Penduduk Sungai Temau, Che Soh Che Kob, 63, kesal dengan pencemaran air Sungai Jelai dan anak sungai lain semakin teruk hingga mengakibatkan mereka mengalami kesulitan mendapatkan bekalan air bersih.
Dakwanya, masalah air keruh dan berselut itu disebabkan operasi perlombongan emas dan bijih besi serta pembalakan di kawasan hulu sungai hingga menjejaskan aktiviti harian penduduk.
“Saya harap operasi lombong dan pembalakan di kawasan hulu sungai dapat dihentikan segera supaya sungai kembali sedia asal.
“Saya minta pihak terbabit ‘kembalikan’ semula air bersih kepada kami dan jangan ganggu aliran sungai yang jadi sumber utama bekalan air kami sejak berpuluh tahun lalu,” katanya di sini, semalam.
Terpaksa beli air mineral
Rakannya, Wan Haslizan Wan Hassan, 51, berkata, dia sendiri kecewa apabila ada pihak rakus mengaut keuntungan tidak cakna dengan alam sekitar dan penduduk menanggung perit masalah pencemaran dan terputus bekalan air.
Wan Haslizan tidak dapat menahan rasa kecewa apabila menceritakan kesukaran dihadapinya serta penduduk lain akibat daripada masalah air kotor itu yang warnanya diibaratkan seperti air teh.
“Masalah air kotor dan langsung tidak boleh diguna ini menyebabkan penduduk terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan harian dan keadaan ini sudah pasti membebankan kami.
“Pihak berwajib sepatutnya mengutamakan kesejahteraan penduduk termasuk menaik taraf loji dan penggantian paip baharu agar bekalan air bersih pulih tanpa gangguan seperti mana yang dihadapi ketika ini,” katanya.
Penduduk pekan Padang Tengku, Rosdan Ishak, 44, berkata, penduduk di situ sudah mempunyai pengalaman ‘pahit dan derita’ berkaitan masalah air sejak dua dekad lalu apabila wujud kegiatan perlombongan dan pembalakan berleluasa di kawasan berkenaan.
“Jika ada air pun, penduduk juga berdepan dengan tekanan air yang rendah sebab sistem saluran paip lama dan kerap terputus bekalan dalam tempoh yang panjang sehingga menyusahkan semua pihak.
“Pencemaran air Sungai Jelai dan sungai lain menyebabkan beberapa loji kawasan Padang Tengku terpaksa ditutup sehingga mengundang kesulitan bagi penduduk memperoleh bekalan air terawat,” katanya.
Henti segera operasi lombong, balak
Sementara itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) meminta pihak berwajib dan pengusaha menghentikan segera operasi perlombongan dan pembalakan di kawasan Mukim Batu Yon dan Hulu Jelai, daerah ini berikutan pencemaran air Sungai Jelai dan anak sungai lain semakin teruk malah bimbang dengan nasib generasi akan datang.
Menurutnya kerakusan pihak tertentu mengaut keuntungan menerusi kegiatan perlombongan bijih besi dan emas serta pembalakan telah menyebabkan air sungai tercemar.
“Sungai ini memberi keperluan bekalan air bersih kepada kira-kira 15,000 penduduk kawasan Padang Tengku, daerah ini menerusi air terawat di beberapa loji di sini.
“Saya difahamkan ada beberapa loji yang kadang kala terpaksa memberhentikan operasinya berikutan aliran air yang berkeladak dan dipenuhi lumpur dan pasir sisa buangan yang dialirkan dari lombong ke sungai berkenaan sehingga penduduk kerap terputus bekalan air,” katanya.
Berani bersuara, bertindak
Shariffa Sabrina berkata, pihak berkenaan sewajarnya prihatin nasib penduduk daerah ini mahupun tempat lain yang menggunakan bekalan air bersih sebagai sumber minuman, mandi dan memasak.
“Jika senario pencemaran berlanjutan, sudah tentu sungai di sini tidak berfungsi lagi sebagai sumber bekalan air bersih dan pupusnya ikan air tawar bermutu tinggi sekali gus memberi impak pertumbuhan sosial dan ekonomi jangka panjang termasuk kesihatan penduduk,” katanya.
Beliau turut memberi contoh, iaitu operasi perlombongan emas di Kampung Gua sejak tiga bulan lepas mengundang pencemaran anak sungai, iaitu Sungai Sai yang teruk akibat pembuangan sisa lumpur lombong yang dialirkan masuk ke Sungai Jelai berdekatan situ.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk kawasan berkenaan ‘bersuara’ dan bertindak berasaskan undang-undang mempertahan khazanah alam daripada kemusnahan. #sumber













Tiada ulasan:
Catat Ulasan