Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, walaupun mangsa tertekan dengan musibah, tetapi aspek penjagaan kesihatan diri dan keluarga sewajarnya diutamakan untuk memulihkan kehidupan selepas kejadian itu.
Titah baginda, kebersihan tempat tinggal dan tandas perlu diberi perhatian serius kerana kekotoran tempat itu merupakan punca komplikasi segala penyakit.
“Saya berharap mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan sewajarnya membersihkan tandas, tempat memasak, tempat tidur dan tempat pembuangan sampah berasaskan kesedaran diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Tugas menjaga kebersihan ini bagi mengelakkan jangkitan penyakit seperti demam denggi, kencing tikus, cirit-birit dan komplikasi penyakit yang lain berpunca sikap mengabaikan kebersihan,” titahnya.
Tengku Abdullah bertitah demikian ketika menziarahi mangsa banjir dan menyampaikan wang bantuan bencana alam kepada seramai 98 mangsa banjir di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lanar di sini, semalam.
Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani: Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Ahmad Daud.
Terdahulu baginda berkenaan melawat dan menyampaikan sumbangan bernilai RM200 kepada seramai 410 mangsa banjir pusat penempatan banjir Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tengku dan 353 orang mangsa di SK Clifford.
Menurut Tengku Abdullah, musibah banjir kali ini memberi iktibar kepada semua penduduk di Lipis untuk meningkatkan aspek keselamatan dan penjagaan kesihatan khususnya membendung penyakit berjangkit daripada menular selepas banjir.
Baginda bertitah, musibah banjir serta bencana lain merupakan takdir dan semua mangsa yang terlibat di negeri ini diminta bersabar kerana kerajaan negeri, pemimpin setempat dan agensi kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan mereka yang terbabit.
"Kerajaan negeri sudah mematuhi standard peraturan operasi (SOP) untuk menghadapi bencana alam khususnya kebajikan dan keselamatan penduduk di negeri ini," katanya.
Tambahnya, jawatankuasa bencana alam daerah diminta memantau kebajikan mangsa di pusat pemindahan dan selepas mereka kembali ke kediaman masing-masing selepas banjir surut. #sumber





