script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 | Rapatkan Ukhwah Eratkan Sillaturrahim | Terima Kasih Kerana Berkunjung Ke Sini, Sila Datang Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Panas: Sankara Nair Berjaya Mendedahkan Fakta Kes Liwat Itu Memang Tidak Pernah Pun Berlaku!

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Peguam Anwar, Sankara Nair (foto) semalam telah membongkarkan beberapa kepincangan kes pendakwa raya dalam hujah penggulungannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Menurut Sankara, ia menjadi alasan kukuh bahawa kejadian liwat yang didakwa Saiful sebenarnya tidak pernah berlaku. Pertama, Sankara mempersoalkan kenapa polis hanya menjumpai sehelai sahaja rambut Anwar di ruang tamu di unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara sedangkan manusia secara purata mengalami keguguran hampir 100 helai bulu daripada badan mereka setiap hari. “Manusia keguguran 100 helai rambut secara purata setiap hari. Tetapi kenapa polis hanya menjumpai sehelai sahaja bulu dari tubuh Anwar di ruang tamu unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara,” kata Sankara. Beliau turut mempersoalkan jika benar kejadian liwat itu berlaku pihak polis pasti akan turut menemui bulu Saiful dalam bilik yang didakwa kononnya kejadian tersebut berlaku. Sebaliknya, kata Sankara, hanya bulu yang dikatakan milik Anwar sahaja yang dijumpai di ruang tamu unit kondo itu. Sankara seterusnya menegaskan bahawa Saiful sebenarnya seorang penipu tegar kerana keterangan bohongnya sepanjang perbicaraan berlangsung. Menurut beliau, Saiful tidak pernah berada dalam bilik mahupun unit kondo itu pada waktu yang didakwa dalam pertuduhan. Dalam hujahnya, selaku saksi pendakwaraya, Saiful tidak pernah membuktikan dirinya berada dalam kondo itu pada masa kejadian didakwa berlaku. “Dia pembohong tegar. Dia tidak pernah berada di unit 11-5-1 Kondo Desa Damansara. Dia hanya membuatkan dirinya kelihatan seperti berada di kondo itu dengan keluar masuk lif yang dirakam kamere litar tertutup,” kata Sankara lagi.


Sila klik SINI untuk baca bukti KUKUH fakta keterangan rambut gugur

Video panas pendedahan Rafizi Ramli, tentang isu tersebut sebelum ini

[Ramai yang menganggap kini hujjah-hujjah yang dikeluarkan oleh dua saksi pakar dari Australia itu bakal menguatkan lagi pihak pembelaan dalam kes ini. Namun, ada banyak lagi perkara yang tersirat dan tersurat perlu diperjelaskan kepada rakyat. Ini kerana mereka terus melihat dan mengikuti perjalanan kes ini dengan penuh kemusykilan sebenarnya. Justeru itu, apa yang berlaku di mahkamah sekarang ini amatlah dinanti-nantikan oleh sekalian rakyat Malaysia seantero dunia. Mereka ingin tahu, apakah Anwar akan dibebaskan atau akan terus menjadi penghuni Penjara Sg.Buloh buat kali yang kedua dalam masa terdekat ini. Kini semua mata tertumpu kepada pihak hakim untuk tentukan apakah keputusan kes ini].
Share:

Penganjur Karnival Jualan Aidil Fitri Di Hadapan Terminal Makmur Kuantan Jawab Dakwaan Buat Sambungan Elektrik Tanpa Kebenaran Oleh MPK!

KUANTAN, 25 Ogos - Penganjur Karnival Jualan Aidil Fitri dihadapan Terminal Makmur dekat sini, menafikan laporan akhbar yang dibuat oleh seorang Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kononnya mereka membuat sambungan elektrik tanpa kebenaran. Dalam laporan Harian Metro (foto) dan Sinar Harian (19 Ogos) minggu lalu, Penguatkuasa MPK yang bernama Sarjan T.Ramathas mendakwa pihak penganjur terbabit membuat sambungan elektrik tanpa mendapat kelulusan MPK. Malah beliau juga mempertikaikan kedudukan kotak fius elektrik yang dikatakan berdekatan dengan kawasan khemah bazar berkenaan. Ramathas juga mendakwa tindakan terbabit boleh menjejaskan imej MPK kerana penganjur bersikap tidak bertanggungjawab dan lepas tangan dalam hal ini. Persoalannya sekarang, apakah wajar Penguatkuasa berkenaan mengeluarkan kenyataan media tanpa merujuk kepada pihak penganjur itu sendiri. Malah, difahamkan Ramathas hadir ke lokasi terbabit ketika operasi perniagaan masih belum dijalankan. Menurut seorang saksi, beliau hairan kenapa Ramathas yang hanya merupakan Penguatkuasa boleh mengambil tindakan mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa merujuk pihak yang berkenaan. "Saya dapati beliau jelas telah membelakangkan kepentingan awam dan mengeluarkan kenyataan berdasarkan emosinya semata-mata. Ini kerana pihak yang sepatutnya berbuat demikian bukanlah beliau. Sewajarnya dia membawa laporan tersebut kepada pihak atasan termasuk Yang Di Pertua untuk membuat siasatan. Malah, pihak penganjur juga tidak dimaklumkan kehadiran beliau pada hari tersebut. Anehnya, beliau dengan berani telah membawa pihak media untuk terus hentam dan memalukan penganjur tanpa merujuk pihak terbabit", katanya.

Kenyataan Media Wajar Di Rujuk Pihak Berkaitan


Sewajarnya sebuah Majlis Tempatan seperti Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), kenyataan media haruslah dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Yang DiPertua atau pun Pegawai Perhubungan Awamnya. Langkah T.Ramathas mengeluarkan kenyataan tanpa ada siastaan dijalankan oleh bahagian elektrik atau pun merujuk kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah keterlaluan dan diluar bidang kuasanya sebagai Penguatkuasa. Umumnya, bidang tugas pihak Penguatkuasa tidak merangkumi urusan elektrik, tetapi bagaimana beliau boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Menurut sumber, segala urusan dengan pihak MPK berkenaan dengan tapak telah pun diuruskan mengikut prosedur permohonan yang betul. Urusan elektrik adalah dibawah bidang kuasa TNB dan segala yang berkaitan telah dijelaskan oleh pihak penganjur. Ini termasuklah permintaan untuk bayaran caj sambungan ke salur utama dan bayaran cagaran TNB. Difahamkan sambungan salur elektrik ke lokasi terbabit dibekalkan oleh TNB menerusi pencawangnya di kawasan Perhentian Bas Dan Teksi (Terminal Makmur) yang terletak berhampiran. Difahamkan sebelum memohon bekalan elektrik pihak TNB membuat anggaran bekalan terlebih dahulu. Oleh itu tidak timbul soal penganjur membuat sambungan tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). Maka, T.Ramathas sepatutnya merujuk masalah terbabit (jika benar dakwaannya) kepada pihak penganjur dan juga TNB sebelum mengeluarkan apa jua kenyataan media. Tindakan beliau itu jelas sekali membelakangkan Yang DiPertua MPK. Sedangkan sebagai Penguatkuasa, beliau hanya layak untuk terima aduan sahaja sebenarnya.

Keratan artikel yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian (19 Ogos)
Bukti, tuduhan kononnya penganjur tidak bertanggungjawab terhadap
keselamatan orang ramai dalam isu ini adalah tidak wajar sama sekali
Soalnya sekarang, siapakah yang memberikan arahan supaya beliau mengeluarkan kenyataan itu. Bahkan, sebelum mengeluarkan kenyataan siapakah yang telah dirujuk oleh beliau agaknya?. Semua ini menimbulkan kemusykilan. Malah, tindakan tersebut jelas sekali membuktikan beliau membuat tindakan berdasarkan emosi semata-mata (tekanan kerja dan orang awam) tanpa merujuk kepada fakta sebenarnya. Malah, kenyataan beliau kononnya fius elektrik berkenaan dipagar dengan tali amaran awas "merah putih" menunjukkan beliau hanya mencari isu. Beliau harus faham bahawa Ekspo Jualan Aidil Fitri yang dikatakan Bazar Ramadan itu adalah bersifat sementara, maka sambungan bekalan elektrik juga adalah berkonsep sementara dan bukanlah kekal seperti yang diharapkan. Makanya, penyediaan "kotak fius" oleh kontraktor elektrik di kawasan terbabit sudah membuktikan keselamatan diutamakan seperti kotak fius yang sudah tertutup dan berpagar. Malah, kini kawasan itu telah dipagar semula dengan "pagar jaring" (foto) bagi meningkatkan lagi tahap keselamatannya. Masalah yang ditimbulkan kononnya ada asap yang dikeluarkan oleh kotak fius terbabit juga amatlah dangkal sama sekali. Ini kerana, masalah tersebut adalah perkara biasa yang berlaku dimana-mana eskpo besar akibat gangguan teknikal atas penggunaan bekalan individu yang berlebihan. Difahamkan juga, pihak kontraktor elektrik terbabit senantiasa "standby" setiap hari di situ. Malah, pemadam api juga disediakan pada setiap "sub dB elektrik" yang terdapat ditapak tersebut.

[Justeru itu, mana-mana pegawai pihak majlis tempatan diminta lebih berhati-hati dalam mengeluarkan apa jua kenyataan media. Sewajarnya, siasatan dan rujukan perlulah dibuat terlebih dahulu sebelum berbuat demikian. Jika tidak, isu seperti ini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti pegawai terbabit malah menjatuhkan juga imej majikannya. Ikutlah prosedur yang betul dalam menjalankan tugas sebagai kakitangan awam. Diharapkan apa yang berlaku ini menjadi pengajaran yang berguna kepada pihak lain selepas ini. Jangan dek kerana "nila setitik rosak susu sebelanga". Kami tidak mempunyai apa-apa kepentingan untuk memaparkan isu ini, namun ia bagi mencari keadilan untuk semua pihak. Jalan penyelesaian yang terbaik harus diambil supaya masing-masing akan mendapat faedah di kemudian hari. Manakala itu, pihak media juga wajar mendapat kenyataan dari kedua-dua belah pihak sebelum mengeluarkan artikel terbabit. Apa yang berlaku dalam kes ini, hanya satu pihak sahaja yang dirujuk oleh pihak media tanpa pengetahuan penganjur terlebih dahulu].
Share:

PAS Pusat Bakal Memanggil Dr.Che Rosli Che Mat Berhubung Kenyataannya Di Buletin Utama TV3 !

KUALA LUMPUR, 25 Ogos - PAS Pusat akan memanggil Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat berhubung kenyataannya mengenai isu Lynas yang disiarkan menerusi Buletin Utama TV3 malam tadi. Selain itu, PAS Pusat akan turut mendapatkan keterangan berhubung kenyataan beliau yang mengatakan Lajnah Penerangan PAS Pusat melarang beliau mengeluarkan kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas. Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi menyelesaikan kekusutan yang timbul ekoran kenyataan Dr Che Rosli mengenai perkara itu. Menurut beliau, sehingga kini beliau selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan sebarang kenyataannya tentang nuklear termasuk berhubung dengan isu Lynas. Katanya, jadi kenyataan Che Rosli itu ternyata tidak berasas dan sehubungan itu pihaknya perlu memanggil Che Rosli bagi mendapatkan penjelasan daripada beliau sendiri mengenai perkara itu. "Saya selaku Ketua Penerangan PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan halangan kepada Dr Che Rosli untuk keluarkan kenyataan berhubung dengan nuklear. Jadi kita akan memanggil beliau untuk dapatkan penjelasan," katanya.

Pakatan Rakyat 'Tetap Tolak' Projek Kilang Lynas

Pakatan Rakyat tetap menolak projek nuklear Lynas di Gebeng, Kuantan kerana memikirkan risiko yang terpaksa dihadapi oleh penduduk negara ini terutama penduduk di kawasan itu. Risiko yang dikenalpasti bukanlah hanya daripada pancaran radiasi, katanya, malah terdapat banyak potensi risiko yang cukup tinggi ketika pengangkutan bahan mentah yang tiba dari Australia di pelabuhan Kuantan ke tapak kilang LAMP milik Lynas di Gebeng Kuantan. "Selain itu, risiko yang tinggi juga akan dialami ketika kerja-kerja pemprosesan, simpanan dan pengurusan sisa buangan (pepejal, air sisa dan gas) yang dikenalpasti mempunyai elemen radioaktif di dalamnya," kata Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Menyedari hakikat itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menegaskan, PAS Pahang tetap konsisten dengan keputusannya sejak dulu yang bersama-sama penduduk di kawasan Gebeng, Kuantan menolak projek nuklear Lynas. "Malah berdasarkan kenyataan penduduk di kawasan itu, sekiranya Dr Che Rosli (foto) yang bersetuju dengan projek itu, jangan sekali-kali dibina di kawasan mereka, tetapi bawalah projek nuklear Lynas itu ke tepi rumah Dr Che Rosli sendiri. "Kenyataan penduduk di kawasan Gebeng itu perlu difahami dengan jelas oleh Dr Che Rosli. Mereka menentangnya bukan kerana tidak memahami kepentingan nuklear, tetapi tidak yakin dengan pengawalan dan pemprosesannya. "PAS dan Pakatan Rakyat amat faham perkara itu dan ia juga amat perlu difahami oleh pelbagai pihak. Itulah sebabnya PAS bersama-sama penduduk di kawasan itu konsisten menentangnya sejak dulu," ujar beliau.

[Ramai pihak yang terkejut dengan kenyataan Dr.Che Rosli Che Mat di TV3 malam tadi. Malah ada diantara mereka yang tidak menyangka beliau boleh mengeluarkan kenyataan dengan menghentam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan sengaja memainkan isu Lynas untuk mengelirukan rakyat. Malah, Fuziah Salleh selaku Ahli Parlimen Kuantan dijadikan bahan untuk mereka menghentam pemimpin itu. Soalnya, siapakah yang memberi mandat kepada Dr.Che Rosli untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian di TV3?. Beliau sepatutnya merujuk kepada pucuk pimpinan tertinggi PAS terlebih dahulu kerana dia masih lagi bergelar Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mewakili PAS di Hulu Langat. Inilah yang memusykilkan kita sebenarnya. Apapun rakyat lebih bijak untuk membuat penilaian tentang isu ini. Malah, mereka terkadang lebih bijak dari pakar yang diperkatakan itu. Segalanya ditangan rakyat untuk menentukannya].
Share:

Lynas: Mahfuz Omar, 'Hormati Kenyataan' Dr.Che Rosli Tetapi 'Kebimbangan Rakyat' Perlu Di Teliti !

KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Biarpun terdapat pelbagai pandangan, namun pandangan pakar kesihatan awam bahawa projek loji Lynas di Gebeng, Kuantan tetap akan menjejaskan kesihatan orang ramai perlu diberikan perhatian serius, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (foto). "Walaupun perlu dihormati pandangan (Ahli Parlimen Hulu Langat) Dr Che Rosli (Che Mat) yang merupakan seorang pakar dalam bidang nuklear mengenai tahap radiasi loji tersebut, tetapi kebimbangan penduduk setempat yang disokong oleh pandangan pakar kesihatan awam terhadap kesan loji tersebut ke atas mereka mestilah dikongsi bersama dan diberi perhatian serius," kata beliau. Awal Julai lalu, pakar kesihatan awam, Dr Jayabalan menyifatkan projek memperoses nadir bumi itu tetap akan menjejaskan kesihatan orang ramai setelah ia beroperasi kelak. Bercakap mengenai kesan radiasi daripada projek Lynas itu, beliau berkata, loji itu akan menghasilkan sekurang-kurangnya 20,000 tan sisa radioaktif setahun. "Walaupun Lynas dan Badan Perlesenan Tenaga Atom (AELB) menyatakan tahap radiasi lebih rendah, tetapi ianya akan berbahaya apabila terkumpul dengan jumlah yang lebih banyak," kata Dr Jayabalan. Selain pandangan pakar kesihatan awam, kata Mahfuz, rakyat negara ini terutama penduduk sekitar projek Lynas itu semakin bimbang apabila akhbar The New York Times melaporkan projek Lynas mengalami isu kejuruteraan dalam tangki simpanan, paip penghantar dan juga tapak kilang.


Mungkin Lynas itu selamat, tetapi suara rakyat Pahang juga perlu diteliti
Menurut akhbar tersebut, masalah yang dihadapi oleh Lynas Advanced Material Plant (LAMP) itu termasuk dinding 70 tangki takungan didapati mengalami rekahan struktur, ketirisan dan terkandung poket udara, paip tidak memenuhi ketetapan piawaian, tapak tidak dapat menebat air, dan sebagainya. Antaranya, paip keluli yang digunakan merupakan keluli biasa yang tidak dapat menahan kehausan dan kehakisan; tangki konkrit juga diperbuat oleh simen biasa dan bukan konkrit polimer lebih mahal yang bercampuran dengan bahan plastik; tapak simen kilang tersebut juga tidak dilitupi oleh penebat plastik bagi menghalang air dan kelembapan. "Penekanan Lajnah Alam Sekitar PAS bahawa rakyat yang tentang projek itu tidak beremosi kosong amat penting untuk diberit perhatian yang sepatutnya," kata Mahfuz.

[Kenyataan Mahfuz ini adalah sependapat dengan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar bahawa rakyat yang membantah projek itu berpegang kepada kajian yang menyeluruh dan bersandarkan rujukan-rujukan yang tertentu sehingga terbukti bahawa salah satu isu yang dibangkitkan wakil penduduk setempat ialah mengenai ketiadaan pelan pengurusan sisa buangan diakui oleh panel Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sendiri sebagai salah satu penambahbaikan yang perlu disediakan oleh Lynas serta Badan Perlesenan Tenaga Atom AELB].
Share:

Panas: Pakar Australia Meragui "Ujian DNA" Oleh Jabatan Kimia Malaysia Kerana Pihak Berkenaan Gagal Perolehi Pengiktirafan Pensijilan ISO17025!

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Adalah mustahil sperma yang banyak dapat dikesan selepas terdedah lebih daripada lapan jam menurut konsultan molekular genetik dari Australia, Dr Brian Mcdonald. Beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes fitnah liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata jumlah sperma akan merosot selepas dibiarkan terdedah. Justeru pasukan peguambela meragui sekiranya pakar DNA Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong (foto) menjalankan ujian keatas spesimen sperma yang sama diperolehi dari dubur pengadu Saiful Bukhari Azlan. "Sekiranya sperma diuji selepas 100 jam (tanpa simpanan betul), adakah kemungkinan ujian akan mencatatkan bacaan negatif?" tanya Ram. "Benar. Kemungkinan bukan sampel yang sama berdasarkan sejarah kajian," jawab Brian. Pada sebelah pagi, mahkamah dikejutkan dengan penemuan makmal di Jabatan Kimia Malaysia (JKM) tidak mendapat pensijilan ISO17025 yang dikeluarkan oleh American Society of Crime Laboratories Directors (ASCLD). Perkara yang didedahkan Brian itu menyatakan bahawa mana-mana makmal yang menjalankan ujian DNA harus mendapat akreditasi di peringkat antarabangsa. Namun difahamkan makmal JKM di mana ujian sperma kes liwat Saiful dijalankan gagal memperoleh sijil ISO setelah tamat pada Oktober 2005. Makmal tersebut yang diberi tempoh lima tahun daripada tarikh tamat untuk memenuhi piawaian masih tidak mendapat pengiktirafan malah diberikan tempoh lanjutan sebanyak dua kali yang akan berakhir pada Oktober nanti.

Pendedahan oleh Saudara Rafizi Ramli (Pengarah Strategik PKR) pasal DNA

[Sankara yang ditemui media selepas hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menangguhkan sesi perbicaraan hari ini menyanggah keterangan Seah sebelum ini yang menyatakan jumlah sperma yang banyak berjaya dikesan walaupun telah melebihi 90 jam. "90 jam masih kata ada banyak. (Seah) perlu jelaskan bagaimana beliau dapat. Ianya mungkin tiada sperma langsung. Itu sebab saya suruh tunjukkan foto (sperma) di mahkamah tapi mereka kata tiada," katanya. Sesi perbicaraan hari ini turut menyentuh kelalaian Seah memperbetulkan kesilapan tarikh yang dicatatkan pada dua botol spesimen yang mengandungi DNA. Botol-botol itu dilabel dengan tarikh 26 Jun 2008 sedangkan Saiful membuat aduan di Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun tahun yang sama.Menurut Brian, sebagai pakar DNA, Seah peka terhadap sebarang kecacatan sebelum mengetengahkan kepada umum dengan hasil ujian. Brian menyifatkan kemungkinan sampel diambil pada 28 Jun atau ianya telah disalah label. Katanya perbuatan Seah mampu merisikokan nyawa seseorang dan akan dibuang kerja sekiranya ianya berlaku di negara Australia. Mahkamah bersambung esok di mana Ram Karpal (foto) akan meneruskan sesi menyoal pakar dari Australia itu].
Share:

Aneh: Pengerusi SPR Tiba-Tiba Berbeza Pendapat Dengan Timbalannya, "Akui'' Guna Dakwat Kekal Lebih 'Kurang Bermasalah' Dari Sistem Biometrik

KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengakui bahawa penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda, adalah kurang bermasalah daripada menggunakan sistem biometrik. Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (foto) berkata, walaupun biometrik adalah "sistem yang sempurna" di segi teorinya, tetapi wujud kelemahan bila diamalkan. "Hujah bahawa (seseorang yang mempunyai beberapa kad pengenalan) boleh mengundi sekali sahaja dan kemudian bawa kad lain ke saluran yang berbeza, dan ia akan sepadan dengan cap ibu jarinya dan dia akan dibenarkan mengundi "Prasyarat bagi sistem ini berkesan ialah setiap orang mempunyai hanya satu kad pengenalan sahaja," katanya. Dibanding dengan dakwat kekal, katanya, sistem tersebut boleh juga bermasalah pada hari mengundi dan menyulitkan prosesnya. Abdul Aziz berkata, pihaknya mencubanya dengan 50 orang dan purata masa bagi setiap orang adalah 10 saat, tetapi menghadapi masalah apabila mesin tidak dapat mengesannya. "Dengan dakwat kekal, anda hanya perlu celup jari dalam dakwat," katanya. Beliau juga berkata sistem biometrik "sangat mahal" dan memerlukan sekurang-kurangnya tujuh bulan. Abdul Aziz juga menafikan dakwaan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa dakwat kekal boleh digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menandakan pengundi naif supaya mereka hilang kelayakan mengundi.

[Kenyataan Pengerusi SPR ini terkadang nampak menarik dan baik untuk diperkatakan, namun disebalik itu timbul kemusykilan kenapa beliau kini mengeluarkan kenyataan "lembut" yang sealiran dengan kerajaan UMNO BN itu sendiri sekarang. Jika dulu, Tan Sri Aziz Yusof begitu lantang mempertahankan sistem SPR yang ada sekarang adalah yang terbaik dan beliau secara terang-terangan mengutuk perhimpunan Bersih 2.0 awal Julai lalu. Namun, kini nadanya sudah berbeza bahkan rentaknya pincang sama sekali dengan timbalan beliau sendiri. Apakah dia benar-benar insaf untuk melihat pilihanraya yang adil dan saksama tertegak di bumi Malaysia ini. Atau ia mungkin satu "trick" yang dilakukan untuk mengaburi mata rakyat supaya menerima apa saja ketetapan yang bakal dibuat oleh SPR pada PRU13 nanti. Inilah yang perlu kita fikirkan sekarang, kerana manusia tidak semudah itu akan berubah jika bukan kerana ada "udang disebalik mee". Apapun, teruskan perjuangan rakyat demi masa hadapan].
Share:

Bicara Kes Liwat: Integriti Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Di Persoalkan, Pakar Australia Dedah Garis Panduan Penting Terhadap Ujian DNA Di Abaikan

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Integriti Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dipersoal apabila mahkamah diberitahu bahawa ahli kimia jabatan itu mengabaikan garis panduan penting ujian DNA. Perkara itu didedahkan pakar DNA Australia, Dr Brian McDonald yang menjadi saksi kelima kes fitnah liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. Brian dalam keterangannya menyatakan bahawa ahli kimia dari JKM, Nor Aidora Saedon mengabaikan prosedur penting ketika menjalankan analisis sperma yang dikaitkan dengan Anwar. Katanya, Nor Aidora mempunyai peluang untuk memperbetulkan keputusan ujian tersebut namun tidak berbuat demikian. "Apa yang beliau ada merupakan bukti campuran (DNA), lebih daripada seorang. Tapi beliau secara khusus mengabaikan perkara itu," jelas Brian di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah. Peguam Ram Karpal dalam prosiding hari ini menimbulkan kesangsian terhadap ujian sampel sperma yang diambil dari dubur pengadu Saiful Bukhari Azlan dan mendakwa ianya milik Anwar. Anwar sebelum ini ditahan semalaman di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008 dan dibebaskan keesokkan harinya selepas sesi keterangan selesai. Pasukan forensik PDRM kemudian mengambil sampel DNA pada sehelai tuala muka 'Good Morning', berus gigi, botol air mineral dan sehelai rambut yang ditinggalkan Anwar untuk dikaitkan dengan 'lelaki Y' iaitu DNA sperma. Peguambela kemudian mendakwa polis sengaja memerangkap anak guamnya dengan meletakkan barang-barang tersebut agar Anwar meninggalkan sample DNAnya. Sehubungan dengan itu berdasarkan ujian oleh ahli kimia JKM termasuk pakar Dr Seah Lay Hong mengesahkan 'lelaki Y' adalah ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Pendedahan oleh Saudara Rafizi Ramli (Pengarah Strategik PKR) pasal DNA

[Sankara yang ditemui media selepas mahkamah berehat berkata, Jabatan Kimia Malaysia seharusnya mengemukakan bukti foto sampel air mani yang diambil untuk mengukuhkan dakwaan. "Kaca (spesimen) diletakkan di bawah mikroskop dan terus anda boleh nampak sperma mati atau hidup. Sebab itu kita minta foto ditunjukkan di mahkamah," ujar beliau. Katanya sehingga kini JKM gagal berbuat demikian. Menurut Sankara lagi, makmal JKM mempunyai dua garis panduan dalam menjalankan ujian DNA malah jabatan itu tidak mempunyai akraditasi penuh dari panel antarabangsa. Beliau menyatakan bahawa ujian DNA yang dilakukan oleh Seah dan Nor Aidora berlainan. "Kedua mereka perlu guna garis panduan yang sama di dalam makmal. Prosedur ujian perlu sama," kata Sankara].
Share:

Warta Pahang: Dewan 'Pemuda PAS Negeri' Kesal Pengharaman Tazkirah Dan Desak Supaya Pihak MUIP Tarik Balik Larangan Tersebut Demi Islam !

TEMERLOH, 25 Ogos - Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) hari ini melahirkan rasa kesal dan membantah arahan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang melarang penyampaian tazkirah Ramadan di semua masjid dan surau seluruh negeri ini. Sementara itu Ketua Pemudanya, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim (foto), menganggap ‘pengharaman’ berkenaan sebagai satu kejutan baru di Malaysia selepas negara ini diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam. Baru-baru ini, telah muncul di sebuah stesen televisyen dalam slot berita tengah hari (22 Ogos lalu) mengumumkan larangan mengadakan tazkirah Ramadhan di semua surau dan masjid seluruh negeri Pahang dengan alasan telah menggangu ibadah orang lain dan majlis ilmu. Difahamkan, kebanyakan masjid di bawah MUIP sudah menghentikan majlis tazkirah selepas sembahyang zohor dan sembahyang tarawih. Shahril dalam edaran medianya yang kesal dengan arahan tersebut, menyoal adakah pengharaman tazkirah ini hanya berdasarkan aduan seorang individu atau Exco Kerajaan Negeri lalu tanpa sebarang siasatan terus mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah.

Nyatakan Kebenaran Bukanlah Bermakna Politik

“Sepatutnya MUIP sebagai sebuah institusi agama yang besar bertindak lebih matang dan berakhlak dengan memanggil penyampai tazkirah untuk menyiasat adakah benar beliau menyampaikan tazkirah yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, bukannya mengharamkan tazkirah dan menyekat majlis ilmu. “Tazkirah menjadi dimensi untuk mendidik umat Islam secara tidak langsung. Institusi pendidikan bukan sekadar di sekolah, kolej atau universiti semata-mata. Malah masjid, surau dan madrasah menjadi platform menyuburkan Islam sejak zaman berzaman. “Kemungkinan pula hala tuju larangan itu menjurus kepada tazkirah menjadi ceramah politik. Takkan lah seorang pentazkirah apabila menghuraikan ayat-ayat al-Quran yang mengharamkan riba, rasuah, judi, haramnya bersalam antara lelaki dan perempuan, wajib pakai tudung dan sebagainya sudah dikira mengganggu ibadah orang ramai?” soalnya. Shahril juga berkata, kini rakyat bertambah malu untuk menobatkan Malaysia 'Negara Islam' apabila ajaran Islam cuba dihalang oleh orang Islam sendiri, apatah lagi yang halang itu sebuah institusi yang bertanggungjawab menjaga agama. Tambahnya, tazkirah yang diadakan sekadar mengulas ayat al-Quran yang dibaca ketika bersolat.

Kejahilan Akan Bertambah Andai Agama Di Sekat


Sekiranya menyentuh pelbagai isu mengenai kehidupan manusia, itu realitinya sebuah kitab suci. Al Quran diturunkan dari Allah Taala yang mengatur segala kehidupan manusia. “Apabila proses memberi kefahaman, ayat-ayat Allah berlaku, orang ramai akan faham maksud isi kandung al-Quran. Ketika sembahyang mereka akan mengingati maksud-maksud ayat yang dibaca imam. Sembahyangnya tentu menjadi lebih khusyuk dan iman semakin menebal. “Perlu diingat, kejahilan umat Islam dalam menghayati ajaran Islam dalam segala aspek kehidupan boleh menjerumuskan umat Islam kepada gejala murtad. Adakah pihak Muip akan bertanggungjawab di hadapan Allah kelak diatas kejahilan umat Islam di Pahang yang boleh membuka ruang kepada terdedahnya gejala murtad?” soalnya lagi. Oleh itu, DPPNP membantah keras larangan ini dan mendesak supayaTimbalan Pengarah MUIP, Dato' Sri Wan Hj Abdul Wahid bin Wan Hassan (foto) menarik balik larangan tazkirah kerana ia akan menyebabkan orang jahil bertambah jahil dan orang alim membisu, maka ia akan beri kesan kepada kehancuran sebuah negara itu.

[Awal Ramadan yang lalu, Exco kerajaan negeri Pahang, Dato' Wan Adnan Wan Mamat (foto) pernah mempertikaikan tazkirah semasa solat Tarawih atas alasan ia berunsur politik dan mengelirukan umat Islam. Malah, beliau juga berharap agar pihak berkenaan mengambil tindakan teas atas perkara ini. Persoalannya, memang benar bila bercakap agama ia akan menyentuh soal sikap dan perangai seseorang Islam itu sendiri. Makanya, apakah membaca ayat-ayat Allah itu boleh dikategorikan sebagai politik? Sedangkan ia terkandung dan termaktub dalam Al-Quran. Manusia perlu didik agar menjadi lebih baik dari semalam. Maka, jika larangan ini dikuatkuasakan akhirnya ajaran Islam itu sendiri akan tersekat dan besar dosanya bila menghalang penyebaran agama Allah atas muka bumi ini. Justeru, pihak MUIP diminta mengkaji dulu sebelum melaksanakan sesuatu tindakan. Ingatlah, Allah melihat apa yang kita kerjakan. Oleh itu, bekerjalah untuk agama dan bukannya untuk kepentingan politik tertentu].
Share:

Bicara Liwat: Pakar DNA Dari Australia, Dr.Brian McDonald Jadi Saksi Pembelaan Anwar Ibrahim !

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Hari ke empat sesi pembelaan kes fitnah liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pakar DNA Australia, Dr Brian McDonald (foto) mengambil tempat di kandang saksi. Brian yang juga dari Australia sebelum itu disoal terlebih dahulu oleh peguambela Ram Karpal, dan akan diikuti dengan pemeriksaan balas oleh peguamcara 11, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidan, yang mengetuai pasukan pendakwa. Beliau yang berpengalaman dalam bidang kajian DNA dijemput khas oleh peguambela untuk memberi pandangan bersabit alatan dan prosedur operasi standard (SOP) makmal kimia untuk tujuan analisis sampel DNA. Menjawab soalan peguam Ram Karpal, Brian menjelaskan jenis-jenis kelengkapan makmal kimia yang kebiasaannya digunapakai makmal di seluruh dunia termasuk di Jabatan Kimia Malaysia (JKM). Menurut Brian lagi, selepas menerima data daripada kedua-dua ahli kimia Malaysia, beliau telah membuat satu laporan berasingan. Laporan bertajuk 'Report of Malaysian Version in the case of PP vs AI' disediakan beliau pada tahun 2009. Dalam keterangannya, Brian menjelaskan tentang beberapa terma dalam ujian DNA. Brian menjelaskan terma seperti starter, peaks, polymerase Chain Reaction (ujian PCE), dan electropherograms. Beliau juga menjelaskan tentang istilah 'short tandem repeat' (STR) dan 'loci' dalam ujian DNA. Jelasnya lagi, DNA dari darah, mani darah, dan sampel badan seseorang itu, adalah sentiasa serupa. Oleh itu katanya, terdapat garispanduan standard antarabangsa agar ia boleh ditafsirkan di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun ulasan teperinci Brian itu mendapat bantahan Timbalan Pendakwaraya (DPP) Datuk Yusof Zainal Abiden dengan alasan saintis itu tidak layak memberi sebarang pandangan memandangkan beliau tidak menganggotai lembaga JKM. Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah yang menerima bantahan itu kemudian mengarahkan Brian untuk memberi keterangan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman beliau dalam aspek ujian makmal.

[Pada perbicaraan kes hari ini, pendakwaraya turut menjemput pakar forensik DNA Jabatan Kimia Malaysia Dr Seah Lay Hong bertindak sebagai pemantau. Pakar kimia Dr Seah dan Nor Aidora Saedon sebelum ini mengesahkan bahawa sampel DNA 'lelaki Y' adalah milik Anwar. Walau bagaimanapun pasukan pembelaan mempertikaikan keputusan ujian makmal yang disifatkan tidak mengikut standard antarabangsa malah menuntut bukti ujian itu dikemukakan kepada mahkamah. Anwar yang dari awal menafikan tuduhan itu turut mengecam tindakan polis yang mengambil sampel DNA beliau tanpa kerelaan selepas ditahan semalaman di IPK Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008. Selepas dibebaskan keesokkan hari, pasukan forensik PDRM telah mengambil sehelai tuala 'Good Morning', berus gigi, botol air mineral dan sehelai rambut dari lokap tersebut dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kimia bagi tujuan analisis].
Share:

Bicara Liwat: Timbalan Pendakwaraya Soal Balas Pakar Forensik Dengan Laporan Perubatan HKL !

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Hari ketiga sesi membela diri kes fitnah liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan Timbalan Pendakwaraya, Datuk Yusof Zainal Abiden (foto) menyoalbalas pakar forensik dan patalogis Australia, Dr David Wells. Yusof sejak dari awal konsisten cuba mendapatkan persetujuan daripada David untuk mengukuhkan dakwaan bahawa laporan perubatan doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak menimbulkan sebarang keraguan. Laporan itu merujuk kepada perkataan "konklusif" yang dianggap kurang jelas dan bukan amalan biasa bagi seorang pengamal perubatan untuk membuat catitan sedemikian. Malah ketika soaljawab oleh peguambela Sankara Nair semalam, David turut mendakwa berdasarkan salinan laporan tersebut, beliau menyifatkan ianya bukan ditulis oleh seorang doktor berpengalaman. Pengadu Saiful Bukhari Azlan hadir ke HKL pada 28 Jun 2008 dan memberitahu tiga doktor pakar yang memeriksanya bahawa beliau diliwat oleh seorang VIP dua hari sebelum itu. Beliau sebelum itu ke Hospital Pusrawi, di mana beliau telah diperiksa oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid yang kemudiannya mencadangkan Saiful ke HKL.

[Berdasarkan laporan perubatan yang dikeluarkan, tiada sebarang kecederaan dikesan pada dubur Saiful namun beliau mendakwa berlaku kejadian liwat. David kemudian bersetuju dengan Yusof bahawa kebanyakkan kes rogol tidak semestinya mendatangkan kecederaan pada alat sulit mangsa. Yusof seterusnya memberitahu mahkamah terdapat satu kes sekitar tahun 80-an di mana sperma berjaya ditemui pada dubur mangsa rogol walaupun telah dicuci dan melebihi 30 jam. Namun David bertegas ianya merupakan kes yang amat jarang berlaku. "Masih tidak tepat dan ia masih kes tunggal. Saya gembira jika saya boleh temui perkara yang sama," ujar David].
Share:

Bicara Liwat: Pakar Forensik Australia Mendakwa Kemungkinan Sperma Di Masukkan Orang Ketiga!

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Pendakwa dalam perbicaraan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membangkitkan Kemungkinan sperma sengaja dimasukkan ke dalam dubur pengadu, dan oleh itu berkemungkinan ada orang ketiga yang mempunyai akses kepada sperma tertuduh. Peguamcara 11, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin bertanyakan soalan tersebut kepada saksi ketiga pihak pembela, Dr David Wells (foto), pakar patologi forensik Australia mengenai kemungkinan tersebut. Kemungkinan itu ditimbulkan oleh Yusof ekoran dakwaan pihak peguambela Datuk Seri Anwar bahawa berlaku pencemaran dan gangguan keterangan mengenai bagaimana sperma itu boleh masuk ke dalam dubur pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan. Yusof: Jika seseorang memasukkan sperma itu, dia mesti ada sperma orang berkenaan? Wells: (berfikir seketika) Perkara ini saya serahkan kepada pakar DNA. Ahli kimia, Dr Seah Lay Hong, dalam keterangannya sebelum ini berkata, beliau menemui sperma dari sampel air mani yang diambil dari dubur Saiful. Seorang lagi ahli kimia, Dr Nor Aidora kemudiannya mendakwa beliau membandingkan DNA tersebut dan mendapati ia milik Anwar. Wells juga ditanya mengenai jangka hayat sperma, dan menurutnya ia boleh bertahan antara 36 dan 48 jam. "Saya tidak selesa jika mengambil sampel selepas 36 jam," katanya. Dalam kes Saiful, sampel tersebut diambil dalam sampel dalam 56 jam iaitu dua hari selepas kejadian liwat itu didakwa berlaku apabila beliau pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

[Rakyat majoritinya semakin jelek dan muak dengan perbicaraan kes liwat yang dikata melibatkan Saiful Bukhari Azlan dan Anwar Ibrahim ini. Semakin kes ini dibicarakan, maka semakin banyak kepincangan dan kemusykilan dilihat terdedah. Soalnya sekarang, hanya hakim sahaja yang akan memastikan tertuduh bersalah atau dilepaskan. Inilah yang dinanti-nantikan oleh rakyat sebenarnya. Namun, ramai pemerhati yang begitu yakin Anwar akan kembali bermastautin di Penjara Sg.Buloh dalam masa terdekat ini. Tambahan pula, dengan keadaan kes liwat itu yang kini sudah menghampiri ke penghujungnya. Apakah rakyat boleh terima apa juga keputusan yang bakal ditetapkan oleh hakim itu, atau pun sebaliknya?].
Share:

Warta Pahang: PM Berbuka Puasa Dengan Rakyat Temerloh Di Padang Awam Kubang Gajah Hari Ini

TEMERLOH, 24 Ogos - Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Najib Tun Razak (foto) akan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama PM di Padang Awam Kubang Gajah dekat sini petang nanti. Justeru itu orang ramai di sekitar daerah ini yang ingin bertemu dengan Perdana Menteri bolehlah hadir berama-ramai. Disamping berbuka puasa Perdana Menteri juga dijangka akan menyampaikan ucapannya yang sudah pasti amat dinanti-nantikan oleh rakyat di sini. Sambutan kehadiran Perdana Menteri itu nampak rancak dijalankan oleh semua pihak. Malah, suasana di bandar Temerloh kini difahamkan umpama pilihanraya apabila dihiasai dengan bendera UMNO dan Barisan Nasional di sana sini. Pahang Daily Online mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang Perdana Menteri serta selamat berbuka puasa kepada penduduk Temerloh.

[Sementara itu Perdana Menteri dan ahli Jemaah Menteri akan mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya pertama di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana, Putrajaya. Rumah Terbuka itu adalah dari tengah hari hingga 6 petang, menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini. Bagi memastikan kelancaran trafik di kawasan Seri Perdana, orang ramai diminta supaya menggunakan perkhidmatan bas Nadi Putra yang disediakan secara percuma. Sebanyak 12 buah bas akan beroperasi dari 11 pagi hingga 7.30 malam dari empat lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Park & Ride Presint 1, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, dengan kekerapan bas selang 15 minit setiap satu. Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, akan juga mengadakan rumah terbuka di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, pada 18 Sept dari 10 pagi hingga 2 petang].
Share:

Bicara Liwat: Prosiding Masuk Hari Ketiga, Pihak Pendakwa 'Soal Balas Pakar Forensik' Australia !!

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Prosiding membela diri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari ketiga dengan pihak pendakwa menyoal balas pakar forensik Dr David Wells. Pakar dari Australia itu, yang merupakan saksi ketiga pihak pembela, memberitahu mahkamah semalam bahawa sampel sperma yang diambil dari pengadu, Mohd Saiful Bukhari, tidak dapat memberi keputusan yang diperlukan. Ia kerana sampel tersebut diambil selepas lebih dua hari kejadian liwat didakwa berlaku. Kejadian itu didakwa berlaku pada 26 Jun 2008, dan sampel itu diambil dari Saiful antara jam 9 malam dan tengah malam 28 Jun 2008. Selain itu, katanya, sampel tersebut tidak disimpan dengan betul di di balai polis dan ia diserahkan kepada ahli kimia untuk ujian dua hari kemudiannya. Dr Wells, yang merupakan pakar dalam bidang kes serangan seksual, dalam keterangannya semalam, juga berkata ketika mengambil sampel dari mangsa, dia akan melakukanya secara sendirian dan hanya dibantu oleh jururawat. Ini, katanya, untuk mengelakkan dari berlakunya pencemaran.

[Dalam kes Saiful, empat doktor berada bersama pengadu untuk mengambil sampel tersebut, serta dengan kehadiran pegawai penyiasat Supt Jude Blacious Pereira. Pihak pendakwa dijangka menyoal Wells mengenai laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur ke atas Saiful, yang dianggapnya sebagai tidak tepat. Selepas Wells, seorang lagi pakar Australia iaitu pakar DNA Dr Brian McDonald, dijangka beri keterangan].
Share:

Ikuti Wacana Politik Sinar "Ulamak Politik - Untuk Dakwah Atau Politik" Live Streaming FB Sekarang!


Ikuti siaran langsung Wacana Politik Sinar Siri-6 yang bertajuk "Ulamak Politik - Untuk Dakwah atau Parti" yang menampilkan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan PAS), Tan Sri Harunsanni Zakaria (Mufti Perak) dan Ustaz Fathul Bari (Ulamak Muda) bersama Moderatornya Dr.Asri Zainul Abidin (Bekas Mufti Perlis). Siaran langsung ini boleh diikuti menerusi Live Streaming. Anda perlulah Login Facebook dan klik "Likes" di SINI.
Share:

Penguatkuasa 'JAIP' Di Minta Memantau Operasi KFC Dan McDonald 'Teluk Chempedak' Yang Jual Makanan Kepada Umat Islam Di Bulan Ramadan!

KUANTAN, 24 Ogos - Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diminta memantau operasi perniagaan restoran makanan segera "McDonald" dan "Kentucky Fried Chicken" yang terletak di Pantai Teluk Chempedak dekat sini. Ini berikutan terdapat banyak aduan yang kami terima mendakwa kedua-dua restoran terbabit didapati menjual makanan kepada orang Islam di bulan puasa. Aktiviti tersebut dilakukan secara terang-terangan tanpa ada perasaan bersalah oleh pihak terbabit. Malah, ramai orang Melayu yang beragama Islam menjadikan premis terbabit sebagai "port" untuk mereka membeli makanan pada siang hari di bulan Ramadan. Tinjaun kami ke lokasi terbabit mendapati orang ramai mula berpusu-pusu membeli makanan pada waktu tengahari. Aktiviti terbabit lebih mudah kerana kedua-dua premis berkenaan menyediakan perkhidmatan "Drive-Thru" yang membolehkan mereka yang berpuasa memesan dan membeli makanan tanpa perlu turun dari kenderaan masing-masing. Ini memberi keselesaan kepada mereka yang tidak berpuasa untuk berbuat demikian, terutamanya bagi yang menaiki kenderaan "cermin gelap". Malah ia juga berjaya mengaburi mata orang lain yang lalu lalang di kawasan itu. Biar pun niat premis terbabit hanyalah menjual makanan kepada orang bukan Islam, namun majoriti kenderaan yang dilihat berbaris panjang terdiri dari kalangan orang Melayu yang sudah pasti beragama Islam. Jika ia melibatkan pelanggan wanita, mungkin ada pertimbangannya. Namun, ramai juga yang pelanggan lelaki kelihatan beratur membeli makanan di situ. Tindakan ini amatlah tidak wajar kerana larangan menjual makanan kepada orang Islam di bulan Ramadan telah pun ditetapkan oleh pihak berkuasa agama itu sebenarnya.


Perkhidmatan "Drive Thru" yang disediakan oleh restoran McDonald dan KFC
di Teluk Chempedak ini berjaya menggalakkan umat Islam tidak berpuasa

[Maknanya, dengan sistem "Drive-Thru" itu, ia jelas sekali membolehkan mereka yang tidak berpuasa membeli makanan pada siang hari dengan lebih berani. Malah, mereka yakin bahawa pihak jabatan agama sudah pasti tidak perasan dengan kegiatan terbabit. Apa yang lebih menyedihkan, petugas yang menjaga kaunter berkenaan adalah terdiri dari gadis Melayu yang beragama Islam. Soalnya, kenapa tiada pemantauan kegiatan ini sedangkan ia sudah berlalu hampir sebulan lamannya. Pihak JAIP diminta menjalankan operasi di kawasan terbabit demi menghormati kesucian bulan Ramadan yang mulia ini. Semoga ia dapat menyedarkan orang Islam agar tidak sewenang-wenangnya melanggar perintah agama selepas ini].
Share:

Panas: Pakar Dedah, "Spesimen DNA" Meragukan Serta Persoal Tindakan Pegawai Polis Dan Doktor !

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pakar forensik dan patalogis Australia, Dr David Wells menyifatkan integriti spesimen yang diambil daripada pengadu Saiful Bukhari Azlan dalam kes fitnah liwat II ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat kritikal. Hal ini jelasnya kerana, sampel DNA yang sudah diletakkan di dalam balang kedap udara hendaklah diserahkan kepada jabatan kimia serta merta ataupun disimpan di dalam peti sejuk. Tiada mana-mana pihak baik polis dibenarkan untuk membuka dan menandakan spesimen DNA tersebut tanpa pemantauan daripada ahli kimia, ujar beliau lagi. Pegawai penyiasat (IO) DSP Jude Blacious Periera dalam kenyataannya kepada mahkamah sebelum ini mengakui bahawa beliau memotong bahagian luar plastik spesimen DNA untuk tujuan penandaan. Malah Jude turut memberitahu bahawa beliau menyimpan spesimen tersebut di dalam almari tidak berhawa dingin lebih daripada 40 jam. "Saya rasa polis itu sepatutnya cari kerja lain. Integriti spesimen amat penting. Beliau (Jude) sepatutnya memaklumkan kepada makmal," kata David ketika disoal peguam Sankara Nair. David menyifatkan sekiranya bekas menyimpan spesimen telah terdedah kepada udara maka kualiti DNA tersebut tidak mampu bertahan. Sankara kemudian bertanya pendapat pakar forensik itu tentang laporan perubatan dan borang 'proforma' yang dijadikan rujukan mahkamah. "Saya perlu akui sejarah, proforma, laporan, saya tidak yakin mereka (doktor) tahu apa yang mereka buat. "Anda boleh bayangkan orang ini kurang pengalaman dan mungkin baru," kata beliau.

[Dalam pada Sankara yang ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, pasukan peguambela hari ini berjaya menimbulkan kesangsian tentang cara pengendalian sampel DNA yang diambil oleh doktor dari HKL ke atas Saiful. Katanya Jude sendiri telah melanggar prosedur analisis kimia dengan memotong bekas plastik yang mengandungi sampel DNA pengadu. "Pakar mengatakan IO telah potong beg. Ini memberi peluang kepada kontaminasi dan perkara ini memang berlaku. Kononya untuk buat penandaan baru dan pakar cakap prosedur ini tidak betul. Itu menujukkan kejayaan pihak pembela hari ini," katanya].

Share:

Bicara Liwat: Pakar Forensik "Persoal" Kehadiran Jude Pereira "Semasa Pemeriksaan" Saiful Di HKL

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Pakar patologi forensik Australia Dr David Wells memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa dia lebih suka jika anggota polis tidak hadir semasa pemeriksaan ke atas mangsa serangan seksual. Wells yang mengkhusus dalam kes-kes serangan seksual, berkata dia lazimnya akan menjalankan pemeriksaan berseorangan dengan bantuan jururawat. "Ini sangat sulit, ia menganggu, dan ada kemungkinan bahaya bukti dicemari. "Mangsa mungkin berasa tidak selesa dan mereka mungkin merasa tertekan dengan kehadiran anggota polis," kata Wells, saksi ketiga pihak pembelaan. Semasa pemeriksaan yang dijalankan ke atas pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, pegawai penyiasat Supt Jude Blacious Pereira (foto) berada di dalam bilik bersama dengan doktor yang memeriksa Saiful. Doktor yang merawat Saiful pada malam tersebut di Hospital Kuala Lumpur ialah Dr Razali Ibrahim, Dr Siew Sheue Feng dan juga Dr Khairul Nizam Hassan.

[Secara logiknya, kehadiran anggota polis dalam pemeriksaan tersebut bakal menyebabkan doktor yang terbabit membuat kesilapan. Ini kerana mereka menjalankan kerja dengan dipantau dan bimbang jika laporan pemeriksaan tidak berpandukan kehendak pihak berkenaan. Maka itulah, kemungkinan berlaku arahan pihak terbabit yang menyebabkan doktor-doktor berkenaan tersalah membuat perakuan. Adalah lebih elok pihak polis tidak berada dalam bilik berkenaan seperti kata Dr.Wells, kerana ia memberi kebebasan kepada mereka untuk melakukan pemeriksaan. Soalnya, kenapakah Supt Jude Pereira berada bersama doktor ketika itu?].
Share:

Bicara Liwat: Bekas Doktor Pusrawi Memberitahu Saiful Dakwa Objek Plastik Di Masuk Ke Duburnya

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Saksi pembelaan kedua, bekas doktor di Hospital Pusrawi Dr Mohamad Osman Abdul Hamid (foto) dalam keterangannya berkata Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahunya bahawa objek plastik dimasukkan ke dalam duburnya seperti dinyatakan dalam laporan perubatannya. bersetuju bahawa Saiful mendakwa beliau diliwat oleh seorang VIP tetapi juga mempertahankan kenyataannya bahawa bekas pembantu Anwar itu juga mengakui objek plastik dimasukkan ke duburnya. Beliau merupakan doktor pertama ditemui Saiful pada 28 jun 2008. Saksi yang berasal dari Myanmar dan mendapat pendidikan perubatannya dari Universiti Yangon berulang-kali menafikan cadangan oleh Peguam Cara Negara II itu bahawa beliau tidak menulis plastik dimasukkan ke dubur selepas pemeriksaan dijalankan. Jelasnya, Saiful datang ke Pusrawi pada 28 Jun, 2008 dan mengadu kesakitan di duburnya. "Dia (Saiful) terus bercakap kepada saya dan katanya melibatkan VIP dan dia berada berasa takut," kata Osman di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah. Selepas menjalankan pemeriksaan, beliau dapati tiada kesan koyakan atau berdarah di kawasan berkenaan dan ketika itu Saiful memberitahu dia diliwat dengan objek plastik dimasukkan ke duburnya. "Saya ada catatkan ini selepas Saiful beritahu saya selepas pemeriksaan dijalankan dan ada masukkan sebuah protoskop," katanya. Menurutnya, beliau juga mencadangkan supaya Saiful merujuk kepada hospital kerajaan dan buat laporan polis. Menjawap soalan Yusof, Osman berkata memasukkan plastik bukan meliwat. Beliau juga menafikan bahawa nota perubatan itu telah ditambah kemudiannya.

[Karpal, dalam pemeriksaan balas, kemudian bertanya sama ada nota dicatakan pada hari selepasnya. Osman bagaimanapun menafikannya dan berkata ia dicatatkan pada hari yang sama. Anwar, dalam kenyataan sepanjang 32 halaman semalam menafikan bahawa beliau punyai hubungan seks dengan bekas pembantunya itu. Anwar dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1 Kondominimum Desa Damansara, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008. Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta disebat].
Share:

Bicara Liwat II: Pakar Forensik Australia Sahkan Laporan Perubatan 'Cacat' Dan Borang Proforma Doktor 'Hospital Kuala Lumpur' Tidak Konsisten!

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Saksi ke tiga pakar forensik dan patologis dari Australia, Dr David Wells (foto) memberitahu mahkamah bahawa terdapat kecacatan pada laporan perubatan dan borang 'proforma' yang dikeluarkan Hospital Kuala Lumpur terhadap pengadu Saiful Bukhari Azlan. Dalam keterangannya di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah hari ini, David menyatakan tiada kesan pendarahan pada dubur dicatatkan dalam laporan perubatan oleh Dr Siew Sheue Feng yang memeriksa Saiful. Namun apa yang meragukan, nota mengenai kesan pendarahan tercatat pada borang 'proforma' yang digunakan untuk memeriksa si pengadu. Selain itu, David turut mempersoalkan catatan doktor yang menyebut 'tiada penemuan konklusif' sedangkan menurut pengalaman beliau ianya harus ditulis 'tiada sebarang penemuan". Katanya perkataan "konklusif" bermaksud doktor yang memeriksa Saiful kurang pasti akan penemuannya sendiri. Perkara tersebut turut dipertikai peguambela Sankara Nair. Beliau yang ditemui media selepas mahkamah berehat sebentar berkata perkara tersebut mempertikai kredibiliti saksi yang ditugaskan untuk memeriksa Saiful pada hari tersebut. Beliau turut membidas saksi pakar kimia dari Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong yang memberi keterangan berdasarkan pendapat beliau tentang spesimen DNA "lelaki Y" yang diuji untuk mengaitkan Anwar. Dr Seah sebelum ini menerima 12 sampel dari HKL dengan dua daripadanya ditanda dengan tarikh yang sangat berbeza. Seah mengakui tidak berbuat apa-apa untuk mendapatkan penjelasan daripada Dr Siew mengenai perkara itu.

[Oleh itu, Anwar sebelum ini berpendapat telah berlakunya pelanggaran peraturan asas dalam protokal makmal antarabangsa Jabatan Kimia Malaysia. Jelas beliau, walaupun pendedahan itu dibuat secara terang-terangan dengan kegagalan penguatkuasaan peraturan yang ketat, bukti yang dibawa oleh Dr Seah masih tetap diterima, sedangkan ia sepatutnya dibuang atas sebab-sebab ketidakcekapan dan kecuaian melampau. Hal sama turut dinyatakan oleh David. "Ahli kimia tidak harusnya menyatakan pendapat, beliau sepatutnya memberitahu apa yang ditemui. Saya akan bawa perkara itu petang ini," katanya. Mahkamah bersambung semula jam 2.30 petang dan David pula kini dilihat jadi saksi].
Share:

Bicara Liwat: Dua 'Pakar DNA' Dari Australia Serta Doktor Hospital Pusrawi Bagi Keterangan Hari Ini

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Perbicaraan membela diri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kes liwat yang dihadapinya memasuki hari kedua dengan pihak pembelaan dijangka mendengar keterangan daripada doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid dan dua orang pakar asing. Pakar asing dari Australia itu adalah pakar patologi forensik, Dr David Wells dan pakar DNA Dr Brian McDonald. Mereka telah bersama pihak pembelaan sejak awal perbicaraan dan juga telah mendengar keterangan daripada pihak polis, doktor Hospital Kuala Lumpur dan ahli kimia. Perkara menarik yang dijangkakan hari ini adalah sama ada pihak pendakwaan akan memohon untuk memeriksa balas Anwar, yang semalam membaca satu kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh yang mengejutkan banyak pihak. Sementara itu, Peguam Cara Negara II Yusof Zainal Abiden memberitahu mahkamah, bahawa beliau "teringin sangat untuk periksa balas Anwar". Ini di sebalik kelazimannya bahawa keterangan dari kandang tertuduh oleh seseorang tertuduh pada dasarnya tidak boleh diperiksa balas. "Saya perlu kaji kes yang lalu kerana saya teringin sangat untuk periksa balas Anwar, yang dalam pembelaannya telah memberikan kenyataan politik," katanya.

[Dalam kenyataan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang 32 halaman semalam, beliau secara jelas menafikan bahawa beliau mempunyai hubungan seks dengan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Beliau kemudian memperincikan konspirasi yang didakwanya didalangi oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika itu, sejurus sebelum beliau kembali aktif dalam politik dengan bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh. Menurut Anwar walaupun bukti-bukti dikemukakan terhadap pihak pendakwaan, namun, mahkamah tetap arahkan beliau untuk membela diri. Inilah yang timbulkan kemusykilan].
Share:

Pihak Pentadbiran UM Di Gesa Hapuskan Budaya Cheers Pada Minggu Haluan Siswa Universiti Itu !!

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Pihak Pentadbiran Universiti Malaya digesa mengarahkan kolej-kolej kediamannya menghapuskan budaya "Cheers" yang sering diterapkan ketika berlangsungnya program Minggu Haluan Siswa (MHS) di universiti tersebut. Sebagai universiti Malaya selaku kampus tertua dan terbaik Malaysia maka anasir luar negara dan ideologi barat dengan hiburan melampau seperti ini haruslan dihapuskan. Kreadibiliti universiti terbabit akan terus jatuh dan merudum jika budaya seperti ini terus dikekalkan. Budaya "Cheers" yang menyebabkan pencampuran bebas antara mahasiswa dan mahasiswi di universiti itu dikhuatiri akan merosakkan akhlak sebahagian daripada mereka. Tambahan pula tindakan melaung dan mengayakan "Cheers" itu jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya Melayu itu sendiri. Budaya itu juga bakal menyebabkan fokus utama Minggu Haluan Siswa tidak dapat dihayati dengan baik kerana terlalu kerap berlatih dan melaungkan "Cheers" saban hari hingga larut malam. Sedangkan fokus utama MHS adalah untuk mendedahkan kepada mahasiswa baru tentang suasana ilmiah dan progresif di kampus serta keintelektualan mahasiswa universiti bukannya pelajar sekolah menengah. Bagi yang beragama Islam, agama Islam menolak hiburan melampau sehingga melupakan Tuhan (Allah) dan terlalu lalai dengan dunia. Mengapa? Kerana Islam menganjurkan hiburan secara sederhana supaya kita tidak mudah dipengaruhi dengan budaya-budaya yang tidak berfaedah yang boleh merugikan kita pada masa hadapan. Latihan serta laungan "Cheers" hingga larut malam dan setiap hari sangat tidak menguntungkan mahasiswa dan mahasiswa baru universiti terbabit. Kerana kepenatan berlatih pada waktu malam menyebabkan solat Subuh (bagi beragama Islam) terabai dan tidak terjaga. Manakala fokus untuk setiap slot seperti penerangan pentadbiran serta aktiviti lain tidak dapat ditumpukan dengan penuh perhatian akibat momokan tentang "Cheers" kepada pelajar baru.


Apakah budaya seperti ini wajar diterap kepada para pelajar baru agaknya
[Sebagai tanda bantahan, satu kempen "Kami Bantah Budaya 'cheers' di Minggu Haluansiswa UM" telah dilancarkan pada 11 Ogos lalu di laman sosial Facebook. Misi kempen tersebut adalah untuk menjadikan Minggu Haluansiswa Sesi 2013/2014 adalah SESI PERTAMA TANPA Penerapan 'Cheers' kepada pelajar-palajar baru Tahun Satu Universiti Malaya. Misi diberikan tempoh dalam jangka masa dua tahun. Susulan dengan itu pihak berkenaan perlulah mengambilkira sensitivi agama dalam menganjurkan aktiviti seperti ini pada masa yang akan datang. Budaya seperti ini wajar dihapuskan kerana ia langsung tidak mendidik jiwa dan meningkatkan tahap ketakwaan golongan mahasiwa terbabit terhadap agama Islam itu sendiri. Kerajaan juga digesa campurtangan dan mengambil pendirian tegas terhadap isu ini. Semoga jalan penyelesaian terbaik akan memberi kelegaan kepada semua pihak].
Share:

Mahkamah Perintahkan PM Najib, Rosmah, Musa Dan Rodhwan 'Di Sepina' Sebagai Saksi Kes Liwat

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pasukan peguambela perbicaraan kes fitnah liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan mengemukakan notis sepina kepada tujuh orang saksi termasuk Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor. Antara lain termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Mohd Rodhwan Mohd Yusof. Peguambela Karpal Singh memaklumkan kepada media bahawa perintah mahkamah itu telah dikeluarkan Jumaat lalu. Katanya pihaknya turut memohon sepina dikeluarkan kepada doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamad Osman Abdul Hamid, Jururawat Yazihan Jusoh dan seorang pembantu rumah dari Indonesia yang dikenali sebagai 'Suliati'. Najib dan Rosmah sebelum ini hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk ditemuramah pasukan pegumabela. Pada sesi tersebut mereka menyatakan keengganan untuk memberi keterangan sebagai saksi dan perkara yang sama dilakukan oleh Musa dan Mohd Rodwan. Karpal yakin kesemua mereka akan hadir ke mahkamah dan sekiranya enggan waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka. Sementara itu, Anwar menyatakan keputusannya untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh adalah disebabkan ketidakyakinan beliau terhadap proses undang- undang akan berlangsung secara adil. Katanya, integriti perbicaraan yang kini masuk ke peringkat membela diri masih dipertikaikan termasuk keputusan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah yang sering dilihat mengabaikan prosiding mahkamah. "Saya harap hakim mempertimbangkan kerana ianya kenyataan utama. Saya melihat tidak ada sebab untuk berserah kepada sistem melainkan dikeluarkan secara paksa. "Pandangan saya pada prosiding mahkamah, konspirasi oleh Perdana Menteri dan isterinya, membuktikan yang diubahsuai dan penaklukan media. Jadi ianya jelas merupakan satu kelemahan warganegara terhadap kuasa pemerintah," ujar beliau semalam.

[Pada tahun 1998, peguam Anwar pernah membuat cubaan untuk membawa Tun Mahathir Mohamed yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada ketika itu ke mahkamah untuk memberi keterangan. Walau bagaimanapun permintaan tersebut diketepikan oleh hakim sendiri dengan alasan bahawa Mahathir bukan seorang saksi yang penting. Dalam pada itu, Pakar forensik dan ahli patologi, Dr David Wells dan pakar DNA, Dr Brian Mc Donald akan mengambil tempat di kandang saksi esok, memberi keterangan diikuti dengan doktor Hospital Pusrawi, Mohd Osman Abdul Hamid. Mahkamah bersambung jam 9 pagi ini. Soalnya sekarang apakah adengan yang sama terhadap Mahathir bakal disaksikan dalam kes kali ini. Jika mereka semua dikhabarkan bukan saksi penting maka akan pincanglah sistem kehakiman dan undang-undang di negara kita sebenarnya. Rasioanalnya, kesemua mereka disebut oleh Saiful sendiri sebagai individu yang telah bertemu dengan beliau sebelum dia membuat laporan polis mengatakan telah diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dulu].
Share:

Kes Liwat: Anwar Ibrahim Yakin Kebenaran Akan Terbukti Dan Menafikan Tuduhan Jahat Tersebut


KUALA LUMPUR 22 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto) hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan jahat yang dilemparkan kepadanya dan yakin kebenaran dalam kes fitnah tersebut akan terbukti kelak walaupun terpaksa mengambil masa yang lama. Anwar berkata demikian ketika memberi kenyataan membela diri dari kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dalam kenyataan Bahasa Inggeris sebanyak 32 muka surat yang dibaca Anwar itu menegaskan kembali bahawa tuduhan terhadapnya merupakan fitnah yang telah direka dan berniat jahat. “Saya sama sekali menafikan tuduhan terhadap saya. Saya tidak ragu-ragu untuk menyatakan saya tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan pengadu, Mohd Saiful. Dakwaannya adalah satu pembohongan terang-terangan, jahat dan ia akan dibuktikan. “Ini ialah satu percubaan buruk dan keji untuk mencemarkan nama baik saya. “Saya mengulangi bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja untuk membunuh karekter, mencemar reputasi dan mengancam saya dengan 20 tahun lagi hukuman penjara, tetapi saya tidak akan menyerah. “Sebaliknya, kebenaran akan terbukti kelak. Apa pun terjadi saya tidak menyerah kalah,” kata Anwar Ibrahim lagi.

[Dalam kenyataan itu juga, Anwar menjelaskan secara panjang lebar mengenai kegagalan pihak pendakwa bersikap profesional, hakim yang dilihat berat sebelah dan bukti-bukti dalam kes itu. Antara disentuh termasuk hubungan antara pengadu Saiful Bukhari dengan Timbalan Pendakwaraya, Farah Azila Latif sehingga menyebabkan penggugurannya dari pasukan pendakwa. Ia termasuk kegagalan mahkamah memanggil saksi alibi seperti pemilik kondominum di mana tempat kejadian itu dikatakan berlaku, Hasanudin Mat Isa dan ugutan polis yang diterimanya].
Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

PAS Mahu Pertahankan Semua Kerusi DUN Dan Parlimen Yang Dimenangi Pada PRU15 Lalu Di Negeri SG4, Sasar Pahang, Perak Dan Selangor

PENGKALAN CHEPA: PAS mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-1...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.