KUANTAN, 7 Mac [4.15 pm] - Program Cakna Rakyat anjuran Lujnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan, Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang berjalan lancar seperti yang dijadualkan hari ini. Program yang dipindahkan ke Perkarangan Masjid Al-Fatah, Batu 3 itu telah berjaya menarik perhatian ramai rakyat. Program yang bertembung dengan Sua Rasa TV9 di Padang MPK2 dekat sini itu, telah dikunjungi oleh orang ramai sejak awal-awal pagi lagi. Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dr.Hamzah Jaafar (foto). Sebelum itu, ucapan telah disampaikan oleh Ustaz Rosli Jabar (Yang Dipertua PAS Kuantan), Pn.Salmi Mohamad Noor (Ketua Muslimat PAS Negeri) dan Encik Balasubramaniam (Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pahang) dan isterinya. Dalam ucapannya Dr.Hamzah banyak memperkatakan soal kelebihan apabila bersama dalam perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Malah katanya kerjasama dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat tetap utuh walau badai melanda mutakhir ini. "Rakyat perlu buat perubahan untuk memilih dalam pilihanraya. Beri peluang kepada Pakatan Rakyat, jika gagal melaksanakannya maka mereka boleh tukarkan semula kerajaan yang ada itu" katanya. Beliau turut memberi contoh kebajikan dan keuntungan yang diperolehi oleh kerajaan Pakatan Rakyat selepas mentadbir dengan kaedah yang betul, tidak rasuah dan mengamalkan dasar kronisme. Berbagai hadiah disediakan untuk pertandingan dan juga cabutan bertuah. Semua acara yang dijalankan mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta. Antara acara tersebut ialah Indoor games, gubahan kain, mengenal rempah, musang berjanggut dan sebagainya. Manakala untuk kanak-kanak pula turut diadakan peraduan mewarna untuk kategori 5 hingga 8 tahun.[Terdapat banyak gerai jualan dan pameran yang disediakan. Antara yang paling penting ialah kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan secara percuma. Terdapat juga dua persembahan nasyid daripada kumpulan kanak-kanak pasti dan juga pelajar Maahad Tahfiz Darul Fikri, Jaya Gading. Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang dilihat hadir ialah Ustaz Nasharuddin Hassan At-Tantawi (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Saudara Siew yang mewakili Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh dari Parti Keadilan Rakyat. Program berjalan mengikut jadual dan berakhir sekitar jam 4.00 petang selepas acara penyampaian hadiah berakhir. Tahniah diucapkan kepada semua urusetia dan petugas yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini. Ternyata program Cakna Rakyat lebih mendapat sambutan daripada Juara Rakyat yang dianjurkan oleh puak-puak UMNO selama ini. Bertemu lagi dalam program-program yang akan datang].






Tiada ulasan:
Catat Ulasan