PEKAN – Mayat warga Indonesia yang disyaki lemas ketika mandi di Sungai Pahang berhampiran Ladang Sawit Sijau kira-kira jam 5 petang 16 Mac lalu berjaya ditemui pagi kelmarin.
Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, mangsa yang hanya dikenali Zaenudin, 28, berasal dari Lombok Tengah dan merupakan pekerja ladang Felda Plantation Felda Chini 3 ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 10.30 pagi di kawasan Kuala Mentiga, dekat sini.
Menurutnya, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela serta penduduk kampung yang melakukan usaha mencari berjaya menemui mangsa di kawasan longgokan kayu.
“Mayat ditemui tersangkut di kawasan longgokan kayu kira-kira 14 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan mandi bersama seorang lagi rakan senegara.
“Mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat,” katanya.
Yahaya berkata, bapa saudara mangsa bersama seorang lagi rakan mangsa hadir ke tempat penemuan mangsa bagi tujuan pengecaman dan pengesahan.
Yahaya mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas ketika ke sungai untuk mandi selepas selesai melakukan kerja harian pada hari kejadian. #sumber






Tiada ulasan:
Catat Ulasan