KUALA LUMPUR - Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) tidak menerima sebarang layanan atau faedah istimewa sejak beroperasi di negara ini.
Lynas dalam kenyataan memaklumkan, faedah yang ditawarkan kepada syarikat itu apabila melabur di Malaysia sama dengan faedah ditawarkan kepada pelabur lain.
“Malaysia memberikan Taraf Perintis bagi menarik pelabur asing dalam projek berkepentingan nasional. Semua projek ini melibatkan pelaburan modal besar, teknologi baharu serta jentera dan peralatan khusus.
“Insentif cukai seperti ini merupakan amalan biasa di seluruh dunia. Tempoh insentif cukai bergantung kepada saiz pelaburan. Lynas dipelawa ke Malaysia sebagai pelabur langsung asing dan layak diberikan Taraf Perintis.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan status Taraf Perintis Lynas yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pada 23 Februari lepas.
Menurut Lynas, ketika diberi pengecualian cukai ke atas pengeluaran nadir bumi di bawah insentif Taraf Perintis, syarikat itu membayar cukai seperti syarikat lain atas perkara tiada kaitan dengan nadir bumi.
Pada 23 Feb lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang ketika menggulung perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat berkata, tiada satu sen cukai korporat dibayar Lynas memandangkan syarikat itu diberi status pengecualian cukai oleh kerajaan selama 12 tahun.
Menurut Lynas, syarikat itu melabur RM3 bilion untuk loji dan peralatan di Malaysia serta membelanjakan RM730 juta setiap tahun di Malaysia, selain menyumbang kepada penciptaan 4,600 pekerjaan tempatan langsung dan tidak langsung.
“Lynas hanya mahu dilayan secara adil dan saksama, sejajar syarikat lain di Malaysia,” menurut kenyataan itu. #sumber
_edit_36806389373549.jpg)






Tiada ulasan:
Catat Ulasan