SEREMBAN - Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad akui belum berpuas hati dengan persembahan skuad bimbingannya selepas sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Negeri Sembilan FC (NSFC), dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Beliau akui terdapat beberapa kelemahan terutama di bahagian serangan yang perlu diperbaiki segera menjelang perlawanan kedua menentang Kelantan FC, di laman sendiri, Khamis ini.
Menurut bekas penyerang kebangsaan Singapura itu, anak buahnya dilihat gagal mengawal permainan dengan baik menyebabkan ada ketikanya persembahan mereka tidak seperti mana diharapkan, tambahan pula apabila berlaku kecederaan pada pemain.
"Mereka kadang kala kerap hilang bola dan hilang fokus terutama pada penghujung separuh masa kedua yang membuatkan situasi bahagian pertahanan menjadi kelam kabut.
"Nyaris pemain Negeri Sembilan tidak dapat menambah jaringan gol terutama ketika mereka melakukan serangan balas pantas.
"Secara keseluruhan saya kurang puas hati dengan persembahan malam ini (malam tadi), tapi puas hati dengan keputusan seri kerana matlamat kita tiga atau satu mata," katanya sebaik berakhir perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Sri Pahang berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-47 menerusi pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff, selepas penyerang import Negeri Sembilan, Casagrande terlebih dulu meledak gol pembukaan pada minit ke-20.
Fandi juga akui penyerang import mereka, Kpah Sherman belum mendapat rentak terbaik untuk membantu pasukannya meraih kemenangan seperti mana dipamerkannya ketika bersama Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC sebelum ini.
"Malam ini, Kpah Sherman dilihat bergerak sendirian dan beliau tidak mendapat sokongan yang mantap dari pemain lain membuatkan peluangnya untuk menjaringkan gol, terbatas.
"Namun, saya yakin dan percaya dia mampu mempamerkan aksi lebih baik pada perlawanan berikutnya menentang Kelantan di laman sendiri, nanti," kata pengendali berusia 60 tahun itu. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan