KUANTAN: Pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) dijangka menghadiri ceramah Hogoh Jelai yang juga bakal menjadi platform pelancaran jentera pilihan raya PN Pahang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) di FELDA Sungai Koyan, Lipis, pada Ahad ini.
Antara penceramah utama bakal hadir termasuk Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa serta beberapa pemimpin PN negeri.
Susulan itu, Jelai yang juga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dijangka menjadi tumpuan utama Ahad ini kerana sambutan Hari Statistik Negara 2025 turut berlangsung di Sungai Koyan di situ yang bermula selama tiga hari bermula hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Andansura Rabu, berkata program Hogoh Jelai dirancang beberapa bulan lalu sebagai sebahagian daripada siri jelajah 'PN Teraju Pahang' membabitkan lawatan ke seluruh negeri.
"Sebagai sebahagian daripada siri jelajah ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN akan mengunjungi empat kawasan setiap bulan untuk bertemu rakyat. Inisiatif ini bermula beberapa bulan selepas PRU lalu.
"Persinggahan kali ini di Jelai bertepatan dengan pelancaran jentera pilihan raya PN Pahang," katanya ketika ditemui, hari ini.
Andansura berkata, program Hogoh Jelai bukan bertujuan mencabar atau menggugat Menteri Besar Pahang dan menyatakan kerajaan negeri kekal stabil.
"Kami tidak merancang program ini untuk 'menjolok' Wan Rosdy, jadi tiada sebab untuk beliau berasa tergugat.
"Jelajah ini sudah lama dirancang dan kali ini program lebih besar kerana ia membabitkan pelancaran jentera.
"Antara aktiviti sepanjang hari termasuk jalan santai, lawatan dari rumah ke rumah, program komuniti, pertandingan memasak dan mewarna serta acara sukan membabitkan penyertaan golongan belia," katanya.
"Kemuncak acara ialah ceramah perdana pada jam 9 malam oleh semua pemimpin utama PN," katanya.
Mengulas sambutan Hari Statistik Negara yang berlangsung di lokasi sama, Andansura berharap kedua-dua acara iaitu anjuran PN dan kerajaan negeri dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata, kira-kira 5,000 peserta dijangka hadir bagi sambutan Hari Statistik Negara yang turut menampilkan pelbagai acara seperti debat universiti berkaitan statistik, permainan tradisional dan pemeriksaan kesihatan. #BeritaHarian







Tiada ulasan:
Catat Ulasan