PASIR GUDANG 13 Mac - Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (foto) berkata, polis sedang berusaha menyiapkan kertas siasatan kes bunuh dan bakar kanak-kanak malang Nurul Nadhirah Abdullah, 5, secepat mungkin bagi membolehkan suspek kes itu dihadapkan ke mahkamah dengan segera. Beliau berkata, polis sedang menunggu beberapa lagi laporan daripada Jabatan Kimia untuk menyiapkan kertas siasatan itu sebelum dikemukakan kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan. "Saya telahpun mengarahkan timbalan saya Datuk Ismail Yatim yang mempengerusikan pasukan khas bagi menyiasat kes ini untuk siapkan kertas siasatan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam Pasir Gudang hari ini. Sambil menyifatkan individu yang terlibat dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak itu sebagai penjenayah kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusian menyiksa insan kerdil yang tidak berdosa, beliau menegaskan suspek yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin. Katanya, tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan curi. Sementara itu, ibu kepada Nurul Nadhirah Roselyn Alan, 25, berkata beliau tidak akan memaafkan orang yang bertanggungjawab dan mahu dikenakan hukuman setimpal. Beliauu berharap individu berkenaan dikenakan hukuman sama seperti kekejaman yang dilakukan terhadap anaknya berusia lima tahun itu.
"Saya tidak tahu kenapa dia sanggup buat anak saya sehingga macam itu. Anak saya masih kecil dan tidak tidak tahu apa-apa. Saya tidak akan maafkan dan saya mahu dia rasa apa yang anak saya rasa,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan takziah dari Ketua Polis Johor itu dan isterinya hari ini. Menurut Roselyn, hatinya berasa amat sakit sejak menerima panggilan pengesahan dari polis petang semalam dan masih tertanya-tanya punca yang menyebabkan anaknya diperlukan sedemikian rupa. "Saya bukan kaya, kalau minta duit sekalipun saya memang tiada duit. Musuh pun saya tidak ada,” katanya. Roselyn berkata, beliau tidak dapat tidur dan tidak lalu makan sejak Nurul yang mesra dipanggil Dirang, didapati hilang dan telah berusaha mencarinya dari pukul 8.00 pagi setiap hari sehingga malam dengan menaiki kereta di sekitar bandar.
[Satu lagi kejadian yang sungguh menyayat hati. Tergamak penjenayah memperlakukan sedemikian rupa kepada seorang kanak-kanak seperti itu. Phak polis wajar melakukan siasatan dengan profesional agar mereka yang tertuduh itu dapat dibawa ke muka keadilan untuk dihukum. Rakyat tidak mahu kes yang berlaku kepada Nurin Jazlin berulang kembali apabila pihak polis masih gagal menjejaki penjenayah yang terlibat. Ini sungguh memalukan institusi polis sebenarnya. Rakyat melihat kegagalan itu ada hubung kait dengan usaha "tutup kes" yang terlalu awak, sedangkan kes masih belum selesai. Pihak polis juga digesa lebih profesional dalam kerja-kerja memburu penjenayah daripada memburu penceramah politik pembangkang. Kini rakyat mula takut hidup dalam sebuah negara Malaysia yang kononnya aman dan selesa selama ini. Maka itu, lakukan perubahan jika mahu melihat institusi polis itu dimartabatkan semula ke landasan asal kewujudan mereka. Usahlah terus benarkan mereka politikkan pihak polis].







Tiada ulasan:
Catat Ulasan