PEKAN: Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian kebakaran besar di Hutan Simpan Pekan, dekat sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, semua lelaki berusia antara 27 hingga 60 tahun itu bekerja sebagai pekebun nanas di kawasan berkenaan.
Katanya, mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran hutan paya gambut yang terletak bersebelahan kawasan penempatan mereka sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecuaian dengan api atau bahan mudah terbakar.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Harry Yong berkata, kebakaran di Hutan Simpan Pekan minggu lalu memusnahkan kawasan paya gambut seluas lebih 80 hektar.
Beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif membina dua parit sepanjang kira-kira 1,500 meter bagi menghalang api daripada terus merebak ke kawasan hutan simpan berkenaan.
“Difahamkan hujan lebat semalam berjaya membantu memadam kebakaran, namun pemantauan oleh kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih tetap dilakukan setiap hari,” katanya. #BuletinTV3
Tiada ulasan:
Catat Ulasan