script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

PAS Pahang Utamakan Penyatuan Ummah, Namun Sedia Hadapi Pilihan Raya Sekiranya Persefahaman Dengan Pihak Lain Gagal

KUANTAN: PAS Pahang mengutamakan penyatuan ummah, namun tetap bersedia menghadapi pilihan raya sekiranya usaha mencapai persefahaman dengan pihak lain gagal.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, keterbukaan parti itu untuk menjalinkan persahabatan dan mencari titik persamaan tidak harus disalah tafsir sebagai kelemahan atau tanda tidak mempunyai kekuatan politik sendiri.

Menurutnya, pendirian itu mencerminkan kesediaan PAS Pahang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti, meskipun mempunyai kekuatan dan pilihan untuk menentukan haluan politik sendiri.

“Seruan ke arah Penyatuan Ummah yang dibawa oleh kepimpinan PAS Pahang wajar dilihat sebagai satu langkah yang berjiwa besar.

“Persoalannya, jika kuasa menjadi matlamat utama, mengapa perlu bersusah payah menyeru kepada penyatuan? Hakikatnya, politik bukan sekadar soal siapa yang mampu membentuk kerajaan, tetapi siapa yang benar-benar meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas pendirian Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar yang meletakkan kebajikan rakyat mengatasi sempadan dan perbezaan politik.

Terdahulu, Ustaz Rosli mengajak semua pihak mengutamakan kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat berbanding sekadar membuat perhitungan mengenai potensi kemenangan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pahang.

“Bagi saya, kenyataan ini membawa mesej yang jelas bahawa PAS Pahang mahu memastikan politik Islam dan Melayu terus diperkukuh, bukan semata-mata untuk kepentingan parti, tetapi demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan masa depan negeri Pahang.

“PAS Pahang hari ini bukan lagi sebuah parti picisan. Dinamika politik semasa telah memperlihatkan bahawa PAS mempunyai kekuatan tersendiri, sokongan rakyat yang semakin berkembang serta kemampuan untuk menjadi antara kuasa politik utama di negeri ini,” kata Azlan.

Tambahnya, usaha penyatuan memerlukan kejujuran, kepercayaan, toleransi dan kesediaan semua pihak mengetepikan ego politik bagi memastikan persefahaman dapat dicapai.

Katanya, penyatuan tidak akan berjaya sekiranya hanya satu pihak bersedia berkorban, sedangkan pihak lain terus mengutamakan kepentingan sendiri.

“Keikhlasan ini perlu disambut dengan keikhlasan. Formula penyatuan ummah memerlukan kejujuran, kepercayaan, toleransi dan kesediaan semua pihak untuk mengetepikan ego politik.

“Kita tidak boleh bercakap tentang penyatuan pada waktu memerlukan sokongan, tetapi mengetepikannya apabila merasakan diri sudah cukup kuat.

“Penyatuan yang sebenar menuntut keikhlasan ketika berunding, keadilan ketika membuat keputusan dan kebijaksanaan ketika menentukan hala tuju bersama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keutamaan terhadap penyatuan tidak bermaksud PAS Pahang mengabaikan persediaan menghadapi pilihan raya sekiranya rundingan gagal mencapai kesepakatan.

Sebaliknya, katanya, parti itu akan terus memperkukuh organisasi, memantapkan gerak kerja dan meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jika titik persamaan gagal dicapai, jika ruang persefahaman tidak menemui jalan penyelesaian atau jika ada pihak memilih untuk bergerak dengan haluan masing-masing, PAS Pahang tidak akan berundur daripada tanggungjawabnya kepada rakyat.

“Kita bersedia menghadapi apa jua situasi dengan penuh keyakinan, disiplin dan kesungguhan,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan jentera, pengalaman perjuangan serta khidmat wakil rakyat di kawasan masing-masing menjadi antara asas keyakinan PAS Pahang untuk meneruskan perjuangan.

“Perjalanan politik PAS Pahang telah memperlihatkan perkembangan kekuatan parti dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

“Pada masa yang sama, khidmat wakil-wakil rakyat PAS di kawasan masing-masing menjadi antara ukuran penting terhadap kemampuan parti untuk memikul amanah rakyat,” katanya.

Tambahnya, cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat perlu dijadikan dorongan untuk memperkukuh organisasi dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

“Segala cabaran yang dihadapi, termasuk kekangan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, tidak seharusnya mematahkan semangat untuk terus berkhidmat.

“Sebaliknya, ia menjadi dorongan untuk memperkukuh organisasi, memantapkan gerak kerja dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Azlan berkata, matlamat PAS bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi memastikan kemenangan itu membawa perubahan yang bermakna kepada rakyat Pahang.

“Inilah semangat yang perlu dibawa dalam Misi Teraju Pahang sebuah tekad untuk membina masa depan negeri yang lebih baik, dengan rakyat sebagai keutamaan dan amanah sebagai landasan perjuangan.

“Jika penyatuan berjaya, kita raikan sebagai kemenangan bersama. Jika penyatuan gagal, kita teruskan perjuangan dengan penuh kesiapsiagaan. Kita memilih penyatuan kerana itulah jalan yang kita utamakan. Kita bersedia menghadapi pertandingan kerana itulah tanggungjawab yang tidak boleh kita abaikan.

“Penyatuan Ummah tetap menjadi keutamaan. Namun, jika ada yang menolak, PAS Pahang tidak akan berpatah arang. Kita akan terus mara, memperkukuh saf perjuangan dan menawarkan khidmat terbaik demi rakyat serta masa depan negeri Pahang,” katanya. #Harakahdaily

Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

Ketua Pengarah Imigresen Mendakwa Peluang Pekerjaan Dalam Sektor Pelancongan Menjadi Punca Kehadiran Warga Asing Di Janda Baik

BENTONG: Peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan, pertanian dan perniagaan dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada kehadiran ...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.