KUANTAN, 20 Okt [12.21 pm] - Mohd Helmi Mohd Noor yang kehilangan tunangnya, Rozaliya Mat Lazim, sejak Rabu lalu selepas membeli kelengkapan perkahwinan di Pasar Kuantan, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu petang semalam. Beliau yang berasal dari Johor Bahru dan bekerja di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu hadir ke IPD Kuantan, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam. Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha yang mengesahkan perkara itu berkata, polis mengambil masa lebih dua jam bagi merekodkan semua keterangan Mohd Helmi, 24, berikutan kes terbabit semakin banyak menimbulkan keraguan. Katanya, keterangan itu penting selepas keluarga Rozaliya mendakwa gadis terbabit disembunyikan tunangnya itu. “Kita memandang serius kes ini dan melihat semua aspek termasuk sama ada mempunyai unsur jenayah penculikan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. Zulkifli berkata, beberapa anggotanya pergi ke rumah Rozaliya di peringkat satu Bandar Cheneh Baru, Kemaman untuk bertemu ibu gadis berkenaan, Sabariah Mansor, 42, petang semalam bagi mengumpul maklumat kes itu. “Ini disebabkan keluarganya enggan datang ke IPD Kuantan bagi memberi kerjasama,” katanya. Kehilangan Rozaliya, yang bakal berkahwin pada 12 November ini dengan Mohd Helmi jadi perhatian ramai dan polis minta mereka yang melihat Rozaliya segera hubungi talian 09-5132222 atau 09-5142999. Anaknya Hilang, Ibu Rozaliya Pula Di Patuk Ular
Mohd Helmi yang juga Pegawai FELDA ketika ditemui, berkata anggapan kononnya dia cuba menyembunyikan diri dan mengelak daripada keluarga Rozaliya (foto), tidak benar sama sekali. “Saya memang ada menerima SMS daripada Rozaliya kira-kira jam 3.40 petang berbunyi 'Awak cepat sikit k. Masa nak g (pergi) ambil duit ada dua orang macam ikut saya. Saya takut’,” katanya. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kes itu atas nasihat keluarga dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan. Sementara itu, hasrat Ibu Rozaliya, Sabariah untuk ke bandar Kuantan bagi mencari anak perempuannya tidak kesampaian apabila dia dipatuk seekor ular berdekatan rumahnya. “Ketika hendak ke rumah jiran sebelah rumah untuk meminta pertolongan membeli makanan di kedai berdekatan untuk anak yang ditinggalkan di rumah sebelum saya ke Kuantan, tiba-tiba kaki sebelah kanan terasa sakit digigit atau disengat sesuatu sehingga menyebabkan saya tersentak,” katanya. Dia kemudian dipapah saudara mara sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman (HK) kira-kira jam 10 malam, selepas mengadu sakit dipatuk reptilia berbisa itu sebelum dimasukkan ke wad dan dibenar pulang semalam. “Saya sedih dan kecewa kerana tidak dapat mencari Rozaliya akibat dipatuk ular. Saya berdoa kejadian ini bukan petanda tidak baik mengenai anak saya,” katanya.[Satu kejadian yang pastinya mengundang misteri sebenarnya. Tambahan pula selama ini kita sering mendengar kanak-kanak hilang akibat diculik, kini apa yang berlaku kepada Rozaliya benar-benar menimbulkan tanda tanya. Mungkin semalam, ramai yang menyangka bahawa tunangnya sendiri yang menyembunyikan gadis tersebut. Namun, selepas pendedahan ini maka terbukti beliau tidak bersalah. Soalnya, siapa yang membawa lari Rozaliya?. Apakah ia disembunyikan orang yang beliau kenali atau memang diculik. Jika diculik kenapa keluarganya tidak mendapat panggilan atau ugutan untuk meminta wang tebusan daripada pihak terbabit?. Makanya sudah pasti kes ini semakin panas untuk diperkatakan. Seorang gadis berusia 20 tahun diculik tanpa ada khabar berita hatta ugutan kepada keluarganya. Apakah Rozaliya lari mengikut "teman lelakinya" akibat tidak mahu berkahwin dengan tunangnya itu. Berdasarkan kepada maklumat ibunya bahawa mereka sering bertengkar dan bertelagah sebelum ini, maka kemungkinan itu ada. Maka, pihak berkenaan perlu memeriksa talian telefon Rozaliya dengan syarikat telekomunikasi bagi menyemak dengan siapa dia berhubung untuk kali yang terakhir. Bukankah kaedah ini menyebabkan pihak polis berjaya menjejaki pembunuh Jutawan Kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya baru-baru ini. Kenapa ia tidak dipraktikkan].






Tiada ulasan:
Catat Ulasan