Stesen Minyak Rugi RM7500 Di Samun 3 Lelaki
JERANTUT, 18 Jun - Sebuah stesen minyak kerugian RM7,500 akibat disamun oleh tiga lelaki yang bersenjatakan parang di Kawasan Perindustrian Jerantut, awal pagi Rabu. Kejadian berlaku pukul 1.30 pagi ketika seorang pekerja warga Bangladesh berusia 26 tahun didatangi oleh sebuah kereta Proton Saga putih yang dinaiki oleh tiga lelaki yang berpura-pura mahu mengisi minyak di stesen tersebut. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Nordin Mustapha (foto) berkata, salah seorang suspek tiba-tiba meluru keluar dari kereta lalu menumbuk mangsa sebelum mengacukan sebilah parang ke arahnya. "Suspek yang berusia lingkungan 30-an kemudian merampas beg pinggang yang dipakai oleh pekerja itu lalu melarikan diri," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan semalam.
Dua Sahabat Mati Kemalangan Dekat Semambu
KUANTAN 18 Jun - Dua sahabat terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan lori tanpa muatan di Jalan Semambu di sini, awal pagi kelmarin. Pemandu kereta terlibat, Muhammad Fuad Mansur, 26, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) manakala rakannya, Mohd. Redzuan Ghazali, 23, maut di tempat kejadian. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku pukul 2 pagi ketika lori itu dipandu seorang lelaki dan kelindan berusia lingkungan 30-an dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Semambu. "Sampai di tempat kejadian, pemandu lori itu dikatakan cuba memotong dua kenderaan di hadapan, namun gagal menyebabkan ia bertembung dengan kereta yang dinaiki oleh mangsa dari arah bertentangan. "Pemandu dan kelindan lori itu bagaimanapun tidak cedera," katanya. Menurut Mohamed Fauzi, kedua-dua mangsa yang berasal dari Pekan dibawa ke HTAA untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.





