Sungguh mengejutkan apabila mendengar hujjah yang didebatkan oleh
"petualang rakyat" Si
Zahrain Hashim di parlimen petang semalam. Beliau seolah-olah
"gila meroyan" dan mula
"menunjukkan isyarat" bahawa dia sememangnya sanggup berbuat apa sahaja demi menagih simpati pemimpin UMNO terutamanya Najib Razak agar menerima beliau kembali. Biarpun dia tahu hayat politiknya akan berakhir beberapa tahun lagi, namun tidak mungkin Zahrain akan undur ke belakang semula. Bagi Zahrain
"alang-alang menyelok pekasam, biar sampai ke pangkal lengan". Lantaran itulah kita tidak hairan dia sanggup menggunakan kesempatan untuk menghentam
Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen semalam. Lebih membanggakan tindakan Zahrain itu, sudah pastilah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Mereka melihat terbukti Zahrain boleh diharapkan untuk menggempur dan menghancurkan Pakatan Rakyat terutamanya
Parti Keadilan Rakyat itu sendiri. Zahrain mengambil tanggungjawab dan amanah itu dengan baik sekali. Namun, apakah beliau yakin yang puak-puak UMNO gembira dengan tindakannya itu?. Zahrain yang kini bergelar Ahli Parlimen Bebas
"proksi BN", mungkin mengharapkan apa yang dijanjikan dapat ditunaikan dengan segera. Tindakan Zahrain semalam, jelas sekali berdasarkan skrip yang telah ditetapkan oleh pemimpin UMNO agar beliau buktikan di parlimen yang dia sudah bebas dari bayang-bayang Anwar. Mungkin dengan cara itu sahaja apa yang dijanjikan untuk Zahrain akan ditunaikan satu persatu. Nah, sekarang Zahrain berjaya menunaikannya. Apa yang nyata beliau bukan sahaja akann mendapat limpahan kemewahan selepas ini, bahkan namanya akan dikenang sebagai
"pendekar" di Dewan Rakyat puak-puak UMNO BN itu akhirnya.
Agenda Pertama Huru-Harakan Pulau Pinang
Beliau sanggup mengumumkan keluar dari PKR dalam keadaan kemelut politik kosong yang dimainkan oleh media arus perdana bagi mencemarkan nama baik Ketua Menteri Pulau Pinang,
Lim Guan Eng (foto) ketika itu. Zahrain bersama
Tan Tee Bing (Nibung Tebal) dan Fairus Khairuddin melakukan tindakan tepat pada masanya. Bagi mereka, langkah itu yang terbaik daripada terus bersekongkol dengan pemimpin DAP di Pulau Pinang yang kononnya gagal membela nasib orang Melayu di situ. Beliau lupa selama berpuluh tahun Pulau Pinang memang diperintah oleh pemimpin bukan Melayu terutamanya dari
parti Gerakan yang telah gagal sebenarnya mempertahankan tanah-tanah Melayu di pulau itu. Ramai orang Melayu terpinggir dan akhirnya terpaksa berhijrah ke tanah besar selepas tanah tumpah darah mereka dirompak sesuka hati atas nama pembangunan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang terdahulu di zaman pemerintahan BN di sana. Kini, apakah wajar dalam tempoh hanya dua tahun semua petualang rakyat ini mahu melihat perubahan besar berlaku?. Amat tidak logik dan masuk dek akal langsung bila mereka secara tergesa-gesa meninggalkann PKR kononnya gagal membela rakyat. Sedangkan, Pakatan Rakyat baru sahaja setahun jagung mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu selepas pilihanraya umum yang lalu. Jika mereka benar-benar ikhlas berjuang sudah pasti akan tahan sabar dan segala tohmahan yang dilemparkan. Namun, dek kerana mereka ini bukanlah pejuang sejati, maka akhirnya sanggp untuk mengkhianati rakyat dan diri mereka sendiri.
Zahrain Lupa Menang Kerana Kuasa Rakyat
Makanya, apakah rasional tindakan pemimpin pengkhianat itu sebenarnya. Sudah pastilah mereka kecewa akibat tidak diberi perhatian dalam banyak projek pembangunan negeri. Mereka kecewa selaku Ketua Menteri, Lim Guan Eng gagal membela syarikat-syarikat proksi mereka untuk mendapat projek yang dibuat tender secara terbuka. Inilah yang mereka kecewakan sangat, tambahan muka-muka seperti
Zahrain, Fairus dan Tan Tee Beng yang memang jenis
"kaki projek" itu. Atas alasan yang tidak munasabah dan masuk dek akal itulah mereka kononnya kecewa dengan pemerintahan Pakatan Rakyat termasuk Anwar Ibrahim sendiri yang dikatakan gagal membela Melayu dann Islam di negara ini. Bagi mereka, tindakan perlu cepat dan tidak boleh tergesa-gesa. Zahrain yang sudah berpuluh tahun bersahabat dengan Anwar boleh dibutakan mata dan hati untuk melihat kebenaran. Sia-sia sahaja ilmu dan kepakaran yang ada di dalam diri mereka selama ini. Soalnya sekarang, apakah tindakan
"Zahrain N The Gang" itu dibuat semata-mata kerana rakyat?. Apa untungnya rakyat dengan tindakan ahli parlimen yang tidak bermoral dan bermaruah itu agaknya. Mereka lupa bahawa kemenangan besar dalam pilihanraya umum ke-12 lalu adalah dek kerana kuasa rakyat yang mengundi mereka atas nama Parti Keadilan Rakyat itu sendiri. Maka orang-orang PAS dan DAP serta
"atas pagar" menyokong mereka dengan sepenuh hati demi masa depan yang ingin diperjuangkan. Apakah Zahrain fikir bahawa rakyat tidak kecewa langsung dengan tindakannya itu?.
Agenda Zahrain Di Parlimen Ialah Skrip UMNO
Tindakan tidak mahu meletakkan jawatan kerana dipilih rakyat adalah satu tindakan biadap yang dilakukan oleh
"petualang rakyat" ini sebenarnya. Rakyat yang memilih mereka bukan kerana
"batang tubuh" mereka, tetapi kerana parti yang menaungi mereka. Itupun puak-puak pengkhianat ini tidak boleh berfikir dan sanggup berpaling tadah. Hinanya mereka kini di sisi rakyat, bahkan ada rakyat yang mungkin sanggup meludah mereka gara-gara tindakan tidak berperikemanusian terbabit. Zahrain boleh menipu rakyat kononnya penhijrahan mereka adalah dengan ikhlas hati dan tidak ada apa-apa habuan yang diterima. Itu adalah kenyataan
"memalukan" bagi seorang pejuang rakyat yang masuk ke dalam
"kantung emas UMNO". Mereka menerjah masuk ke
"lubuk emas" tetapi masih mahu menipu rakyat kononnya tidak dijanjikan apa-apa. Mereka terlupa yang Perdana Menteri UMNO,
Najib Razak perlukan mereka untuk
mencukupkan kuota 2/3 undi di parlimen bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persempadanan semula pilihanraya. Dalam keadaan terdesak, sudah pasti Najib sanggup melakukan apa sahaja sama seperti ketika merencana
"rampasan kuasa di Perak" awal tahun lalu. Apakah Zahrain tidak terfikir semua ini boleh berlaku. Maka, apakah beliau fikir rakyat boleh percaya penghijrahan mereka hanya dengan hati yang ikhlas dan membawa tubuh badan semata-mata?. Baru dua tahun menjadi wakil rakyat,
hati mereka telah goyah dengan cabaran dan godaan duniawi. Sia-sia sahaja perjuangan mereka selama ini apabila mengakhiri karier hidupnya dengan penuh noda dan kehinaan di mata rakyat.
[Justeru itu kita tidak hairan, apa yang dilakukan oleh Zahrain di parlimen semalam sebenarnya telah diskripkan oleh pihak-pihak tertentu dalam memastikan ramai lagi ahli parlimen Pakatan Rakyat sertainya. Apa yang penting sekarang ialah Zahrain mesti pastikan cabaran pemimpin UMNO agar beliau benar-benar menghentam dan menjatuhkan imej Anwar barulah berpeluang mendapat habuan atau pun dipilih semula sebagai calon bagi puak-puak UMNO BN dalam pilihanraya umum akan datang. Zahrain tidak akan boleh hidup dan bertanding atas nama "calon bebas" di parlimen Bayan Lepas sebenarnya. Oleh itu langkah terbaik ialah melakukan apa jua yang dikehendaki oleh UMNO sekarang. Jika tidak, sudah pasti nasibnya sama dengan petualang rakyat yang terlebih dahulu menjlat ludah sendiri iaitu Ezam Md Noor dulu. Jangankan mahu dipilih sebagai pemimpin UMNO, malahan mahu menjadi calon pilihanraya pun namanya ditolak oleh puak-puak UMNO sendiri. Akhirnya jadilah "mayat hidup" seperti sekarang yang sanggup meracau ke sana sini demi sebuah perjuangan yang tidak tentu hala. Apapun rakyat diminta bersabar dengan apa yang berlaku ini. Teruskan perjuangan dan yakinlah bahawa kuasa rakyat itu yang lebih utama untuk membawa perubahan sebenarnya].