Pages

Op Murni: TUDM Hantar Satu Tan Bekalan Ke Kawasan "Terjejas" Dengan Banjir Di Pahang !

 

KUALA LUMPUR -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar lebih satu tan bekalan makanan dan barangan keperluan asas ke kawasan terjejas banjir menerusi Op Murni di Pahang sejak Isnin lepas.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pasukan itu mengatur gerak helikopter EC 725 AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan dan anggotanya bagi menghantar bekalan berkenaan ke kawasan yang terputus hubungan menerusi laluan darat.

Isnin lepas, pasukan itu melaksana tiga penerbangan penghantaran bekalan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seberat 250 kilogram di sekitar daerah Kuala Lipis dan Temerloh dengan penghantaran dilakukan ke kem Pasukan Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD), Sekolah Kebangsaan (SK) Budu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lipis dan SK Lubuk Terua.

“Semalam, 10 penerbangan dilakukan bagi menghantar satu tan bekalan daripada JKM ke Kem Batu 3, SK Lubuk Terua, SK Lanchang, Institut Kemahiran Belia Negara Lanchang, SK Desa Bakti, SK Rantau Panjang, SK Penjom dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh,” menurut kenyataan itu.

“Penerbangan ihsan pertama membawa seorang lelaki yang menghidap sakit jantung iaitu Mohd Sayuti Md Rajab, 39, manakala penerbangan ihsan kedua membawa seorang lelaki warga emas yang mengalami penyakit buah pinggang iaitu Mohd Zain Abdul Manan, 77, yang kedua-duanya diterbangkan dari SK Lanchang.

“Penerbangan ihsan ketiga membawa dua bayi pasangan kembar berusia empat bulan, Afya Zara Rosman Hafsam dan Arfan Naufal Rosman Hafsam yang diterbangkan dari SMK Teluk Sentang,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, semua mangsa diterbangkan ke SMK Seberang Temerloh sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital berkenaan. 

Kenyataan itu turut memaklumkan TUDM juga melakukan tiga penerbangan ihsan bagi membolehkan mangsa banjir mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, semalam. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]