MUADZAM SHAH: Penduduk di sekitar Bandar Muadzam Shah, di sini gempar berikutan penemuan mayat bayi yang dibungkus dalam plastik hitam dalam tandas wanita masjid berkenaan yang ditemui sekitar jam 2.40 petang Isnin.

Setiausaha Masjid Muadzam Shah, Alwi Husin berkata, pada waktu Zohor beliau menunaikan solat berjemaah di masjid berkenaan, namun ketika itu masih tiada laporan berkaitan dengan penemuan mayat bayi tersebut.

“Sebelum jam 3 petang selepas saya balik ke rumah, seorang kakitangan masjid telefon, memaklumkan kepada saya seorang wanita menemui mayat bayi itu dalam tandas wanita yang dibungkus dengan plastik sampah warna hitam.

“Saya kemudiannya minta supaya wanita berkenaan membuat laporan polis kerana dia yang menjumpainya. Tidak lama selepas laporan dibuat, polis tiba untuk melakukan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, wanita yang menjumpainya itu memberitahu pada mulanya dia membiarkan sahaja bungkusan plastik hitam yang diletak di tepi mangkuk tandas, tetapi berasa curiga lalu mengambil dan membawanya keluar untuk melihat isi kandungannya.

Dalam pada itu, Alwi turut menegaskan pihak masjid memandang serius mengenai kejadian tersebut dan akan cuba membantu siasatan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan akan menyerahkannya kepada pihak polis.

“Pihak masjid telah melihat rakaman bermula jam 12 tengah hari semalam (kelmarin), namun tidak kelihatan individu yang mencurigakan membawa bungkusan hitam masuk ke tandas. Buat masa ini kami masih dalam proses meneliti rakaman dalam tempoh 48 jam sebelum kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin yang dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk proses bedah siasat. #sumber