KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri KEADILAN, Wong Chen menyelar kenyataan Datuk Ahmad Maslan berkenaan pemberian subsidi yang disifatkan cuba mengelirukan rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan itu semalam dilapor berkata, kerajaan boleh membina 40 universiti baru dengan jumlah wang RM24 bilion yang dibelanjakan untuk subsidi bahan api saban tahun.
Menyifatkan kenyataan tersebut sebagai penghinaan kepada rakyat, Wong Chen menuntut menteri itu menyemak kembali pengiraan subsidi tersebut.
“Kenyataan menteri itu hanya akan mengelirukan rakyat sedangkan jumlah RM24 bilion itu bukanlah pemberian semua subsidi petrol dan diesel seperti yang didakwa. Sebaliknya jumlah subsidi petrol dan diesel hanyalah RM13.7 bilion (unjuran 2014).
“Dan baki dari jumlah berkenaan anggaran RM5 bilion untuk gas memasak LPG dan RM5 bilion lagi melalui tanggungan BR1M,” katanya ketika mengadakan sidang media di Lobi Parlimen.
Katanya lagi, jumlah RM13.7 bilion itu bukan jumlah yang besar jika dibandingkan bayaran faedah hutang yang terpaksa ditanggung kerajaan setiap tahun.
“Pentadbiran Najib Razak dijangka membelanjakan RM24.4 bilion bagi tahun 2015 hanya untuk membayar faedah dan bunga dari hutang-hutang yang diambil oleh kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Beliau turut mempersoal sekiranya pengurangan subsidi yang dimaklumkan itu sebagai langkah penjimatan bagi penyediaan kemudahan infrastruktur kepada rakyat.
“Kalau benar pengurangan subsidi tersebut sebagai langkah penjimatan, mana berpuluh-puluh hospital, sekolah, infrastruktur yang disediakan Barisan Nasional dengan hasil penjimatan RM6.1 bilion ini dalam tempoh setahun yang lalu?” soalnya.
Justeru katanya, adalah lebih wajar sekiranya kerajaan mengurangkan belanja kerajaan dan mencari jalan dengan tidak membuat pengurangan subsidi yang terus menekan rakyat. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan