BENTONG - Wong Tack menafikan dakwaan DAP bahawa beliau tidak digugurkan sebagai calon bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan sebaliknya ditawarkan bertanding di Cameron Highlands.
“Ini tidak tepat,” kata Wong yang sejak itu mengisytiharkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Bentong sebagai calon bebas dalam kenyataan.
Aktivis yang bertukar menjadi ahli politik itu berkata bahawa DAP Pahang pada 16 Okt lepas “memutuskan untuk mengeluarkan saya dari Bentong”.
Wong juga mendakwa diberitahu bahawa beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi di Pahang.
Wong berkata, beliau kemudian ditawarkan kerusi Cameron Highlands berikutan tindak balas daripada rakyat dan ahli parti di Bentong.
“Saya segera menolak tawaran itu.”
Katanya, Loke bertemu dengannya pada 23 Okt lalu dan menggesa bekas ahli Parlimen Bentong itu mempertimbangkan semula keputusannya untuk tidak bertanding di Cameron Highlands.
“Saya memberitahu, saya akan menyampaikan apa yang kami bincangkan dalam mesyuarat dengan ahli akar umbi Bentong dan akan kembali padanya dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Pada Rabu lalu, DAP menamakan bekas ADUN Ketari, Young Syefura Othman sebagai calon untuk kerusi Parlimen Bentong dalam PRU15.
Ini bermakna Wong Tack tidak dapat mempertahankan kerusi itu sebagai calon PH, selepas mengalahkan bekas presiden MCA, Liow Tiong Lai dalam pilihan raya umum 2018.
Wong Tack kemudiannya mengumumkan beliau akan bertanding di Bentong sebagai calon bebas selepas namanya digugurkan.
Beliau mendakwa, DAP memberitahunya, beliau tidak sesuai dengan “strategi besar” parti itu untuk PRU15.
Loke memberi amaran kepada Wong Tack untuk membatalkan keputusannya bertanding sebagai calon bebas atau beliau akan dipecat sebagai ahli DAP.
Dalam kenyataannya hari ini, Wong Tack menegaskan beliau tidak memihak pada mana-mana puak dalam DAP dan tiada berminat untuk bermain politik parti.
“Politik mesti mengenai rakyat. Ia bukanlah satu permainan retorik, manipulasi dan strategi kosong hanya untuk memenangi pilihan raya.
“Ini adalah masa untuk menanam benih untuk membina satu platform untuk kuasa sebenar rakyat dalam politik dan saya berharap ia bermula di bentong,” katanya, sebelum mengumumkan sebagai calon bebas untuk kerusi itu. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan