TEMERLOH - Penduduk kampung di sekitar Sungai Pahang termasuk Kampung Bangau Tanjung dan Bangau Parit di sini membantah aktiviti menyedut pasir yang dilakukan di sungai berkenaan kerana didakwa memberi kesan negatif serta menjejaskan aktiviti seharian penduduk di kawasan itu.
Mereka mendakwa aktiviti menyedut pasir yang beroperasi semula sejak bulan ini setelah diberhentikan pada dua tahun lalu memberi kesan apabila menjejaskan mata pencarian khususnya kepada penternak ikan sangkar di sepanjang sungai berkenaan.
Kegiatan berkenaan turut menyebabkan pencemaran udara akibat debu di sepanjang jalan malah berikutan kehadiran lori pasir yang dipandu laju juga menjejaskan keselamatan penduduk.
Seorang penternak ikan sangkar, Badarudin Hussin, 41, berkata, kerja menyedut pasir telah menjejaskan penternakan ikan sangkarnya apabila banyak buih terkumpul di dalam sangkar.
"Setiap kali pam pasir beroperasi, buih-buih putih dan kelabu akan memenuhi sangkar menyebabkan ikan-ikan mati.
"Keadaan ini menyebabkan kami tidak dapat memberi makanan ikan. Malah ikan-ikan yang memakan buih ini juga dikhuatiri akan mati dan pembesarannya terbantut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bangau, Ahmad Zailani Junoh berkata, aktiviti itu telah menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan sekitar serta mengancam keselamatan khususnya pelajar sekolah.
Tambahnya, kehadiran lori pasir di situ juga menyebabkan banyak jalan rosak dan kawasan tersebut dicemari dengan debu pasir berterbangan setiap kali lori pasir keluar masuk.
"Kenderaan itu biasanya dipandu laju mengancam nyawa penduduk khususnya pelajar sekolah. Malah pernah berlaku kemalangan melibatkan penduduk kampung sebelum ini.
"Jadi saya minta pihak berkuasa berkaitan dapat mengambil tindakan segera sebelum lebih banyak masalah akan berlaku kepada penduduk kampung," ujarnya.
Sementara itu, pengusaha pam pasir berkenaan, Usaizan Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengikut garis panduan ditetapkan dan operasi tersebut tidak akan merugikan penduduk kampung.
Beliau meminta diberi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan untuk membuktikan tidak memberi kesan negatif kepada penduduk kampung.
Menurutnya, operasi itu akan ditutup sekiranya terbukti menjejaskan kehidupan penduduk di situ. #sumber






Tiada ulasan:
Catat Ulasan