TEMERLOH - Pemilihan Stadium Temerloh di sini, sebagai gelanggang Pestabola Merdeka edisi kali ini selain Stadium Darul Makmur di Kuantan akan melonjakkan nama Temerloh di peringkat antarabangsa khususnya rantau Asia Tenggara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, beliau mengalu-alukan kejohanan tersebut yang akan membolehkan daerah Temerloh menempa era baharu dalam sukan bola sepak.
"Kita sudah ada stadium yang sempurna, yang menjadi gelanggang untuk kejohanan bola sepak peringkat kebangsaan dan kini peringkat antarabangsa pula.
"Ini satu penghormatan dan pada masa sama akan meletakkan nama Temerloh dikenali di rantau ini. Terima kasih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memilih daerah ini," katanya. #sumber

KUANTAN - Polis akan meneruskan operasi Op Payung bagi menangani kes-kes jenayah samun, ragut dan pecah rumah yang berlaku di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, sebelum ini operasi tersebut hanya diadakan pada musim perayaan sahaja dan kini diteruskan pada hari-hari biasa.
Menurut beliau, tempoh lapan bulan tahun ini mencatatkan penurunan kes jenayah sebanyak 13 peratus dan perkara itu merupakan tanda positif dalam menangani jenayah.
"Operasi itu akan diteruskan bagi memastikan rakyat tidak perlu bimbang dan takut berikutan jenayah yang berlaku di tempat mereka.
"Sebagai contoh kekerapan sekatan jalan raya yang dilaksanakan mampu mengurangkan kadar jenayah yang sering berlaku sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baru-baru ini.
Dalam majlis itu, Mohd. Jasmani beramah mesra dengan para anggota dan pegawai dan menyampaikan sumbangan kepada balu polis, warga emas, fakir miskin serta ibu tunggal.
Katanya, kerjasama orang ramai juga turut membantu mengurangkan kadar jenayah tersebut dan diharap perkara berkenaan dapat diteruskan.
#sumber

KUANTAN - Pencegahan jenayah perlu dilaksana bermula di peringkat sekolah supaya dapat membentuk jati diri golongan muda daripada terjebak ke dalam aktiviti jenayah.
Naib Pengerusi 1 Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd. Tahir berkata, generasi muda adalah penentu perpaduan dan keharmonian pada masa hadapan dan bergantung kepada tahap kesedaran serta pengetahuan mereka terhadap negara.
"MCPF akan merencana pelbagai program untuk pelajar bagi mencegah jenayah dari peringkat bawah lagi.
"Kita berperanan membentuk remaja supaya mempunyai kesedaran tinggi terhadap pencegahan jenayah," katanya ketika ditemui selepas Seminar Mahkota Bahasa Isytihar Perang Terhadap Jenayah sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, pelajar perlu mengambil peluang menyertai program-program yang akan dilaksana MCPF Pahang bagi memastikan mereka mengetahui bahayanya jenayah.
Sementara itu, katanya, kira-kira 400 pelajar daripada 12 buah sekolah menengah di daerah ini menyertai program penulisan karangan tersebut.
"Dalam program ini kita telah mengadakan bengkel penulisan dan pertandingan menulis karangan yang bertemakan pencegahan jenayah.
"Program ini bertujuan mendidik pelajar menjauhi jenayah selain dapat membantu mereka menulis karangan dengan baik," katanya.
Katanya, MCPF Pahang akan melaksanakan program seperti ini setiap bulan bagi membantu polis mencegah jenayah di peringkat sekolah.
"Mungkin selepas ini kita akan adakan juga program di kawasan luar bandar kerana pada masa kini jenayah bukan sahaja di bandar tetapi di kawasan-kawasan kampung," katanya. #sumber

MARAN - Projek Terminal Pengangkutan Bersepadu Jengka Sentral bernilai RM10 juta di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini, dijangka beroperasi pada Oktober ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, ketika ini kontraktor utama melakukan kerja-kerja terakhir sebelum menyerahkan kepada kerajaan bagi memulakan operasi terminal tersebut.
Menurutnya, projek itu yang bermula 1 Ogos 2011 merupakan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan sebuah terminal pengangkutan bersepadu sempena sambutan Hari Peneroka pada 7 Julai tahun sama.
"Terminal itu akan menjadi mercu tanda baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka sekali gus meningkatkan imej dan menjadi satu kebanggaan warga peneroka di sini," katanya kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Wisma Peneroka, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan ADUN Jenderak, Datuk Mohamad Jaafar.
Wan Salman berkata, stesen bas dan teksi yang beroperasi sementara bandar tersebut akan ditutup sebaik sahaja Jengka Sentral beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, pemilihan peniaga di terminal itu juga akan memberi tumpuan kepada penduduk tempatan dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah Maran.
Selain itu, beliau memberitahu, satu lagi projek yang dalam pembinaan di bandar tersebut ialah kompleks sukan yang menempatkan stadium bola sepak Felda bernilai RM87.9 juta dan dijangka siap pada 2015.
#sumber
SUNGAI PETANI - Seorang penternak lembu nyaris maut selepas ditembak ketika memandu lori yang sarat dengan muatan makanan lembu, di Sungai Division, Bukit Selambau dekat sini, Isnin.
Dalam kejadian 5 petang itu, M. Yogeswaran, 30, cedera pada jari, terkena tembakan yang dilepas oleh suspek yang membonceng motosikal.
Mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Khalil Arifin kepada pemberita, di sini.
"Besar kemungkinan suspek merupakan individu yang dikenali mangsa," katanya.
Khalil berkata pihaknya percaya kejadian tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap atau kes-kes tembakan yang dilaporkan berlaku sebelum ini.
Beliau berkata polis bagaimana pun masih mengumpul maklumat mengenai kejadian itu.Difahamkan dua suspek yang menunggang motosikal itu datang dari arah belakang lori yang dipandu mangsa, sebelum melepaskan tembakan ke arahnya. #sumber

PUTRAJAYA - Keterangan mengikut keadaan adalah tidak mencukupi dan tidak cukup kukuh untuk mengekalkan sabitan kesalahan dua anggota unit tindakan khas polis membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, menurut penghakiman Mahkamah Rayuan.
Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman 47 muka surat yang dikeluarkan semalam berkata mahkamah dikekang untuk memberikan manfaat keraguan kepada Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korperal Sirul Azhar Umar kerana kesalahan mereka tidak dibuktikan dengan memuaskan.
"Kami sedar akan jenayah kejam yang telah dilakukan tetapi kesalahan perayu (Azilah dan Sirul Azhar) telah tidak dibuktikan secara memuaskan, (maka) kami dikekang untuk memberikan manfaat keraguan kepada perayu," katanya.
Beliau berkata mahkamah sebelum ini telah mengabaikan dan terlepas pandang fakta-fakta penting dan bukti yang memihak kepada perayu yang menyebabkan kegagalan pelaksanaan keadilan yang serius dan ketara terhadap perayu sambil menambah bahawa kesan kumulatif terhadap beberapa bukan arahan menjadikan pensabitan terhadap perayu tidak selamat.
Hakim Tengku Maimun juga berkata DSP Musa Safri merupakan saksi penting yang boleh mengungkap kejadian yang berlaku dan boleh memberikan penjelasan terhadap fakta-fakta dan boleh merapatkan jurang dalam penceritaan kes pendakwaan.
"Kami memutuskan bahawa berdasarkan fakta kes ini, iaitu peranan DSP Musa dalam membawa kedua-dua perayu ke dalam gambaran keseluruhan episod ini, keterangan beliau adalah penting untuk membentangkan penceritaan yang dijadikan asas kes pendakwaan," katanya.
Pada Jumaat lepas, tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada tuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka. #sumber

SHAH ALAM - Sekumpulan gadis tukang urut warga asing sanggup berlari dalam keadaan bogel selepas premis tempat mereka bekerja di Buki Tinggi, Klang, di sini, diserbu sepasukan anggota Penguat kuasa Ibu Pejabat Imigresen Malaysia Putrajaya malam kelmarin.
Ketika serbuan dilakukan kesemua tukang urut terbabit sedang leka melayan urutan badan ke badan (B2B) bersama pelanggan masing-masing di bahagian tingkat bawah premis terbabit.
Timbalan Penolong Pengarah 2 Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Nik Shahanizam Ahmad berkata, serbuan dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat awam.
Menurut Shahanizam, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua 14 wanita ditahan masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
“Mereka cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menjadikan tingkat atas sebagai pusat urut kaki, namun di tingkat bawah mereka menjalankan kegiatan tidak bermoral ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Nik Shahanizam berkata, 10 pelanggan yang berada di premis terbabit turut diambil keterangan sebelum dibebaskan. Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemilik premis turut ditahan.
Difahamkan modus operandi kegiatan ini ialah pelanggan boleh membuat temu janji terus dengan menghubungi wanita yang diinginkan dengan bayaran RM135 bagi setiap sesi.
Kesemua ditahan dibawa ke depoh tahanan imigresen.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. #sumber

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan parti itu Oktober ini.
"Keputusan ini dibuat berdasarkan input daripada perwakilan dan ahli wanita di peringkat akar umbi yang menyarankan agar saya mencalonkan diri kerana berpandangan Wanita UMNO perlu ada exco yang berlatarbelakangkan agama," katanya di sini.
Menurut Mashitah, keputusan itu dibuat setelah mendapat sokongan padu daripada rakan-rakan dan akar umbi Pergerakan Umno Bahagian Baling dalam usaha untuk membantu parti menangkis tohmahan pihak pembangkang khususnya melibatkan isu kedaulatan Islam yang sering kali dicabar sejak akhir-akhir ini.
"Peranan wanita dalam perjuangan UMNO tidak dapat dinafikan lagi dan saya yakin akan dapat membantu berdasarkan pengalaman dan ilmu yang ada.
"Keyakinan saya untuk bertanding itu dikuatkan dengan kaedah pemilihan baru yang akan menjadikan pemilihan UMNO kali ini lebih telus dan adil," ujarnya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas wujudnya usaha pihak tertentu menaja "orang dalaman" parti untuk memecahbelahkan UMNO Bahagian Baling, Mashitah mengakui perkara itu berlaku termasuk mengadakan pertandingan di peringkat bahagian.
"Perkara itu ditonjolkan dengan menaja pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan sayap wanita walhal sebenarnya sayap wanita telah diperakui telah memberi kemenangan.
"Tidak dapat dinafikan ada pihak tertentu cuba menaja pihak tertentu supaya ada pertandingan dan pecah suara di peringkat bahagian," katanya. #sumber

KUANTAN - Bomba Pahang menolak kemungkinan berlaku sabotaj dalam kejadian kebakaran tujuh kapal di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dekat Kemunting, 31 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, Unit Forensik jabatan itu masih menjalankan siasatan bersama beberapa agensi bagi mendapatkan keputusan punca kejadian itu.
Menurutnya, sehingga kini, semua pihak terbabit sedang mengumpulkan bahan bukti serta sampel dan kini dalam peringkat analisis bagi menentukan punca sebenar kebakaran.
“Setakat ini belum ada bukti mengaitkan kebakaran itu dengan unsur sabotaj. Apa pun kita sudah memanggil semua saksi minggu lepas untuk siasatan lanjut,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Hari Raya dan Jamuan Mesra Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.
Katanya, keputusan sebenar dijangka diketahui dalam tempoh sebulan dan sehingga itu, siasatan masih diteruskan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, empat bot nelayan milik sebuah syarikat dan tiga lagi milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) hangus dijilat api.
Siasatan awal bomba mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah bot nelayan yang berada di jeti terbabit terbakar dan merebak menyambar enam bot lain. #sumber
ROMPIN – Seluruh Mukim Rompin dan Mukim Pontian akan mengalami gangguan bekalan air disebabkan kerja-kerja pencucian tangki imbangan di loji air utama di Sepayang, di sini.
Jurucakap Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Rompin, berkata, gangguan bekalan air akan berlaku pada 27 Ogos iaitu pada hari Selasa bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.
“Kawasan yang akan mengalami gangguan air adalah di seluruh kawasan agihan Rompin iaitu dari Kedaik hingga ke Tanjung Gemok.
“Loji akan ditutup awal sebelum kerja-kerja pencucian dilakukan. Kesulitan ini amat dikesali dan masyarakat di kawasan yang terlibat diharap dapat menyimpan bekalan air secukupnya,” katanya.
Sebarang aduan atau kemusykilan boleh terus menghubungi Pulapel menerusi talian bernombor 09-5739999. #sumber
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr.Wan Azizah Ismail hari ini telah menziarahi Ketua Cabang PKR Kuala Krau, Hj.Suhaimi Said di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysa (HUKM) Cheras. Beliau sebelum ini menjalani rawatan di Hospital Sultan Hj.Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh sebelum dipindahkan beberapa hari yang lalu. Difahamkan beliau sekarang menanti
pembedahan di kepalanya untuk merawati penyakit yang dihadapi. Semoga
Allah menyembuhkan penyakitnya agar pejuang rakyat ini dapat meneruskan
perjuangannya. Sumber maklumat diperolehi sendiri daripada facebook Hj.Suhaimi sebenarnya. Ramai yang terkejut, walau pun menjalani rawatan dan terlantar skit beliau masih sempat post ke facebooknya info terkini tentang keadaan beliau. Apapun, PDO mendoakan semoga Hj.Suhaimi cepat sembuh. #sumber
BENTONG - JKKK Semerting, Pelangai, dekat sini, memohon peruntukan untuk menambah kemudahan di balai raya bagi keselesaan penduduk.
Pengerusinya, Ahmad Johan Mat Tahir berkata, antara yang diperlukan ialah pendingin hawa untuk membantu sistem pengudaraan dalam balai raya itu.
Menurutnya, setakat ini, balai raya tersebut hanya mempunyai satu alat pendingin hawa dan ia tidak mencukupi.
“Balai raya ini baru sahaja diperbesarkan, jadi pendingin hawa sedia ada tidak dapat menampung keseluru-han ruang yang semakin luas,” katanya.
Ahmad Johan berkata, pihaknya berharap permohonan itu mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau juga memohon peruntukan untuk menaik taraf surau yang terdapat di kawasan itu.
Katanya, surau sedia ada memerlukan ruang penyimpanan barang atau stor baru bagi menempatkan pelbagai barangan terutama peralatan memasak. #sumber
KUANTAN - Polis menahan lapan individu termasuk tiga warga asing yang tidak mempunyai permit dalam Op Bersepadu Pusat Hiburan membabitkan 33 premis, awal pagi semalam.
Premis yang diperiksa termasuk 10 hotel, lapan rumah urut dan 15 pusat hiburan di sekitar bandar Kuantan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam itu, polis memeriksa 120 lelaki dan 38 wanita.
Menurutnya, operasi dijalankan bersama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di beberapa pusat hiburan di sekitar bandar termasuk di Jalan Besar, Jalan Hj Ahmad dan Jalan Tun Ismail.
“Hasil pemeriksaan, kita menangkap seorang lelaki yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan seorang wanita yang membenarkan warga asing bekerja tanpa permit,” katanya, di sini, semalam.
Beliau berkata, seorang wanita warga Filipina yang ditangkap di sebuah pusat hiburan pula tidak mempunyai sebarang dokumen.
“Polis turut menahan dua wanita Indonesia serta tiga wanita Thailand di sebuah rumah urut kerana tidak mempunyai permit,” katanya.
Dalam operasi lebih tiga jam itu, seramai enam daripada 57 pelanggan pusat hiburan yang menjalani pemeriksaan air kencing didapati positif dadah ditahan untuk tindakan lanjut.
“Mereka yang ditahan bakal berdepan undang-undang dan polis masih memerlukan kerjasama orang ramai bagi memerangi masalah ini. Semua identiti pengadu akan dirahsiakan,” katanya. #sumber
Gambar Datuk Majura Muda Maut Kemalangan Di Lebuhraya Karak pada 25 ogos 2013. Kejadian berlaku di Km35.4 Lebuh Raya Karak dekat Genting Sempah. Punca insiden berlaku selepas motosikal berkuasa besar yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sekitar pukul 8 pagi tadi. Mangsa dikatakan dalam perjalanan secara konvoi dengan tiga penunggang lain menuju ke Air Terjun Lanchang sebelum motosikal Kawasaki GTR1400 beliau terbabas. Beliau kemudiannya tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan serius di kepala ketika melanggar pembahagi jalan konkrit.Untuk info, Datuk Majura merupakan seorang ahli perniagaan berjaya. #sumber

ROMPIN – Kebanyakan guru terbabit dengan Program Kelas Dewasa Orang Asli Pedalaman (Kedap) di sini tidak berpuas hati kerana elaun tenaga pengajar dan peserta masih belum dibayar sehingga kini.
Guru Kedap, Adam Zaidi Mahidin berkata, terdapat lapan guru Kedap di Rompin.
Namun katanya, hanya Pahang menghadapi masalah dalam proses pembayaran elaun hingga membebankan sesetengah tenaga pengajar yang terpaksa mendahulukan wang sendiri untuk membayar elaun peserta.
“Tempoh kelas tiga bulan bermula dari Mei hingga Julai. Sejak mula mengajar, kita terpaksa guna modal sendiri untuk menyediakan alat bantuan mengajar yang sepatutnya disediakan pihak berkenaan.
“Manakala, alat-alat bantuan mengajar seperti kertas manila dan alat tulis diterima dua hari sebelum kelas berkenaan tamat,” katanya.
Adam berkata, dia turut bersimpati dengan nasib rakannya yang tiada pendapatan lain dan bergantung sepenuhnya pada elaun mengajar.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan rakannya tiada semangat untuk mengajar kerana terbeban dengan belanja harian, selain terpaksa mendengar rungutan peserta yang belum menerima elaun.
“Elaun peserta RM20 sehari masih belum dibayar menyebabkan pelajar melepaskan kemarahan kepada guru.
“Malah, ada sesetengah kawasan tiada balai raya menyebabkan guru dan peserta membina pondok untuk dijadikan kelas,” katanya. #sumber

RAUB - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya merempuh lori dalam kemalangan di Kilometer 339 jalan alternatif Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Kampung Batu Talam, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian jam 2.30 petang itu berlaku di hadapan simpang masuk ke Kampung Badang.
Menurutnya, mangsa, Mohamed Afzaniezamiezuan Embong, 37, merupakan penduduk tempatan di situ.
“Siasatan awal dapati lori dari arah Raub dipercayai cuba potong motosikal ditunggangi mangsa dari arah sama.
“Pada masa sama, mangsa turut membelok dipercayai hendak masuk ke simpang di kanan jalan,” katanya.
Wan Mohd Samsudin berkata, mangsa gagal mengawal motosikal lalu melanggar bahagian tepi sebelah kiri lori.
Katanya, mangsa kemudiannya terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub bagi tujuan bedah siasat sebelum dituntut keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Talam, malam tadi (malam kelmarin).
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. #sumber

CHENOR - Pengusaha syarikat menjual kereta terpakai kerugian hampir RM40,000 apabila dua kereta jenis Proton Waja dan Perodua Kancil serta wang dibawa lari dalam kejadian pecah masuk pusat jualan itu di Pekan Awah, pagi semalam.
Pengusaha, Zafri Ab Rahman berkata, perompak turut bertindak nekad merempuh pintu pagar pusat jualan yang sudah beroperasi 14 tahun untuk membawa lari dua kereta itu.
Katanya, kejadian itu hanya disedari seorang keraninya sebaik datang bekerja pada jam 10 pagi apabila mendapati pintu pagar roboh, manakala selak kunci pintu pejabat diumpil.
“Ketika itu, saya berada di Kuala Lumpur untuk urusan memperbaharui insurans sebuah kereta yang dibawa lari, sebelum dihubungi kerani bagi memaklumkan kejadian itu.
“Bahagian dalam pejabat diselongkar dan RM820 turut hilang. Malah, perompak dipercayai menggunakan kunci asal disimpan di dalam pejabat untuk membawa lari kereta terbabit. Ini kejadian ketiga sepanjang saya beroperasi di sini,” katanya.
Zafri berkata, dia diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga apabila pihak insurans mempertikaikan tuntutan terhadap kehilangan kereta berkenaan yang secara kebetulan diperbaharui pada jam 8.50 pagi hari kejadian.
#sumber
TEMERLOH - Seorang lelaki ditemui mati dengan tujuh kesan tembakan termasuk dua di kepala dalam kejadian di Kampung Buntut Pulau, di sini, kelmarin.
Mayat mangsa, Abd Majid Abd Rahman, 47, beralamat di Taman Setia, di sini, yang juga seorang penjual ikan ditemui orang awam di kawasan pam pasir kampung berkenaan jam 9.05 malam sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat dan meninggal dunia akibat tembakan di kepala dan dada.
Katanya, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan penemuan itu dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, untuk bedah siasat.
Beliau berkata, hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa meninggal dunia akibat terkena tujuh das tembakan iaitu dua di kepala, dada, bahu kiri, bahu kanan, belakang paha kiri dan kanan.
“Isteri mangsa memaklumkan suaminya keluar dari rumah mereka pada 18 Ogos (Ahad) lalu.
“Dia (isteri) kemudian mencari suaminya itu dan menemui kereta jenis Proton Perdana milik mangsa di kawasan pam pasir itu pada 21 Ogos lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Mohd Zakaria berkata, isteri mangsa kemudian membuat satu laporan polis berhubung kehilangan Abd Majid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada hari sama sebelum mayat mangsa ditemui malam kelmarin.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. #sumber
PETALING JAYA - Seorang Datuk terbunuh di Lebuh Raya Karak dekat Genting Sempah selepas motosikal berkuasa besar yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sekitar pukul 8 pagi Ahad.
Mangsa yang dikenali sebagai Datuk Nik @ Majura, dalam perjalanan secara konvoi dengan tiga penunggang lain menuju ke Air Terjun Lanchang apabila motosikal Kawasaki GTR1400 beliau terbabas.
Beliau kemudiannya tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan serius di kepala ketika melanggar pembahagi jalan konkrit.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian ini dengan The Star, walaupun tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut pada masa ini.
Kemalangan ini berlaku selepas kemalangan bas tragis yang mengorbankan 37 orang dan mencederakan 16 orang pada Rabu lalu. #sumber
Kini kecoh di laman-laman sosial dan beberapa blog hiburan apabila dikatakan juara Akademi Fantasia 6, Stacy telah memeluk Islam. Tambah mengejutkan apabila Stacy dikatakan memeluk agama Islam kerana keakrabannya bersama penyanyi, Akim.
Namun, setelah diteliti isu tersebut, jelas Stacy yang dimaksudkan bukanlah Stacy AF6. Stacy yang dikatakan memeluk agama Islam itu adalah Stacy yang nama sebenarnya ialah Stelly. Malah, sekeping foto turut menunjukkan yang wanita yang bernama ‘Stacy’ itu bukanlah Stacy AF6.“Kalau boleh saya tak mahu komen sebab perkara melibatkan agama ini sangat sensitif.
“Tapi saya cuma boleh menafikan khabar angin yang mengatakan saya memeluk Islam,” jelas Stacy
Dia yang dikatakan teman tapi mesra Akim itu turut menafikan yang dia kini menjalin hubungan cinta bersama Akim.“Kami tiada hubungan istimewa. Kami cuma kawan rapat sahaja,” ujar Stacy.
Maka, terjawablah persoalan di laman-laman sosial berkenaan khabar angin Stacy yang memeluk agama Islam. #sumber

MARAN - Seluas 500 hektar kawasan telah dikhaskan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor di sini bagi cadangan pembinaan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terbaharu di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Mohamed berkata, kewujudan IPTA itu merupakan satu lagi keperluan sebagai pemangkin kemajuan di kawasan tersebut.
"Kawasan di Bukit Bedung telah dikenal pasti strategik kerana terletak di laluan utama Kuantan ke Temerloh dan berdekatan dengan Pekan Awah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Chenor di Dataran Pekan Kampung Awah di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsudin; ADUN Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan ADUN Luit, Nurhidayah Mohd. Shahaimi.
Mohamed Ariffin berkata, Chenor merupakan satu penempatan tradisional lama yang masih disebut daerah kerana pernah menjadi tumpuan masyarakat sejak zaman dahulu lagi.
"Kawasan Chenor akan terus dijana dengan projek pembangunan, prasarana yang lebih baik, khususnya membabitkan jalan yang menghubungkan jambatan Chenor ke Pekan dan Bera," katanya.
#sumber

BERA - Projek bekalan air bersih dari sumber bawah tanah yang dibangunkan di enam perkampungan Orang Asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan di sini sejak dua tahun lalu kini menjadi projek 'gajah putih'.
Kegagalan projek bernilai RM10 juta itu telah menyebabkan lebih 2,000 Orang Asli dari kampung terbabit terdedah dengan masalah kesihatan apabila mereka terpaksa bergantung kepada sumber air sungai yang dikhuatiri dicemari kesan buangan sisa racun pertanian.
Penempatan Orang Asli terlibat ialah Kampung Pasal, Kampung Lubuk Tembangau, Kampung Saba Serting, Kampung Pathir, Kampung Lubuk Perah dan penempatan Orang Asli Pos Iskandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Fadil Osman berkata, projek bekalan air yang diperoleh daripada sumber air bawah tanah dengan menggunakan pam galas sepatutnya mula berfungsi sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, projek tersebut tidak berfungsi dengan lancar kerana kontraktor dilantik memasang dan menyelenggara pam berkenaan menghadapi masalah dalaman.
"Melihat kepada permasalahan itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melantik kontraktor lain bagi memulihkan semula pam berkenaan supaya dapat beroperasi semula setelah terbiar sejak enam bulan lalu.
"Saya merasa kesal dengan kontraktor sebelum ini berikutan gagal menyiapkan kerja-kerja pemasangan pam galas mengikut jadual sedangkan kementerian telah menjelaskan semua pembayaran bagi melaksanakan kerja tersebut," katanya. #sumber
KOTA KINABALU - Pemimpin pembangkang Sabah, Datuk Lajim Ukin dilantik sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah bagi menggantikan Ahmad Thamrin Jaini, kata Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Majlis Pimpinan Tertinggi PKR telah menyokong pelantikan Laji.
Beliau yang juga Adun Klias dipilih untuk menerajui kepimpinan parti di Sabah selepas PKR memenangi tujuh kerusi pada pilihan raya umum baru-baru ini.
"Saya akan bercakap dengan pemimpin PKR Sabah mengenai pelantikan Lajim," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka PKR Sabah di sini pada Sabtu.
Thamrin, yang turut hadir pada majlis berkenaan, menyatakan kepada pemberita bahawa beliau menyokong penuh keputusan melantik Lajim sebagai Pengerusi PKR negeri. #sumber

KARAK – Kekalahan BN di tiga kawasan Dun pada pilihan raya umum lalu nyata memberi impak kepada Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, kekalahan itu diibaratkan seperti kehilangan satu kaki.
“Sebelum ini, saya dibantu Adun di tiga kawasan iaitu Ketari, Bilut dan Sabai untuk melaksanakan tugas bertemu serta menyelesaikan masalah penduduk.
“Namun, saya kini berdiri seperti orang yang hanya ada sebelah kaki untuk melakukan pelbagai tugasan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya di Dewan PBMK, dekat sini. Turut hadir, Pengerusi JKKK Tok Muda, Hamdan Yusof.
Tiong Lai berkata, beliau bagaimanapun tidak putus semangat, sebaliknya bertekad untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di kawasan Parlimen Bentong.
Katanya, beliau gembira masih mendapat sokongan dan bantuan daripada JKKK, persatuan, agensi kerajaan serta bukan kerajaan dalam menerajui kepimpinan di kawasan ini.
“Tiada Adun daripada BN di kawasan ini bukan bermakna penduduk akan hilang punca. Sebaliknya, mereka boleh mengadukan permasalahan kepada JKKK dan pihak berkaitan atau terus kepada saya.
“Kita masih mempunyai organisasi yang kuat untuk membela nasib penduduk terutama di kawasan Dun Sabai ,” katanya.
Beliau juga berkata, Adun daripada parti pembangkang tidak dapat membantu dan membawa perubahan kepada penduduk di sini walaupun mereka memenangi kerusi itu. #sumber

JERANTUT - Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memasang papan larangan membuang sampah di tepi jalan berdekatan kawasan kampung Jerantut Feri di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Sabri Kamaludin berkata, papan larangan itu penting bagi menyedarkan dan mengingatkan pihak tertentu supaya tidak terus membuang sampah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, sejak Jun lalu, penduduk tidak lagi membuang sampah di kawasan itu kerana setiap rumah di sini, dibekalkan tong sampah oleh Alam Flora.
"Kami tidak tahu siapa yang masih menjadikan kawasan itu tempat pembuangan sampah, jadi kami mahu dengan adanya papan tanda yang dipasang PBT nanti dapat mengingatkan mereka bahawa kawasan itu bukan tempat buang sampah.
“Alam Flora sudah pun sediakan tong sampah, jadi buanglah dalam tong yang ada,” katanya.
Menurutnya, masyarakat perlu memikul tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran bersama kerana sikap suka membuang sampah bukan di tempat sepatutnya boleh menimbulkan banyak masalah.
Katanya, kerjasama penduduk untuk melaporkan maklumat mengenai pihak yang sengaja membuang sampah di kawasan itu diperlukan bagi menangani masalah itu.
“Kita minta jasa baik orang ramai supaya tidak lagi membuang sampah di kawasan itu kerana sampah yang berlonggok bukan sahaja akan mencemarkan pemandangan kampung ini, malah bau busuk.
"Selain itu, kita bimbang kawasan itu menjadi habitat haiwan berbisa seperti lipan dan kala jengking selain menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya. #sumber

KUANTAN – Seramai 13 individu termasuk sembilan pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam Ops Noda dan Cantas, malam kelmarin.
Sembilan GRO warga asing dari Vietnam dan Thailand itu didapati telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di pusat hiburan dan urut di bandar ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Mohd Jasmani Yusoff berkata, operasi khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) tersebut merupakan usaha membanteras kegiatan tidak bermoral sekali gus menahan penjenayah yang disyaki melarikan diri daripada polis.
Menurutnya, operasi melibatkan 40 anggota bermula jam 11 malam dan berakhir sekitar 4 pagi itu menyasarkan premis yang telah dikenal pasti menjadi tempat persembunyian penjenayah tersebut.
“Operasi kali ini dijalankan serentak di empat kawasan antaranya Lorong Wong Ah Jang, Jalan Bukit Sekilau, Jalan Haji Ahmad dan Jalan Beserah.
“Mereka yang ditangkap akan dirujuk kepada imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, beliau berkata, penjaga premis antara empat individu lain yang turut diberkas kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi melebihi waktu dibenarkan, tidak mempunyai lesen sah dan lesen didapati sudah tamat tempoh.
“Mereka ini juga akan dikenakan tindakan tegas kerana didapati melindungi pendatang asing atau yang tidak memiliki pas kerja sah.
“Lesen mereka boleh ditarik dan dikenakan denda mengikut undang-undang pihak berkuasa tempatan yang telah ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Jasmani berkata, orang ramai perlu memberi kerjasama dalam usaha pihaknya mengurangi kadar jenayah di daerah ini. #sumber

MARAN - Seorang suri rumah tidak menyangka ucapan salam dari seorang lelaki tidak dikenali berniat menyamun rumahnya di Kampung kabut dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.
Mangsa, Timah Mat Deris, 59, baru pulang dari kedai runcit berhampiran sebelum terserempak dengan lelaki berkenaan ketika hendak ke belakang rumah untuk mengambil pam minyak.
Menurut anak sulung mangsa, Hairisa Shamsuddin, 41, seorang lelaki memberi salam kepada ibunya sebelum mengacu parang ke leher mangsa secara tiba-tiba.
“Ibu yang tergamam dengan tindakan itu kemudian cuba melawan.
"Namun datang tiga lagi rakan penjenayah mengacu tiga parang ke perut ibu," katanya.
Hairisa berkata, bahagian atas kiri badan ibunya ditendang seorang daripada empat lelaki ketika mangsa meronta dan menjerit meminta tolong.
“Disebabkan tendangan itu, ibu sakit dan tidak dapat bergerak sebelum mereka angkat dan kurung ibu dalam tandas di belakang rumah," katanya.
Menurutnya, selepas yakin empat lelaki itu sudah beredar, ibunya memecah pintu tandas sebelum ke rumah jiran meminta pertolongan.
“Semasa kejadian, tiada sesiapa di rumah dan ibu pula.
“Ibu kehilangan tiga rantai dan lapan gelang emas selain wang tunai RM2,800 serta dokumen peribadi apabila beg tangan dibawa turut dilarikan,” katanya.
Difahamkan, itu kali ketiga rumah mereka disamun selepas kejadian awal Januari lalu yang menyebabkan mereka kehilangan telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai. #sumber

KUANTAN - Polis memberi amaran kepada pihak yang menyebarkan khabar angin konon berlaku beberapa kes tembak-menembak di bandar ini yang boleh mengundang suasana panik dan mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, berita palsu itu bukan saja boleh menimbulkan suasana tidak aman malah mengundang ketakutan kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian mengulas khabar angin disebarkan pihak tidak bertanggungjawab melalui SMS dan beberapa laman sosial mendakwa berlaku kes berbalas tembak antara polis dan penjenayah di sebuah pasar raya di Jalan Air Putih, di sini, kelmarin.
“Polis sudah melakukan siasatan berhubung dakwaan berkenaan dan mendapati tiada kejadian seumpama itu berlaku di kawasan terbabit.
“Dakwaan itu palsu justeru orang ramai jangan sesekali percaya khabar angin yang tersebar berhubung kejadian tersebut,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, semalam.Mohd Jasmani berkata, orang ramai sepatutnya menyemak dengan pihak polis bagi mengesahkan sebarang khabar angin bukan percaya bulat-bulat berita palsu yang tersebar.
“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penyebar berita palsu itu kerana hanya menyusahkan orang ramai,” katanya. #sumber
PEKAN - Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) cedera di tangan dan badan dikatakan selepas terbabit dalam pergaduhan di Kem Semarak Tanjung Gosong di sini, malam tadi.
Sumber polis berkata, pelatih berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan selepas cuba meleraikan pergaduhan seorang rakannya dengan seorang lagi pelatih yang masing-masing berusia 18 tahun.
"Mangsa cuba meleraikan pergaduhan itu bagaimanapun dia tercedera dalam kejadian berkenaan. Mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku 9.23 malam tadi.
"Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan sedang menyiasat punca pergaduhan," katanya. #sumber
Kemalangan yang mengorbankan 37 nyawa dan 16 parah pada 21 Ogos 2013 di Genting Karak. Terburuk dalam sejarah bas di Malaysia. Video ini telah diceritakan oleh mangsa yang terselamat. Pada pandangan kami, pemandu yang bersalah 100% kerana dia sudah mengatakan tiada brek pada bas pada awalnya. Namun dia meneruskan perjalanan sehingga akhirnya mengorbankan nyawa yang tidak bersalah. #sumber

Rentetan peristiwa bukti Cif Inspektor Azilah Hadri dikatakan terbabit kes pembunuhan Altantunya • 7 November 2006 : Polis merampas sekeping nota dari pejabat Azilah. Nota itu tercatat nama pegawai penyiasat persendirian tertuduh ketiga, alamat tempat tinggal Altantuya, nombor telefon dan namanya.
• Keterangan saksi-saksi yang melihat pada malam Altantuya dibawa dari rumah Abdul Razak.
• Rakaman televisyen litar tutup (CCTV) di lobi Hotel Malaya , CCTV di lobi bangunan Getah Asli dan komunikasi melalui telefon.
• Lokasi letupan ditunjuk sendiri oleh Cif Inspektor Azilah Hadri
• Keterangan saksi-saksi bahawa Azilah Hadri bersama Sirul Azhar Umar, adalah orang terakhir dilihat bersama dengan Altantuya.
• Polis merampas beberapa barang milik Altantuya daripada Sirul Azhar. Sepasang selipar Sirul Azhar ada kesan darah simati.
• Altantuya ada memberitahu rakannya jika dia ' hilang' 2 atau 3 jam pada 19 Oktober 2006 , cepat-cepatlah buat laporan polis dan carilah 'Razak Baginda'. Baca selanjutnya di SINI
KUANTAN - Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd Rizal Abdullah yang terbabit kemalangan jalan raya pada 15 Ogos lepas, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini hari ini.
Mohd Rizal, 55, meninggal dunia jam 6.52 pagi, kata Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman.
"Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Wad ICU Teratai pagi tadi selepas lebih seminggu dirawat di hospital itu," katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya jenazah Allahyarham dihantar ke Sungai Petani, Kedah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kelisa.
Pada 15 Ogos lepas, Mohd Rizal cedera parah selepas kereta dipandunya melanggar belakang treler muatan konkrit di jalan pintasan di Jalan Kuantan pada 7 pagi semasa dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Gebeng. #sumber

SHAH ALAM - Keputusan mahkamah membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu umpama memperlihatkan pembunuhan kejam ini tiada pembunuhnya, kata AJK Pas Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad.
Dzulkefly berkata, perkara ini amat mengejutkan pelbagai pihak apabila Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan pasangan itu dan ini menimbulkan persoalan siapa pembunuh sebenar Altantuya yang di bunuh dengan kejam.
“Memang mengejutkan tapi mungkin ramai juga yang sudah menjangkakan keputusan ini. Apabila keputusan ini dikekalkan bermakna satu jenayah kejam seperti ‘a crime without criminal’,” ujar beliau ketika dihubungi TVselangor.
Tambah beliau, keputusan ini bukan sahaja malang buat keluarga Altantuya, malah lebih malang kepada rakyat Malaysia atas ketidakupayaan sistem kehakiman negara bagi mencari penjenayah sebenar pembunuhan berprofil tinggi ini.
“Kesimpulannya kes ini mempunyai banyak ramuan yang boleh dipertikaikan dalam keputusan ini termasuk ‘incompetent investigation’, sifatnya juga terlalu lemah dan nampaknya institusi kehakiman itu terikat dengan mereka yang menjadi penguasa dalam politik,” kata Dzulkefly.
Beliau juga menyambut baik keputusan bapa Altantuya sekiranya beliau ingin membawa kes ini ke peringkat lebih tinggi (kerajaan Mongolia), bagi menegakkan keadilan untuk anak perempuannya. #sumber

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan atas alasan yang diberikan oleh mahkamah ketika membebaskan kedua tertuduh tidak mempunyai kaitan.
"Tentang DSP Musa Safri, kami menegaskan keterangan beliau tidak ada kaitan dengan keseluruhan perbicaraan yang telah dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan terhadap pensabitan dan hukuman.
Dalam rumusan penghakiman empat muka surat itu, mahkamah memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam mensabitkan mereka.
Hakim Tengku Maimun yang membacakan penghakiman itu berkata hakim perbicaraan telah tersalah arah dirinya dengan cara tanpa arah gagal mempertimbangkan diari stesen dan gagal membuat dapatan sama ada pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa Azilah, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes ini, berada di tempat kejadian jenayah.
#sumber

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P.Waythamoorthy supaya berhenti memegang jawatannya sekarang berikutan tidak puas hati dengan tindakan pihak polis.
Cabaran Zahid ekoran Waythamoorthy mempersoalkan tindakan pihak polis berhubung kes tembakan ke atas lima penjenayah yang disyaki ahli kongsi gelap 04 di Pulau Pinang Ahad lalu.
Menurut Zahid sebagai seorang anggota kerajaan Waythamoorthy tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar yang ditentukan kerajaan.
“Jangan ingat beliau masih lagi pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) saya cadangkan dia (Waythamoorthy) berhenti (memegang jawatan timbalan menteri) kalau nak bercakap di luar dari bidang dia.” kata Zahid yang dipetik dari laporan media cetak arus perdana.
Waythamoorthy sebelum ini mempersoalkan tindakan pihak polis kerana mendakwa sukar mempercayai berlaku kejadian tembak-menembak selepas melihat gambar mayat yang mati ditembak.
Sebelum ini juga Pakatan Rakyat juga turut membuat bantahan berikutan persepsi yang sama dengan apa yang dicetuskan Waythamoorthy. #sumber
Peguam kanan Karpal Singh akan memohon untuk memanggil Datuk Seri Najib Razak dan bekas pembantunya DSP Musa Safri dalam saman RM100 juta berkaitan pembunuhan warganegara Monglia Altantuya Shaariibuu. Karpal yang mewakili keluarga Altantuya berkata, mereka akan mengaktifkan semula saman itu, yang tertangguh sehinggalah keputusan dibuat oleh mahkamah jenayah.
Katanya, walaupun pembebasan dua anggota polis oleh Mahkamah Rayuan pagi ini memberi kesan terhadap saman sivil, kes itu akan diputuskan mengikut imbangan kebarangkalian. "Seperti (bekas pemain ragbi Amerika Syarikat) OJ Simpson, walaupun dia dibebaskan, saman sivil mendapati beliau bertanggungjawab (atas kematian isterinya).
"Kami akan panggil Najib dan Musa untuk menghubungkan keadaan yang membawa kepada kematian Altantuya. Musa mungkin tidak bertindak sendiri atas perkara itu.
"Terdapat peluang mewujudkan kesalahan atas pihak lain," kata Karpal di Shah Alam hari ini. #sumber