script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Memalukan: MB Perlu Bertanggungjawab Ke Atas Penyelewengan Penggunaan Kad Inden Minyak Dan Penyelenggaraan Kenderaan Rasmi Kerajaan

KUANTAN, 21 Okt [9.32 am] - Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob (foto), digesa bertanggungjawab dan menjalankan siasatan yang telus terhadap isu penyalahgunaan dan penyelewengan yang melibatkan kenderaan Kerajaan Negeri Pahang seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara baru-baru ini. Menurut laporan, dalam perbezaan satu minit saja, sebuah kereta milik kerajaan negeri Pahang direkodkan mengisi minyak bernilai lebih RM100 sebanyak dua kali di sebuah stesen minyak yang sama di negeri itu. Ini adalah penyalahgunaan kad inden bagi perolehan bahan api untuk kenderaan kerajaan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang diedarkan di sini hari ini mengenai aktiviti jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri Pahang 2008. Laporan itu berkata semakan audit terhadap Laporan Butiran Belian Bahan Api yang dikeluarkan oleh pihak pembekal pada tahun lepas mendapati sebanyak 24 kes pengisian bahan api dalam tempoh kurang dari lima minit melibatkan lima buah kenderaan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang. Kereta-kereta terbabit dikenalpasti sebagai Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah membuat sebanyak 18 kes pengisian bahan api dalam tempoh masa yang singkat dengan jumlah kos sebanyak RM4,177, katanya. Contohnya pada 14 Dis lepas, kereta tersebut telah mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Raub, Pahang pada pukul 12.14 tengah hari sebanyak 59.47 liter yang bernilai RM113 dan seminit kemudian pada 12.15 tengah hari kereta yang sama mengisi sebanyak 58.95 liter minyak yang bernilai RM112 di stesen yang sama.

Pada 19 Dis perkara yang sama berlaku di stesen minyak yang sama pada pukul 6.35 petang dan 6.36 petang dengan jumlah pengisian sebanyak 125 liter bernilai RM225, dan perkara yang sama dilakukan pada 23 Dis, 24 Dis, 26 Dis dan 31 Dis, dan pada 24 Dis pengisian minyak dilakukan di sebuah stesen minyak di Kuantan, katanya dan menambah jumlah keseluruhan kos adalah RM1,349.95. Laporan audit itu berkata perkara yang sama juga dilakukan terhadap Proton Perdana CBB37 dan Proton Perdana CBR1993, iaitu sebanyak dua kali yang memakan belanja lebih RM300 setiap buah, dan sekali bagi Proton Perdana CBD1003 dan Proton Perdana CBD23 yang melibatkan kos antara RM200 dan RM100. Selain itu terdapat juga perolehan bahan api yang meragukan oleh kenderaan Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah mengisi minyak pada 14 Ogos 2008 di sebuah stesen minyak di Bentong, dengan kuantiti pengisian sebanyak 1 liter dengan kos RM117, dan kes dan tempat yang sama pada 26 Ogos dengan kos RM128.30, pada 7 Sept dengan kos RM119, pada 14 Nov dengan kos RM90 dan pada 27 Nov dengan kos RM120, katanya. Kesemua lima pengisian itu merekodkan pengisian sebanyak 5 liter dengan jumlah kos bahan api sejumlah RM574.53 dan ini menunjukkan terdapat pembelian yang meragukan dan tiada penyemakan dilakukan sebelum pembayaran dibuat, katanya. Selain itu, tindakan susulan terhadap perkara ini masih belum diambil oleh pihak yang bertanggungjawab, dan akibatnya Pejabat SUK telah menanggung kos penggunaan bahan api yang tinggi, katanya.

Laporan itu berkata pihak pejabat SUK memaklumkan bahawa perkara yang dibangkitkan akan diselesaikan melalui kerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan negeri Pahang iaitu memeriksa sistem perolehan bahan api yang digunakan oleh setiap pembekal bahan api yang terlibat. Jabatan Audit Negara turut mendapati perolehan bahan api yang melebihi tangki kenderaan, selain penggunaan kad inden terhadap kereta yang telah lama dilupuskan. Selain itu, kos penyenggaraan kenderaan yang tinggi contohnya penyenggaraan empat buah Proton Perdana V6 Executive di pejabat SUK antara 2004 dan 2008 adalah tinggi berbanding dengan kos perolehan kenderaan tersebut. Contohnya, kos penyelenggaran Perdana V6 yang bernombor pendaftaran CBL100 yang dibeli dengan kos RM117,062 untuk dari 2005 hingga 2008 berjumlah RM171,888, dan bagi kereta bernombor pendaftaran CBN31 pula adalah RM192,743 dari tahun 2004 hingga 2008, katanya. Laporan itu berkata maklum balas dari pejabat SUK, kereta-kereta itu digunakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan kos penyenggaraan yang tinggi adalah disebabkan kerosakan kotak gear (gear box) dan juga kemalangan.

[Sesuatu yang cukup memalukan rakyat Pahang sebenarnya. Kes ini jelas sekali membuktikan betapa lemahnya pentadbiran kerajaan negeri Pahang untuk menjaga harta dan wang rakyat daripada dirompak sesuka hati oleh mereka yang berkuasa. Amatlah malang buat rakyat negeri ini, kerana kes sebegini pun gagal untuk ditangani. Apa yang dikesali ialah sikap acuh tidak acuh pihak terbabit untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga hak dan kepentingan rakyat. Sebelum ini telah banyak isu penyelewengan yang melibatkan kerajaan Negeri Pahang. Namun, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara ini membuktikan segalanya. Apa yang berlaku ini jelas membuktikan kepada kita bahawa ada pihak-pihak tertentu yang menggunakan wang rakyat untuk mengisi minyak kenderaan rasmi dan peribadi masing-masing. Ini berlaku di mana-mana sebenarnya dan tidak perlu mereka pertikaikan lagi].

Mudahnya Bekas Exco Beri Penjelasan Isu CBD88


KUANTAN, 21 Okt [10.20 am] - Sementara itu Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Pahang, Datuk Kan Tong Leong yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran CBD 88 telah tampil semalam untuk memberi penjelasan berhubung laporan Ketua Audit Negara 2008 mengenai penyelewengan penggunaan bahan api berlebihan. Menurut beliau, dia tidak lagi menggunakan kereta Proton Perdana milik kerajaan negeri sejak 2003 selepas tidak lagi menjadi Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (Exco). "Kereta Proton Perdana itu adalah kereta rasmi yang disediakan kerajaan negeri kepada Exco untuk menjalankan tugas rasmi. "Bagaimanapun, saya tidak lagi menggunakan kereta itu selepas tidak menjadi Exco pada tahun 2003," katanya. Namun, kata beliau, nombor pendaftaran berkenaan terus diberikan kepadanya untuk digunakan. Katanya, beliau difahamkan bahawa kereta terbabit sudah dilupuskan. "Saya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan dan kenalan bertanyakan mengenai laporan ini yang disiarkan akhbar kerana ramai yang tahu saya guna nombor (pendaftaran) ini," katanya. Kan berkata kekeliruan itu berlaku kerana kad inden yang didaftar pada kereta CBD 88 digunakan salah seorang ahli exco pada masa ini tetapi maklumat berkaitan kenderaan yang digunakan tidak dikemaskini. Menurut Laporan Ketua Audit Negara, terdapat penyelewengan penggunaan bahan api yang berlebihan dalam tempoh masa yang singkat oleh kenderaan kerajaan negeri Pahang. Laporan itu menyatakan kenderaan yang didapati mengisi bahan api secara tidak munasabah adalah kereta Proton Perdana nombor pendaftaran CBD 88 yang dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh sebulan pada Disember 2008. Semakan audit juga mendapati pengisian sebanyak 743.39 liter berjumlah RM1,350 itu dilakukan dalam tempoh yang singkat yang meragukan.

[Bekas Exco atau sesiapa sahaja pemimpin UMNO dan BN akan mengelak daripada sebarang pertuduhan. Inilah yang berlaku sebelum ini, di Selangor misalnya segala pertuduhan yang dibuat terhadap bekas MB Khir Toyo biarpun siap dengan bukti pasti akan dinafikan serta dikatakan sebagai fitnah. Walhal, senatero dunia tahu kekoborokan kerajaan UMNO BN terdahulu. Inilah juga yang berlaku kepada bekas exco Pahang terhadap isu berkenaan, mereka mudah akan menafikan segala yang telah dibuktikan. Untung benar menjadi pemimpin UMNO dan BN, kerana mereka bebas daripada segala pertuduhan biarpun kes telah dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPM). Negara ini seolah-olah sudah menjadi puak-puak UMNO BN yang punya agaknya].
Share:

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber

Media Arus Perdana Cuba Putar Belit Isu Zaid
KUALA LUMPUR, 20 Okt [9.00 am] - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata media massa arus perdana telah memutarbelitkan cuti enam bulan yang diambil oleh Zaid Ibrahim dari tugas-tugasnya di dalam biro politik parti. Anwar berkata beberapa perkara mengenai program di Sabah yang dikaitkan dengan Zaid turut diselesaikan tanpa masalah. Anwar berkata demikian selepas menghaidiri majlis Sambutan Aidilfitri dan Deepavali anjuran Keadilan Wilayah Persekutuan. "Benda ini tidak berbangkit kerana dia baru telefon saya dari Sarawak bersama Presiden ada program parti. Kemudian dia hendak bercuti menunaikan haji. Program di Sabah itu kerana dianjurkan oleh cabang tanpa negeri. Dua hari lalu negeri bermesyuarat dan mengesahkan sebagai program negeri jadi selesai," katanya. Di Sabah Zaid mengesahkan bahawa beliau hanya bercuti daripada tugasan biro politik. Selain menunaikan ibadah haji, beliau akan terus memikul tanggungjawab untuk memantapkan Pakatan Rakyat. Ini sebagai persediaan untuk membentuk sebuah perlembagaan yang didokong oleh ketiga-tiga parti berkenaan iaitu, Keadilan, Pas dan DAP bagi membolehkan ia mendaftar sebagai satu entiti politik.
Share:

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber

PAS Tidak Bimbang Dengan Perubahan UMNO

ALOR SETAR, 17 Okt
[12.45 pm] - Pas tidak bimbang dengan kesungguhan Umno untuk menawan semula negeri-negeri yang ditadbir pakatan pembangkang kerana menganggap amalan sistem demokrasi membenarkan perkara seumpama itu berlaku. Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar (foto), bagaimanapun berkata usaha menawan semula negeri berkenaan haruslah mengikut lunas demokrasi. "Kita langsung tidak bimbang dengan ikrar Umno pada perhimpunan parti itu baru-baru ini kerana ia adalah perkara biasa dalam amalan demokrasi tetapi Umno harus melakukannya dalam pilihan raya umum akan datang dan bukannya seperti mana yang berlaku di Perak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.Katanya, Pas tidak menganggap mereka tergugat walaupun pemimpin Umno kini semakin serius melakukan perubahan termasuk membuat pindaan beberapa fasal perlembagaan parti. Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, dalam ucapan dasar perhimpunan agung parti itu berkata, Umno harus berubah untuk membolehkan parti itu mendapat sokongan rakyat dan menawan semula negeri yang ditadbir pembangkang.

PAS Cadang Kelab Penyokong Jadi Sayap Parti


KUALA TERENGGANU, 17 Okt
[11.32 am] - Pas bercadang menjadikan kelab penyokong parti itu yang disertai bukan Islam sebagai salah satu sayap parti untuk memantapkan lagi parti itu. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata sokongan dari kalangan bukan Islam terhadap parti itu dilihat semakin meningkat dan ia dibuktikan dengan kesungguhan mereka dalam membantu jentera parti dalam menghadapi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. "Kita telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan kita dengan orang bukan Islam, kita bukan sahaja telah sampai satu tahap mengadakan kerjasama dengan parti bukan Islam, tetapi juga individu bukan Islam," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Kepimpinan Pas negeri Terengganu ke 13 di Markaz Tarbiyah PAS, Kubang Lembik, Manir dekat sini hari ini. Majlis turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu Datuk Harun Taib dan Setiausaha PAS Pusat Datuk Mustafa Ali.
Share:

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber Media

Perubahan Dalam UMNO Gimik Semata-Mata

KUALA LUMPU, 16 Okt [11.15 am] - Reformasi UMNO yang dilaungkan parti berkenaan sempena Perhimpunan Agungnya ke-60 untuk mewujudkan demokrasi dan pembaharuan hanyalah gimik politik parti berkenaan, kata Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin (foto). Menurutnya sekiranya benar parti berkenaan mahu mewujudkan demokrasi, maka sistem perwakilan yang tetap dikekalkan harus dihapuskan. Beliau menjelaskan walaupun UMNO meluluskan pindaan untuk menambah bilangan perwakilan kepada 146,500 namun ia masih tidak memberi keterbukaan kepada ahli malah tidak menghentikan politik wang. “Tidak mungkin kerana kalau ikut politik perwakilan tidak terbuka ianya masih boleh lagi berlaku politik wang, mungkin ada penurunan tetapi ia susah hendak terjadi kerana bila ianya diwakili perwakilan dia akan cuba menyogok ketua-ketua dan sayap-sayap untuk memilih individu tertentu,” katanya. Zuraida berkata meskipun Umno menghapuskan sistem kuota namun parti berkenaan masih bertindak tidak adil kepada ahli kerana masih mengunapakai sistem perwakilan. “Setuju bagi memastikan individu yang bertanding mempunyai rekod prestasi tetapi bila tidak terbuka kepada ahli hanya terbuka pada pencalonan ia tidak adil. “Ia lebih penting untuk terbuka diundi oleh semua ahli, yang pencalonan baguslah,” katanya. Beliau turut menyifatkan tindakan UMNO yang kononnya membuat sistem terbuka adalah gimik kerana masih mengenakan syarat merupakan tindakan untuk menyelamatkan individu tertentu. “Umno walapun hendak buat kononnya sistem terbuka tetapi jika dikaji balik ianya ada selektif, sistem terbuka yang terpilih. Ada beberapa perkara yang dirasakan merugikan sesetengah pihak maka dikenakan kriteria tertentu,” katanya. Beliau turut menempelak Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil kerana apabila hanya menambah seorang wakil wanita dalam Majlis tertinggi, Bahagian dan Cawangan bagi menambah suara wanita dalam parti itu. “Jadi ia tidak mencerminkan agenda yang Shahrizat kononnya mahu meniru PKR. Ini tidak melambangkan dan mencerminkan seorang yang memegang jawatan menteri wanita bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan perkhidmatan wanita sedangkan untuk parti pun tidak dapat dilaksanakannya,” katanya.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (foto), menyifatkan pindaan berkenaan hanya mekanisme terbaik yang mampu disediakan Umno namun ia belum tentu dapat menghapuskan politik wang dalam parti berkenaan. “Isu politik wang adalah budaya atau adat yang menjadi kebiasaan, apa yang dipinda hanya mekanisme. Mereka boleh ada mekanisme yang bagus ungtuk mengurangkan potensi politik wang yang ubah dan pinda perlembagaan. “Tetapi jika kesedaran ahli tiada dan menjadi budaya Umno walaubagaimana baik mekanisme yang ada tidak akan berupaya mengurangkan atau memerangi budaya politik wang. Ia kena ada kesedaran ahli sendiri,” katanya. Mengulas penambahan suara wanita dalam MT UMNO, Khairul berkata itu tidak bermakna Umno mengangkat martabat wanita. “Oklah mereka boleh tambah lagi satu kuota tapi belum lagi mencerminkan kaum wanita di Malaysia dalam perkhimdatan berlaku dengan baik. “Jika mahu jadikan kayu pengukur ia tidak tepat. Jika kata hari ini Umno tambah kuota dalam MT, UMNO menangkat martabat wanita ia kayu pengukur yang tidak tepat,” kataya.

[UMNO sebenarnya amat sukar untuk membuat perubahan selagi pemimpin lama yang gila kuasa, kekayaan, cinta kepada rasuah, suka merompak wang rakyat, berjudi, menyeleweng, pandai menipu dan mengejar harta benda terus diberi kepercayaan untuk bergelar pemimpin dalam parti karat itu. Bukti jelas dapat dilihat di Bagan Pianng, bilamana pemimpin yang jelas terlibat dalam rasuah dan penyelewengan tiba-tiba diberi ruang dan diangkat sebagai pemimpin. Jika inilah keadaannya, maka UMNO tetap tidak akan berubah. Parti karat itu hanya boleh berubah bila semua pemimpin mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Selagi senario ini terus berlaku, maka kami langsung tidak nampak satu perkembangan yang baik dan sihat akan berlaku dalam parti itu. Oleh itu, puak-puak UMNO perlu banyak bermuhasabahkan diri sebelum bercita-cita untuk membawa perubahan yang dimaksudkan].
Share:

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber Media

Bekas ADUN Kuala Pahang Meninggal Dunia

KUANTAN, 15 Okt [3.45 pm] - Bekas ADUN Kuala Pahang, Datuk Abdullah Derus, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur awal hari ini akibat sakit jantung. Abdullah, 67, menghembuskan nafas terakhir pada 1.50 pagi. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Azizah Mohd Noor, 59, tujuh anak dan 11 cucu. Anak Allahyarham, Zarina, berkata bapa beliau dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan pada Jumaat lalu. "Allayarham mempunyai simptom sakit jantung seperti sakit rahang dan leher sebelum dibawa ke IJN pada Ahad lalu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini. Zarina berkata, bapanya pernah menghantar mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada semua anaknya sebelum sambutan Aidilfitri lalu menyatakan dia "dah nak pergi". Allahyarham pernah menjadi Adun kawasan Kuala Pahang selama sepenggal bermula 1995. Allahyarham juga adalah Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pahang, Pengerusi Biro Kebajikan dan Bencana Alam Umno Pekan dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Peladangan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP). Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hutan Setali, dekat sini kira-kira 10.30 pagi.

[Pahang Daily Online mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang mendapat rahmat dariNya. Allahyarham dipercayai antara wakil rakyat UMNO yang cukup "low profile" dan lebih berjiwa rakyat dari kalangan ADUN BN yang lain di negeri Pahang. Maka itu, tidak hairanlah beliau amat disenangi oleh kawan mahupun lawan].


Share:

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber

Gajah Liar Serang Felda Sungai Tekam Utara

JERANTUT 14 Okt [2.15 pm] - Hampir 500 keluarga peneroka di tanah rancangan Felda Sungai Tekam Utara di sini bimbang berikutan kemunculan tiga ekor gajah liar yang telah memusnahkan tanaman sawit muda dan pisang di situ sejak sebulan lepas. Seorang peneroka, Ibrahim Omar, 57, berkata, beliau kerugian RM5,000 apabila tanaman pisang serta sawit di kawasan tiga hektar miliknya musnah dimakan gajah tersebut. Katanya haiwan itu menceroboh masuk pada waktu tengah malam dan awal pagi dan dipercayai dari kumpulan beberapa ekor gajah yang datang dari Hutan Simpan Berkelah yang bersempadan dengan tanah rancangan tersebut. Mat Nizam Yaakub, 60, pula berkata, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Rela kini bergilir mengawal setiap masa kerana bimbangkan haiwan itu menceroboh ke kawasan penempatan. "Pelbagai cara telah dilakukan untuk menakutkan gajah itu termasuk menembak, membakar mercun dan menghidupkan unggun api serta membakar tayar lama namun haiwan itu tetap berdegil dan terus menceroboh,” katanya. Mat Nizam berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang supaya bertindak segera bagi menghalau haiwan itu bagi mengelak kerugian serta kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap peneroka.

Mahkamah Arah Kerajaan Pahang Bayar RM65J

KUANTAN, 14 Okt [11.25 am] - Kerajaan Pahang di ambang bangkrap apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 9 Oktober lalu mengekal keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengarahkan mereka membayar RM65 juta kepada syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd. Seruan Gemilang adalah antara empat syarikat yang menyaman kerajaan Pahang membabitkan nilai keseluruhan RM300 juta ketika Datuk Seri Adnan Yaakob (foto) menjadi Menteri Besar, antara April dan Ogos lalu. Syarikat lain ialah Asia Chart Sdn Bhd (RM200 juta), Spag'n Plantation Sdn Bhd (RM209 juta) dan Upayapadu Sdn Bhd (RM24 juta), selain tuntutan pelbagai pihak ketika Tan Sri Khalil Yaacob sebagai MB. Jumlah keseluruhan saman yang ditanggung kerajaan negeri ialah kira-kira lima bilion berikutan amalan penyelewengan, rasuah dan konisme yang membudayai parti pemerintah itu. Walaupun Mahkamah Rayuan Putrajaya melepaskan Adnan sebagai responden dan diganti Pegawai Kewangan Negeri tapi keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2007 supaya membayar RM65 juta, kekal. Keputusan itu dibuat tiga panel hakim diketuai oleh Datin Paduka Zaleha Zahari bersama Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha. Berikutan pertukaran responden itu, Karpal Singh yang mewakili syarikat itu akan mengeluarkan suatu perakuan baru bagi menuntut pembayaran daripada Pegawai Kewangan Negeri Pahang. Di luar mahkamah, Pengarah SGM, Saiyeed Ali berkata, pihaknya hanya mahu pihak terbabit membayar seperti yang diputuskan mahkamah. "Sebelum ini, kita memohon perintah mandamus kepada kerajaan negeri dan tiada bantahan sehingga mahkamah mengeluarkan sijil mengikut Seksyen 33(1) APK, 1956 (Akta) pada Mac 2008," katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Saiyeed Ali Al-Habsyee (foto), menghantar sijil perintah mandamus yang diterimanya pada 7 Mac 2008 untuk diserah kepada Pegawai Kewangan Negeri Pahang dan perlu dilunaskan dalam 14 hari. Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menganggap keputusan mahkamah berkaitan pengekalan keputusan dan penukaran responden, tepat dengan mengambil kira kapasiti Adnan sebagai Menteri Besar. "Jika Adnan tidak mampu membayar wang atau diisytihar bankrap, masalah lain timbul," katanya. Pada 27 Ogos 2007, syarikat itu menghantar surat tuntutan kepada defendan yang menuntut bayaran bagi jumlah penghakiman sehingga sijil mengikut Seksyen 33(1) APK, 956 (Akta) dikeluarkan tapi bayaran itu tidak diterima. Pada 25 Mei 2007 pula, Mahkamah Tinggi Kuantan mengarahkan kerajaan Pahang membayar syarikat itu RM37,127,471.60 bersama faedah lapan peratus setahun mulai 31 Dis 2000 kerana melanggar kontrak konsesi pembalakan di kawasan seluas 4,000 hektar milik UMNO negeri di Pekan.


Share:

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber

Keputusan Kes Gantung Gobind Pada 22 Okt Ini

KUALA LUMPUR, 13 Okt [3.25 pm] - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menetapkan 22 Oktober untuk keputusannya berhubung permohonan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (foto), untuk menarik balik arahan penggantungannya selama setahun yang dikenakan oleh Speaker Dewan Rakyat, pada Mac tahun ini. Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Ariff Md Yusof memaklumkan peguam Gobind, Karpal Singh dan Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi untuk memfailkan hujahan bertulis mengenai Seksyen 32 dan 33 Akta Dewan Rakyat (Hak Istimewa) 1952. Mohd Ariff berkata mahkamah memerlukan penjelasan berhubung isu pengiraan semula sama ada seorang Ahli Parlimen yang digantung boleh dilucutkan elaun dan faedahnya. "Saya perlu kedua-dua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing Jumaat ini walaupun saya sedar Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk memecat anggotanya," katanya. Mohd Ariff juga mahu mereka memasukkan dalam hujahan bertulis mengenai kedudukan undang-undang lazim dalam isu ini. Pada 23 April, Gobind memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon satu pengisytiharan bahawa penggantungannya sebagai Ahli Parlimen adalah batal dan tidak sah dan dalam samannya, beliau mendakwa bahawa penggantungan selama setahun, berkuatkuasa 16 Mac, bertentangan dengan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan. Beliau menamakan Speaker Dewan Rakyat, Mohamed Nazri, Setiausaha Dewan Rakyat dan kerajaan sebagai defendan. Gobind memohon untuk mengisytihar bahawa surat bertarikh 18 Mac dan ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, yang menggantung beliau sebagai Ahli Parlimen dan menarik semua elaun dan faedah sebagai Ahli Parlimen, adalah batal dan tidak sah kerana ia tidak boleh dikuatkuasakan di sini undang-undang. Gobind, 36, juga mahu satu pengisytiharan bahawa beliau berhak kepada elaun dan kemudahan mengikut Artikel 64 dan bahawa prosiding dan keputusan Dewan Rakyat adalah tidak kebal untuk diadili di mahkamah

Kes Saman RM2 Juta Raja Petra, 11 Feb 2010

KUALA LUMPUR, 13 Okt [11.45 am] - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 11 Februari tahun depan bagi pengurusan kes saman RM2 juta terhadap penulis blog, Raja Petra Kamarudin (foto), yang difailkan dua pegawai kanan tentera berhubung akuan bersumpahnya yang mengaitkan mereka dalam pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Timbalan Pendaftar Norhatini Abdul Hamid menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini. Dalam saman yang difailkan pada 22 Julai, tahun lalu, Lt Kol Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Lt Kol Norhayati Hassan, mendakwa Raja Petra membuat perisytiharan yang mengandungi tuduhan terhadap mereka dan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kes bunuh itu, dengan niat jahat untuk mencemarkan maruah, kredibiliti, nama baik dan kerjaya mereka. Pasangan itu, masing-masing memohon ganti rugi RM1 juta, serta ganti rugi teladan dan injunksi untuk menghalang Raja Petra atau pekerjanya daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu. Raja Petra, 59, yang mengendalikan blog Malaysia-Today, membuat akuan bersumpah itu pada 18 Jun tahun lepas dan memuatkannya dalam blognya dan laman web lain semasa perbicaraan kes bunuh Altantuya sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Raja Petra, berkata perkataan dan isu yang dirujuk dalam akuan bersumpah itu membabitlam komen yang adil berhubung perkara kepentingan awam "Akuan bersumpah itu bagi menggesa semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya tampil mendedahkan kebenaran supaya polis dapat menjalankan penyiasatan sewajarnya terhadap kes bunuh Altantuya," katanya dalam kenyataan pembelaannya itu


Share:

Cyberita Terkini Daripada Pelbagai Sumber Media

Kes Raja Petra Ditangguhkan Buat Kali Ketiga

PETALING JAYA, 12 Okt [7.30 pm] - Mahkamah Sesyen melahirkan rasa kecewa dengan perkembangan kes hasutan penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin yang terpaksa ditangguhkan lagi berikutan pihak pendakwaan masih gagal menyempurnakan waran tangkap ke atas penulis blog itu. Hakim Rozina Ayob berkata, mahkamah menjangkakan kes itu yang mula dibicarakan pada tahun lalu akan selesai pada akhir tahun ini. "Mahkamah jangkakan kes ini akan selesai akhir Disember ini dengan pihak pendakwaan akan memanggil sekurang-kurangnya lapan saksi, tetapi sekarang tangguh lagi, ini dah masuk kali ketiga dan masih tidak dapat menyempurnakannya," kata Rozina pada prosiding hari ini. Penangguhan itu adalah kali ketiga selepas sebutan kes itu pada 22 Mei dan 17 Julai lalu. Rozina kemudian menetapkan 11 November sebagai tarikh baru. Terdahulu ketika ditanya Rozina mengenai usaha polis untuk mengesan Raja Petra, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusuff, memberitahu bahawa pelbagai usaha telah dijalankan termasuk permohonan penangkapan terhadap tertuduh yang terbabit dalam kes jenayah yang akan dinilai oleh Interpol untuk diserahkan kepada 186 negara untuk mengesan tempat penulis blog itu yang berkemungkinan berada. Pada 6 Mei tahun lalu, Raja Petra, 60, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerbitkan artikel bertajuk "Let's Send The Altantuya Murderers To Hell" dalam laman web www.malaysia-today.net pada 25 April 2008. Peguam J Chandra yang mewakili Raja Petra berhujah bahawa pihak pendakwaan telah beberapa kali memohon tarikh sebutan baru dan ini adalah ketiga. "Perbicaraan sudah berjalan lancar sebelum ini dan tiba-tiba tertuduh hilang tanpa sebarang kesan ketika mahkamah masih dalam perbicaraan kes dan keterangan saksi kelima masih lagi belum selesai. "Mahkamah mempunyai kuasa dan pilihan sama ada untuk memberi tarikh lain, menangguhkan sementara atau melepaskan tanpa bebas terhadap Raja Petra," katanya. Bagaimanapun, Ishak membantah atas alasan ia adalah tidak adil yang akan menimbulkan prejudis terhadap kes pendakwaan. "Beberapa saksi telah dipanggil sebelum ini untuk memberi keterangan...jadi pihak kami memohon satu tarikh untuk satu lagi sebutan akhir," katanya.

Rokok Seludup RM3.3 Juta Berjaya Dirampas

KUANTAN 12 Okt [6.45 pm] - Polis Pahang berjaya merampas 15,830 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta di sebuah rumah di Lorong Air Putih di sini semalam. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, berdasarkan maklumat awam, sepasukan anggota polis menyerbu rumah berkenaan pada pukul 5.50 petang. "Ketika serbuan dilakukan, empat lelaki dalam lingkungan 30-an dipercayai sedang membungkus kotak rokok di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, selain tangkapan empat lelaki itu, polis turut merampas wang tunai RM30,000 yang dipercayai hasil jualan rokok berkenaan selain dua buah kereta Proton Wira dengan sebuah daripadanya menggunakan nombor pendaftaran palsu. Mohd. Jasmani berkata, rokok tersebut diseludup dari negara jiran yang dibawa masuk tanpa cukai kastam dan antara jenama yang dirampas ialah Harvy, Gudang Garam dan Abseolute.

Hishamuddin Bimbang Krisis MCA Jejaskan BN

PUTRAJAYA, 12 Okt [6.35 pm] - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (foto), hari ini menyuarakan kebimbangan bahawa krisis kepimpinan MCA akan memberikan kesan secara langsung kepada Barisan Nasional (BN). "Saya fikir apa yang berlaku dalam MCA tidak akan memberikan kesan langsung kepada Umno, tetapi apa yang saya bimbangkan ialah apa yang berlaku dalam MCA akan memberikan kesan kepada BN dan perkara itu perlu diberi perhatian oleh pemimpin MCA," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri di sini. Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA Sabtu lalu meluluskan tiga usul iaitu tidak percaya terhadap kepimpinan presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat, membatalkan penggantungan keanggotaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tetapi menolak usul ketiga untuk mengembalikan jawatan Dr Chua sebagai timbalan presiden. Hishammuddin berkata, apa yang berlaku kepada MCA bergantung kepada kebijaksanaan jawatankuasa pusat yang akan bermesyuarat Khamis ini untuk membincangkan keputusan EGM. Mengenai sama ada krisis kepimpinan MCA akan dibincangkan pada perhimpunan agung Umno yang akan bermula esok hingga Jumaat, katanya mereka tidak akan campurtangan dalam hal ehwal dalaman parti komponen BN yang lain.

Deepavali, PLUS Tawar Diskaun Tambahan

PETALING JAYA 12 Okt [6.10 pm] -Sempena perayaan Deepavali, diskaun sehingga 20 peratus akan dinikmati oleh kenderaan persendirian yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan ELITE untuk tempoh 14 hingga 16 Oktober dan 19 hingga 21 Oktober antara pukul 12 malam hingga 7 pagi. Pengarah Urusan PLUS Expressway Berhad, Noorizah Abd. Hamid berkata, diskaun tersebut adalah tambahan kepada diskaun 10 peratus sedia ada yang kini dinikmati pengguna di kedua-dua lebuhraya tersebut di luar waktu puncak setiap hari untuk menghargai pengguna lebuhraya terutama di musim perayaan"Diskaun ini merupakan sebahagian daripada Program Intensif Perjalanan (PTI) PLUS "Ia juga bertujuan mengagihkan aliran trafik ke waktu-waktu di luar waktu puncak sekaligus membolehkan pengguna menikmati perjalanan yang lancar dan selesa,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau turut menyarankan pengguna menggunakan kad PLUSMiles Touch ”n” Go bagi melancarkan laluan di plaza tol di samping menikmati ganjaran rebat tol, diskaun dan pelbagai keistimewaan lain. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSLine di 1800 88 0000 yang beroprasi 24 jam setiap hari.

Zambry Yakin ADUN Pakatan Hadir Sidang DUN

IPOH, 12 Okt [6.04 am] - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (foto), berkata beliau yakin Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada kalangan pembangkang akan menghadiri persidangan dewan yang akan diadakan tidak lama lagi bagi pembentangan Bajet 2010. Beliau berkata, pakatan pembangkang sedang berusaha menjustifikasi kehadiran mereka dengan menyatakan akan hadir jika bekas Speaker V Sivakumar yang mengeluarkan notis mesyuarat dan bukan notis daripada Speaker Datuk R Ganesan. Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, yang juga Adun Sitiawan semalam menyatakan Adun pembangkang akan menghadiri sidang kecuali jika notis dikeluarkan oleh Sivakumar. Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Zambry berkata kenyataan itu dibuat kerana pembangkang terpaksa menanggung malu kerana sebelum ini pernah mengumumkan akan memboikot sidang. "Mereka kini hendak mencari jalan untuk justifikasi kehadiran...dulu cakap tak mahu hadir, kini hendak hadir jika Sivakumar yang keluarkan notis. (Selepas ini) mereka akan sebut kami datang kerana dipanggil oleh Sivakumar," katanya mengulas kenyataan Ngeh. Zambry berkata, notis memanggil mesyuarat itu akan dikeluarkan oleh Ganesan dalam tempoh 14 hari selepas mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Pilihanraya Kecil Bagan Pinang Paling Ganas

KUALA LUMPUR, 12 Okt [5.47 pm] - Pilihanraya kecil N31 DUN Bagan Pinang merupakan pilihanraya paling ganas sejak pilihanraya umum mac tahun lalu. Begitulah disimpulkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin (foto). Keadaan ini cukup berbeza dengan pilihanraya kecil DUN Penanti Mei lalu yang disifatkan paling aman oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Ini berikutan UMNO Barisan Nasional tidak mengambil bahagian dalam pilihanraya berkenaan. Keputusan tidak bertanding itu merupakan pertama kali dalam sejarah parti itu."Kita ucap terima kasih pada pengundi di Bangan Pinang. Kita hormati keputusan itu dan kita akan ambil ikhtibar serta baiki strategi dan gerak kerja. Istimewanya pilihanraya kali ini ialah undi pos. Kita secara konsisten mendesak hapuskan undi pos." "Undi pos telah memberikan kelebihan kepada UMNO Barisan Nasional. Seperti yang kita lihat peningkatan sangat ketara pada undi pos. Strategi yang dimainkan ialah menakut- nakutkan pengundi. Inilah pilihanraya paling ganas," ujar shamsul. Pakatan Rakyat sebelum ini menggesa Suruhanjaya Pilihanraya SPR merombak proses pengundian pos bagi memastikan pengiraan yang telus dan bersih. Undi tentera DUN ini sahaja mencecah 5 ribu undi dan semestinya mempengaruhi corak undian pengundi pilihanraya kecil kali ini.

Undi Pos Dan Samseng Punca Kekalahan PAS

PORT DICKSON, 12 Okt [5.30 pm] - Calon PAS Pilihanraya Kecil N31 Dewan Udangan Negeri Bagan Pinang, Zulkefly Mohamad Omar (foto), menerima keputusan pengundi Bagan Pinang dan melihat faktor ketakutan yang ditimbulkan UMNO Barisan Nasional sebagai faktor kekalahan pilihanraya kali ini. Beliau juga tidak menolak faktor undi pos yang turut membawa kepada kekalahannya. "Kita terima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Dalam masa yang sama kami akan berbincang untuk baiki sistem undi pos. Kami juga akan meneliti permasalahan kejadian pergaduhan dan proses menakut- nakutkan pengundi semasa pilihanraya ini berlangung," ujarnya. Pilihanraya kecil yang berlangsung semalam menyaksikan tindakan ganas penyokong UMNO Barisan Nasional membaling batu kepada penyokong Pakatan Rakyat di Pusat Pembuangan Undi Telok Kemang. Tindakan mereka menimbulkan provokasi dengan memanggil penyokong PAS sebagai anjing dan babi dan pelbagai kata- kata kesat yang lain.

Mahkamah Arah Sampel Kugan Diserah Semula

PETALING JAYA, 12 Okt [5.14 pm] - Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan sampel yang dirampas daripada pakar patalogi forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berhubung kes suspek curi kereta yang meninggal dunia, A Kugan (foto), diserahkan semula kepada hospital itu. Majistret Ho Kwong Chin menetapkan keputusan itu setelah mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili pemohon iaitu ibu Kugan, N Surendran, dan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid, yang mewakili pihak polis. "Setelah mendengar segala hujahan lisan dari kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan bahawa spesimen dan barang yang dirampas melalui waran tangkap hendaklah dipulangkan kepada pihak PPUM dengan serta merta," kata Ho. Surendran yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, mereka memohon spesimen berkenaan dihantar ke Australia bagi membolehkan ujian Toksikologi dijalankan untuk memastikan sama ada Kugan, 22, diberikan sebarang suntikan sebelum dia dijumpai mati.

Soi Lek Desak Presiden MCA Letak Jawatan

PETALING JAYA, 12 Okt [3.05 pm] - Datuk Dr Chua Soi Lek (foto), mendesak Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, supaya meletak jawatan bagi menyelesaikan krisis dalaman dan menyelamatkan parti. Bekas Timbalan Presiden MCA itu berkata, mesej perwakilan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Sabtu lalu amat jelas yang mana ahli akar umbi menolak kepimpinan Tee Keat. Dr Chua berkata, pada pemilihan MCA tahun lalu, Tee Keat mendapat sokongan lebih 60 peratus perwakilan tetapi pada EGM yang berlangsung dua hari lalu, sokongan terhadapnya jatuh kepada kira-kira 40 peratus saja. "Sejak selesainya EGM MCA, saya mendapat banyak panggilan dan SMS daripada akar umbi supaya menyarankan Tee Keat meletak jawatan daripada menerajui MCA. "Saya juga menerima dan menghormati keputusan perwakilan pada EGM...saya akan terus menyumbang kepada MCA sebagai ahli biasa," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

UMNO Dan BN Halalkan Cara Untuk Menang

KUALA LUMPUR, 12 Okt [3.30 pm] - UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghalalkan apa jua cara bagi mendapatkan kemenangan Plihanraya Kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang setelah BN tujuh kali tewas pada pilihanraya kecil sebelum ini.Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Fariz Musa (foto), berkata kemenangan Isa Samad menewaskan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar adalah disebabkan provokasi UMNO BN.“Kali ini mereka menggunakan pelbagai cara dan teknik, malah bagi saya ialah Umno sanggup menghalalkan cara dan yang penting ialah kemenangan kepada Umno dan Barisan Nasional. “Mereka akan melakukan apa sahaja termasuk tindakan-tindakan yang secara jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi itu sendiri, sebab itu kita melihat bahawa UMNO sebenarnya tertekan di Bagan Pinang,” katanya ketika dihubungi. Beliau turut beranggapan kemenangan di Bagan Pinang itu akan terus menggalakkan lagi agenda rasuah yang berterusan di kalangan pemimpin Umno BN dengan merealisasikan kemenagan Isa Samad.Kemenangan di Bagan Pinang yang dimenangi Barisan Nasional merupakan suatu petanda bagaimana rakyat di Bagan Pinang telah merealisasikan Isa Samad sebagai wakil rakyat negeri itu.

Share:

Analisis Isu: Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang, Kemenangan BN Bukanlah Bermakna Kekalahan Besar Buat PAS Dan Pakatan Rakyat Sebenarnya !

Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang sudah pun berakhir semalam. BN akhirnya menang, menewaskan calon PAS dengan majoriti yang agak besar. Sesuatu yang sudah dijangka sejak dari awal lagi. Pertarungan sudah berakhir di sana, namun perjuangan harus diteruskan. Kekalahan dan kemenangan harus disulami dengan rasa keinsafan yang mendalam. Kudrat dan tenaga yang diberikan akhirnya gagal membuahkan hasil yang diharapkan. Apapun, harus diingat bahawa Bagan Pinang adalah kawasan keramat bagi puak-puak UMNO BN. Ini kerana disitulah jumlah undi pos tertinggi dalam lapan pilihanraya sebelum ini. Oleh itu, kita tidak harus sedih dan menganggap kekalahan ini adalah petanda rakyat sudah mula menolak Pakatan Rakyat. Apakah kemenangan Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang itu, benar-benar bermakna rakyat menerima UMNO dan Barisan Nasional?. Apakah ia bermakna sokongan rakyat terhadap parti karat itu sudah melonjak?. Benarkah parti karat itu kembali diterima oleh rakyat?. Banyak faktor wajar diambilkira, yang menyaksikan kemenangan BN ini sebenarnya. Mereka tidaklah sekuat yang disangka, namun mereka membina kekuatan dengan segala kekuasaan yang ada. Daripada memberi rasuah dalam bentuk kewangan, hinggalah kepada janji-janji peruntukan buat rakyat berbilang kaum. Jika selama ini, puak-puak UMNO BN marah dan mengutuk MB Perak yang sah, Nizar Jamaluddin gara-gara memberikan geran hak milik tanah kepada kaum Cina di negeri itu. Kini ia berlaku di Bagan Pinang, pemimpin UMNO BN silih berganti menabur janji-janji manis kepada rakyat supaya menyokong calon mereka.

Jawapan Isu Tidak Sampai Kepada Rakyat

Banyak faktor sebenarnya yang membawa kepada kemenangan BN dan kekalahan PAS di Bagan Pinang. Sejak dari awal lagi berbagai provokasi melampau telah dilakukan oleh puak-puak UMNO BN bagi mengaburi mata rakyat. Malah, jawapan yang dimahukan oleh rakyat terkadang tidak sampai kepada mereka. Contohnya, seperti kes pukul Ketua Putera UMNO , Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim semasa hari pencalonan diperbesar-besarkan oleh media arus perdana. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa PAS itu adalah parti yang ganas dan rakyat wajar menolaknya. Sekali imbas, ia mungkin tidak memberi kesan langsung kepada rakyat. Namun, bagi majoriti pengundi yang buta IT dan bergantung harap kepada laporan media arus perdana semata-mata, maka mereka sudah pasti akan terpengaruh dengan adengan ini. Akhirnya terpahat dalam fikiran mereka bahawa PAS ganas dan sebagainya. Inilah masalahnya yang wajar ditangani dengan segera. Manakala dipihak Pakatan Rakyat pula hanya bergantung harap kepada ceramah dan media baru menerusi internet untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat. Jika adapun akhbar berkala yang dicetak untuk rakyat, ia mungkin tidak sampai kepada sasaran yang dituju. Akhirnya mereka yang berada di atas pagar memberikan undi kepada BN kerana menyangkan PAS itu adalah parti pengganas. Kelewatan untuk menutup sesuatu isu telah menyebabkan sokongan rakyat berkurangan sebenarnya. Inilah yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Memang kita tahu, setiap kali ceramah Pakatan Rakyat diadakan maka ramai yang hadir untuk mendengar. Ditambah lagi dengan kehadiran pemimpin ulung seperti Anwar Ibrahim, Nik aziz, Hj.Hadi, Lim Kit Siang dan ramai lagi. Namun, segalanya nampaknya gagal untuk diterima oleh majoriti rakyat di Bagan Pinang. Kehadiran orang yang sama dalam setiap kali ceramah, jelas menyebabkan isu sukar untuk diperjelaskan kepada penggundi atas pagar yang bergantung harap kepada media arus perdana. Inilah yang menyebabkan mereka tetap menyokong calon UMNO BN, biar apapun yang terjadi.

Undi Pos Tentera Terus Jadi Talian Hayat BN

Faktor undi pos terus menghantui pemimpin pakatan rakyat dalam setiap kali pilihanraya kecil di negara ini. Undi pos yang dilihat tidak telus dan jelas menyeleweng itu sengaja diperakui oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kononnya perjalanan undi pos adalah mengikut prosedur dan amalan yang terbaik untuk terus dipraktikkan. SPR tidak mahu langsung mendengar rintihan rakyat yang mahu undi pis itu dihapuskan kerana ia mencemarkan amalan demokrasi berpelembagaan di negara ini. Namun, bagai yang dijangka sememangnya SPR tidak akan bersikap adil dalam hal ini. Menghapuskan undi pos bermakna menjatuhkan maruah UMNO dan BN yang menggajikan mereka. Maka itulah, mahu atau tidak undi pos terus dijadikan "talian hayat" untuk menyaksikan kemenangan mutlak UMNO BN dalam setiap kali pilihanraya kecil diadakan. Namun, biarpun apa yang terjadi SPR tetap akan mempertahankan undi pos. Kepincangan terhadap undi pos ini amat jelas dan tidak boleh lagi diselindungkan seperti kewujudan daftar pemilih yang berbeza, nama bertindih, pesara tentera masih punyai nama undi pos dan banyak lagi. Lantaran itulah, banyak perkara perlu dipertimbangkan jika mahu ia dihapuskan. Namun, apakah SPR akan mengikut kehendak Pakatan Rakyat agaknya?. Kemenangan besar undi pos yang diraih oleh calon BN, Isa Samad di Bagan Pinang semalam jelas sekali membuktikan perkara ini. Anggota tentera takut untuk membuat pilihan yang tepat kerana ada pihak atasan yang akan memantau pergerakan mereka.

Budaya Samseng UMNO Takutkan Pengundi

Faktor budaya samseng puak-puak UMNO juga dilihat memainkan peranan penting dalam menyekat suara rakyat untuk menunaikan hak dan kewajipan sebenar mereka. Ugutan dan tindakan displin, menarik balik peruntukan atau sumbangan, menyekat biasiswa atau tabung pinjaman serta bermacam-macam lagi tindakan. Ini semua menyebabkan rakyat takut jika menolak BN biarpun mereka tahu pencalonan Isa Samad yang terbabit dengan rasuah adalah tidak wajar dan melanggar etika kerajaan 1Malaysia itu sendiri. Namun, dek kerana tekanan dan ugutan yang dibuat oleh pihak-pihak terbabit menerusi jabatan berkaitan menyebabkan mereka terpaksa akur dan terus menyokong BN. Inilah sebenarnya budaya yang telah menular sejak sekian lama. Budaya samseng UMNO tambah bersemarak lagi, bila kehadiran ribuan anggota pemuda "ala komando" yang dilatih khas untuk menggempur Pakatan Rakyat. Ini dibuktikan dengan kejadian menyerang petugas Pakatan Rakyat. Biarpun laporan polis telah dibuat berkenaan kebobrokan mereka itu, namun apakan daya ia dilakukan oleh kerajaan yang membayar gaji anggota polis itu sendiri. Akhirnya ia dipendamkan begitu sahaja biarpun berlaku kecederaan yang agak serius sebenarnya. Episod "gempur pemuda" yang dilakukan oleh UMNO BN ternyata berjaya menakut-nakutkan rakyat yang tidak berdosa. Malah mereka juga gusar nyawa keluarga sendiri terancam jika tidak mengundi calon BN. Mereka tahu, bahawa pada kertas undi terdapat nombor siri yang boleh memudahkan kerajaan membuat siasatan dan pemantauan terhadap pilihan yang dibuat oleh mereka nanti. Akhirnya, mahu atau tidak terpaksalah mereka memilih UMNO dan BN sebagai jalan selamat.

Media Pengampu Terus Sebarkan Dakyah

Media pengampu seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3, RTM dan sebagainya terus melakukan agenda untuk meracun dan merosakkan fikiran rakyat. Dakyah jahat terus dipaparkan bagi membuktikan kononnya hanya kerajaan UMNO dan BN sahaja yang layak mentadbir negara ini dan bukannya Pakatan Rakyat seperti yang diwar-warkan. Mereka memutar belitkan fakta dan memesongkan segala kenyataan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Hasilnya, rakyat yang menjadikan media pengampu ini sebagai penyalur berita akhirnya pasti akan menyokong UMNO dan Barisan Nasional. Keghairahan media pengampu dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang ini jelas sekali dapat dilihat. Malah, media pengampu juga turut disokong oleh saluran astro Awani yang selama ini kita ketahui bersikap neutral dan telus. Ini semua adalah hasil arahan dan kekangan daripada pihak kerajaan jika mereka maju lesen tidak ditarik balik. Seperti biasa media pengampu akan memaparkan aktiviti kebajikan dan sumbangan amal yang diberikan oleh para pemimpin UMNO BN kepada rakyat setempat. Langkah ini bertujuan untuk membuktikan bahawa UMNO BN membela nasib rakyat. Sedangkan ia berlaku tatkala musim pilihanraya semata-mata dan bukannya dalam keadaan biasa. Akhirnya rakyat terus ditipu dan dipermainkan, tambahan pula bagi mereka yang tidak langsung tahu akan kewujudan media alternatif sebagai sumber maklumat. Inilah yang menjadi penyebab, para pengundi terutamanya di saluran 1 majoritinya memilih Isa Samad. Beliau lebih dikenali mereka dan banyak menyumbangkan jasa kepada rakyat Negeri Sembilan. Biar apa pun yang berlaku, golongan veteran saluran satu yang tidak mendapat sumber maklumat yang betul pasti akan mengundi calon BN. Lantaran itulah kita tidak hairan BN menang dikesemua peti undi.

Janji Pembangunan Dan Projek Mee Segera

Seperti biasa, setiap kali menjelang pilihanraya sudah pasti puak-puak UMNO dan BN akan melakukan kerja yang sama. Tidak pernah merasa insaf atau bersalah, mereka tetap menawarkan berbagai projek untuk rakyat. Semua ini jelas sekali melanggar akta pilihanraya itu sendiri sebenarnya. Namun, seperti biasa bila BN semua boleh sahaja dilakukan. Akhirnya SPR membiarkan segalanya terjadi didepan mata, sedangkan ia jelas satu rasuah dan kemenangann pihak terbabit perlu dibatalkan. SPR sepatutnya tidak perlu meminta apa-apa bukti lagi, kerana semuanya sudah ada didepan mata. Di Bagan Pinang, seperti biasa perkara ini terus berlaku. Port Dickson mahu dijadikan "bandar tentera darat", kemudian tawaran dijanjikan untuk rakyat di Bagan Pinang. Sedangkan kawasan Port Dickson itu sendiri jelas sekali terpinggir sejak sekian lama. Banguna-bangunan tersadai dan projek terbengkalai terus dilihat mewarnai pantai peranginan terkenal itu. Menjadikan Port Dickson sebagai bandar tentera merupakan langkah terdesak BN untuk memancing undi anggota tentera di situ sebenarnya. Bukankah itu adalah rasuah dan penyelewengan?. Masalahnya, kenapa SPR tidak menganggap semua ini bertentangan dengan undang-undang pilihanraya itu sendiri. Inilah dia igauan buruk yang paling besar menghantui Pakatan Rakyat sebenarnya. Sikap "bias" SPR memang sudah tidak perlu disembunyikan lagi. Mereka membenar apa jua kesalahan pilihanraya yang dilakukan oleh BN. Sebaliknya, mereka akan mengambil langkah drastik untuk menghalang segalanya.

[Sebenarnya banyak lagi faktor yang menjurus ke arah kemenangan BN di Bagan Pinang. Segalanya jelas merupakan satu penipuan, penyelewengan, rasuah, korupsi, penindasan dan berbagai lagi. Apapun, tahniah kita ucapkan kepada BN terutamanya Isa Samad kerana berjaya mengekalkan kerusi itu. Namun, harus diingat kemenangan BN bakal menjerat leher MB Negeri Sembilan, Mat Hassan sendiri. Masakan bekas MB yang sudah 22 tahun memerintah sanggup menjadi kadam UMNO semata-mata. Oleh itu, kemenangan Isa dijangka akan menghuru-harakan UMNO Negeri Sembilan selepas ini. Buat Pakatan Rakyat terutamanya PAS, teruskan perjuangan dan lakukan yang terbaik untuk kejayaan lebih besar dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. Perubahan harus terus dilakukan mulai sekarang!].

Share:

Terkini Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang


Isa Samad menang di Bagan Pinang, biarpun imej tercalar kerana rasuah
BN Menang Pilihanraya Kecil Bagan Pinang

PORT DICKSON, 11 Okt
[8.00 pm] - Calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Isa Samad, menang dengan majoriti 5,435 undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh 8,013 undi berbanding calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar, yang mendapat 2,578 undi. Seramai 11,157 atau 81.65 peratus daripada 13,664 pemilih berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu hari ini. Keputusan rasmi diumumkan Pengurus Pilihan raya kecil itu, Abdul Wahab Shamsuddin, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) pada jam 8 malam tadi. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu. Pada pilihan raya umum lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi apabila memperoleh 6,430 undi manakala calon Pas, Ramli Ismail, mendapat 4,097 undi.

Calon BN, Isa Samad Perolehi 3,521 Undi Pos

PORT DICKSON 11 Okt [7.05 pm] - Calon Barisan Nasional, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memperoleh 3,521 undi pos berbanding calon PAS, Zulkifly Mohamad Omar hanya memperoleh 601 undi. Undi rosak adalah 134 manakala keseluruhan undi pos ialah 4,611 undi.

Bagan Pinang, 81.65 Peratus Keluar Mengundi

PORT DICKSON, 11 Okt [6.00 pm] - Seramai 11,157 atau 81.65 peratus daripada 13,664 pemilih berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang sehingga pengundian ditutup jam 5 petang tadi. Ia meningkat sedikit berbanding 10,911 atau 81.59 peratus pada pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.

Pembuangan Undi DUN Bagan Pinang Berakhir

PORT DICKSON, 11 Okt [5.35 pm] - Proses pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Pinang berakhir pada jam 5 petang tadi. Sebanyak lapan pusat mengundi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau, Ladang Bradwall, Sua Betong, Taman Estern, Kampung Bagan Pinang, Si Rusa dan Telok Kemang dibuka sejak 8 pagi tadi. Bagaimanapun, ramai peraih dan penyokong Pas masih berkumpul di luar pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Telok Kemang berlaku sedikit kekecohan sebelum ini. Jalan menuju ke bandar Port Dickson juga dilaporkan masih sesak. Pada pilihan raya kecil itu, calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berdepan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar. Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu. Keputusan dijangka diumumkan pada jam 8 malam ini

54.1% Keluar Mengundi Setakat Jam 1 Petang

PORT DICKSON, 11 Okt
[2.30 pm] - Sehingga jam 1 tengah hari tadi, peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang 54.1 peratus atau 4,905 pengundi. Demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membabitkan pengundian di 8 pusat pengundian dengan 18 saluran di Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.

Penyokong UMNO BN Terus Bertindak Ganas


PORT DICKSON, 11 Okt
[11.00 am] - Penyokong UMNO-BN bertindak ganas membaling batu kepada penyokong Pakatan Rakyat di Pusat Pembuangan Undi Telok Kemang. Mereka menimbulkan provokasi dengan memanggil penyokong PAS dengan panggilan "anjing", "babi" dan pelbagai perkataan kesat yang lain. Seperti sebuah kempen peperangan terancang, sekumpulan lagi penyokong UMNO-BN menghalau penyokong PAS yang baru tiba di pusat pembuangan undi itu. Sebaik sahaja mereka meletakkan kenderaan untuk menyertai kemeriahan pilihanraya, gerombolan Umno-BN bertindak menyerbu dan menendang-nendang kenderaan-kenderaan terbabit. Sambil mendakwa kawasan letak kereta UPU Telok Kemang adalah milik mereka, gerombolan itu menendang-nendang dan membaling batu kearah penyokong PAS. Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, ahli-ahli Pakatan Rakyat mengalihkan kenderaan masing-masing ke tempat yang lebih selamat - jauh dari amukan UMNO-BN. Gerombolan samseng-samseng jalanan ini tampak seperti dianggotai oleh pemuda bermotorsikal, ahli-ahli pencak silat dan remaja-remaja sekolah. Polis dan Unit Simpanan Persekutuan di tempat kejadian tekun berdiri menjaga garisan putih jalanraya tanpa mencelah memulihkan keamanan.

Pengundi Bagan Pinang Tunai Tanggungjawab

PORT DICKSON, 11 Okt [8.32 am] - Proses pengundian pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang bermula sebaik sahaja pusat-pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan jumlah keluar mengundi di Bagan Pinang ialah kira-kira 80 peratus. Pengundian akan ditutup pada jam 5 petang ini dan diikuti dengan pengiraan undi di kesemua lapan pusat mengundi yang terbabit. Manakala penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan keputusannya dijangka akan diketahui seawal jam 8 malam. Terdapat 13,994 pengundi termasuk 4,604 pengundi pos yang layak mengundi dalam pilihanraya kecil kali ini. Awal pagi tadi hujan turun membasahi bumi Bagan Pinang namun berhenti sejurus jam 8 pagi. Namun 40 minit kemudian hujan turun semula. Pengundi pos telah selesai membuang undi dua hari lalu, manakala pengundi biasa seramai 9,060 orang, akan membuat pilihan mereka hari ini di lapan pusat pengundian yang melibatkan 18 saluran.Sementara itu kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sekolah Kebangsaan Si Rusa disambut dengan laungan "boo" dan rasuah oleh warga Bagan Pinang dan penyokong Pakatan Rakyat.


Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.