Kumpulan itu menyerahkan memorandum terbabit di hadapan Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini, sejurus menerima maklumat Abdullah Sani dicalonkan bagi mempertahankan kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Abdullah Sani sebelum ini adalah bekas Ahli Parlimen Kuala Langat dicalonkan PKR bagi menggantikan penyandang G Manivannan yang ditawarkan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, Perak.
Jurucakap kumpulan itu, G Kalaiselvan berkata, kesemua mereka menolak sekiranya pucuk pimpinan PKR mahu mencalonkan Abdullah Sani dalam PRU14 kali ini, kerana beliau tidak mewakili 17,000 pengundi India di kawasan itu.
"Bagaimanapun, kami juga turut menolak sekiranya penyandang Manivannan dicalonkan semula untuk kerusi itu kerana pintu pejabatnya sentiasa tertutup dan beliau tidak melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan bagus.
"Banyak pemuda India Kepong yang lain, kerusi itu boleh diberikan kepada mereka. Kenapa sekarang mahu diberikan kepada (orang) Melayu?" katanya dalam sidang media, di sini.
Tegas beliau, kawasan itu sejak dahulu sudah menjadi kerusi Parlimen tradisi untuk masyarakat India, walaupun pernah dipegang oleh BN, malah MIC pada PRU kali ini turut meletakkan calon dari kaum India.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita, tetapi kenapa kali ini tukar kepada orang Melayu?
"Buat masa ini kita tidak tahu siapa calon yang sesuai tetapi kita mahu wakil India bertanding di Parlimen Kapar," katanya.
Sementara itu, ahli PKR, M Tamilvanam, berkata sekiranya pencalonan Abdullah Sani tidak digantikan oleh calon kaum India, mereka tidak teragak-agak untuk tidak mengundi PKR pada pilihan raya kali ini.
"Kita nak Kapar orang India, tetapi sekarang mereka meletakkan calon Melayu dan ia menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat India di sana.
"Kami meminta supaya pucuk kepemimpinan PKR mendengar rayuan penduduk Kapar dan membuat keputusan sewajarnya," katanya.
Tambahnya, masyarakat India di kawasan itu mahu calon yang boleh menulis dan bertutur dalam Bahasa Tamil kerana kebanyakan penduduk Kapar adalah daripada aliran sekolah Tamil.
"Kita tidak kisah calon Melayu tetapi di kawasan itu terdapat banyak kuil, jadi bagaimana orang Melayu nak masuk ke dalam kuil?" katanya. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan