TEMERLOH, 11 Dis - Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Darul Hikmah, Kerdau baru-baru ini meriah dengan kehadiran krew-krew "Radio Internet Paling Pedas Di Dunia Cili FM". Konti sementara Cili FM di situ telah mendapat sambutan hangat di kalangan para pendengar dan orang ramai yang ingin melihat secara lebih dekat lagi operasi radio internet tersebut. Konti Cili FM di Kerdau yang dikendalikan oleh DJ CMK (foto) itu telah bersiaran secara langsung mulai jam 2.00 petang hingga 12.00 tengah malam. Berbagai segmen menarik disediakan termasuk bersama artis dan beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat. Antara tokoh-tokoh yang telah ditemubual oleh beliau ialah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan PAS Pusat), Ustaz Suhaimi Md Saad (Ketua Penerangan PAS Pahang), Dayangku Intan (Artis), Kamarzaman Md Yunus (Timbalan Setiausaha PKR Pahang), Bob Manolan (Timbalan Ketua PKR Bera), Tengku Zulpuri Tengku Puji (R-Pahang) serta lain-lainnya. Siaran dihentikan sekitar jam 7.00 malam dan kemudiannya bersambung dengan segmen ceramah dari pentas utama himpunan terbabit. Apa yang paling menarik untuk diperkatakan ialah, konti Cili FM terpaksa berpindah tempat sebanyak dua kali akibat cuaca yang tidak mengizinkan. Hujan lebat turun sekitar jam 5.00 petang menyebabkan DJ CMK terpaksa berpayung untuk menyelamatkan peralatan gara-gara kanopi yang sediakan bocor. Apapun, tahniah kepada Cili FM kerana terus menjadi radio "Suara Rakyat" di Malaysia.
[Syabas dan tahniah PDO ucapkan kepada Radio Internet Cili FM yang telah memberi ruang hiburan baru kepada seluruh rakyat Malaysia seantero dunia. Dengan kewujudan radio seperti ini ia dapat mengimbangi pengaruh radio-radio sedia ada yang dilihat lebih mengongkong juruhebah bertugas. Khabarnya, pendengar Cili FM kini sudah meningkat mendadak untuk mencecah ke angka 100 ribu biarpun beberapa bulan ia dilancarkan. Sokongan rakyat untuk mendapat berita dan hiburan yang adil dan telus dapat menjadikan Cili FM terus membangun hendaknya pada masa-masa yang akan datang. Kepada anda yang ingin mendengarkan radio Cili FM secara langsung sila klik www.cilifm.blogspot.com].







