SHAH ALAM - Episod inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim memasuki cerita baharu selepas peguam yang mewakili Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan ahli keluarga mangsa, Syazlin Mansor menarik diri daripada inkues tersebut. "Saya percaya, dengan penarikan diri saya, saksi ke-29 iaitu Prof. Dr. Shahrom Abd Wahid yang sepatutnya dipanggil semula beri keterangan hari ini terbatal," katanya.
Perkara itu dimaklumkan Syazlin dihadapan Koroner Rofiah Mohamad sebentar tadi. Sementara itu, seorang lagi peguam, Ahmad Taufiq Baharum memberitahu, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang saksi lain untuk dipanggil memberi keterangan. Beliau kemudiannya menyerahkan perkembangan selanjutnya kepada mahkamah. Prosiding inkues ditangguhkan seketika dan bersambung sebentar lagi. Pada 17 Mei lalu, mahkamah membenarkan bekas Perunding Kanan Forensik dan Patologi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid untuk dipanggil semula beri keterangan hari ini dan esok. #sumber
SEPANG - Seorang lelaki warga Nigeria yang juga suspek utama dalam kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang dua minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 36, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian keatas Siti Kharina Mohd. Kamarudin, 40, di sebuah unit Kondominium Third Avanue, Cyberjaya di sini antara pukul 12.41 pagi, 9 Mei hingga 2.30 petang, 15 Mei lalu. Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia, telefon bimbit, televisyen litar tertutup (CCTV) dan laporan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA). Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Sementara itu dalam mahkamah sama, dua lagi rakan tertuduh iaitu lelaki warga Pakistan Rasool Ghulam, 38, dan wanita Nigeria Cletus Helen Eboh, 35, yang ditahan berkaitan kes itu dibebaskan selepas mahkamah memberikan jaminan bon masing-masing RM11,000 dan RM13,000 kepada mereka. Pada masa sama mahkamah turut memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. #sumber
TANAH MERAH - Seorang kerani wanita kerugian lebih setengah juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam sejak April lalu sehingga kelmarin. Mangsa yang berusia 40 tahun itu mula terjerat dengan sindiket berkenaan selepas menerima panggilan daripada seorang wanita. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, menerusi panggilan itu, mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berjumlah RM24,000.
Katanya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu yang mendakwa kononnya pegawai polis. "Apabila menerima panggilan berkenaan, mangsa pada mulanya panik kerana tidak mengetahui dia ditipu sindiket Scam. "Sehinggalah mangsa memasukkan sejumlah wang dalam satu akaun kononnya bagi menyelesaikan masalah tunggakan cukai itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Ahmad Azizul berkata, dalam tempoh sebulan, mangsa telah membuat 12 transaksi bayaran ke dalam akaun yang diminta antara RM10,000 hingga RM38,000, dengan jumlah keseluruhan RM534,000. Beliau berkata, mangsa turut diberitahu jika tidak menyelesaikan hutang itu asetnya akan dibekukan. "Suspek telah meminta semua wang dimasukkan ke dalam akaun pegawai penyiasat dan berjanji wang berkenaan akan dikembalikan sebaik siasatan selesai. "Walau bagaimanapun, selepas tiba masa yang dijanjikan, wang berkenaan tidak dikembalikan malah suspek terus memberi pelbagai alasan. Tambah beliau, mangsa hanya menyedari ditipu sebaik menceritakan kejadian kepada ahli keluarga. "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. Dalam pada itu, Ahmad Azizul berkata, pada tahun ini, sebanyak 37 kes penipuan Macau Scam dilaporkan dengan kerugian membabitkan RM2.2 juta berbanding sepanjang tahun lalu, sebanyak 121 kes dengan kerugian RM10.2 juta. "Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dari pihak tertentu. "Jangan sewenang-wemangnya mendedahkan maklumat kewangan peribadi seperti nombor akaun, kad bank, atau kad kredit kepada orang tidak dikenali," katanya. #sumber
PUTRAJAYA - Kerajaan masih belum memuktamadkan pemberian insentif khas Hari Raya Aidilfitri kepada kira-kira 112,635 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) walaupun berbaki seminggu sahaja lagi sebelum umat Islam di seluruh negara meraikan perayaan itu. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak tahu dan meminta persoalan berhubung pemberian 'duit raya' itu dirujuk kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. "Ada ke? Saya tidak tahu. Pegawai kerajaan kita dah bagi dah sebelum ini tetapi tak tahulah mereka (peneroka Felda) pegawai kerajaan ataupun tidak. Kena tanya Azmin," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2019 di Kementerian Kewangan di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Pada masa sama, Mahathir berkata, pemberian bayaran insentif khas itu juga tidak menjadi sebahagian daripada agenda perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara. "Kita tidak bincang tentang Felda (dalam mesyuarat ini) tetapi kita telah bincang mengenai Felda banyak kali dalam forum lain dan kita mempunyai cadangan-cadangan tertentu untuk memperbaiki keadaan di Felda," katanya. Kerajaan pada tahun lalu mengumumkan bayaran insentif Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM450 kepada kira-kira 100,000 peneroka Felda dan peserta Felcra di seluruh negara. Kosmo! Online melaporkan, kira-kira 112,635 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara dihimpit kerisauan apabila hajat mereka untuk memperoleh insentif ataupun duit raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri masih belum menampakkan sinar. Susulan kebimbangan itu, Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) yang mewakili suara hati kumpulan peneroka di seluruh negara tampil mendesak kerajaan Pakatan Harapan untuk memenuhi permintaan mereka bagi memastikan sambutan raya pada tahun ini lebih bermakna. Akhbar sebelum ini melaporkan, kerajaan masih belum membuat keputusan berhubung pemberian ‘duit raya’ kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara, susulan keadaan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang. Azmin dilaporkan berkata, kerajaan tidak berupaya memberikan sebarang janji dalam mengumumkan ‘duit raya’ kepada peneroka seperti amalan yang dilaksanakan sejak 2011 bagi memastikan setiap perbelanjaan menepati matlamat jangka panjang. #sumber
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerabat diraja Pahang akan berkabung selama 100 hari, berikutan kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Institut Jantung Negara pada Rabu lepas. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata program-program yang telah dijadualkan oleh Istana Negara dalam bulan Ramadan dan Syawal di peringkat Persekutuan, akan diteruskan dengan beberapa pindaan bagi menghormati tempoh berkabung Yang di-Pertuan Agong. “ Istana Negara turut memaklumkan bahawa tarikh Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Santapan Diraja yang telah diperkenankan pada 30 dan 31 Julai ini adalah kekal dan akan turut diteruskan mengikut jadual,” katanya. Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerabat-kerabat diraja, para pembesar dan rakyat jelata yang telah memberi penghormatan terakhir kepada Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Istana Negara pada 22 Mei (Rabu) dan di Istana Sultan Abu Bakar dan Makam Diraja Pekan pada 23 Mei (Khamis). Almarhum Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang kelima, mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara di sini pada Rabu lepas dan dimakamkan di Makam Diraja Pekan, Pahang pada Khamis. Almarhum yang diputerakan pada 24 Okt 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan adalah ayahanda kepada Sultan Abdullah. Baginda pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984 dan sebelum itu dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Sept 1975. #sumber
MELAKA - Perbuatan keji seorang bapa lapan anak yang tergamak merogol anak perempuannya berusia 17 tahun akhirnya berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis lalu. Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 45 tahun sejurus lelaki terbabit membuat pengakuan bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol anak perempuannya berusia 16 tahun 8 bulan antara pukul 2 hingga 2.30 pagi di sebuah rumah di Taman Bukit Larang Indah pada 27 Februari, 22 Mac dan 21 April tahun ini. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan. Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan dia telah insaf selain hanya bekerja sebagai pembantu penjual air dan terpaksa menyara lapan orang anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) manakala isterinya tidak bekerja sejak berkahwin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Wai Yee bagaimanapun merayu hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor perbuatan terkutuk yang dilakukan terhadap anak sendiri, selain mangsa yang merupakan anak keenam mengalami trauma teruk dari segi emosi dan psikologi. Tambahnya, perbuatan hina itu juga hanya terbongkar selepas guru yang mengajar mangsa di sekolah menyedari kesan kelar pada pergelangan tangan remaja berkenaan dan tertuduh sama sekali tidak menyesal dengan perbuatannya kerana telah berulang kali merogol anaknya itu demi memuaskan nafsunya. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 17 Mei lalu dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan. Beliau bagaimanapun memerintahkan hanya 24 sebatan akan dilaksanakan merujuk kepada Seksyen 288 Kanun Tata Cara Jenayah yang hanya membenarkan mahkamah mengenakan maksimum 24 sebatan bagi pesalah dewasa. #sumber
KUANTAN - Majlis Belia Felda Wilayah (MBFM) Kuantan menggesa Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO, Mazlan Aliman supaya lebih lantang bersuara dalam mempertahankan hak peneroka Felda.
Kenyataan berbentuk pertanyaan 'Masih adakah duit raya untuk peneroka Felda' kepada kerajaan dilihat seolah-olah bersikap lepas tangan dan tidak berani bersuara seperti sebelum ini dalam menuntuk hak serta kepentingan warga Felda. Ketua Penerangan MBFM Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, pihaknya kecewa dan mahu Mazlan Aliman lebih konsisten menjadi orang tengah di antara peneroka dan kerajaan.
Katanya, jangan kerana telah mendapat jawatan beliau sewenangnya menjnggalkan peneroka Felda tanpa hala tuju dan pembelaan. "Sebagai individu yang bertanggungjawab di atas semua masalah yang berlaku kepada peneroka hari ini, beliau perlu berani mendesak kerajaan untuk dapatkan hak sewajarnya. "Jika sebelum ini beliau lantang mengkritik kerajaan terdahulu dan Felda di atas pelbagai Insentif yang diberikan, kenapa hari ini perlu rasa takut dan serba salah," katanya. Beliau berkata, Mazlan Aliman sepatutnya menggesa kerajaan memberikan insentif kepada 112, 635 peneroka seluruh negara sebelum sambutan Aidilfitri. "Peneroka Felda kini tertekan dengan perubahan ekonomi sejak diambil alih Pakatan Harapan sejak setahun lalu.
"MBFM Kuantan mendesak penjelasan sebaiknya dan berharap beliau mendapatkan kepentingan warga Felda,"katanya. Pihaknya turut memuji tindakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali menjaga hal ehwal dan kepentingan peneroka Felda yang dilihat konsisten mempertahankan hak golongan itu khususnya di Parlimen. #sumber
KUANTAN - Sambutan Aidilfitri tahun ini nyata lebih menggembirakan pesakit distrofi otot (Muscular Dystrophy Genetics) Mohd Shahidam Mohamad Shahrim, 12, selepas dia terpilih sebagai penerima Projek Baju Raya anjuran Pejabat Anggota Parlimen Kuantan. Ibunya, Shahida Mohd Noor, 43, berkata bantuan yang diterima sangat membantu mengurangkan perbelanjaan bagi persiapan raya, membolehkan wang itu digunakan untuk keperluan yang lebih mendesak memandangkan beliau adalah penyara tunggal keluarga. "Saya menyara kehidupan dengan membuat kuih tradisional. Keutamaan sudah tentu untuk perbelanjaan persekolahan dan keperluan perubatan Shahidam, selain susu khas anak yang diminum setiap hari. "Syukur kami menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 setiap bulan untuk Shahidam. Alhamdulillah, hari ini Shahidam dapat pula baju raya... ini semuanya rezeki anak," katanya. Shahida berkata demikian semasa ditemui Bernama di sebuah pasar raya di sini hari ini, pada Program Projek Baju Raya yang dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, yang juga Anggota Parlimen Kuantan.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Yusserie Zainuddin dan Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Pahang Suhaimi Mohd Aripin, yang turut membantu menjayakan projek baju raya itu. Fuziah berkata, 110 penerima yang berusia antara lima hingga 17 tahun dari golongan asnaf sekitar Kuantan, menerima baucar bernilai RM100 setiap seorang untuk dibelanjakan di pasar raya itu bagi membeli baju dan kelengkapan hari raya. Beliau menambah pejabatnya sedang berusaha untuk membantu lebih ramai golongan kurang bermasib baik kerana menyedari sedikit sebanyak bantuan yang diberikan dapat mengurangkan beban kewangan mereka. "Kita sedang berusaha mengumpul dana dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu terlibat sama dan berharap lebih ramai akan membantu supaya mereka yang memerlukan ini mendapat perhatian sewajarnya," katanya. #sumber
CAMERON HIGHLANDS - Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan dua kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan Ringlet, di sini, awal pagi ini, namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan. Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Ashari Abu Samah berkata insiden pertama berlaku berhampiran kawasan kebun di Jalan Ulu Merah, Ringlet, pada jam 6 pagi tadi dengan keluasan runtuhan dianggarkan setinggi 15 meter (m) dan 10m panjang. "Selain hujan lebat, terdapat paip di kawasan kebun pecah sehingga menyebabkan tanah runtuh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Berikutan itu, laluan ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan dan pihak Jabatan Kerja Raya sedang giat membersihkan jalan, katanya. Ashari berkata insiden kedua berlaku di Jalan Ringlet-Blue Valley berhampiran Kuari Batu Syarikat Perniagaan Nazri Ahmad kira-kira jam 9.30 pagi tadi. Katanya, luas kawasan terlibat adalah 32m dan setakat jam 1 tengah hari ini hanya satu lorong dibuka untuk kenderaan dan kerja-kerja pembersihan masih dijalankan. #sumber
KUALA LUMPUR - Biarpun sudah hampir 27 tahun meninggal dunia, namun permata seni tanah air, Sudirman Arshad kekal diingati sehingga kini. Buktinya, laman carian terbesar internet, Google hari ini memaparkan ‘doodle’ atau illustrasi khas di halaman utamanya sebagai tanda memperingati ulang tahun kelahiran ke 65 permata seni negara itu yang jatuh pada hari ini, 25 Mei. Paparan illustasi itu menunjukkan Allahyarham Sudirman sedang mendepakan tangan ketika membuat persembahan di atas pentas, satu lakaran yang cukup mengimbau nostalgia.
Penghormatan oleh Google hari ini pasti menambah kerinduan peminat kepada Allahyarham, tambahan lagu-lagu dendangannya seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf dan Balik Kampung kini kerap diputarkan di corong radio, pada saat umat Islam bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri. Generasi silih berganti, namun keistimewaan dan keikhlasan anak jati Temerloh, Pahang ini dalam menghiburkan peminatnya setiap kali beraksi di atas pentas akan kekal diingati kita semua. Dilahirkan pada tahun 1954, cukup banyak kenangan manis, lagu mengusik jiwa dan aksi mencuit hati yang ditinggalkan Sudirman untuk hiburan kita semua sebelum beliau pulang bertemu penciptanya pada tanggal 22 Februari 1992. #sumber
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini beriltizam akan meneruskan legasi dan sifat perikemanusiaan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. "Ia suatu yang sukar beberapa hari ini buat kami sebagai sebuah keluarga. Tetapi kami tidak mungkin dapat melalui semua ini tanpa cinta, sokongan dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh keluarga, rakan-rakan, rakyat Pahang dan semua rakyat Malaysia.
"Untuk ini dan yang lain lagi, kami berterima kasih dengan setulus hati kepada anda," titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini. Yang di-Pertuan Agong bertitah, rakyat Malaysia telah kehilangan seorang manusia yang luar biasa namun yang lebih penting, mereka kehilangan ayahanda yang tersayang dan rakyat kehilangan seorang Sultan yang benar-benar luar biasa. "Malahan, kami berterima kasih kepada Allah kerana mengurniakan kami dengan seorang pemimpin dengan sifat yang merendah diri yang kita semua terdorong dengan kasih sayang dan rahmatnya kepada rakyat Pahang dan Malaysia. Ayahanda kami kekal dalam sanubari kami buat selama-lamanya, Al Fatihah," demikian titah kedua-dua Baginda. Pada 22 Mei, Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pukul 8.50 pagi. Sultan Ahmad Shah, 88, adalah Sultan Pahang kelima dan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang ini. #sumber
KUALA NERUS - Perjalanan pulang seorang wanita yang sedang hamil lima bulan bersama suaminya dari kampung halaman berakhir dengan tragedi selepas pasangan itu maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Tapak Perlupusan Sampah Kampung Sungai Ikan di sini hari ini. Siti Nur Shahila Asla, 26, dan suami, Hafiiz Mohd. Ibrahim, 29, yang menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan pada kemalangan yang berlaku pada pukul 9.20 pagi itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd. Razak Hassan berkata, turut maut dalam kemalangan terbabit pasangan suami isteri, Anuar Said, 59, dan isterinya, Che Khasliza Che Hussin, 53, yang menaiki kereta jenis Peugeot akibat kecederaan di bahagian kepala dan badan. Beliau berkata, anak Anuar dan Che Khasliza, Nurul Nadirah, 13, pula cedera di bahagian muka dan kaki dan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan. "Sewaktu kejadian, Siti Nur Shahila dan Hafiiz dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama-sama keluarga pada cuti hujung minggu di kampung di Felda Chiku 5, Gua Musang, Kelantan. "Keluarga Anuar pula dalam perjalanan pulang ke Besut selepas menziarahi jenazah sepupunya yang meninggal dunia di Dungun," katanya di sini hari ini. #sumber
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hari ini telah mengutuskan surat kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memohon ampun di atas kekhilafan beliau kerana tidak bersalaman dengan baginda di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam. Dalam satu kenyataan di sini, Mukhriz menyatakan bahawa beliau telah menyembah maklum kepada baginda bahawa kekhilafan tersebut adalah kerana kealpaan beliau sendiri "Kekhilafan itu juga tidak menggambarkan sifat sopan santun rakyat Kedah," katanya. Hari ini tular di laman sosial satu video berdurasi 14 saat yang memaparkan kejadian Mukhriz didakwa enggan bersalaman dengan Sultan Johor dan anakandanya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ketika Istiadat Pemakaman Sultan Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah, di Pekan semalam.
Dalam video berkenaan, Mukhriz dilihat hanya mengangkat tangan ketika tiba gilirannya bersalaman dengan Sultan Ibrahim sebelum kemudiannya terus bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Tindakan Mukhriz tersebut mengundang pelbagai kritikan dan perbalahan pendapat daripada rakyat selain menerima desakan daripada pelbagai pihak supaya beliau meminta maaf kepada Sultan Johor. Sementara itu, ketika menghadiri majlis berrbuka puasa di LANGKAWI, Mukhriz berkata beliau berharap Sultan Ibrahim mengampunkan kekhilafan beliau kerana tidak bersalaman dengan baginda. "Hari ini saya telah utuskan sepucuk surat untuk memohon maaf atas kekhilafan saya tidak bersalaman dengan baginda. Biasalah orang Kedah ni kadang-kadang kita kalut jadi itu sajalah saya harap baginda dapat terima permohonan maaf saya itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Kebajikan di Masjid Nurus Salam, Kampung Ewa, di sini hari ini. Mengulas lanjut Mukhriz berkata, ketika kejadian itu berlaku beliau sedang mengiringi Sultan Kedah (Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah). "Tuanku Sultan dah ke depan dan akan mula acara bacaan doa jadi saya nak cepat ke sana tapi ternampak Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) jadi saya bersalaman untuk ucapkan takziah. "Apapun memang kesilapan saya jadi saya mohon maaf atas kekhilafan. Saya tak sengaja tetapi tidak boleh guna alasan tidak sengaja jadi sepatutnya memang kena berhenti untuk bersalaman," katanya. #sumber
KUANTAN - Cadangan memperkenalkan satu subjek khusus bagi mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti perlu dilihat secara menyeluruh serta berdasarkan sentimen masyarakat Islam pada masa ini. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, cadangan itu bukan sahaja perlu dilihat kesannya terhadap bidang pendidikan tetapi sosial masyarakat negara ini. “Bukan setakat kesan pendidikan sebab masyarakat pada hari ini agak sensitif tentang pekara ini. Sama ada mereka bersedia atau tidak. “Contohnya pendidikan seks, ini satu subjek yang wajar kita ajar tetapi sama ada masyakat bersedia atau tidak. Ini antara isu yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Memasak Bubur Lambuk Q-Fish dan Promosi Jualan Ikan di Pasar Nelayan Sepat di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya kerajaan memperkenalkan mata pelajaran khusus bagi mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti. Presiden MBM, Jufitri Joha dilaporkan berkata, mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memberi peluang kepada pelajar memahami agama lain. Cadangan itu bagaimanapun ditolak pelbagai pihak termasuk Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beranggapan masih ramai pelajar muslim di negara ini gagal memahami serta mengaplikasikan ilmu agama Islam yang sepatutnya diajar di alam persekolahan. #sumber
TEMERLOH - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam siri rusuhan pasca pilihan raya Indonesia di sekitar Jakarta sejak kelmarin. Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di ibu negara itu dan memberi jaminan kementeriannya akan terus mengikuti perkembangan semasa di negara itu. "Kita berharap keadaan akan segera pulih seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Perdana Ramadan Persatuan Penggerak Muafakat Pahang, di sini, hari ini. Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia supaya menjauhi kawasan-kawasan tumpuan peserta demonstrasi seperti Tanah Abang, Tamrin, Sabang dan Menteng.
Media sebelum ini melaporkan enam terkorban dan 200 lagi cedera dalam rusuhan di Indonesia yang dipercayai berpunca daripada demonstrasi membantah keputuan Pilihan Raya Presiden Indonesia. Pada perkembangan lain, Saifuddn memberi jaminan kerajaan akan membantu rakyat Malaysia, P, Pannir Selvam, 32, mendapat nasihat guaman terbaik untuk mencabar proses pengampunan terhadap hukuman mati ke atasnya di Singapura. Saifuddin mengesahkan beliau telah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen), Datuk Liew Vui Keong dan mencapai persetujuan supaya Liew menangani kes berkenaan. Semalam, media melaporkan Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan permohonan Pannir Selvam untuk menangguhkan hukuman mati yang dihadapinya dan membolehkan beliau mencabar proses pengampunan. Pannir Selvam dijatuhkan hukuman itu pada 27 Jun 2017 oleh Mahkamah Tinggi negara itu kerana mengedar 51.84 gram diamorphine di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept 2014. #sumber
TEMERLOH - Jumlah kenderaan yang melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka mencecah sebanyak 1.6 juta sepanjang sembilan hari musim perayaan tahun ini. Pengarah Eksekutif Anih Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata pertambahan jumlah kenderaan itu adalah sebanyak 65 peratus iaitu bermula 1 hingga 3 Jun apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman. Secara purata jumlah kenderaan yang melalui KLK adalah 108,000 buah pada hari biasa dijangka meningkat kepada 179,000 buah manakala di LPT1, 48,000 kenderaan pada hari biasa dijangka meningkat kepada 76,600 kenderaan sehari. "Bagi menghadapinya jumlah peningkatan itu, cadangan waktu perjalanan (TTA) akan dikeluarkan bagi mengurangkan kesesakan melampau pada waktu puncak selain melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya. "Kami juga akan memberikan diskaun tol yang akan diumumkan Menteri Kerja Raya Baru Bian, melakukan rondaan trafik dan fasiliti, menambah 17 hingga 24 peratus kakitangan serta mendapatkan bantuan dari pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya. Nik Fauzi berkata demikian ketika ditemui pada program Berkongsi Barakah Ramadan iaitu edaran pek buah kurma dan juadah iftar kepada pengguna LPT1 di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia Datuk Sr Aziz Abdullah. Menurut Nik Fauzi, Anih Berhad meneruskan tradisi tahunannya pada bulan Ramadan dengan mengedarkan edaran pek buah kurma dan juadah iftar secara percuma kepada pengguna di dua lebuh raya konsesinya. Nik Fauzi berkata edaran pek buah kurma yang bermula pada 17 Mei hingga akhir Ramadan dilaksanakan di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak menjelang waktu berbuka puasa. Edaran secara percuma juadah iftar yang mengandungi set lauk, nasi, air mineral dan kurma pula dibuat menerusi kaunter pandu lalu khas bermula pukul 5.30 petang hingga 7.30 petang di R&R Genting Sempah, Temerloh dan Gambang arah timur. Nik Fauzi berkata sumbangan tahun ketiga itu melibatkan 11,000 pek buah kurma percuma dan 2,500 pek juadah berbuka itu juga merupakan tanda penghargaan mereka kepada pengguna dua lebuh raya itu. #sumber
KANGAR - Perbuatan jahat seorang peniaga pasar malam membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pada Mac lalu mengundang padah apabila suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Tertuduh, Mohd. Azimar Abd. Razak, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membakar kereta jenis Honda Accord berwarna hitam milik kerajaan negeri Perlis di Jalan Persiaran Wawasan di sini kira-kira pukul 5 pagi, 22 Mac lalu. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda. Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain memberikan syarat supaya tertuduh melapor diri kepada pegawai penyiasat kes pada setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta ahli keluarga dan kenalan rapatnya. Jaminan yang diberikan terbatal sekiranya tertuduh melanggar syarat tersebut. Kes akan disebut semula pada 2 Julai depan. Media pada 23 Mac lalu melaporkan kereta rasmi jenis Honda Accord berwarna hitam yang digunakan Mufti Perlis rosak teruk dipercayai akibat dibakar dalam kejadian awal pagi di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini. Kejadian itu dikaitkan dengan isu pemecatan 25 imam kariah dan pertukaran 10 imam lain tanpa alasan pada Januari lalu sehingga menimbulkan kontroversi. #sumber
SEPANG - Polis sudah menyelesaikan siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, dan merujuk kepada pendakwa raya untuk memulakan pendakwaan terhadap seorang daripada tiga individu yang ditahan. Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata polis menyerahkan kepada pihak pendakwa raya bagi menentukan masa untuk mendakwa suspek. “Daripada tiga, kita akan dakwa seorang sahaja secepat mungkin. Yang lain akan jadi saksi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Surau Al-Medina Ibu Pejabat Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, berhubung perkembangan kes pembunuhan itu. “Masih ada reman lagi, kalau DPP (Timbalan Pendakwa Raya) kata boleh dakwa esok, kita dakwa esoklah. Kalau tidak Isnin,” katanya lagi. Ditanya mengenai motif pembunuhan itu, Noor Azam berkata suspek yang ditahan masih enggan mendedahkannya tetapi polis sudah memperolehi 'bukti nyata' berkaitan kes berkenaan. Hari ini, Mahkamah Majistret Sepang memerintahkan tempoh tahanan reman seorang lelaki warga Nigeria disambung tujuh hari berkuatkuasa esok hingga 30 Mei bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina. Sebelum ini, warga Nigeria berusia 36 tahun itu direman seminggu bermula 17 Mei. Selain lelaki Nigeria berkenaan, turut ditahan susulan penemuan mayat Siti Kharina ialah seorang wanita warga Nigeria dan seorang lelaki warga Pakistan. Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata berkata tempoh reman wanita Nigeria dan lelaki Pakistan disambung tujuh hari mulai hari ini hingga 29 Mei. Siti Kharina, 40, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas dan misteri kehilangannya terungkai apabila mayatnya ditemui pemilik kondominium yang disewanya di Cyberjaya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala pada 15 Mei. #sumber
PEKAN - Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan, di sini pada 4.35 petang ini.
Jenazah Almarhum disemadikan bersebelahan pusara isteri baginda Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Muhammad, yang mangkat pada 29 Jun, 1988.
Suasana sayu menyelubungi Makam Diraja semasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah dan adinda baginda Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman masing-masing meletakkan batu nesan di pusara ayahanda berdua.
Turut kelihatan di Makam Diraja itu, Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah , Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.
Usai istiadat pemakaman, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman membacakan talkin. Beliau terdahulu mengetuai solat jenazah terakhir buat Almarhum yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah, yang terletak bersebelahan makam.
Solat jenazah itu disertai kaum kerabat Pahang, pembesar negeri, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan ribuan rakyat yang mengambil peluang untuk mengucapkan ‘salam terakhir’ kepada sultan yang terkenal dengan sikap pemurah dan amat kasih kepada rakyat.
Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, yang juga Sultan Pahang Kelima dan pernah memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun, mangkat di Institut Jantung Negara pada pukul 8.50 pagi semalam.
Al-Sultan Abdullah sebelum itu berangkat tiba di Balairung Sri Istana Abu Bakar pada 10.40 pagi, dengan diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Sultanah Hajah Kalsom kemudian menerima ziarah penghormatan terakhir daripada orang kenamaan yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu, kerabat diraja, dan pemimpin peringkat negeri dan pusat bermula pukul 11 sehingga pukul 1.10 petang.
Selain Sultan Hassanal Bolkiah dan Sultan Ibrahim yang ditemani Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail, turut berangkat menziarahi Almarhum ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff.
Turut berangkat ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra. Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan Tun Abdul Taib Mahmud (Sarawak) yang ditemani pasangan masing-masing.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah pula tiba 11.05 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum selain Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Jenazah Almarhum yang ditempatkan di persada di tengah-tengah Balairung Seri Istana Abu Bakar juga tidak putus-putus diziarahi rakyat Pahang sejak 11 malam tadi sehingga sesi ziarah orang awam ditamatkan pada 10.30 pagi.
Jenazah Almarhum kemudian diusung keluar dari Balairung Seri pada pukul 1.45 tengah hari oleh pasukan tentera darat, laut dan udara Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menaiki van jenazah pada pukul 2.20 petang.
Setelah sempurna diletakkan di dalam kenderaan berkenaan, kawalan kehormat memberikan Hormat Diraja sebagai penghormatan kali terakhir Almarhum diikuti lagu Negeri Pahang. ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’.
Setelah selesai, kawalan kehormat memberikan‘tafakur junam senjata’ sebelum kenderaan berkenaan mula bergerak meninggalkan perkarangan Istana Abu Bakar pada pukul 2.35 petang.
Sultan Abdullah dan anakanda bongsu Almarhum Tengku Arif Temenggong Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah turut menaiki kenderaan berkenaan untuk menemani perjalanan terakhir Almarhum ke Masjid Sultan Ahmad Shah.
Seramai 75 orang yang terdiri pegawai dan anggota Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia mengetuai pergerakan van jenazah berkenaan diikuti kumpulan jejawat, kadi serta pegawai agama Istana serta masjid negeri.
Serentak dengan itu juga tembakan meriam sebanyak 88 das dilepaskan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh di Selangor bersempena usia Almarhum Baginda, sebagai simbolik mengiringi pemergian Baginda untuk istiadat pemakaman.
Cuaca panas terik tidak menghalang ribuan rakyat berdiri di kiri dan kanan jalan sepanjang 2.2 kilometer untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada seorang raja yang amat disayangi yang cukup terkenal dengan sifat merendah diri dan menjadi bukti kepada pepatah ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’. #sumber
PETALING JAYA: Jabatan Amal Malaysia hari ini mengesahkan seorang pemimpinnya ditahan reman untuk membantu siasatan polis dalam kes khianat membakar kenderaan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin. Ketua Pengarah Mohd Nazree Mohd Aris berkata Amirul Jufri Mat Saman, pengarah Jabatan Amal Malaysia Perlis, bukan suspek utama kejadian 22 Mei itu. “Jadi biarlah polis siasat dulu,” katanya. Nazree dihubungi selepas seorang pentadbir laman Facebook Asri hari ini mempersoal peranan Unit Amal PAS selepas pendedahan penglibatan individu yang mempunyai kedudukan penting dalam parti Islam itu dalam kes tersebut.
Tulisan pegawai Asri tersebut sudah diturunkan sekitar 5.30 petang tadi. Nazree membidas tulisan tersebut, menganggap pihak mufti mungkin sudah melanggar siasatan polis. “Ketua polis negara pun sudah komen, jangan mendahului polis,” katanya. Nazree mengingatkan Asri bahawa dia pihak berkepentingan dalam kes itu. Beliau menambah suspek utama masih bebas. “Berdasarkan kenyataan polis sebelum ini, hanya ada 2 suspek utama sahaja. Jadi saya pun pelik macam mana boleh tahan anggota saya (Amirul)? Mungkin ada arahan tertentu untuk tahan orang saya?” Nazree menafikan 2 suspek utama kes itu anggota Unit Amal PAS. Beliau menambah gambar orang yang dimuatnaik di Facebook Asri, sebelum ia diturunkan, bukan suspek utama dalam kes khianat itu. “Mereka bukan anggota saya. Gambar di Facebook Asri itu juga bukan gambar 2 suspek utama,” katanya. Polis sebelum ini berkata seorang penganggur berusia 36 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Jelempok di Arau, Perlis berhubung perbuatan membakar kereta Asri. Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohamad berkata suspek mengaku diupah RM500 oleh seorang individu untuk melakukan perbuatan khianat itu bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas, yang dikenali sebagai “Mie Tomoi”. Selepas penangkapan itu, tersebar wajah individu yang didakwa mengupah suspek di akaun media sosial, yang mengaitkannya dengan PAS. Menurut Facebook “Tuan Rezzal YB”, suspek dikenali sebagai Azimar didakwa diupah oleh seorang individu yang dikenali sebagai Ahmad Muzaini Mydin. #sumber
PETALING JAYA: Pegawai Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin mempersoal peranan Unit Amal PAS selepas pendedahan penglibatan individu yang mempunyai kedudukan penting dalam parti Islam itu dalam perbuatan membakar kereta rasmi mufti tersebut. “Memang benar Dr Maza kadang-kala melontar pandangan berbeza dengan parti mereka. Beliau juga sering memberikan kritikan ilmiah terhadap parti berkenaan sejak dahulu. “Persoalannya jika tidak setuju, apakah mereka sehingga menghalalkan memusnahkan harta dan mencederakan tubuh orang yang berbeza pandangan dengan mereka? “Mengapa tidak sekadar menganjurkan debat ilmiah perbezaan pandangan Dr Maza dan PAS dalam isu kafir-mengkafir sesama Islam, umpamanya,” tulis pentadbir Facebook mufti itu.
Isnin lalu, Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohamad berkata seorang penganggur berusia 36 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Jelempok di Arau, Perlis berhubung perbuatan membakar kereta rasmi Asri. Beliau berkata suspek mengaku diupah RM500 oleh seorang individu untuk melakukan perbuatan khianat itu bersama seorang rakan yang masih bebas, yang dikenali sebagai “Mie Tomoi”. Menurut suspek, seorang daripada individu terbabit menawarkan upah yang lumayan dengan menyuruhnya dan Mie Tomoi menyimbah asid ke muka Asri tetapi tidak dipersetujui, katanya. Selepas penangkapan itu, tersebar wajah individu yang mengupah suspek di akaun media sosial, yang mengaitkannya dengan PAS. Menurut maklumat di laman Facebook “Tuah Rezzal YB”, suspek dikenali sebagai Azimar didakwa diupah oleh individu yang dikenali sebagai Ahmad Muzaini Mydin. Muzaini dikatakan ahli PAS dan anggota Unit Amal parti itu. Kunjungan ke laman Facebook Asri sekitar 5.30 petang tadi mendapati tulisan pegawai tersebut sudah diturunkan. #sumber
PASIR MAS: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mempunyai beberapa petunjuk baru mengenai keberadaan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador. Hamid berkata polis akan cuba membawa pulang ahli perniagaan kontroversi yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu ke Malaysia dalam masa terdekat. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan petunjuk yang dikumpul polis ketika ini. “Mana dia nak menyorok…tak akan selamat. Kita akan bawa balik Jho Low tak lama lagi kerana semua orang tertunggu-tunggu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan singkat ke sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan hari ini.
Ditanya adakah Jho Low berada di China, beliau berkata: “saya tak cakap.” Katanya tindakan yang dilakukan Jho Low menyebabkan negara berhutang dengan kadar yang tinggi dan ahli perniagaan itu sepatutnya menerima balasan terhadap perbuatannya. Beliau turut menyifatkan tindakan ahli perniagaan itu yang sering membuat kenyataan melalui peguamnya dari Macau dan Hong Kong sebagai pengecut. “Rompakan yang dibuat Jho Low menyebabkan negara berhutang. Bila dia dibawa ke mahkamah Insya-Allah akan keluar segala penipuan yang dia telah lakukan,” katanya. Bawa isu perumahan polis ke KDN Dalam perkembangan lain, Hamid berkata beliau akan membawa maklum balas yang diterima sebelum ini ke mesyuarat tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepanjang beberapa siri lawatan mengejut yang diadakan sebelum ini. Beliau berkata masalah berbangkit di peringkat bawah adalah tentang tempat tinggal terutama di Lembah Klang kerana kos sewa rumah adalah tinggi namun gaji dan elaun yang diterima adalah rendah sekaligus memberi kesan kepada pegawai dan anggota. “Rumah-rumah yang mampu disewa pula terletak di luar kawasan formasi menyebabkan mereka semakin terbeban dengan kos. Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat KDN dan memohon kerajaan supaya memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya. Katanya polis faham dengan keadaan kewangan negara yang tidak begitu memberangsangkan ketika ini dan sanggup menunggu sehingga ekonomi negara kembali pulih agar kerajaan dapat membantu agensi keselamatan itu. Beliau turut memuji kejayaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan PGA9 dalam melakukan operasi di kawasan sempadan walaupun mereka terdedah dengan bahaya pada sepanjang masa. “Saya ambil kesempatan untuk ingatkan pegawai dan anggota untuk meningkatkan tahap intergriti dan sentiasa berhati-hati kerana kawasan Op Wawasan ini sensitif, ada penyeludupan senjata api. Kita tak boleh menolak perkara buruk daripada berlaku,” katanya. Hamid juga berkata beliau mengarahkan ketua polis Selangor dan Kuala Lumpur untuk memantau kawasan yang menjadi tumpuan warga Afrika terutama dari Nigeria tinggal dan sering berkumpul. Beliau berkata tindakan itu diambil bukan bermotifkan “racial profiling” namun atas laporan yang dikemukakan oleh orang awam sebelum ini. “Saya ada terbaca satu rintihan warga pangsapuri Desa Aman Puri di Kepong yang mengeluh mengenai warga asing dari Afrika yang membawa budaya kurang sopan seperti mabuk dan menari dalam keadaan separuh bogel di kawasan perumahan mereka tinggal. “Saya telah arahkan supaya ketua polis Selangor dan Kuala Lumpur untuk menggandakan usaha, tinjauan dan serbuan di tempat tumpuan warga Afrika ini,” katanya. #sumber
Jun Hao perlu buktikan kemampuan
-
LEONG Jun Hao masih menjadi sandaran utama perseorangan lelaki negara,
namun status itu perlu dibuktikan menerusi keputusan lebih meyakinkan
selepas pema...
Anwar's political needs.
-
1. When I was a 6th former, our economics teacher gave us a homespun wisdom
which i remember till today 2. Studying economics is like putting up a
brick wa...
[Autosaved] WZWH Mula Menulis…
-
Sudah lama WZWH tidak berblog
WZWH mula menulis…
Sekarang Perang US-Israel VS Iran. Ganggu keamanan dan ekonomi dunia
Sudah tentu beri kesan kepada Malay...
EMPAT PAHLAWAN MELAYU KELAHIRAN BUMI PAHANG
-
PAHLAWAN MELAYU
NAMA-NAMA PENDEKAR KELAHIRAN BUMI PAHANG
1. Dato' Bahaman
Nama sebenar: Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh.
Asal: Semantan, Temerloh, Paha...
#BUBARPARLIMEN MALAYSIA BUKAN DIA PUNYA!!!
-
Percaturan yang direncanakan sebelum ini GAGAL memenuhi kehendak Mahathir
apabila gabungan PAS dan UMNO serta komponen lain dalam Muafakat Nasional
menar...