KUANTAN: Dato’ Mohd Sofian Abd Jalil (PN-Luit) ‘menjentik’ dengan dua nombor menarik ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2027 pada Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.
Nombor itu membawa dua mesej besar mengenai pembangunan fizikal dan kesejahteraan rakyat serta muhasabah terhadap penghayatan Islam setelah lebih lima abad sejarah perkembangannya di bumi Pahang.
“Saya nak cakap dua perkara je petang ni, tak tahu berapa minitlah. Kejap je kot. Satu, saya nak cerita pasal 513. Yang kedua, saya nak sebut pasal 518. ‘Interesting’ kan? Ada dua nombor,” ujarnya.
Angka pertama, 513 katanya, merujuk kepada peruntukan pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di daerah Maran yang menurutnya berjumlah RM513 juta bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Sofian meminta Kerajaan Negeri mempercepatkan pelaksanaan projek masih tertangguh, di samping memberikan perhatian terhadap kemudahan kesihatan, infrastruktur dan kebajikan penduduk luar bandar.
Beliau turut menyentuh keperluan perumahan menerusi program PR1MA, Rumah Rakyat Pahang (RRP) Makmur, Rumah Mesra Pahang dan Program Perumahan Rakyat (PPR), selain isu bekalan anak ikan di kawasan estet berhampiran Kuala Wau.
Antara projek dan kemudahan yang turut diminta dipercepatkan ialah perkhidmatan ‘sick bay’ 24 jam, Jalan Serengkam – Bak Bak serta Jalan Lubuk Paku – Pejing dan kemudahan kesihatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Juga pintanya terhadap penempatan rumah kilang di Kampung Bintang, pembangunan Bandar Purba serta cadangan jambatan merentasi Sungai Pahang di kawasan Serengkam – Kuala Wau.
Jika angka 513 membawa perhatian Dewan kepada persoalan pembangunan fizikal, angka 518 pula Sofian mengajak semua pihak merenung kembali penghayatan Islam dalam kehidupan dan pentadbiran negeri.
Beliau terlebih dahulu menjunjung kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah atas penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Sultan Abdullah di Muzium Negeri, Pekan.
Merujuk penemuan Batu Nisan Permatang Pasir yang bertarikh 1508, beliau menjadikan angka 518 sebagai titik tolak kepada suatu muhasabah.
“Bila kita pergi ke bahagian penyelidikan, dapatkan maklumat, rupanya ada batu nisan dijumpai di Permatang Pasir tu, tahun 1508. Maknanya kalau tolak tahun 2026 ni, 518 tahun dah Islam sampai di negeri Pahang ni.
“Jadi saya sebut perkara ni bukan apa, kita orang putih cakap ‘morning call’. Kita kena buka mata sikit. Dah 500 tahun dah Islam di negeri sini. Ke mana kita, setakat mana kita dalam amalan beragama kita di negeri Pahang ni?
“Tak kiralah sama ada individu ke, rumah tangga ke, masyarakat ke, pentadbiran dan menjaga negara sekali, di mana Islam itu?” soalnya.
Namun, lontaran persoalan tersebut tegasnya, bukanlah bertujuan menafikan jasa dan sumbangan pemimpin terdahulu dalam memperkasakan Islam di negeri ini.
“Bukanlah kita nak menafikan apa yang dah pemimpin lama yang dulu dah buat. Alhamdulillah, banyak benda-benda yang telah dibuat. Cuma kita nak renung baliklah, sejauh mana amalan Islam kita dalam menegakkan hukum Allah di negeri ini,” jelasnya. #Harakahdaily







Tiada ulasan:
Catat Ulasan