Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fatimah Ghazali (foto) berkata, berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 176 kes kemalangan motosikal membabitkan remaja dengan jumlah kematian seramai 81 orang.
Menurutnya, kebanyakan yang terlibat dalam kemalangan ini terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai lesen memandu, motosikal tiada cukai jalan dan menunggang dalam keadaan berbahaya.
“Justeru, pelbagai kempen keselamatan jalan raya telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk menangani masalah ini.
“Ini termasuklah tindakan tegas oleh polis dalam usaha membanteras kegiatan lumba haram dan merempit, namun ia tidak memberi kesedaran kepada golongan muda,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Program Rakan Cop ‘Moh Kite Menunggang Motosikal’ Bersama Ketua Polis Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 di sini baru-baru ini.
Fatimah berkata, kebanyakan golongan muda tidak mengendahkan tindakan undang-undang yang dikenakan malah ada dalam kalangan belia yang sanggup merempuh sekatan jalan raya dan melanggar anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.
Beliau berharap ibu bapa perlulah bersikap lebih prihatin terhadap keselamatan anak-anak dan tidak sesekali membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen.
“Pihak polis akan terus memberi kesedaran kepada golongan belia terhadap gaya hidup sihat dan sekali gus dapat meningkatkan martabat golongan belia hari ini,” katanya.
Pada program itu, kira-kira 200 golongan belia menyertai konvoi ke Teluk Cempedak. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan