Terjejas Kini Masih Berlindung Di PPS Setakat Jam 7.00 Malam Tadi
KUANTAN: Seramai 875 orang penduduk terjejas banjir di Pahang kini berlindung di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat pukul 7.00 malam tadi.
Lapan PPS yang dibuka melibatkan dua daerah iaitu Kuantan dan Maran.
Menurut Portal Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kuantan merekodkan paling ramai penduduk terjejas dengan tujuh PPS beroperasi yang menempatkan kira-kira 806 orang penduduk.
Tujuh PPS terlibat ialah Dewan Dato Sri Abdul Manan Ismail, Dewan Serbaguna Kampung Jaya Gading, Dewan Orang Ramai Kampung Sri Mahkota, Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh Abdul Samad, SK Wira dan SK Mat Kilau.
Bagi daerah Maran, seramai 69 orang penduduk kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Tetap Luit.
Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan, kini melepasi paras bahaya dengan bacaan terkini iaitu 6.06 meter berbanding 4.80 meter yang ditetapkan. #BeritaRTM
Jalan Gambang Ditenggelami Air, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bantu 22 Pemeriksa MUET Ke Pusat Peperiksaan
KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu 22 pemeriksa Malaysian University English Test (MUET) yang terkandas akibat Jalan Gambang di sini dinaiki air ketika dalam perjalanan ke pusat peperiksaan.
Pegawai Bahagian Operasi Bencana APM Kuantan Leftenan (PA) Aznor Hafizi Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 7.30 pagi sebelum enam pegawai dan anggota digerakkan ke Masjid Baru Gambang, lokasi semua pemeriksa berkenaan berkumpul.
Beliau berkata kesemua pemeriksa itu kemudiannya dibawa ke pusat peperiksaan di Kolej Matrikulasi Gambang menaiki lori MAN tujuh tan berikutan laluan berkenaan dinaiki air melebihi setengah meter.
"Kesemua pemeriksa selamat tiba di pusat peperiksaan pada 9.36 pagi dan pihak kami sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Peperiksaan MUET yang dijadualkan bermula pada 8 pagi itu difahamkan terpaksa ditangguhkan sementara menunggu kehadiran pemeriksa di pusat berkenaan.
Tinjauan mendapati beberapa kenderaan yang cuba melalui Jalan Gambang terpaksa berpatah balik atas faktor keselamatan, dengan pihak polis turut mengawal lalu lintas di kawasan berkenaan.
Hujan berterusan di daerah Kuantan sejak lebih 48 jam lalu menyebabkan beberapa kawasan perumahan dinaiki air, antaranya Batu 6, Sri Damai dan Jalan Kuantan-Sungai Lembing, dengan beberapa pusat pemindahan sementara dijangka mula dibuka hari ini. #AstroAwani
Shamsul Iskandar Digugurkan, Adam Adli Pangku Tugas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Yang Baharu
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin digugurkan daripada jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka.
Jawatannya akan disandang oleh timbalannya Adam Adli Abd Halim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang kini bertukar ke Kementerian Pendidikan Tinggi.
Keputusan Biro Politik PKR itu berkuat kuasa semalam.
Keputusan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Fuziah Salleh pagi ini, tidak lama selepas Shamsul didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah.
Sementara itu, Fuziah berkata jawatan Shamsul sebagai Ketua Cabang Hang Tuah Jaya kekal.
Pada 4 Disember, Shamsul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima rasuah RM176,830 daripada ahli perniagaan Albert Tei.
Dia dituduh menerima wang suapan dalam kapasitinya sebagai setiausaha politik Anwar pada masa itu, untuk membantu syarikat Tei mendapatkan lesen perlombongan mineral di Sabah. #Malaysiakini
Suruhanjaya Pilihan Raya Tetapkan Hari Pengundian PRK Parlimen Kinabatangan Dan DUN Lamag, Sabah Pada 24 Januari 2026
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah pada 24 Jan 2026.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 10 Jan dan 20 Jan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Menara SPR di sini hari ini.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Dis lepas di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Ramlan berkata daftar pemilih bagi PRK berkenaan mengandungi seramai 48,722 pemilih, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 polis yang merupakan pengundi awal.
Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan bagi mengadakan PRK Kinabatangan dan DUN Lamag berjumlah RM10 juta.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang diadakan 29 Nov lepas, Bung Moktar, 66, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Kerusi DUN Lamag dipertandingkan buat pertama kali semasa PRN ke-16 pada 2020.
Sementara itu, semasa Pilihan Raya Umum Ke-10 iaitu pada November 1999, Bung Moktar memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal. #Malaysiakini
Bas.My Baharu Berwarna Merah Jambu Memulakan Operasi Secara Berperingkat Bermula Hari Ini, Gantikan RapidKuantan
KUANTAN: Bas berwarna merah jambu Bas.My baharu yang menarik perhatian di jalan-jalan di ibu negeri hari ini, mengendalikan 55 bas, termasuk bas satu tingkat bersaiz sederhana dan bas mini tingkat rendah.
Syarikat konsesi baharu itu, menggantikan perkhidmatan 13 tahun Rapid Kuantan, akan menjalankan 16 laluan di sekitar Kuantan dan daerah jiran Pekan setiap hari dari 6 pagi hingga 10 malam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Ir. Razali Kassim berkata bas itu akan beroperasi pada selang waktu antara 30 minit dan satu jam, bergantung kepada laluan.
“Bas.My akan terus beroperasi dari Hentian Bandar (berhampiran pasar basah Kuantan), di mana bas Rapid Kuantan sebelum ini diletakkan sementara menunggu penumpang.
"Semua bas akan dilengkapi dengan kamera televisyen litar tertutup untuk meningkatkan keselamatan dan penjejak Sistem Kedudukan Global bagi memastikan perkhidmatan berjalan mengikut jadual," katanya kepada New Straits Times.
Razali berkata Bas.My akan terus menawarkan pas perjalanan bulanan tanpa had berharga RM30, serta kad konsesi untuk orang kurang upaya, pelajar dan warga emas, yang perlu membayar yuran pendaftaran RM10 sekali sahaja.
Rapid Kuantan tidak mengambil bahagian dalam proses bidaan program Transformasi Perkhidmatan Bas Berperingkat 2.0 baharu untuk Kuantan, yang berlangsung dari 2025 hingga 2030, menyebabkan pelantikan pengendali baharu.
Rapid Kuantan mula menyediakan perkhidmatan bas henti-henti di sini pada 2012, mengambil alih daripada Bee Huat Sdn Bhd dan Rahmat Alam.
Laluan Bas.My termasuklah Gambang Resort, Cherating, Indera Sempurna, Permatang Badak, Teluk Cempedak, Taman Impian, Bukit Sagu, Bukit Kuantan, Indera Mahkota, Terminal Sentral Kuantan (TSK), International Islamic University Malaysia (IIUM), Sungai Lembing, Sungai Soi, Balok Makmur, Bandaraya Kuantan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Pekan dan Kuala Pahang.
Maklumat lanjut klik https://bas.my/basmykuantan.php #NST


































