KUALA LUMPUR, 27 Feb - Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'Adzam Shah hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-231 di Istana Negara dekat sini.
Mesyuarat sehari itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Kedah yang diwakili Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Utama Tunku Annuar SultanBadlishah dan Perak oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah.
Pada mesyuarat itu, raja-raja Melayu diiringi menteri besar kecuali Sultan Kelantan yang diiringi wakil menteri besar.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi Ketua Menteri masing-masing manakala Sarawak diiringi Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri) berkenan berangkat bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-231 di Istana Negara, hari ini. Turut berangkat, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (kiri), Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Annuar Sultan Badlishah (tiga, kiri) dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (lima, kiri).





