
KUANTAN, 12 April - Orang ramai terutamanya penduduk Kuantan dan sekitarnya yang mahu mendengar serta mendapatkan maklumat terperinci tentang Projek Lynas bolehlah hadir ke majlis taklimat awam yang bakal diadakan di Komplek Dagangan Indera Mahkota dekat Bandar Indera Mahkota jam 8.00 malam ini. Seperti biasa taklimat akan diberikan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Jabatan Alam Sekitar Pahang (JAS) serta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Nuklear Malaysia (AELB). Makluman diterima, program pada malam ini kawalannya agak ketat berbeza dengan taklimat terdahulu. Difahamkan, pihak polis telah diarahkan untuk memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang didapati menimbulkan provokasi. Malah, terdapat juga maklumat mengatakan hanya mereka yang mempunyai pas jemputan sahaja dibenarkan masuk oleh pihak penganjur. Soalnya sekarang, jika maklumat ini benar maka ia jelas sekali membelakangkan hak rakyat untuk sama-sama terlibat dalam majlis penerangan awam projek berkenaan. Kenapa Kerajaan Negeri Pahang begitu takut dengan suara-suara rakyat jika mereka jujur dan ikhlas dalam meluluskan projek berkenaan. Apapun, rakyat digesa hadir dan tidak gusar dengan ugutan dan tekanan yang akan diberikan oleh pihak berkenaan. Kebenaran haruslah ditegakkan dalam hal ini dan bukan menjadikan rakyat sebagai "bahan eskperimen" untuk mengiyakan apa yang menakutkan mereka selama ini. Rakyat berhak untuk terlibat dan tidak perlu pihak berkenaan takut dan gusar dengan kehadiran mereka. Justeru itu orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama dalam program malam ini.
Siaran eksklusif tentang Projek Lynas yang telah disiarkan oleh media NT7
[Rakyat perlu bangkit untuk membantah demi masa depan generasi akan datang. Kita tidak mahu diri kita dipersalahkan akibat kealpaan dan kesilapan kita gagal untuk mempertahankan nasib mereka hari ini. Masihkan kita ingat kenyataan pakar-pakar ketika bantahan rakyat terhadap pembinaan projek kilang kertas Malaysia Newsprint Industries (MNI) di Temerloh dulu?. Masihkah kita ingat kenyataan pakar ketika bantahan rakyat terhadap pembinaan projek Raub Australian Gold Mining (RAGM) di Bukit Koman Raub dulu?. Semua pakar mengatakan ia tidak berbahaya dan tidak membahayakan penduduk. Namun apa yang berlaku hari ini?. Rakyat yang tidak bersalah diundang berbagai penyakit, malah sungai-sungai juga mula tercemar menyebabkan tahap kesihatan semakin terjejas dari masa ke semasa. Semua ini gara-gara kenyataan pakar berkenaan. Maka itu, apakah kita harus biarkan pula Lynas Malaysia Sdn Bhd (LMSB) meneruskan operasi mereka hanya berdasarkan kenyataan pakar-pakar itu lagi?. Mereka hanya merancang tetapi tuhan yang menentukan. Marilah kita bangkit bertindak sekarang!. Difahamkan juga selepas solat asar petang ini satu lagi taklimat awal bakal diadakan di Surau Al-Ikhwan Taman LKNP Bukit Setongkol. Oleh itu, marilah sama-sama kita bela rakyat!].






Tiada ulasan:
Catat Ulasan