
PUTRAJAYA, 14 Dis - Mahkamah Rayuan menetapkan tiga hari mulai 11 Jun tahun depan untuk mendengar rayuan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang dihukum gantung sampai mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu (foto) pada 2006.
Timbalan Pendaftar Darma Fikri Abu Adam memaklumkan tarikh itu kepada Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, peguam Kitson Foong yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar dan peguam J.Kuldeep Kumar bagi pihak Cif Inspektor Azilah Hadri.
Kitson kemudian memberitahu pemberita perayu memohon diberi tempoh yang panjang untuk meneliti dokumen dan Sirul Azhar akan membangkitkan lebih daripada 20 isu semasa rayuan.
Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 selepas didapati bersalah membunuh Altantuya, 28.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang, dekat sini.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang didakwa bersubahat bunuh wanita Mongolia itu bagaimanapun dibebaskan 31 Oktober 2008 selepas pendakwaan gagal membukti kes prima facie terhadapnya.

[Rakyat Malaysia seantero dunia memang sudah menjangka bahawa rayuan dua anggota polis UTK (Sirul dan Azilah) ini akan didengar selepas Pilihanraya Umum Ke-13. Ia dilihat sebagai penyelamat maruah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dihebohkan terlibat secara langsung dengan kes berkenaan. Perbicaraan yang sedang berlangsung di Perancis berkenaan isu kapal selam Scorpene juga menjurus ke arah itu, apabila banyak bukti kukuh komisyen jutaan ringgit dibayar kepada syarikat milik orang kanan Najib iaitu Razak Baginda. Malah, kedua-dua polis yang disabit dengan kesalahan membunuh Altantunya juga pernah mengatakan mereka adalah "kambing hitam" kepada orang besar yang masih disanjung. Kenyataan itu dibuat ketika mereka dan Razak Baginda sedang dibicarakan, maknanya ada orang lain yang disanjung terlibat. Soalnya, rakyat tertanya-tanya jika buka Razak Baginda arahkan pembunuhan tersebut maka siapa lagi yang ada kuasa mengeluarkan bom C4 dari Kementerian Pertahanan dan mengarahkan Altantunya diletupkan. Jalan terbaik, rayuan kedua-dua mangsa terbabit didengar selepas PRU-13 bagi tidak mengaibkan Perdana Menteri dalam kontroversi ini. Jika ia dibuat awal, sudah pasti satu persatu rahsia akan dibongkar di mahkamah yang memungkinkan Najib dan BN tewas dan terkena pukulan TKO pada pilihanraya umum nanti. Lantaran itulah ia perlu dirancang sedemikian rupa. Lagi pun PRU Ke-13 dijangka akan diadakan lebih awal dari tarikh tersebut].