KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu membuktikan Malaysia layak sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dengan memulakan langkah memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Meskipun mengalu-alukan pelantikan Malaysia di kerusi itu, Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Gooi Hsiao Leung (foto) berkata pemerhati antarabangsa baru-baru ini mempersoalkan keupayaan Malaysia dalam menangani isu keganasan dan hak asasi manusia.
“Persepsi negatif terhadap Malaysia adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh rekod hak asasi manusia yang buruk di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan media.
Beliau merujuk kepada laporan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) yang baru-baru ini mengkritik kerajaan Malaysia kerana menggunakan Akta Hasutan untuk “menjenayahkan perbezaan pendapat” dan menghalang kebebasan bersuara.
“Dunia sedang memerhatikan kita. Bagaimana kita dapat meyakinkan mereka bahawa kita boleh mengambil isu-isu kritikal, untuk bersama masyarakat antarabangsa terhadap ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh rejim yang menindas; apabila kerajaan menahan ahli akademik, pelajar, aktivis sosial, wartawan, peguam dan ahli politik kerana perbezaan pendapat mereka?,” soalnya
Gooi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, cabaran pada masa hadapan adalah membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia layak menduduki kerusi berkenaan.
Justeru beliau mengingatkan perdana menteri bahawa tugas pertama yang perlu dilakukan adalah membersihkan rekod dengan menghormati janji yang dibuat pada 2012 untuk memansuhkan Akta Hasutan.
Malaysia memperoleh 187 undi daripada 193 negara anggota yang menyertai proses pengundian secara sulit di New York, Amerika Syarikat pada Khamis lalu. Pertama kali Malaysia menduduki kerusi itu adalah pada sesi 1989-1990 dan seterusnya pada penggal 1999- 2000. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan