MPK Gesa Alam Flora Lunas Hutang Tertunggak
KUANTAN, 28 Julai - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mendesak syarikat pengurusan sisa pepejal Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) melunaskan hutang tertunggak sebanyak RM4.5 juta sejak 15 tahun. Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob (foto) menegaskan, sebagai langkah permulaan, MPK akan memotong bayaran daripada bil kutipan sampah dan sisa pepejal berjumlah RM1.6 juta yang dibayar kepada syarikat itu setiap bulan. "Berdasarkan perjanjian, Alam Flora perlu menjelaskan jumlah itu tetapi hingga kini, mereka masih belum berbuat demikian sebaliknya ingin meminta pengurangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPK semalam. Zulkifli menegaskan, MPK perlu mendapatkan kembali hutang itu kerana berkuat kuasa 1 September ini, segala urusan berkaitan kutipan sampah akan dikendalikan sepenuhnya Perbadanan Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA). Sekiranya hutang itu gagal dikutip sebelum tarikh berkenaan, jelasnya, pihaknya akan sukar mendapatkan balik wang tersebut selepas PPSPPA mengambilalih urusan kutipan sampah tersebut. Jelas beliau, Alam Flora juga gunakan aset MPK dalam urusan kutipan sampah dan sisa pepejal di daerah ini sejak 1997. "Sejak mengambil alih urusan kutipan sampah dan sisa pepejal 15 tahun lalu, Alam Flora ambil beberapa aset MPK seperti lori sampah," katanya lagi. sumber
Kemudahan Dekat Stesen Keretapi Di Naik Taraf
MENTAKAB 28 Julai - Kerajaan membelanjakan hampir RM950,000 bagi menaik taraf kemudahan awam berhampiran stesen kereta api Mentakab dekat sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) bagi menaik taraf gerai makan, tandas awam dan menurap jalan. Menurutnya, peruntukan tersebut juga bagi membina benteng penahan tanah di kawasan tersebut yang mendap sebelum ini. ''Kerajaan juga membina dan menaik taraf 22 gerai makan sedia ada di kawasan itu selain membina semula 11 gerai makan yang terlibat dengan mendapan tanah di kawasan tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Boon Seong memberitahu, peruntukan itu juga meliputi pembinaan bumbung semua gerai terbabit dan menurap semula jalan di hadapan medan selera tersebut. Beliau berkata, semua kerja pembinaan itu dimulakan sejak bulan lalu dan dijangka siap November ini. Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menganggap peruntukan itu terlalu besar, jelasnya, jumlah itu meliputi kerja-kerja menaik taraf kedai dan kemudahan asas, bukan hanya untuk pembangunan tembok penahan semata-mata. sumber
[Kebanyakkan artikel yang disiarkan adalah dipetik daripada pelbagai sumber berita. Justeru itu kami tidak bertanggungjawab atas laporan yang disiarkan. Walau bagaimana pun mana-mana berita yang dilihat bermotifkan politik, akan disunting terlebih dahulu sebelum disiarkan. Kami mengalukan sebarang bentuk laporan berita daripada rakyat Pahang di seluruh dunia. Berita yang berkaitan anak-anak Pahang di perantau dan sebagainya. Laporan yang disiarkan di sini bukanlah bermotifkan keuntungan, namun ia kebih menjurus kepada berita untuk rakyat Pahang. Sokongan semua amatlah diharapkan. Salam Perjuangan].






Tiada ulasan:
Catat Ulasan