PETALING JAYA: Kerajaan akan menambah bilangan anggota penyelamat dan menggerakkan lebih banyak aset ke negeri-negeri dilanda banjir bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap, selain mempercepatkan penyaluran bantuan bekalan yang diperlukan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, pada masa ini semua agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang mempunyai aset sesuai seperti bot dan helikopter telah bersiap sedia, selain agensi kerajaan yang lain.
"Di samping itu kita memastikan juga bekalan barangan keperluan yang biasa kita bekalkan untuk mangsa banjir ditambah kerana berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai keadaan cuaca, memerlukan kita mengambil langkah-langkah tambahan.
"Ini sedang pun dilakukan oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari segi bekalan barangan keperluan," katanya selepas menghadiri majlis jamuan Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia di Subang Jaya di sini hari ini.
Katanya, beliau akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 27 Disember ini bagi membincangkan perkara itu dan mendapatkan lebih banyak maklumat tentang bagaimana semua aset tambahan tersebut dapat digerakkan. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan