KUANTAN, 18 Jan - Kerajaan Negeri Pahang berjaya menyelesaikan isu perpindahan penduduk Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Lapang Besar di sini bagi membolehkan satu projek komersial dilaksanakan dengan menawarkan dua pilihan kepada komuniti di kawasan itu. Dua pilihan yang diberikan kepada penduduk terbabit adalah memiliki rumah di Taman Kempadang Sejahtera di Kampung Pak Mahat atau menerima sejumlah wang pampasan. Menurut Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto), seramai 75 keluarga memilih untuk memiliki rumah teres bernilai RM170,000 setiap satu selain menerima wang tunai berjumlah RM10,000 bagi membeli kelengkapan rumah. Seramai 48 orang lagi memilih pampasan berbentuk wang tunai sebanyak RM90,000. "Bagi mereka yang menerima rumah diharap tidak menjualnya hanya kerana mahu mengejar keuntungan segera. "Tinggallah bersama seisi keluarga kerana rumah ini cukup selesa dan paling penting hendaklah menjaganya dengan baik," katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah dan cek pampasan kepada penduduk terbabit, di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Datuk Chang Hong Seong. Adnan turut menasihatkan keluarga yang menerima wang pampasan agar menguruskannya dengan baik dan tidak digunakan untuk tujuan tidak berfaedah. "Saya risau sikit berkenaan hal ini. Kalau tinggal adik-beradik sahaja pun, maka bahagi secara adil dan dipersetujui bersama. Uruskanlah dengan sebaik mungkin demi masa depan," jelasnya. Beliau memberitahu, lebih 20 pemilik gerai Medan Selera Lapang Besar juga menerima pampasan wang tunai bernilai RM31,000. Katanya, wang pampasan tersebut diharap dapat digunakan oleh pemilik gerai sebagai modal kepada mereka untuk mencari tapak baharu. "Dengan wang itu, para peniaga boleh mencari tapak gerai lain dalam usaha tambah pendapatan mereka sekeluarga," tambahnya.

[Akhirnya masalah yang dihadapi oleh sebahagian besar penduduk di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Lapang Besar, Transit Kuarters ini berjaya diselesaikan selepas sekian lama menjadi kontroversi. Apapun, diharapkan para penduduk berpuas hati dengan tawaran yang diberikan oleh kerajaan ini. Mana yang baik rakyat harus menyokong kerana itu adalah hak mereka sebenarnya. Kawasan transit kuarters kini telah dimajukan sebagai pusat komersial oleh pemaju Jasa Imani dan kini hanya yang tinggal ialah dua buah bangunan rumah flat, sebuah dewan, gerai-gerai dan surau yang menanti hari untuk dirobohkan bagi tujuan pembangunan. Tindakan pantas kerajaan ini diharap dapat memberi kepuasa kepada semua pihak dan tidak perlu lagi ada suara-suara sumbang yang mempertikaikannya pada masa akan datang. Kini para penduduk boleh hidup selesa di lokasi yang lebih aman dengan rumah yang menarik. Apapun, jika ada sebarang masalah perkara ini wajar dibincangkan agar ia tidak mengeruhkan keadaan dari masa ke semasa. Kerajaan harus menjaga kebajikan rakyat tanpa membezakan fahaman politik masing-masing hendaknya. Jika tidak sudah pasti ia memberi kesan kepada undi mereka pada Piliharaya Umum Ke-13 nanti pastinya].






Tiada ulasan:
Catat Ulasan