Pages

Yang di-Pertuan Agong Isytihar 'Darurat' Bagi Membendung Penularan Pandemik Covid-19 !

 


KUALA LUMPUR -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan itu telah mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan itu telah mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berhubung cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat ketika menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 5.30 petang semalam (11 Jan) untuk membendung dan melandaikan kes positif COVID-19 harian yang kini mencecah empat angka.

Beliau berkata Seri Paduka memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan Al-Sultan Abdullah berkenaan turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang dipersembahkan semasa sesi taklimat itu.

Menurut statistik, 15 hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 70 peratus dengan di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh (83 peratus).

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula melebihi 70 peratus.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan COVID-19 di negara ini. Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ia akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara,” katanya.

Setakat semalam, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia adalah 28,554 kes menjadi jumlah kes positif  sebanyak 138,224. Sebanyak 2,232 kes baharu dilaporkan semalam. 

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi keselamatan dan kepentingan bersama.

Semalam perdana menteri mengumumkan penguatkuasaan PKP di enam negeri - Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, selama 14 hari bermula 13 Jan.

Pada masa sama, enam negeri lagi - Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak.

Al-Sultan Abdullah menitahkan rakyat supaya berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan semua perintah ditetapkan kerajaan dan agensi yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan PKP.

“Seri Paduka menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat jelata seperti yang telah dipamerkan semasa pelaksanaan PKP pada tahun lepas, kita mampu sekali lagi membendung penularan wabak COVID-19 dengan berkesan,” menurut Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya vaksin COVID-19 yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Seri Paduka menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang bersabung nyawa dan bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah serta masa dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak COVID-19.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat untuk bersama-sama Seri Paduka mendoakan semoga Malaysia sentiasa dilindungi daripada segala bentuk ancaman dan wabak COVID-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Yang di-Pertuan Agong turut mengajak seluruh rakyat mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan. #sumber

0 Komen Skrg, Sila Berikan Komen Anda Di Sini:

PERINGATAN: KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM BLOG INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]