KUANTAN: Seorang bapa dan dua anak lelaki serta tiga kenalan mereka dicekup ketika sedang memunggah 509 kilogram daun ketum dalam serbuan polis di sebuah rumah di Jalan Gambang - FELDA Lepar Hilir 1, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, turut ditahan dalam serbuan jam 2.40 petang itu, dua lelaki dipercayai pemandu dan kelindan lori milik sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran barang.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan polis mengenai kegiatan pengedaran daun dan air ketum didalangi seorang lelaki di kawasan FELDA terbabit.
Katanya, ketika serbuan suspek berusia 18 dan 46 tahun sedang memunggah plastik berisi daun ketum dari lori di pekarangan rumah suspek utama.
"Daun ketum itu dipercayai dibeli di sebuah negeri di utara tanah air dan dihantar menggunakan kenderaan syarikat perkhidmatan penghantaran barang.
"Berdasarkan siasatan awal, kumpulan terbabit aktif menjual daun dan air ketum secara dalam talian dan terus kepada pelanggan di sekitar Kuantan sejak tiga bulan lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ashari berkata, siasatan juga mendapati pemandu dan kelindan lori ditahan itu sudah empat kali mengambil upah menghantar daun ketum itu kepada kumpulan terbabit.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengetahui hubungan pemandu serta kelindan lori terbabit dan kumpulan pengedar daun ketum itu.
"Pemandu lori terbabit mengaku diberi upah RM1,200 untuk sekali penghantaran daun ketum untuk kumpulan terbabit.
"Berdasarkan harga pasaran nilai rampasan daun ketum dianggarkan RM24,400 dan selepas diproses boleh dijual dengan harga lebih rm52,000.
"Hasil serbuan itu juga, polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk memproses air ketum seperti periuk, gas memasak dan dapur," katanya
Menurut Ashari, saringan awal air kencing semua lelaki terbabit ditahan terbabit negatif dadah.
Semua suspek direman empat hari bermula hari hari dan disiasat mengikut seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun dan di denda maksimum RM100,000.#HarianMetro







Tiada ulasan:
Catat Ulasan