PEKAN - Budak lelaki yang hilang dihanyutkan arus deras tali air yang ditenggelami banjir di Felcra Sri Makmur di sini semalam, ditemui lemas, hari ini.
Mayat, Muhammad Hafizhan Abd Zaib, 10, ditemui dalam ladang kelapa sawit yang ditenggelami banjir pada jam 12.10 tengahari hari ini.
Mayatnya ditemui anggota Bomba dan Penyelamat yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 50 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud, berkata pihaknya menyambung operasi SAR bermula 8.30 pagi hari ini, selepas menangguhkan operasi berkenaan jam 11.30 malam tadi.
Katanya, operasi SAR hari turut dibantu penduduk kampung serta dua anjing pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Anggota penyelam membuat selaman di kawasan pencarian dan menemui mangsa di dasar air banjir yang melimpah dalam kawasan ladang kelapa sawit dan mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi SAR hari ini disertai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu dan BBP Pekan yang turut bersama unit penyelam, operasi selesai pada 12 20 tengah hari," katanya.
Wan Samsul menasihati ibu bapa diingatkan supaya sentiasa mengawasi anak mereka terutama ketika banjir berlaku dan hujan lebat kerana kawasan rendah akan ditenggelami air.
Katanya, hujan berterusan menyebabkan banyak kawasan di daerah ini ditenggelami banjir, walaupun setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan