KUALA LIPIS - Pegawai dan anggota polis disarankan supaya mengamalkan gaya hidup sihat kerana ia mampu memudahkan mereka melaksanakan tugas kepolisan dengan cekap serta pantas.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, kesihatan yang sempurna memberi impak kecergasan yang sangat dititikberatkan dalam pasukan kerana anggota polis sentiasa berhadapan dengan pelbagai tugas mencabar khususnya menangani kes jenayah bagi jaminan ketenteraman awam.
Menurutnya, mereka yang mempunyai komplikasi penyakit dan gangguan kesihatan akan menyukarkan untuk membanteras kegiatan jenayah terutama membabitkan stamina serta fikiran.
"Kegiatan riadah, iaitu permainan bola sepak serta sukan lain boleh menjamin kesihatan sentiasa dalam keadaan baik dan cergas untuk menghindari penyakit kronik.
"Malahan, menerusi kegiatan sukan dan rekreasi merupakan pendekatan terbaik mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dengan anggota polis di semua peringkat," katanya selepas menutup Pertandingan Bola Sepak Piala Ketua Polis Pahang 2014 di sini kelmarin.
Yang turut hadir Ketua Polis Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan.
Sharifuddin turut menyampaikan Piala Ketua Polis Pahang kepada pasukan bola sepak dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan yang muncul juara pertandingan berkenaan setelah menewaskan pasukan IPD Jerantut menerusi jaringan 1-0.
Dalam pertandingan itu, sebanyak 12 pasukan mewakili setiap IPD di negeri ini berentap bagi merebut piala berkenaan.
Menurut beliau, pelbagai kemudahan sukan disediakan oleh kerajaan berdekatan tempat kerja dan perumahan masing-masing wajar dimanfaatkan untuk amalan gaya hidup sihat.
"Kita mahu semua anggota polis berada pada tahap kesihatan terbaik apabila membabitkan diri dengan kegiatan sukan dan rekreasi pada hujung minggu atau waktu lapang," ujarnya. #sumber







Tiada ulasan:
Catat Ulasan