SHAH ALAM, 13 Nov [9.00 pm] - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto), dilantik Penasihat Ekonomi Selangor, dengan gaji serendah RM1 sebulan, umum Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini. Khalid berkata demikian ketika menggulungkan perbahasan belanjawan Bajet 2010 hari ini. Menteri Besar berkata perlantikan Anwar akan membantu menjana ekonomi dan memacu pembangunan Selangor. Semasa negara dilanda Krisis Kewangan Asia 1997, Anwar dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan merumuskan pakej mendisplinkan kewangan negara dengan memotong perbelanjaan kerajaan sebanyak 18 peratus, memotong gaji para menteri dan menghentikan pembinaan projek mega. Anwar menyerang terus gejala rasuah yang berleluasa dalam struktur kerajaan dengan melaksanakan audit telus terhadap konglomerat dan empayar perniagaan yang beliau dapati mengelak dari membayar cukai dan mengenakan bayaran tinggi untuk projek-projek kerajaan. Majalah Times menobatkan Anwar antara 10 manusia paling berpengaruh di dunia ini, dan sejak Mac 2006, Anwar adalah Presiden Kehormat di Institut AccountAbility Sosial dan Etika di London.Hassan Ali Nafi Arahkan JAIS Tangkap Dr.Asri
SHAH ALAM, 13 Nov [8.20 pm] - Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (foto), hari ini menafikan beliau mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangkap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah pada 1 November lalu. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu, juga menjelaskan pihak Istana, pejabat Menteri Besar dan pejabat Exco lain tidak terbabit dengan penahanan itu. Beliau berkata, tangan ghaib yang didakwa wujud dalam kes tangkapan Mohd Asri itu merujuk kepada Peraturan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (2003) dan Peraturan Tauliah (2008). "Tiada tangan ghaib dari Istana, Pejabat Menteri Besar atau pejabat Exco (yang mengarahkan Mohd Asri ditangkap). “Tangan ghaib yang dimaksudkan ialah Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Peraturan Tauliah," katanya pada sesi penggulungan Bajet 2010 Kerajaan Negeri Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini. Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib mendakwa wujud tangan ghaib dalam kes penahanan Mohd Asri ketika menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah di sebuah banglo di Taman Seri Ukay pada 1 November lalu. Hasan berkata, pegawai penguatkuasa Jais tidak membawa sebarang senjata ketika menahan Mohd Asri dan tangkapan itu juga dibuat secara berhemat serta berbudi bahasa. Katanya, pegawai penguatkuasa Jais terpaksa meminta bantuan 20 anggota polis sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan kerana ketika itu ada kira-kira 100 jemaah lain yang tidak memberi kerjasama. "Dakwaan Mohd Asri dilayan seperti pengganas dan penjenayah tidak benar. Malah penguatkuasa tidak membawa gari tetapi hanya mengiringi Mohd Asri ke balai polis," katanya. Hasan mengakui Peraturan Tauliah ada menyebut ulama dan mufti boleh dikecualikan dari syarat berkenaan tetapi perkataan “boleh” itu juga boleh menjurus kepada “tidak boleh”, bergantung kepada Jawatankuasa Tauliah.TPM, Terpulang Peguam Negara Teliti Kes Linggam
PUTRAJAYA, 13 Nov [4.45 pm] - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (foto), berkata terpulang kepada Peguam Negara berhubung hasrat Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu meneliti kes pita rakaman peguam, Datuk V K Lingam. "Terserah kepada AG (Peguam Negara) untuk menilai permohonan panel SPRM. Dan jika ada alasan sahih untuk berbuat demikian, kita serah kepada AG untuk membuat keputusan," katanya selepas meraikan kejayaan Kontinjen Malaysia yang muncul juara keseluruhan World Robot Olympiad (WRO) 2009 di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan PPO SPRM semalam yang akan menulis surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat bagi membolehkan kertas siasatan kes video Datuk V K Lingam, dibentangkan kepada panel berkenaan. Pengerusi panel, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata langkah itu perlu kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan umum walaupun ia berlaku sebelum penubuhan PPO SPRM pada tahun ini.VK Lingam, Majlis Peguam Kena Bayar RM70,000
PUTRAJAYA, 13 Nov [4.00 pm] - Majlis Peguam mesti membayar RM70,000 kepada peguam, Datuk V K Lingam berhubung keputusan untuk menubuhkan tribunal untuk menyiasat aduan terhadap Lingam yang didakwa bercuti ke New Zealand bersama bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin pada tahun 1994. Pada 14 Oktober lalu, Majlis Peguam diarahkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk membayar jumlah itu kepada Lingam. Hari ini, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk James Foong, yang mendengar permohonan Lingam untuk menilai semula kuantum itu dalam keputusannya, berkata mahkamah itu tidak mempunyai sebarang justifikasi untuk mengganggu penilaian Timbalan Pendaftar dan menegaskan semula keputusan berkenaan. Kuantum itu dianugerahkan kepada Lingam berikutan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan keputusan Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara Majlis Peguam untuk menubuhkan satu tribunal selepas Lingam gagal menjawab aduan Majlis itu berhubung percutiannya ke New Zealand.SPRM Lantik Pakar UK Pemerhati Bedah Teoh
SHAH ALAM, 13 Nov [3.15 pm] - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah melantik seorang pakar forensik bebas, Profesor Dr Peter Vanezis dari United Kingdom, untuk menjadi pemerhati dalam bedah siasat kedua terhadap mayat Teoh Beng Hock pada 22 November ini. Datuk Abdul Razak Musa, peguam pemerhati SPRM pada inkues bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock, berkata demikian kepada media selepas prosiding inkues ditangguhkan, hari ini. Abdul Razak berkata, Dr Vanezis adalah pengarah bagi Cameron Centre for Forensic Medical Sciences, London, dan sudah mengendalikan sebanyak 2,000 autopsi kes kematian mengejut, yang 1,500 daripadanya membabitkan homisid. Mayat Teoh akan digali semula pada November 21 atas permintaan keluarganya untuk bedah siasat kedua yang juga akan dihadiri pakar patologi Thailand, Dr Porntip Rojanasunan, bagi pihak Kerajaan Selangor. Prosiding inkues hari ini ditangguhkan ke 9 Disember untuk mendengar keterangan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah, yang terbabit kes saman sivil terhadap SPRM yang diputuskan Mahkamah Tinggi minggu depan. PAS Amal Sumpah Setia Laknat Bukan Talak Tiga
KUALA LUMPUR, 13 Nov [2.30 pm] - Pas mengakui hanya mengamalkan baiah sumpah setia laknat bukannya amalan baiah talak tiga seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali (foto). Beliau berkata amalan yang dilakukan sejak sekian lama itu adalah bertepatan dengan dasar Pas yang memperjuangkan Islam di samping menunjukkan yang mereka sedia dilaknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam. "Pas ada cara sendiri, kita guna tradisi dalam Islam. Baiah kita adalah ikrar setia dalam perjuangan. Pas buat benda ni sebelum pilihan raya lagi, sewaktu kita dipilih sebagai calon. "Walaupun kita tak setuju apa yang dilakukan oleh Khalid, tetapi kita hormati pendirian beliau. "Mungkin itu pilihan dia untuk tunjukkan kesetiaan kepada parti," katanya pada sidang media berhubung isu baiah di ibu pejabat Pas di sini, hari ini. Khalid baru-baru ini mendedahkan mengenai wujudnya amalan baiah dalam kalangan calon wakil rakyat parti itu yang dikehendaki melafazkan akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya keluar parti. Mustafa berkata baiah ahli Pas menjelang pilihan raya umum lalu tidak melibatkan lafaz menceraikan isteri, sebaliknya "sumpah setia laknat" bagi mengelak daripada berlakunya lompat parti. Katanya hanya terdapat dua anggota parti itu dari Selangor menggunakan lafaz baiah yang berbeza daripada amalan baiah biasa, dan seorang daripadanya adalah Khalid sendiri. Menurut Mustafa, pimpinan tertinggi Pas berpendapat, baiah yang dilafazkan oleh Khalid tidak sepatutnya berlaku kerana ikrar seperti itu seperti merendah-rendahkan martabat kaum wanita. Berikutan tindakannya itu, Mustafa berkata, Khalid telah diberikan peringatan lisan oleh parti. Khalid dalam pendedahannya sebelum ini mengakui memasukkan lafaz cerai taklik dalam baiahnya bagi mengukuhkan pendiriannya supaya tidak mengkhianati parti. Mustafa berkata, lafaz baiah Khalid dan seorang lagi anggota Pas di Selangor itu juga berbeza antara satu sama lain. Mustafa bagaimanapun enggan menyatakan nama seorang lagi pemimpin yang dimaksudkan. "Kita anggap ini hanyalah kes terpencil. Tak perlulah didedahkan nama individu itu, sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN). Pas harap isu ini tidak diperbesarkan," katanya.Hukuman Sebat Ditangguh Kerana Subahah?
KUANTAN, 13 Nov [2.20 pm] - Hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno (foto), belum dijalankan berikutan timbul syubahah (keraguan) dalam pelaksanaan hukuman itu. Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, berkata pelaksanaan hukuman itu perlu dilakukan secara berhati-hati, terutama terhadap pesalah wanita. "Sejak 52 tahun kemerdekaan negara, tidak ada lagi tukang sebat daripada kalangan wanita," katanya ketika menjawab soalan Syed Mohammed Tuan Lonnik (PAS-Beserah) berhubung kekangan dalam pelaksanaan hukuman terhadap Kartika pada Persidangan DUN Pahang, hari ini. Mohamad Sahfri bagaimanapun berkata, hukuman sebat terhadap pesalah lelaki bagi kesalahan sama telah dilaksanakan dengan terbaru, seorang rakyat Indonesia disebat enam kali di Penjara Penor di sini, semalam. Beliau berkata Pahang adalah antara negeri yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara dan sebatan bagi kesalahan meminum arak berbanding negeri lain dan ia perlu dijalankan dengan sebaik mungkin. Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai tahun lalu. Menjawab soalan mengenai hukuman enam sebatan yang dikenakan tidak mengikut syarak, Mohamad Sahfri berkata, ia berpandukan undang-undang yang diluluskan DUN Pahang dan bidang kuasa yang diberi Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Beliau berkata walaupun hukum syarak menetapkan hukuman 40 hingga 80 sebatan bagi kesalahan meminum arak yang merupakan satu daripada kesalahan hudud, Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman hudud. "Ini kerana enakmen yang ada hanya memperuntukkan hukuman takzir dan tiada hukuman had atau qisas walaupun ada di antara jenis kesalahan itu adalah hudud," katanya.Tajaan Dipertikai, Nik Aziz Batal Tunaikan Haji
KOTA BHARU, 13 Nov [12.27 pm] - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (foto), membatalkan hasratnya menunaikan fardu haji musim ini kerana bosan dengan kerenah media, yang katanya banyak mempersoalkan permergian beliau ke tanah suci itu yang ditaja pihak tertentu. Beliau berkata pemergiannya ke Tanah Suci yang dijadual 17 November ini ditangguhkan kerana media heboh mempersoalkan pemergiannya itu kerana ditaja orang tertentu yang didakwa mempunyai kepentingan dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar. Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas, berkata laporan dalam media dan laman blog mengenai tajaan untuk beliau itu bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya. "Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Makkah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Qurasy Malaysia," katanya ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di sini hari ini. Dalam ceramah itu, Nik Aziz berkata, beliau tidak begitu "pelahap" (menagih) tajaan oleh seseorang untuk menunaikan ibadah haji kerana beliau mempunyai wang sendiri, tetapi menerima tawaran itu kerana mahu memenuhi niat orang yang ingin menaja pemergiannya. "Tapi oleh kerana akhbar geger (bising) sangat, saya tangguhkan dulu niat untuk pergi ke Makkah kali ini," katanya. Bercakap kepada pemberita kemudian, Nik Aziz mengakui ada pihak membiayai perbelanjaannya untuk menunaikan ibadah haji dan beranggapan ia tidak salah selagi tidak melanggar peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Katanya beliau menerima terlalu banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya ke Makkah. Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan yang Menteri Besar Kelantan dan keluarganya mendapat tajaan untuk menunaikan ibadah haji. Laporan yang memetik sumber itu menyebut, jika ada unsur rasuah dan salah laku dalam kes itu, SPRM akan mengambil tindakan.




















