KUANTAN: Seramai 20 orang peneroka Felda seluruh Pahang hari ini tampil membuat laporan polis di ibu pejabat polis (IPD) di sini terhadap Felda berikutan keengganan agensi tersebut memberikan duit raya dan dividen Felda Global Ventures (FGV).
Mereka adalah sebahagian daripada peneroka yang menyaman Felda beramai-ramai dalam isu kadar perahan gred (KPG) dan lain-lain kepincangan kepada komuniti tersebut yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuantan.
Bagaimanapun pada 6 Julai lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat pengumuman berhubung dengan pemberian duit raya dan dividen FGV kepada semua peneroka tanpa menyebut siapa yang tidak layak.
Bagi mereka, penafian wang raya kepada mereka itu seolah-olah Felda sudah menjatuhkan hukum mereka bersalah dalam hal menyaman Felda, walhal kes tersebut masih berjalan sehingga boleh mengganggu proses mahkamah.
Seorang peneroka Mohd Shahrul Mohamed dari Felda Gugusan Bera berkata, selepas daripada pengumuman itu beliau berjumpa dengan pengurusan rancangan dan diberi tahu peneroka-peneroka yang mengambil tindakan saman ke atas Felda tidak layak menerima pemberian duit raya dan dividen FGV.
Katanya, nama beliau dan yang terlibat menyaman Felda juga dipamerkan di papan kenyataan pejabat rancangan seolah-olah merupakan satu ugutan ke atas yang terlibat.
“Selain mengganggu proses mahkamah yang sedang berlangsung sekarang, keadaan ini juga telah memberi gambaran negatif masyarakat kepada peneroka-peneroka yang menyertai saman.
“Sedangkan proses saman yang kami buat adalah satu proses menuntut hak dan keadilan yang gagal dilaksanakan oleh Felda dan proses mahkamah ini tidak menyalahi mana-mana undang-undang dan perjanjian.
“Akibat daripada itu kami disindir dan dipersenda masyarakat seolah-olah saya telah melakukan satu jenayah dan menyebabkan saya rasa malu dan tertekan,” tegasnya.
Shahrul berkata, tindakan Felda melabelkan peneroka yang mengambil tindakan saman sebagai berhaluan kiri dan tidak mengenang budi adalah tidak bertanggung jawab dan tidak berintigriti.
Tambahnya, keadaan ini telah menimbulkan prasangka buruk dan persepsi negatif sesama peneroka.
Dalam pada itu Shahrul berkata, tindakan laporan polis tersebut akan diambil tindakan segera oleh peguam supaya Felda menjelaskan pembayaran wang tersebut secepat mungkin.
Peneroka diwakili oleh peguam Harris Abdullah. #sumber












Tiada ulasan:
Catat Ulasan