KUANTAN: Seramai 671 daripada 17,429 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Pahang berjaya memperoleh keputusan 'straight A' dalam semua mata pelajaran, dengan sembilan calon memperoleh semua A+.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 76 calon berbanding 595 calon dengan keputusan semua A pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, 16,822 daripada 17,429 calon yang menduduki SPM 2025 layak memperoleh sijil berbanding 16,262 calon pada tahun lalu.
"Bagi prestasi negeri, Gred Purata Negeri (GPN) menunjukkan peningkatan sebanyak 0.15 mata kepada 4.08 berbanding 4.23 pada tahun lalu.
"Sebanyak 12 sekolah termasuk tiga sekolah harian disenaraikan mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik (sekurang-kurangnya 2.30), manakala enam daripadanya mencapai GPS kurang daripada 2.00 mata," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM bagi Negeri Pahang tahun 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Indera Mahkota, di sini pada Selasa.
Ahmad Zamri berkata, sekolah terbabit terdiri daripada Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Maarif, Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), Kuantan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut.
Katanya, turut tersenarai Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA), Raub; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan; SMK Abdul Rahman Taib (SMART); SMK Seri Tualang; SMA Persekutuan Bentong; SBPI Temerloh dan SMK Sultanah Hajjah Kalsom.
"Daripada sembilan calon yang mendapat semua A+ dalam mata pelajaran yang diduduki, Muhammad Zulhelmi Shamsuri dari SMK Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut dinobatkan sebagai calon terbaik negeri Pahang dengan 11 A+.
"Calon cemerlang lain terdiri daripada Lai Mei Yang (10A+) dan Shareen Tan Hui Shah (10A+) dari SMK Sultan Abu Bakar; Tengku Aidil Putra Tengku Shaful Hazlan (9A+), Amira Hanna Mohd Nizamuddin (9A+) dari SMART; Abdul Mukmin Abdullah dari SEMSAS (9A+); Mohamad Faiz Ahmad Zaidi dari SEMESTA (9A+); Irfan Daniel Sazrul dari SMK Abu Bakar, Temerloh (9A+) dan Nurul Syafiqah Kamaruddin dari Sekolah Menengah Teknik Kuantan (8A+)," katanya.
elas beliau, daripada 118 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang menduduki peperiksaan tahun lalu, 16 calon mendapat keputusan cemerlang sekurang-kurangnya 5A.
"Berdasarkan jumlah tersebut, 80 calon (90.91 peratus) layak sijil SPM berbanding 72 calon (85.71 peratus) pada tahun 2024," ujarnya. #SinarHarian













































