SHAH ALAM 9 Mac [4.10 pm] - Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam di sini hari ini menangguhkan sehingga 8 April depan untuk mendengar permohonan semakan oleh pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang menolak untuk memindahkan kes bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (foto) yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah ke Mahkamah Tinggi Syariah. Hakim Syarie Mohamad Adib Husain menetapkan tarikh itu setelah pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Zusyarafain Md Yusof memaklumkan bahawa ketua pendakwa Syarie Selangor, Abd. Shukor Abdul Halim tidak dapat hadir kerana menghadiri mesyuarat di Sabah. Mohd Asri dan peguam-peguamnya, Kamar Ainiah Kamaruszaman serta Jamal Mohd. Lokman Sulaiman tidak hadir di mahkamah berikutan telah dimaklumkan lebih awal mengenai perkara itu. Pada 18 November tahun lepas, Mohd. Asri, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, terhadap pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang, antara 8.10 malam dan 9.45 malam 1 November tahun lepas.
[Biarpun Dr.Asri masih belum didapati bersalah atas beberapa kesalahan yang didakwa, namun banyak pihak jabatan agama negeri kini telah menyekat kegiatan dakwah beliau atas alasan tersendiri. Soalnya, kenapa tidak dibawa medan perdebatan secara terbuka dan ilmiah jika benar pun Dr.Asri telah melakukan kesalahan tersebut. Menghukum tanpa memberi peluang beliau membela diri adalah satu pengkhianatan terhadap usaha dakwah mana-mana pihak di atas muka bumi ini. Justeru itu, kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan yang jelas boleh menimbulkan kontroversi kepada umat Islam itu sebenarnya].






Tiada ulasan:
Catat Ulasan