
KUANTAN, 21 Okt - Satu kebakaran telah berlaku di Komplek Makmur (foto) bersebelahan dengan hentian bas Terminal Makmur dekat sini awal pagi tadi. Kebakaran yang bermula dari aras dua bangunan terbabit. Menurut seorang saksi, kebakaran dipercayai bermula sekitar jam 1.20 pagi. Ia mula merebak dan mengeluarkan asap yang banyak hingga menyebabkan orang ramai yang berada di kawasan itu terpinga-pinga dan panik. Difahamkan, masuk kali ini sudah beberapa kali bangunan terbabit terbakar sebenarnya. Tinjauan krew kami ke lokasi terbabit, mendapati dua buah kereta bomba sedang berusaha untuk memadamkan kebakaran terbabit. Kelihatan juga beberapa orang anggota polis yang turut memantau keadaan di situ. Komplek Makmur adalah destinasi yang sering dikunjungi oleh warga Kuantan satu ketika dulu. Ini kerana disitulah terletaknya hentian bas ekspress (Terminal Makmur) ke serata destinasi di seluruh negara. Ketika awal pelancarannya, ia menjadi salah satu destinasi membeli-belah terkenal di bandar ini kerana disitu menempatkan berbagai lot-lot perniagaan. Namun, kini semuanya tinggal kenangan dan bangunan terbabit terbiar dan menjadi tempat lepak penagih dadah dan mereka yang mahu melakukan perbuatan maksiat. Keadaannya yang cukup kotor dan menjijikkan telah mencemarkan imej Kuantan. Keadaan kembali pulih apabila ada syarikat swasta yang memajukannya dengan membina pusat karaoke keluarga di aras bawah bangunan itu. Disamping itu, terdapat juga pusat snooker dan studio muzik di aras tiga dan beberapa buah lot-lot perniagaan yang "hidup segan mati tak mahu" di aras dua.
Video yang sempat dirakamkan ketika kejadian kebakaran itu awal pagi tadi
[Mujurlah dalam kejadian ini, tiada kejadian yang tidak diingini sama ada melibatkan kecederaan atau sebagainya berlaku. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pasukan Bomba Dan Penyelamat yang begitu cepat dan pantas tiba dilokasi kejadian untuk mengawal keadaan. Cuma apa yang mengecewakan, dalam keadaan panik begitu dan ketika jalan masuk ke Terminal Makmur itu ditutup kepada sebarang lalu-lintas masih ada juga pemandu yang melaluinya. Sikap kurang ajar ini tidak wajar berlaku dan sengaja menyusahkan pihak yang berkenaan. Terminal Makmur juga kini kelihatan menarik selepas pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menaiktaraf bangunan itu dengan kos RM232,000. Cuma, masalahnya Komplek Makmur yang terletak bersebelahan masih lengang dan tidak menjadi tumpuan terutamanya di aras satu dan duanya. Hanya aras bawah dan tiga yang mendapat sambutan kerana disitu menempatkan pusat snooker, studio muzik, pusat karaoke keluarga dan sebagainya. Semoga iniseatif dapat diambil untuk mengembalikan keceriaan lokasi berkenaan oleh pihak berkenaan. Ini kerana Komplek Makmur terletak di pusat perhentian bas terulung di bandar ini. Kekotoran yang menjijik boleh cemarkan nama baik Kuantan di mata pelancong dari luar itu sebenarnya].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan