KUANTAN, 25 Julai - Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mariana Yahya hari ini menetapkan tarikh 14 Ogos depan bagi keputusan permohonan akhbar Utusan Malaysia untuk membatalkan saman malu RM30 juta oleh seorang blogger. Peguam Harris Abdullah yang mewakili bloger berkenaan Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) berkata, jika permohonan akhbar milik UMNO itu gagal prosiding akan diteruskan pada 27 Ogos 2012 dan jika Utusan berjaya pihaknya akan memfailkan saman baru. Mohd Shukri yang terkenal dengan nama blogger Cucu Mat Kilau dari blog Pahangdaily memfailkan saman terhadap akhbar berkenaan setelah menyiarkan artikel berunsur fitnah pada 27 November 2010 bertajuk "Cucu Mat Kilau Keluar PKR: Dulu Pernah Cium Anwar Kini Tidak Sanggup Lagi menipu Diri Sendiri". Harris berkata, akibat daripada berita palsu yang disiarkan oleh Utusan dan telah diulangi secara meluas oleh blogger-blogger UMNO melalui blog masing-masing, anak guamnya digelar "kaki ampu" yang sanggup berbuat apa saja termasuk mencium Datuk Seri Anwar Ibrahim dikhalayak ramai untuk mengejar cita-cita politiknya. “Susulan daripada itu juga rakan-rakannya dalam PKR dan Pakatan Rakyat mula menjauhkan diri sehingga beliau tiada pilihan lain selain mengundur diri dari persada politik kepartian. Angkara artikel itu juga, kini Mohd Shukri tidak diterima menyertai mana-mana parti politik di negara ini. “Malah, beliau yang juga bekas calon PKR yang bertanding di DUN Kemayan (Bera) pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 lalu kini tidak ada peluang untuk bertanding menggunakan platform parti politik pada PRU-13 ini. Masa depan politiknya kabur lantaran fitnah yang dilemparkan oleh Utusan", katanya.
Justeru katanya, anak guamnya itu menuntut Utusan dan penulis artikel Tarmizi Abd Rahim untuk membayar ganti rugi secara berasingan yang kesemuanya berjumlah RM30 juta. Tuntutan tersebut ialah ganti rugi am RM5 juta, ganti rugi teladan RM5 juta dan ganti rugi teruk RM5 juta. Tuntutan juga dibuat terhadap faedah ketiga-tiganya atas kadar yang dibenarkan bermula 27 November 2010 sehingga penyelesaian penuh. Sementara itu bagi perbicaraan hari ini Harris berkata, peguam mewakili Utusan mohon membatalkan saman kerana mendakwa kesalahan teknikal dalam writ saman berkenaan. "Mereka mahu membatalkan tuntutan saman atas teknikal sedangkan tidak menafikan kesalahan laporan akhbar dan segala bukti berkaitan telah jelas menunjukkan adanya prima facie terhadap kes ini", katanya lagi. Utusan diwakili peguam Izral dan Shamir daripada firma guaman Tetuan Izral Partnership. Dalam pada itu, Shukri pula berkata, Utusan Malaysia yang dibaca oleh ratusan ribu rakyat Malaysia sememangnya perlu diberi pengajaran atas artikel yang mereka siarkan bagi memelihara etika dan profesionalisme kewartawanan. “Kenapa ada wartawan di akhbar terbabit yang begitu mudah mengeluarkan artikel hanya berpandukan blog-blog tertentu tanpa melihat kepada fakta sebenar. Semoga Utusan akan lebih berdisiplin dalam melaporkan sesuatu berita hendaknya selepas ini. Janganlah akhbar harian itu disamakan macam tabloid mingguan yang lainnya di pasaran,” tegasnya. sumber







