PUTRAJAYA, 14 Jan [2.32 pm] - Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah (foto), selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ketua Pembangkang itu untuk mengenepikan keputusan hakim itu enggan menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu. Panel tiga hakim terdiri Hakim Datuk Wira Low Hop Bing, Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dan Hakim Datuk Ahmad Maarop sebulat suara memutuskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi (menolak permohonan Anwar supaya Mohamad Zabidin menarik diri), tidak boleh dirayu. Panel itu menerima bantahan awal yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Hanafiah Zakaria bahawa keputusan itu tidak boleh dirayu sepertimana ketetapan Seksyen 50 (1) (a) dan Seksyen 3, Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Mohamad Hanafiah dalam hujahnya berkata Anwar tidak mempunyai hak untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kerana keputusan itu dibuat semasa perbicaraan sedang berjalan yang tidak melupuskan sepenuhnya hak pihak berkenaan. Hakim Low hari ini berkata mahkamah berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika perbicaraan sedang berlangsung. "Oleh yang demikian kami memutuskan bahawa mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan itu, begitu juga Anwar tidak mempunyai hak untuk merayu di peringkat interlokutori di Mahkamah Tinggi. Kami terima bantahan awal pihak pendakwa dan tolak rayuan ini," katanya.
[Seperti yang dijangkakan oleh seluruh rakyat Malaysia, akhirnya perbicaraan Anwar diteruskan mengikut skrip yang sama. Terlalu sukar untuk memilih hakim lain yang terpaksa diberi panduan dan tunjuk ajar untuk mengendalikan kes kontroversi seperti ini. Maka, terpaksalah Anwar berhadapan dengan satu perbicaraan yang jelas amat mengelirukan dan penuh dengan penipuan dan penyelewengan ini. Apapun, harapan besar untuk melihat keadilan dalam perbicaraan ini pasti tidak akan menjadi kenyataan apabila semua individu yang sama terus dikekalkan oleh pihak yang berkenaan. Kemungkinan besar Anwar akan kembali dihumbankan ke Penjara Sg.Buloh bagi memudahkan pilihanraya umum ke-13 diadakan selepas itu dengan lebih tenang dan selamat agaknya. Apapun, nantikan perbicaraan tersebut, yang akan bersambung tidak lama lagi. Apakah ada lagi keadilan dalam perbicaraan ini. Sama-samalah kita nantikannya !].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan