KUANTAN 27 Nov - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (foto) bertitah, setiap isu sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat negara ini perlu ditangani dengan penuh persefahaman, rasional dan berhemah. Baginda bertitah, isu tersebut tidak sepatutnya dibicarakan secara terbuka demi menjalinkan keharmonian hidup bermasyarakat walaupun diberi hak bersuara. "Islam menentukan setiap kebebasan mempunyai batas dan sempadan tertentu termasuk hak bersuara. Secara amnya kita bebas untuk melakukan sesuatu tetapi mestilah tertakluk kepada sistem dan peraturan negara serta nilai-nilai yang ditentukan oleh agama moral dan budaya," titah baginda. Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" hari ini. Baginda tegaskan, tidak sewajarnya ada kelompok yang terbawa-bawa dengan cara masyarakat yang kononnya ikut undang-undang dan menuntut apa sahaja atas nama hak dan kebebasan individu. "Tidak wajar bagi mereka tuntut apa sahaja atas nama hak dan kebebasan individu sehingga belakangkan sensitiviti agama, nilai dan budaya masyarakat. "Justeru, dengan tema penghayatan Maal Hijrah kali ini dapat lahirkan warga yang saling menghormati dan bertolak ansur serta menjunjung tinggi prinsip perpaduan serta toleransi sejagat," titah baginda.
[Turut berangkat sama ke majlis itu pagi tadi ialah Sultanah Pahang, Sultanah Khalsom. Turut hadir ialah Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Dato' Mohamad Sahfri Ab. Aziz. Titah yang dibuat oleh Tuanku Sultan Pahang ini perlulah dihayati oleh seluruh lapisan rakyat terutamanya yang bermastautin di dalam negeri Pahang ini].