KUANTAN: Indeks jenayah di Pahang meningkat sebanyak 105 kes kepada 1,262 kes bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, berbanding 1,157 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata kadar penyelesaian kes jenayah bagaimanapun didapati menurun kepada 59.58 peratus daripada 71.74 peratus.
"Peningkatan itu didorong terutama oleh pertambahan kes jenayah harta benda yang meningkat kepada 1,023 berbanding 914 kes dalam tempoh sama tahun lepas," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang pula merekodkan 8,277 tangkapan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 8,243 tangkapan tahun lepas, selain nilai rampasan dadah turut mencatatkan penurunan ketara kepada RM8.95 juta berbanding RM25.8 juta dalam tempoh sama.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang membuka 1,893 kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding 1,658 dalam tempoh sama pada 2025.
"Sebanyak 1,380 tangkapan turut dibuat berbanding 1,167 tahun lepas, manakala jumlah kertas pertuduhan meningkat kepada 769 daripada 633," katanya.
Azry Akmar berkata meskipun jumlah kes komersial meningkat, nilai kerugian direkodkan menunjukkan penurunan 9.8 peratus kepada RM46.3 juta berbanding RM51.3 juta pada tahun lepas.
Dalam usaha membantu mangsa penipuan, beliau berkata JSJK Pahang melalui National Scam Response Centre menyita RM355,355.15, dengan RM134,546.70 atau 37.9 peratus daripada jumlah itu telah dipulangkan kepada mangsa.
Bagi aspek trafik pula, Azry Akmar berkata jumlah kemalangan jalan raya meningkat kepada 14,640 kes berbanding 14,016 kes tahun lepas, namun jumlah kemalangan maut menurun kepada 242 berbanding 265 kes dalam tempoh sama.
Beliau berkata sebanyak 129,451 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang dengan kutipan kompaun berjumlah RM4.94 juta. #AstroAwani







Tiada ulasan:
Catat Ulasan